Hampir 30 abad, dari penyatuan kerajaan pada tahun 3100 SM sehingga penaklukan oleh Alexander The Great pada tahun 332 SM, Mesir Purba adalah tamadun teragung dalam dunia Mediterranean. Dari pembinaan piramid Kerajaan Lama melalui penaklukan dari Kerajaan Baru, keagungan Mesir Purba telah menjadi focus utama dari para arkeologis dan sejarahwan sehingga menubuhkan suatu bidang khas bagi mengkaji sejarahnya, iaitu Egyptology.

Sumber utama bagi mengetahui sejarah Mesir Purba adalah penemuan monumen, objek, dan artifak dari tapak ekskavasi, dipenuhi dengan tulisan hieroglif yang kemudian mampu diterjemahkan. Dari penemuan ini, tamadun Mesir Purba boleh difahami dari awal penubuhan sehingga pengakhirannya.

A. Fasa Pre-dynastic (5000 – 3100 SM)

Gambar 1: Peta menunjukkan kota-kota yang ditubuhkan pada tahun 3150 SM.

Untuk pembesaran : https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/1/17/Ancient_Egypt_map-en.svg

Terdapat sedikit informasi tentang fasa ini dari penemuan artifak dan rekod penulisan, di mana fasa ini berlaku di awal pembangunan tamadun agung ini.

Masyarakat Zaman Neolitik iaitu akhir zaman batu yang menetap di timur laut Afrika beralih dari kehidupan yang bergantung kepada pemburuan kepada pertanian, seterusnya membuat kemajuan awal tamadun sehingga mewujudkan bidang kesenian dan arca, teknologi, politik, dan keagamaan (termasuk kepercayaan kepada alam selepas kematian).

Sekitar 3400 SM, terdapat dua buah kerajaan terbentuk: kerajaan Red Land yang terbentang dari delta Sungai Nil di utara, menerusi sungai tersebut sehingga ke kota Aftih; dan kerajaan White Land yang berada di selatan, terbentang dari kota Aftih sehingga ke Gebel es-Silsila. 200 tahun kemudian, raja kerajaan selatan iaitu Scorpion adalah raja pertama melakukan penaklukan terhadap kerajaan utara. Seabad kemudian. Raja Menes menyatukan kedua-dua kerajaan yang kemudian menjadi raja pertama dalam dinasti pertama Mesir Purba.

B. Fasa Kuno/Dinasti Awal (3100 – 2686 SM)

Raja Menes menubuhkan ibu kota Mesir Purba di White Walls (kemudian bertukar kepada Memphis) yang berada di utara, lebih tepat berdekatan delta Sungai Nil. Pada fasa Kerajaan Lama (Old Kingdom), White Walls menjadi metropolis yang dipenuhi oleh masyarakat Mesir Purba. Fasa ini memperlihatkan perkembangan pembina tamadun Mesir Purba, termasuklah perkembangan pembentukan kerajaan. Menurut kepercayaan mereka, raja adalah jelmaan tuhan, hampir dekat dengan dewa utama Mesir iaitu Horus.

Pada fasa ini juga kebanyakan masyarakat masih mengamalkan pertanian dan tinggal di perkampungan kecil. Tanaman yang biasa mereka jadikan sebagai makanan ruji adalah barli dan gandum, seterusnya menjadi sumber asas kepada kerajaan. Banjir yang sentiasa berlaku setahun sekali di sekitar Sungai Nil menjadi sistem pengairan dan pertanian penting buat petani di mana petani menyemai gandum dan barli selepas banjir dan menuai sebelum musim panas tiba atau kemarau.

C. Fasa Kerajaan Lama/Zaman Pembina Pyramid (2686 – 2181 SM)

Fasa Kerajaan Lama bermula dari zaman dinasti firaun yang ketiga. Sekitar tahun 2630 SM, firaun dinasti ketiga iaitu Raja Djoser meminta Imhotep iaitu seorang arkitek, paderi, dan tabib untuk membina sebuah monument pengebumian untuk diri raja tersebut. Seterusnya terbina sebuah monument batu pertama dunia iaitu Step-Pyramid di Saqqara, berdekatan kota Memphis.

Pembinaan monumen pramid mencapai kemuncaknya dengan pembinaan Great Pyramid di Giza, pinggir kota Kaherah. Monumen itu dibina khas untuk raja Khufu yang memerintah pada tahun 2589 hingga 2566 SM yang kemudiannya menjadi salah satu dari 7 Monumen Purba Ajaib (Seven Wonders) oleh para sejarahwan. Dua buah lagi piramid dibina selain Great Piramid adalah milik pewaris Khufu iaitu Khafra (2558 – 2532 SM) dan Menkaura (2532 – 2503 SM).


