Alhamdulillah. Kita dah sampai ke penghujung Siri Membedah Bioshock Infinite ini. Seperti yang saya tekankan dalam siri-siri yang lepas, Bioshock Infinite adalah sebuah mahakarya yang hebat yang membawa pelbagai tema dan pengajaran yang bagus untuk kita jadikan pedoman.
Dalam Bahagian Pertama kita sempat menyentuh tentang peristiwa sejarah yang dilupakan dan didaparkan dengan mendalam dalam Bioshock Infinite. Dalam bahagian kedua pula kita kupas tentang konsep dan juga teori sains yang digunakan dalam merekabentuk dunia Bioshock Infinite. Dalam bahagian yang terakhir ni kita nak buat apa ya?
Dalam bahagian yang terakhir ini kita akan kupas dan bedah sampai ke dasar tulang. Kita akan tengok tema utama yang dimainkan dan diperbahaskan secara tidak sedar dalam permainan video ini. Dan untuk itu, kita perlu menyelam ke dasar, mencari teras dunia fiksyen Bioshock Infinite bagi menyelidik dan memahami dengan lebih mendalam karya garapan Ken Levine ini.
Simbolik Bandar Columbia
Untuk lebih memahami Bioshock Infinite, perlulah kita selidiki dengan lebih teliti lagi pada lokasi utama yang dipaparkan dalam permainan video ini. Di mana lebih dari 90% perkara yang berlaku, drama dan konflik yang berlaku terjadi di bandar terapung ini. Bandar yang diberikan nama sebagai Columbia.
Columbia di dalam Bioshock Infinite, merupakan sebuah bandar indah yang terapung di awanan. Ianya direka dengan begitu cantik sekali sehingga membuatkan kita sebagai pemain terpukau bila kali pertama melihatnya. Setiap inci dan ceruk Bandar Columbia sangat berbaloi untuk diterokai dan dinikmati keindahannya. Bagaikan syurga di awanan.
Tapi pernah tak kita berhenti sejenak, memikirkan kenapa namanya Columbia? Kenapa tidak dinamakan sebagai Bandar Levine ke, Bandar Bioshock ke, ataupun jika kita ingin mengikut kesinambungan permainan video Bioshock, nama yang lebih sesuai mungkin “Rapture in the Sky”.Kenapa Columbia?
Bagi yang mengetahui serba sedikit tentang sejarah, mungkin Columbia itu merujuk kepada Christoper Columbus. Orang yang pertama sekali menemui benua Amerika. Ya, anda betul di situ. Tapi hakikat sebenarnya nama Columbia itu membawa maksud yang lebih mendalam lagi. Nama Columbia itu sebenarnya merujuk kepada personifikasi, ataupun perlambangan Amerika Syarikat.
Keliru? Jangan risau, saya akan terangkan. Sekarang, jika anda ingin meletakkan satu gambar ataupun simbol bagi mewakili Amerika Syarikat, benda yang bermain di fikiran anda mungkin sekali Statue of Liberty. Tapi tahukah anda, sekitar kurun ke 18 dan kurun ke-19, Amerika Syarikat pernah diwakilkan dengan simbol Miss Columbia?
Yep, Columbia seperti gambar di atas ini. Columbia ini datang melalui imaginasi Samuel Sewall, Ketua Hakim Koloni Massachusetts. Pada tahun 1697, Sewall menulis sebuah sajak yang memberikan cadangan supaya koloni Amerika dipanggil sebagai Columbina, mengambil inspirasi dari nama Christopher Columbus.
Nama itu berubah kepada Columbia melalui sajak yang ditulis oleh Phillis Wheatley, seorang bekas hamba. Sajak yang ditulisnya itu dihantar kepada Jeneral George Washington dan nama itu lekat sehingga sekarang. Pada pertengahan kurun ke-19, Columbia digunakan secara meluas dalam kartun satira politik bagi melambangkan Amerika Syarikat.
Status Columbia sebagai perlambangan Amerika Syarikat merudum apabila Statue of Liberty dipamerkan kepada orang awam pada tahun 1886. Dan ia mula dilupakan oleh orang ramai selepas Perang Dunia ke-2 apabila figura Uncle Sam mula mengambil tempat Columbia.
