Saya pasti dalam kalangan pembaca ada yang pernah mendengar lagu Alleycat bertajuk Jika Kau Bercinta Lagi. Lirik yang terngiang dalam telinga saya adalah, “jika kau bercinta lagi, cintalah sepenuhnya”. Mencintai sepenuh hati adalah misi setiap orang yang bercinta dan berpasangan. Logiknya, kita tidak akan dapat mencintai seseorang yang tidak kita kenali terlebih dahulu, apatah lagi untuk benar-benar cinta sepenuh hati.

Jadi, hubungan antara pasangan kita perlu ada sasaran untuk saling cinta sepenuh hati bagi melahirkan hidup yang bermakna dan tulen. Tanpa cinta sepenuh hati, kita tidak akan dapat menipu rasa kekosongan dalam diri yang Tuhan ciptakan untuk memerlukan seseorang yang benar-benar mahu meluangkan hidupnya bersama kita.

Bak kata HAMKA di dalam Peribadi, “Janganlah tuan hambarkan hidup tuan dengan tidak memiliki perempuan. Jika tuan membawanya kepada erti yang baik, tentulah hasilnya akan besar membentuk peribadi yang kuat”. Justeru, persoalan dalam tulisan ini adalah apa ertinya mencintai seseorang dengan sepenuh hati.

Melengkapi Diri Sepenuh Hati

Skye C. Cleary, di dalam satu video TED-Ed mengetengahkan teori daripada Plato bahawa manusia sebenarnya dicipta bersama pasangannya secara fizikal. Maksudnya ialah, ada dua kepala, empat kaki dan tangan, dan dua fikiran berbeza yang berkongsi badan sama. Dalam tulisannya di The Symposium, Plato mengatakan manusia mencintai adalah untuk menjadi lengkap. “Love makes us whole, again”.

Anak muridnya, Aristotle, kemudian meneruskan teori tersebut dengan mengatakan bahawa manusia telah membuatkan pada dewa murka, lalu Zeus (salah satu dewa) telah memisahkan manusia. Maka, sejak itu manusia mula mencari cinta untuk mendapatkan ‘separuh’ diri mereka yang hilang. Begitulah teori kepercayaan ahli falsafah lalu mengapa manusia mencintai satu sama lain.

Namun, pada saya untuk mengatakan bahawa ‘kamu melengkapi hidup saya’ adalah hanyalah kata-kata metafora untuk bersifat romantis. Kerana kita seharusnya melengkapi diri kita dengan sendiri. Tidak salah untuk berkata seseorang itu lengkapi kita untuk tujuan manis dalam hubungan tetapi tidak betul untuk percaya tanpa adanya seseorang itu, kita tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang manusia yang beriman dengan Allah.

Jika ikutkan sifir bahawa kita sebenarnya memang tidak lengkap, maka orang yang hidupnya belum berpasangan adalah tidak lengkap pada hemat kepercayaan itu. Justeru, itulah yang membentuk masyarakat yang gemar menganggap perkahwinan sebagai satu pencapaian besar dalam hidup dan orang yang belum berkahwin masih dianggap tidak lengkap, seolah-olah ‘kelas kedua’ dalam masyarakat.

Terdapat para ulama yang membujang sepanjang usia seperti Ibn Jarir al-Tabari (224-310H). Beliau ialah pengarang kitab Tafsir al-Quran yang terkemuka, pakar dalam bidang sejarah dan pengasas sebuah mazhab Fiqh pada zamannya. Demikian juga dengan Imam Jar Allh al-Zamakhsyari (467-538H), Jalal al-Din al-Suyuti (849-911H) dan lainnya. Jika benarlah orang yang bujang itu ‘tidak lengkap’, maka mengapa adanya para ulama hebat yang tidak berkahwin.

Justeru, naratif yang salah akan menatijahkan pemikiran sempit. Lalu menjadikan seseorang yang bujang rasa terdesak dan sanggup ‘settle for less’ semata-mata untuk kahwin meskipun termasuk dalam hubungan yang toksik. Walhal yang seharusnya kita lakukan ialah lengkapi diri sendiri. Jadilah seperti para ulama atau individu hebat yang walaupun belum berkahwin lagi tetapi punyai peribadi hebat dan sumbangan bermanfaat kepada orang lain.

Maka apabila kita sudah lengkapi diri sendiri, kita bebas untuk mencari cinta dan berkahwin dengan orang yang selayaknya untuk kita. Itulah yang sering disebut dalam bahasa Inggeris iaitu ‘being whole’. Apabila seseorang menerima dirinya dengan sepenuh hati, dia layak untuk bercinta dengan sepenuh hati. Tanpa menjadi ragu-ragu dan merosakkan hubungan itu sendiri. Kita lihat betapa ramai orang yang sentiasa rasa tidak selamat (insecure) sepanjang masa sehinggakan menjadi toksik terhadap pasangan masing-masing kerana terlalu bergantung pada jiwa orang lain sedangkan jiwa sendiri kontang daripada penerimaan diri (self-acceptance). Maka untuk cinta sepenuh hati, terimalah diri dengan selapangnya.