Gambar 2: Great Pyramid of Giza terdiri daripada (dari kiri) piramid Menkaure, Khafre, dan Khufu.

Di zaman dinasti ketiga dan keempat, Mesir Purba berada dalam fasa kegemilangan, keamanan, dan kemakmuran. Para firaun dikatakan memegang kuasa mutlak dan pengurusan pentadbiran kerajaan masih dalam terkawal. Kerajaan tidak mempunyai ancaman dari anasir luar dan berjaya melaksanakan kempen peperangan seperti menakluk kerajaan asing seperti Nubia dan Libya. Ekonomi Mesir juga berada dalam keadaan baik sehingga mampu mengkayakan kerajaan.

Namun pada zaman dinasti kelima dan keenam, kekayaan firaun semakin berkurang. Mungkin disebabkan terlalu banyak membelanjakan projek-projek pembinaan yang berlambak. Kausa firaun juga berkurang kerana berkembangnya pengaruh para bangsawan dan paderi yang kononnya segala tindakannya mendapat berkat Dewa Matahari, Ra. Selepas kemangkatan firaun dinasti keenam iaitu Raja Pepy II yang memerintah selama 94 tahun, Kerajaan Lama masuk ke fasa kekacauan.

D. Fasa Pertengahan Pertama (2181 – 2055 SM)

Pada penghujung keruntuhan Kerajaan Lama, zaman dinasti ketujuh dan kelapan masih diperintah oleh para firaun yang berasal dari kota Memphis sehingga 2160 SM. Ketika kuasa mutlak firaun dihapuskan, berlakunya perang sivil dalam kalangan gebanor wilayah. Ia bermula dari invasi puak nomad Arab Bedouin yang kemudiannya berlaku kebuluran dan wabak penyakit.

Dalam era konflik ini lahirnya dua kerajaan terpisah: kerajaan yang meneruskan dinasti firaun dari dinasti kesembilan hingga kesepuluh (17 pemerintah) yang berpusat di Heracleopolis, dan sebuah lagi kerajaan baru dibina oleh para kerabat diraja yang bangkit berpusat di Thebes dan mencabar para pemerintah Heracleopolis. Tahun 2055 SM, putera Thebes iaitu Mentuhotep Berjaya menggulingkan kuasa Heracleopolis dan menyatukan Mesir, seterusnya meneruskan dinasti firaun ke-11 dan menamatkan Fasa Pertengahan Pertama.

E. Fasa Kerajaan Tengah/Dinasti ke-12 (2055 – 1786 SM)

Selepas firaun terakhir dinasti ke-11 iaitu Mentuhotep IV dibunuh, takhta Mesir diberi kepada ketua menteri kepercayaan firaun itu, iaitu Amenemhet I, seterusnya melahirkan fasa dinasti ke-12. Ibu kota terbaru dibina di It-towy, selatan Memphis manakala Thebes kekal sebagai pusat keagamaan. Dalam fasa Kerajaan Tengah ini, Mesir purba sekali lagi berada dalam zaman keamanan dan kemakmuran, seperti di fasa Kerajaan Lama. Para firaun dinasti ke-12 memastikan bahawa pewaris kerajaan haruslah dipilih dengan lancar dengan mencari kriteria yang baik yang mampu menjadi pemerintah selepas Amenemhet I.

Kerajaan Tengah Mesir meneruskan polisi yang ketat terhadap tanah taklukannya, membina koloni di tanah Nubia yang kaya dengan emas, gading, balak hitam (ebony) dan sumber lain, serta menamatkan invasi-invasi puak Bedouin yang lama menjarah Mesir sejak fasa Pertengahan Pertama. Kerajaan Tengah juga pertama kali mengadakan hubungan diplomatik dan dagangan dengan Syria, Palestine dan kerajaan lain; menjalankan projek pembinaan termasuklah pengukuhan bala tentera dan membuka tapak perlombongan; serta meneruskan projek pembinaan piramid yang menjadi tradisi firaun-firaun terdahulu.

Kerajaan Tengah mencapai zaman kemuncaknya apabila masuk pemerintahan Amenemhet III (1842 – 1797 SM), mundur di zaman pemerintahan Amenemhet IV (1798 – 1790 SM) dan fasa ini diteruskan dengan pemerintahan Ratu Sobekneferu (1789 – 1786 SM) dan pewaris lain. Dikatakan ratu ini adalah firaun wanita terakhir di fasa akhir Kerajaan Tengah.