Chicago World Fair 1893
Melihat pada asal-usul nama sahaja belum cukup untuk kita memahami tema yang diperbahaskan dalam permainan video ini. Kita perlu lihat juga konteks dan peristiwa yang mengiringi nama Columbia itu sendiri. Dan sumber inspirasi yang menjadi ilham kepada reka bentuk Bandar Terapung Columbia.
Pada rencana bahagian pertama, saya pernah menulis yang Bandar Columbia ini kali pertama didedahkan kepada orang awam ketika Chicago World Fair 1893. Dan carian pantas di ruang maya akan menunjukkan yang Chicago World Fair ini sememangnya berlaku. Kebetulan? Sudah tentunya tidak! Ken Levine sendiri mengakui yang beliau banyak mengambil inspirasi dari Chicago World Fair 1893 dalam mereka bentuk Bandar Terapung Columbia.
Chicago World Fair 1893 adalah sebuah ekspo besar-besaran yang diadakan di Jackson Park, Chicago. World Fair pada ketika itu adalah satu peluang yang baik untuk menunjukkan kepada dunia kemampuan dan kehebatan sesebuah negara. Ini berikutan dari contoh yang ditunjukkan oleh Empayar British pada tahun 1851 yang menganjurkan World Fair buat pertama kalinya. World Fair tersebut yang juga dipanggil sebagai The Great Exhibition berjaya menjadi satu petunjukan hebat kepada dunia tentang kuasa dan keagungan Empayar British ketika Era Victoria.
Ini bukan kali pertama Amerika Syarikat menganjurkan World Fair seperti ini. Penganjuran World Fair seperti ini selalunya tidak membawa pulangan keuntungan kepada penganjur. Namun, melihatkan kepada nilai dan peluang yang ada dalam menganjurkan World Fair, akhirnya pemimpin tempatan berkumpul bersama bagi merancang World Fair yang seterusnya.
Lagipun, World Fair 1893 ini diadakan pada ulangtahun ke-400 penemuan benua Amerika oleh Christopher Columbus. Disebabkan itu jugalah ianya dinamakan sebagai World Columbian Exposition. Chicago dipilih sebagai tuan rumah kerana kesanggupan pelabur di situ untuk mendanai projek tersebut dan kesesuaian lokasi tersebut berbanding New York.
Arkitek terkemuka Chicago, Daniel H.Burnham yang baru sahaja selesai mendirikan bangunan pertama dunia dengan keseluruhan kerangka keluli dipilih sebagai Pengarah Projek. Di bawah kendalian beliau, Chicago World Fair 1893 menjadi satu tontonan yang menakjubkan. Banyak pertunjukan dan pameran yang yang mengagumkan dipertontonkan kepada orang ramai sepanjang 6 bulan World Fair ini berlansung.
Antaranya White City, Bandar dengan rekabentuk neoklasik yang direka sendiri oleh Daniel H.Burnham. White City menjadi pencetus kepada falsafah perancangan bandar dan rekaan bangunan yang diberi nama sebagai City Beautiful Movement. Chicago World Fair 1893 juga menjadi saksi kepada “Perang Arus” di antara Westinghouse (yang mewakili Alternating Current (AC)) dan juga Edison (yang mewakili Direct Current (DC)).
Chicago World Fair 1893 berlansung dari 1 Mei sehinggalah ke 30 Oktober dan berjaya menarik sehingga 27 juta pelawat dari seluruh. Secara tidak lansung ia menunjukkan kehebatan Amerika Syarikat dan keunikan negara itu selari dengan semangat dan konsep American Exceptionalism.
Manifest Destiny dan
American Exceptionalism
Jadi sekarang kita sudah tahu yang Columbia dalam Bioshock Infinite itu merupakan simbolik kepada Amerika Syarikat. Ataupun lebih tepat lagi ia adalah “mini-Amerika Syarikat”. Yang membawa nilai dan kekuatan negara itu selari dengan konsep American Exceptionalism dan juga Manifest Destiny.
Tapi ia bukannya Amerika Syarikat yang kita kenali sekarang. Ia adalah Amerika Syarikat pada penghujung kurun ke-19. Yang sedang mengalami apa yang sejarawan panggil sebagai Gilded Age.Pada ketika ini, Amerika Syarikat sedang mengalami pertumbuhan yang sangat pesat dan mengetuai dunia dalam Revolusi Industri Yang ke-2.