Keterdedahan Pada Risiko Kehidupan

HAMKA menambah dalam Peribadi, bahawa orang yang penakut adalah mereka yang tidak berjaya dalam sesebuah masyarakat. Bagaimana untuk meneruskan hidup dengan jayanya jika kita takut pada risiko-risiko yang tampil bersama kejayaan. Individu berperibadi hebat adalah mereka yang berani untuk menempuh apa jua yang hadir kerana mereka bersedia menghadapinya. Begitu jugalah dalam hal percintaan. Apabila kita terlalu takut dengan fikiran-fikiran hipotetikal yang berbunyi seperti “macam mana kalau dia…”, maka kita sebenarnya masih tidak bersedia untuk berada dalam satu hubungan. Bukanlah untuk tidak memikirkan langsung kebarangkalian si dia akan melukakan kita, tetapi jika berada pada tahap yang tidak wajar, atau pun asyik sahaja pesimis terhadap seseorang, maka eloknya kita berehat dahulu daripada menaruh cinta dan memberi harapan cinta pada seseorang.

Brene Brown, dalam salah satu sembang santai di program televisyen Oprah Winfrey, membahaskan hal ini. Ketika itu beliau ditemu bual oleh Oprah sempena bukunya yang bertajuk Gifts of Imperfection dan syarahan TED Talk beliau yang mencapai jutaan ‘view’ di internet.

Brown mengatakan bahawa untuk benar-benar menjalani hidup yang penuh makna, kita perlu mempraktikkan sifat ‘vulnerable’, satu tindakan yang mana kita mendakap keterbukaan, meraikan empati dan mengikhlaskan hubungan. Apabila menonton bual bicara ini, saya mendapat kesimpulan bahawa untuk sepenuhnya hidup dan berhubung dengan bermakna dan tulen, seseorang seharusnya menjadi ‘vulnerable’. Apa gunanya membina tembok tinggi dalam masa yang sama cuba berkenalan dengan seseorang dengan harapan cinta akan datang menerpa.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

(Surah Ali Imran: 139)

Teruskan Berjalan dan Pandang ke Hadapan

Ada satu istilah bahasa Inggeris yang dinamakan ‘sonder’, bermaksud satu perasaan mendalam (profound feeling) mengenai kesedaran kita bahawa setiap insan, termasuk orang yang tidak dikenali, mempunyai kehidupan masing-masing yang kompleks. Ya, apa yang membentuk diri kita hari ini adalah berdasarkan kehidupan yang berlalu. Namun, yang membimbangkan ialah jika kita turut mengheret kisah lalu untuk datang pada masa kini dan membuka luka lampau disebabkan masih lagi teringat penderitaan lepas. Muslim yang baik menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran bukannya satu hukuman kepada dirinya sekarang. Apabila ingin berkenalan dengan seseorang, usahlah terus hukum insan tersebut tanpa sempat mengenalinya. Hati kita masih lagi belum ‘move on’ dan berpura-pura di hadapan insan tersebut.

Malah ada yang lebih parah apabila hati belum terubat tetapi memilih untuk bersama orang lain. Lalu, apabila situasi tertentu berlaku, terus ditinggalkan insan tersebut atas kepentingan peribadi menjadikan mereka sekadar tempat persinggahan semata-mata. Orang sebut, inilah dinamakan sebagai ‘rebound love’. Menjadi tempat persinggahan emosi dan pengharapan.

الْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ فَلَا يَحِلُّ لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يَبْتَاعَ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلَا يَخْطُبَ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَذَرَ

Seorang mukmin itu saudara mukmin yang lain. Oleh kerana itu seorang mukmin tidak boleh membeli sesuatu yang masih dalam penawaran saudaranya, juga tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya kecuali jika dia telah meninggalkannya

(Riwayat Muslim)

Muslim yang baik menganggap orang lain sebagai saudaranya dan tidak tergamak untuk mengkhianatinya. Begitulah akhlak yang diajarkan Rasulullah kepada kita. Tetapi hari ini betapa ramai yang sewenang-wenangnya mempermainkan hati, perasaan, malah maruah seseorang hanya untuk kepuasan nafsu sendiri sahaja. Oleh itu, sebelum memasuki mana-mana hubungan, eloklah dengan wajarnya bermuhasabah adakah benar-benar ini yang kita mahukan. Adakah kita bersedia untuk tetap jalan ke hadapan meskipun kenangan lalu memanggil-manggil kita. Pastikan kita tidak akan kembali pada jalan yang lampau apabila sudah memilih seseorang sebagai pasangan.

Berjalanlah terus tanpa memikirkan apa yang bakal terjadi sentiasa. Nikmati saat masa kini (present). Cintai seseorang pada masa itu seadanya, jika fikiran kita menerawang akan masa lalu dan apa yang bakal berlaku, tarik nafas sedalamnya dan hayati dengan penuh makna nikmat masa kini yang sedang berlaku.