Gambar 3: Wajah patung Amenemhet III, raja agung terakhir di fasa Kerajaan Tengah

F. Fasa Pertengahan Kedua (1786 – 1567 SM)

Apabila masuk ke dinasti ke-13, kacau-bilau berlaku sekali lagi. Sejarahwan masih lagi kabur terhadap siapakah pemerintah dinasti ini kerana kekerapan penukaran firaun dengan singkat dan oleh sebab ini kuasa firaun tidak dapat bertahan lama. Maka, pada fasa ini Mesir terpisah kepada beberapa buah wilayah kecil yang berpengaruh. Para kerabat diraja dan pegawai pentadbir berpusat di Thebes manakala para pencabar iaitu firaun dinasti ke-14 berpusat di kota Xois di delta Sungai Nile. Kewujudan firaun dinasti ke-14 seiring dengan kemasukkan dinasti ke-13.

Pada 1650 SM, para kerabat diraja asing yang digelar sebagai Hyksos mengambil kesempatan atas kekacauan politik Mesir. Para penguasa Hyksos yang menubuhkan dinasti ke-15 mengadaptasi tradisi-tradisi Mesir dan budayanya yang terdapat dalam kerajaan. Mereka memerintah sebahagian Mesir seiring dengan pemerintahan para firaun Theban yang mewujudkan dinasti ke-17, mengawal seluruh Mesir selatan walaupun terpaksa membayar cukai kepada Hyksos. Konflik semakin membara antara kedua-dua penguasa, kemudian firaun Theban melancarkan perang melawan Hyksos sekitar 1570 SM, terus menghalau Hyksos keluar dari Mesir.

G. Fasa Kerajaan Baru (1567 – 1085 SM)

Gambar 4: Empayar Mesir pada abad ke-15 SM.

Di bawah pemerintahan Ahmose I iaitu firaun pertama dalam dinasti ke-18, Mesir kembali lagi bersatu. Pada dinasti ini juga, Mesir kembali lagi memiliki tanah Nubia dan memulakan kempen peperangan di Palestine, dan berperang dengan kuasa lain seperti kerajaan Mitanni dan Hittite. Dari kempen peperangan itu, lahirlah sebuah empayar pertama terbesar dunia yang terbentang dari tanah Nubia hingga Sungai Euphrates.

Tambahan pula, Kerajaan Baru menjadi sebuah empayar terkuat dengan pemerintahan para firaun yang berpengaruh seperti Amenhotep I (1546 – 1526 SM), Thutmose I (1525 – 1512 SM), dan Amenhotep III (1417 – 1379 SM). Kerajaan Baru juga melahirkan seorang firaun wanita pertama dunia melalui pemerintahan Ratu Hatshepsut (1503 – 1486 SM) yang mengambil peranan sebagai pengganti kepada putera tirinya bernama Thutmose III. Bermula sebagai pengganti, Hatshepsut menjadi firaun yang berpengaruh.

Pada akhir dinasti ke-18, firaun ketika itu, Amenhotep IV (1379 – 1362 SM) melakukan revolusi keagamaan iaitu pengharaman agama politeisme terutamanya sembahan kepada dewa Amon-Ra dan mewujudkan agama monoteisme kepada penyembahan dewa matahari baru, Aton. Selain menggelar dirinya sebagai hamba Aton (berdasarkan nama Akhenaton), firaun itu membina sebuah ibu kota baru bernama Akhetaton yang kemudian bertukar nama kepada Amarna. Setelah kemangkatan Akhenaton, pusat pemerintahan beralih kembali kepada Thebes dan orang Mesir kembali beramal agama politeisme.

Gambar 5: Patung firaun Akhenaton

Pada dinasti ke-19 dan ke-20, fasa ini dikenali sebagai Fasa Ramesside sempena pemerintahan firaun yang mempunyai darah keturunan Ramses. Para firaun ini mengesan kelemahan pada kerajaan ini dan memulihkannya dengan perbanyakkan buah bangunan atau monument, termasuk kuil dan kota. Mengikut sumber dari kitab agama utama seperti Bible dan Al-Quran, peristiwa firaun yang mengejar Nabi Musa AS dan gerombolan kaum Israil dipercayai berlaku di zaman pemerintahan Ramses II (1304 – 1237 SM).

Kesemua firaun Kerajaan Baru (kecuali Amenhotep IV) dikebumikan di Valley of the Kings, kawasan pengebumian yang terletak di kawasan barat Sungai Nil. Namun kebanyakkan kubur telah dibongkar dan musnah, kecuali kubur firaun Tutankhamen (1361 – 1352 SM) yang ditemui oleh para arkeologis pada 1922 M. Kuil perkuburan Ramses III (1187 – 1156 SM) yang masih indah dan kukuh dari sebarang gangguan membuktikan pemerintahan firaun terakhir ini masih dalam keadaan kemakmuran. Kemudian, firaun selepas Ramses III tidak dapat mengurus kerajaan dengan baik: kehilangan negeri Palestin dan Syria, invasi berterusan dari musuh terutanaya para tentera Libya, dan harta kerajaan yang semakin merosot.

H. Fasa Pertengahan Ketiga (1085 – 664 SM)

Dalam tempoh 400 tahun iaitu dalam fasa pertengahan ketiga, ia menunjukkan berubahan besar dalam dunia politik, social, dan kebudayaan Mesir. Kerajaan pusat di zaman dinasti ke-21 memberi peluang kepada para pegawai tempatan untuk memilik jawatan tinggi manakala pegawai asing seperti orang Libya dan Nubia harus berusaha sendiri untuk memperoleh jawatan yang diinginkan. Pada 945 SM, iaitu zaman dinasti ke-22 memperlihatkan penguasaan raja kaum Lita iaitu Sheshonq terhadap kerajaan Mesir setelah berjaya menceroboh pada akhir fasa dinasti ke-20. Namun pada fasa dinasti ke-24 dan ke-24, apa yang berlaku seterusnya tiada dalam rekod.

Pada Abad ke-8 SM, firaun bangsa Nubia bernama Shabako, juga pemerintah kerajaan Kush, menubuhkan dinasti ke-25. Di bawah pemerintahan firaun Kushite (kaum Nubia dalam kerajaan Kush), Mesir berhadapan dengan empayar Assyria yang semakin berkembang. Pada 671 SM, pemerintah Assyria bernama Esarhaddon menggulingkan firaun Kushite iaitu Taharka dan memusnahkan kota Memphis. Kemudian dia mengadakan system pemilihan raja seterusnya dari kalangan gabenor wilayah dan para pegawai yang setia dengan empayar Assyria. Necho of Sais adalah antara pegawai yang dilantik menjadi pemerintah Mesir dan menubuhkan dinasti ke-26 sebelum pada akhirnya dibunuh oleh para pemberontak Kushite yang diketuai oleh Tanuatamun.

I. Fasa Terakhir hingga ke Penguasaan Alexander (664 – 332 SM)

Bermula fasa pemerintahan putera Necho iaitu Psammetichus, dinasti Saite ditubuhkan dan berjaya menyatukan Mesir kurang 2 abad. Pada 525 SM, raja Parsi iaitu Cambyses menumbangkan raja Saite terakhir iaitu Psammetichus III dalam Perang Pelusium, menjadikan Mesir sebahagian wilayah empayar Parsi. Di zaman pemerintahan Darius (522 – 485 SM), baginda menjaga pengamalan agama politeisme oleh orang Mesir dengan melakukan projek pemuliharaan kuil-kuil. Masuk zaman raja Xerxes (486 – 465 SM) , bermulanya gelombang pemberontakan yang menjejaskan empayar Parsi. Apabila salah satu pemberontakan berjaya pada 404 SM, bermula sekali lagi pemerintahan firaun Mesir dari dinasti ke-28 hingga ke-30.

Pada pertengahan abad ke-4 SM, Parsi sekali lagi menyerang Mesir, seterusnya menubuhkan empayar baru di bawah pemerintahan Ataxerxes pada 343 SM. Sedekad kemudian, Alexander the Great bersama para tentera Yunani menumbangkan empayar Parsi dan menguasai Mesir. Selepas kemangkatan Alexander, Mesir diperintah oleh para raja Macedonia. Maka bermula pemerintahan oleh jeneral Alexander iaitu Ptolemy dan diteruskan oleh keturunannya. Firaun berdarah Ptolemy terakhir, Cleopatra VII yang lagenda menyerah diri kepada para tentera Octavia (Augustus) pada 31 SM. Kemudian Rom memerintah Mesir selama 6 abad yang mana agama Kristian menjadi agama umum. Penaklukan tentera Arab pada abad ke-7 Masihi dan pengenalan agama Islam telah menghapuskan segala budaya Mesir Purba. Maka, tidak ada lagi dunia yang penuh dengan pembinaan pyramid.

RUJUKAN:

1. Baines, John & Jaromir Málek (2000). The Cultural Atlas of Ancient Egypt (revised ed.)

2. Grimal, Nicolas (1992). A History of Ancient Egypt (in German). Blackwell Books

3. Kemp, Barry (1991). Ancient Egypt: Anatomy of a Civilization. London: Routledge.

4. Redford, Donald B., ed. (2001). The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt. Oxford University Press.

5. Oakes, Lorna (2003). Ancient Egypt: An Illustrated Reference to the Myths, Religions, Pyramids and Temples of the Land of the Pharaohs. New York: Barnes & Noble.

6. Strouhal, Eugen (1989). Life in Ancient Egypt. Norman, OK: University of Oklahoma Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.