Perindustrian berkembang dengan sangat pesat pada ketika ini, dengan melihat Amerika Syarikat menjadi perintis dunia dalam pelbagai industri dari besi keluli sehinggalah ke industri minyak dan gas. Ramai pelopor industri dan perintis bangkit dari Amerika Syarikat pada era ini, termasuklah Cornelius Vanderbilt, Andrew Carnegie, John D. Rockefeller, J.P Morgan dan ramai lagi.
Perkembangan sains dan teknologi juga berlaku dengan rancaknya di Amerika Syarikat pada penghujung kurun ke-19. Lebih dari 500,000 paten didaftarkan dari tahun 1860 sehinggalah tahun 1890 menjadikan Amerika Syarikat sebagai negara terulung ketika itu dalam pembangunan teknologi. Ramai juga saintis dan pencipta terkemuka berkumpul di Amerika Syarikat pada era ini termasuklah Thomas Alva Edison, Nikolai Tesla, Alexander Graham Bell, Samuel Morse, Henry Ford, Wright Bersaudara dan ramai lagi.
Kesemua ini (dari kehebatan sektor industri Amerika Syarikat sehinggalah ke kehebatan teknologi negara ini) dipaparkan oleh Ken Levine secara hiperbola melalui Bandar Columbia dalam Bioshock Infinite. Kita boleh melihat kehebatan industri Columbia melalui jaringan landasan pengangkutan yang digantung di udara dan dipanggil sebagai Sky-Line. Kita juga boleh melihat kehebatan industri Columbia apabila kita melawat wilayah kilang Finkton. Kemajuan teknologi dan sains Columbia juga dipaparkan melalui penggunaan Vigors, tentera mekanikal dan juga Voxophones.
Jelas sekali Ken Levine mereka Columbia untuk menjadi perlambangan kepada Amerika Syarikat yang jelas membawa konsep dan semangat American Exceptionalism dan Manifest Destiny. Owh, saya dah tulis jargon-jargon ini dah banyak kali, tapi saya tak terangkan dengan jelas kepada anda apa maksudnya. Maafkan saya.
American Exceptionalism dan Manifest Destiny ini sebenarnya konsep yang berkait antara satu sama lain. American Exceptionalism ini membawa maksud bahawa Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang unik dari segi sejarahnya, dari segi institusi politik dan agamanya dan juga dari segi asas kepercayaan nasional menjadikan ia negara yang terulung di dunia. Manifest Destiny pula membawa maksud yang Amerika Syarikat mempunyai takdir dan ketentuan yang nyata dari Tuhan untuk terus berkembang meluaskan kuasa seterusnya menjadi negara kuasa dunia.
Jadi saya rumuskan di sini kedua-dua kepercayaan ini menjadi satu, iaitu disebabkan keunikan Amerika Syarikat itu menjadikan ia negara yang ditakdirkan Tuhan untuk terus berkembang dan menjadi kuasa dunia. Ini ditunjukkan melalui Bandar Columbia itu sendiri yang unik (yelah, bandar terapung kan, kau nak unik macam mana lagi), dan kebolehan bandar itu untuk bergerak merentas awan bagi menunjukkan kehebatan mereka.
Tapi, Ken Levine bukannya membangunkan Bioshock Infinite untuk menjadi satu media propaganda bagi menunjukkan kemegahan Amerika Syarikat. Jika anda bermain permainan video ini sehingga ke penghujungnya, anda akan dapati ada banyak sisi buruk yang ada di “syurga di sebalik awan” ini. Penduduk di Columbia sebenarnya mengamalkan dasar perkauman yang sangat kuat.
Mereka yang bukan berkulit putih, seperti orang kulit hitam dan juga bangsa Irish didiskriminasi dengan teruk. Tandas mereka diasingkan dan kebanyakan daripada mereka merupakan pekerja buruh dan pekerja bawahan. Sebenarnya ini selari dengan sejarah kepercayaan Manifest Destiny itu sendiri.
Pada penghujung kurun ke-19, Manifest Destiny digunakan sebagai satu alasan bagi perluasan kuasa Amerika Syarikat ke bahagian barat benua itu. Hasilnya, berekar-ekar tanah orang asli Amerika dirampas, dan beribu daripada mereka mati dibunuh secara kejam seperti mana terjadi di Wounded Knee (diulas dalam Bahagian I). Manifest Destiny secara akarnya adalah kepercayaan berdarah.