Bersama Membentuk Pemikiran Sekufu

Beberapa ketika lalu Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli, ada menulis tentang tanggungjawab sebuah perkahwinan. Antara salah satu nasihat beliau ialah diambil daripada ajaran Nabi bahawa memilih individu yang sekufu dengan kita.

‏ تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ

Hendaklah kalian membuat pilihan bakal isteri yang terbaik untuk bakal zuriat kalian, hendaklah kalian berkahwin dengan yang sekufu, dan kahwinkanlah mereka dengan perempuan yang sekufu.”

(Riwayat Ibn Majah)

Ini menarik perhatian kerana saya pernah terbaca bahawa beberapa kajian telah dilakukan di beberapa negara luar berkenaan hubung kait antara ciri persamaan pasangan dan tahap kebahagiaan mereka. Menurut kajian-kajian tersebut, membuktikan terdapat kaitan positif antara sekufu dan kebahagiaan rumah tangga. Courtney Walsh dan  Lisa Neff dari University of Texas menyatakan pasangan yang punyai ‘identity fusion’ lebih yakin pada hubungan mereka dan mampu menghadapi konflik rumah tangga dengan baik. ‘Identity fusion’ dalam kajian mereka itu bermaksud sejauh mana pasangan tersebut mempunyai perasaan identiti yang sama, atau dalam kata mudah ialah perasaan seperti dalam pasukan yang sama. Secara logik, untuk mempunyai rasa ini, kita perlu terlebih dahulu punyai cara fikir yang sama tentang kehidupan, perkahwinan dan perspektif pasangan. Masing-masing sudah maklum akan peranan dan tanggungjawab untuk hidup berpasangan.

Demikian, sebelum memilih untuk bercinta pastikan kita sedar akan seseorang itu. Adakah dia sekufu dengan kita atau ‘out of league’. Saya perasan di media sosial, perkara ini kadangkala timbul. Kita lebih gemar merasa ‘out of league’ berdasarkan paras rupa dan gaya hidup. Namun, itu tidaklah sepenuhnya salah. Bagi saya, ada benarnya untuk tahu ‘cermin diri’ supaya kita tidaklah kecewa atau pun terlalu yakin. Cuma, jika sekadar paras rupa dan gaya hidup itu tidaklah cukup untuk menentukan tahap sekufu kita dengan seseorang. Apa yang lebih penting ialah bentuk pemikiran dan cara melihat hidup (worldview). Tidak salah untuk berlainan darjat tetapi fikiran dan hala tuju sama. Tetapi jika darjat sama, hala tuju pula berlainan itu pun tidak memberi ketenangan dalam berpasangan. Contoh seseorang yang inginkan gaya hidup baik beragama manakala seseorang pula lebih gemarkan gaya hidup bebas.

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Tiga golongan yang Allah menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: Orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya

(Riwayat Tirmizi)

Semalam saya ada menonton animasi bertajuk Kimi no Suizou wo Tabetai atau dalam bahasa Inggeris, I Want To Eat Your Pancreas, adaptasi daripada novel tulisan Yoru Sumino. Apa yang menarik bagi saya adalah babak apabila Haruki bertanya kepada Sakura apabila melawatnya di hospital, “What does living mean to you?”. Lantas Sakura menjawab bahawa apabila dia boleh berhubung dengan orang lain. Itulah yang memberi makna pada hidupnya, bahawa dia tidak seorang dan berhubung bersama orang lain dengan baik. Ini mengingatkan saya pada kajian Robert Waldinger berkenaan kebahagiaan seseorang dalam hidup adalah bergantung pada hubungannya dengan insan-insan lain.

Sebelum ingin berpasangan, ada baiknya tiap dari kita tepuk dada dan tanya diri kita kembali apa yang sebenarnya kita mahukan dalam hidup dan apa pandangan kita tentang hidup. Kerana berdasarkan hadis di atas ini, Allah akan membantu mereka yang ikhlas untuk berkahwin hidup berpasangan. Bercinta bertahun-tahun pun jika tiada perancangan untuk menghalalkan hubungan, lebih baik tidak perlu untuk dimulakan pun hubungan itu. Semoga rencana ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.

Rujukan tambahan:

1. Animasi bertajuk I Want To Eat Your Pancreas

2. Robert Waldinger – What makes a good life? Lessons from the longest study on happiness 

3. Courtney Walsh dan  Lisa Neff dari University of Texas

4. Out of league?

5. Mufti Wilayah – Tanggungjawab Perkahwinan

6. Are You Blocking True Love? Loving Wholeheartedly And Its Importance To Relationships

7. Peribadi tulisan HAMKA

8. Temubual Brene Brown dan Oprah

9. TED-Ed – Why We Love dari Skye C. Cleary

Facebook: Muhammad Baha’uddin Hamizan

Artikel disumbangkan oleh Baha’ untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.