Benda ini juga kita dapat lihat dengan jelas sewaktu Chicago World Fair 1893. Ketika ekspo itu berlansung, wujud ruang pameran yang menunjukkan bangsa, dan etnik yang lain. Namun begitu, ruang pameran mereka direka bagi menunjukkan yang bangsa yang lain adalah bangsa berstatus rendah. Ruang pameran ini direka bagi mengajar pelawat tentang konsep hierarki bangsa yang meletakkan orang kulit putih pada status tertinggi.
Disebabkan rakyat Amerika Syarikat percaya dengan konsep itu, mereka juga percaya yang mereka adalah bangsa terpilih, dan bangsa lain adalah bangsa terkutuk yang perlu “dijaga” dan “dipimpin” oleh orang kulit putih Amerika. Ini dapat dilihat melalui ucapan Comstock sendiri dalam Bioshock Infinite:
“No animal is born free, except the white man. And it is our burden to care for the rest of creation.”
Bioshock Infinite juga pergi lebih jauh lagi dengan memaparkan kebencian Comstock dan juga pengikutnya kepada Abraham Lincoln. Presiden Lincoln diketahui dalam sejarah, sebagai orang yang bertanggungjawab membebaskan hamba kulit hitam. Comstock mengecam tindakan Lincoln dan melabelnya sebagai penipu dan pembelot negara. Jelas dari sikap Comstock, Columbia dan penduduknya disampuk dengan sikap perkauman yang menebal.
Ken Levine juga mengkritik konsep American Exceptionalism melalui mahakaryanya ini. Dalam Amerika Syarikat mengejar kemajuan untuk menjadi “exceptional”, pekerja dan golongan bawahan ramai yang menjadi mangsa. Seperti yang saya pernah ulas dalam Bahagian I,ketika Revolusi Industri ke-2, layanan buruk oleh para industrialis terhadap golongan pekerja mewujudkan gelombang pemberontakan sepertimana yang berlaku sewaktu Pinkerton Rebellion.
Levine bijak mereka bentuk permainan video ini dan membawa kita menelusuri Finkton. Di sini kita dapat lihat sendiri jurang yang sangat besar wujud di antara yang kaya dan juga yang miskin. Selain itu kita juga dapat melihat layanan seperti sampah golongan pekerja yang dikerah dengan teruk oleh Jeremiah Fink. Kesemua ini memaparkan dengan jelas sisi buruk Amerika Syarikat.
Rumusan
Para pembaca sekalian. Pengembaraan kita sudah sampai ke penghujungnya. Kita sudah mengetahui yang bandar terapung Columbia itu adalah satu perlambangan kepada Amerika Syarikat melalui namanya sendiri dan inspirasi rekabentuknya yang diambil dari Chicago World Fair 1893. Kita juga sudah kenal konsep dan kepercayaan American Exceptionalism dan juga Manifest Destiny serta sisi buruk yang ditampilkannya.
Jadi, apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Ken Levine melalui Bioshock Infinite? Mudah sahaja. Bioshock Infinite adalah satu kritikan sosial kepada Amerika Syarikat. Walaupun jargon-jargon yang saya sebut di atas mungkin sudah tidak terpakai lagi di zaman ini, namun ianya satu peringatan kepada kita tentang hipokrasi Amerika Syarikat.
Negara yang kini kononnya adalah pejuang hak asasi manusia, dan ingin mengajar negara-negara lain bagaimana hendak menghormati hak sebagai manusia sebenarnya adalah contoh yang paling tidak sesuai untuk kita ikuti. Negara yang pernah melayan bangsa lain seperti binatang tak patut mengajar kita benda yang sudahpun kita amalkan lebih dari 4 kurun lamanya.
Rujukan:
Rath,Robert (Mac,2013), “Critical Intel: A BioShock Infinite Primer” The Escapist
Clemens,Samuel (Ogos,2018), “Move over, Uncle Sam, this lady was the rightful symbol of America” History101
Pytz, Marylynne (Mac,2018), “Hail, Miss Columbia: Once a U.S. symbol, she’s lost out to Uncle Sam, Lady Liberty” Pittsburgh Post-Gazette
Neal. M, Leslie (Jun, 2014), “What Remains Of The 1893 Chicago World’s Fair Today” AllThatsInteresting
Hsu,Jeremy (April, 2013), “How Scientific Racism at the Chicago’s World’s Fair Shaped ‘Bioshock Infinite’” Motherboard
McNamara,Robert (Jun, 2017), “Manifest Destiny:What the Term Meant and How It Impacted 19th Century America” ThoughtCo.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih