Pasifisme sering menjadi perbualan hangat dalam kalangan sarjana-sarjana dan murid-murid Hubungan Antarabangsa. Satu hari dalam kelas Hubungan Antarabangsa kami, beberapa orang murid telah mengutarakan pendapat dan hujah mereka bahawa keamana sejagat atau World Peace boleh dicapai dalam konteks pasca-perang ini. Saya, Mehmed, dan Panurut berasa sangat skeptikal dengan dakwaan mereka, lalu telah berbincang tentang keamanan sejagat dan Pasifisme.
Pasifisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah “fahaman, prinsip atau aliran yang menekankan bahawa sebarang bentuk keganasan atau peperangan tidak wajar terjadi dan mestilah dielakkan melalui penyelesaian secara aman.”
Setelah lama berbincang, kami bertiga berpendapat untuk menganalisa isu pasifisme dan keamanan sejagat ini melalui kaca mata Liberal dan Realist.
Falsafah Liberalisme boleh mencapai sebuah idea dunia pasifis?
Ramai orang mempunyai salah faham tentang Liberalisme. Mereka ingat Liberalisme hanya sentuh perkara sosial saja atau ingat Liberalisme bermaksud “gaya hidup bebas” dan “ketiadaan moral”. Memetik kata-kata Ayman Rashdan Wong tentang salah faham falsafah politik liberal:
“Di Malaysia, liberal dijadikan sebagai label malah carutan. Maksud liberal dah disamakan dengan “ketiadaan moral” atau “gaya hidup bebas”. Tak puasa. Liberal. Tak berdoa sebelum naik kenderaan. Liberal. Minum Starbucks pakai mafla spek hitam beg LV duduk dalam cuaca khatulistiwa. Liberal.”
Ramai orang juga ingat yang Hubungan Antarabangsa tidak ada konsep Liberalisme. Sebenarnya liberalisme benar-benar wujud dalam politik antarabangsa.
Falsafah Politik Liberalisme bermula seawal abad ke-17 semasa Zaman Kesedaran atau Enlightenment di mana para sarjana ingin mencari jalan untuk mengalakkan dan memelihara kebebesan individual atau individual liberty sekaligus membaiki keadaan manusia yang menyentuh aspek moral, emosi, konflik, keagamaan, dan lain-lain.
Liberalisme mula menjadi popular terutamanya selepas Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika Syarikat pada abad ke-18 dan juga semasa Revolusi Industri. Malahan, sering menjadi perbincangan dan topik perbahasan selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dingin.
Sarjana-sarjana liberalisme seperti Immanuel Kant meyokong sains dan kewarasan, mengutamakan global citizenship atau kerakyatan global, dan mendakwa bahawa sistem demokrasi lebih baik dan aman berbanding sistem autokrasi (Mansbach dan Taylor 2018: 13-14). Menariknya juga, Immanuel Kant pernah mencadangkan sebuah organisasi atau sebuah Liga Keamanan yang dianggatoi oleh pelbagai negara sama seperti PBB. Adam Smith, John Bright dan Richard Cobden juga menyokong idea perdagangan bebas yang selari dengan idea global citizenship yang diutarakan oleh Kant. John Stuart Mill mempercayai bahawa dengan adanya pendidikan, peperangan boleh dielakkan atau ditamatkan dan secara langsung akan membawa dunia ke arah keamanan sejagat.
Sarjana-sarjana Liberal Barat mempercayai bahawa sejarah sedang maju ke arah memelihara dan memperbaiki kehidupan individu dan misi atau visi ini seharusnya menjadi kepetingan dan objektif utama umat manusia.
Adam Smith dan Thomas Jefferson berpendapat bahawa jika kerajaan mengurangkan campur tangan mereka dalam politik dan ekonomi, maka pasaran bebas atau free market boleh menjadi tangan halimunan yang boleh mentransformasi ekonomi yang berkepentingan sendiri milik individu kepada kebaikan sosial atau social good. Ini merupakan ajaran Classical Liberalisme seperti yang pernah ditulis oleh saudara Ayman.
Oleh kerana itu, para sarjana liberal berpendapat bahawa politik antarabangsa boleh juga mencapai objektif tersebut serta bebas daripada keganasan sekaligus dapat menjamin ketenteraman, sekuriti, dan kemakmuran sejagat.
Liberalisme juga ada mazhab-mazhab mereka sendiri termasuklah Classical Liberalisme, Modern Liberal, dan Neoliberal. Perkara tersebut juga tidak terkecuali dalam Hubungan Antarabangsa kerana adanya non-interventionalist liberalisme, interventionalist liberalisme, Neoliberal dan lain-lain.
Ramai liberal di Amerika Syarikat mempercayai dan menyokong non-interventionalist liberalisme yang berpendapat bahawa kebaikan liberalisme yang menekankan kebebasan individu dan lain-lain boleh disebarkan ke seluruh dunia melalui contoh dan teladan sebuah negara. Contohnya, Amerika Syarikat sepatutnya tidak perlu mencari salah atau kelemahan negara-negara lain tetapi membina sebuah “dunia baru” dalam negara mereka yang boleh jadi ikutan negara-negara lain. Seperti Liberal Klasik, non-interventionalist tidak suka dan tidak memahukan campur tangan negara ke atas negara-negara lain. Oleh kerana itu, dengan memeluk polisi non-interventionalist ini, sebuah negara akan mengelakkan konflik dan sebaliknya akan menggalakkan teladan yang baik melalui tindakan. Mereka yang mempercayai pasifisme mungkin akan bersetuju dengan idea ini malah mungkin akan mengalakkannya bagi mencapai impian dunia pasifis.
Rejim Antarabangsa, Perdagangan, dan konflik
Golongan Neoliberal pula berpendapat bahawa kewujudan organisasi atau institusi antarabangsa membolehkan kerjasama antarabangsa walaupun mereka tahu politik global bersifat anarki. Neoliberal berpendapat bahawa organisasi atau rejim antarabangsa mengalakkan negara-negara seluruh dunia untuk berkerjasama dan mengkordinasi interaksi dan aktiviti mereka antara satu sama lain yang secara tidak langsung merangsangkan kepercayaan terhadap satu sama lain.
Contoh rejim atau organisasi antarabangsa ini termasuklah United Nations, European Union, European Central Bank, International Monetary Fund, World Bank, United Nations Security Council, United Nations Humans Rights Council, dan lain-lain. Rejim-rejim seperti ini penting kerana boleh menjadi the voice of reason di mana isu-isu seperti perdagangan antarabangsa, pembasmian penyakit berbahaya, hak kemanusiaan dan lain-lain ditadbir dan disuarakan di persada antarabangsa. Contohnya, Hinde and Rotblat (2003: 142) menyatakan bahawa undang-undang antarabangsa sering dikuatkuasakan oleh PBB terutamanya berkaitan konflik yang melibatkan negara-negara berdaulat. Lantaran itu, justifikasi untuk melancarkan peperangan perlu ada izin United Nations Security Council (UNSC). Sesebuah negara tidak boleh melancarkan kempen ketenteraan dengan alasan mengembalikan ketenteraman dan keamanan tanpa izin UNSC. Malah, Konvesyen Geneva juga akan mengambil kira bagaimana sesebuah peperangan dijalankan, seperti layanan terhadap orang awam dan larangan pengunaan senjata-senjata kimia.
Rejim-rejim antarabangsa ini membawa pelbagai kebaikan menurut Neoliberal seperti mengawasi dan mengiktiraf perjanjian antarabangsa, mengiktiraf negara, dan mengurangkan ketidakpastian dalam isu politik global melalui kerjasama antarabangsa.
Masih keliru tentang pandangan liberalisme terhadap ini?
Pada pandangan liberal, kerjasama antarabangsa di bawah pengawasan sebuah rejim antarabangsa membolehkan interaksi dua hala dan membawa negara-negara seluruh dunia ke arah berkegantungan antara satu sama lain. Kebergantungan ini bermaksud negara perlu bergantung antara satu sama lain lain untuk perdagangan, keselamatan, dan kemakmuran. Selain itu, melalui kerjasama, negara-negara di bawah pengawasan sebuah rejim antarabangsa boleh mencari jalan untuk mencapai objektif atau misi mereka bagi menjamin kepentingan negara mereka dan kepentingan umat manusia. Oleh kerana itu, peperangan dan konflik wajar dielakkan kerana fenomena seperti itu boleh mengakibatkan kerugian kepada pelbagai pihak dari segi ekonomi, ketenteraan, dan politik.
Globalisasi contohnya, telah membolehkan firma atau syarikat multinasional untuk ditubuhkan di beberapa negara. Jika tercetusnya sesebuah perang antarabangsa atau perang saudara dalam sesebuah negara, firma-firma dan syarikat-syarikat dalam negara-negara tersebut akan dijejaskan kerana sektor-sektor pengeluaran dan pasaran juga akan dijejaskan akibat peperangan. Ini secara tidak langsung juga akan menjejaskan ekonomi negara. Sesebuah firma atau syarikat multinasional akan menyasarkan negara-negara yang stabil dari segi sosio-politik untuk menjamin keuntungan. Golongan Neoliberal memanggil teori ini sebagai Commercial Peace Theory yang berhujah bahawa kebergantungan negara kepada ekonomi mengurangkan kebarangkalian peperangan dengan mementingkan akan kepentingan atau nilai perdagangan daripada peperangan.
Selain itu juga, golongan Neoliberal mengutarakan teori Democratic Peace Theory yang berhujah bahawa negara-negara demokratik tidak akan berperang antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana negara-negara ini berkongsi ideologi dan pendapat sama, oleh itu mereka tidak ada alasan yang bernas untuk berperang sesama sendiri dan mempunyai lebih banyak manfaat jika bekerjasama.
Pendek kata, melalui kaca mata Liberal, negara-negara di seluruh dunia boleh mengelakkan konflik dan mencapai keamanan sejagat melalui kerjasama di bawah pengawasan sebuah rejim antarabangsa. Namun begitu, adakah liberalisme benar-benar menjauhi konflik dan boleh mencapai dunia pasifis atau keamanan sejagat?
Interventionalist Liberalism dan Konflik
Kalau pemikiran Neoliberal dan non-interventionist liberalism dipakai mungkin keamanan sejagat boleh dicapai tetapi ramai orang terlupa akan interventionist liberalism. Interventionist liberalism berlawan dengan non-interventionist liberalism, kerana berpendapat bahawa idea-idea liberal boleh disebarkan ke seluruh dunia tetapi melalui campur tangan sebuah negara liberal. Campur tangan yang dimaksudkan boleh dilakukan melalui pelbagai cara sama ada melalui perundingan, teguran atau melalui paksaan dan kuasa ketenteraan juga.
Mansbach dan Taylor (2018: 14-15) berhujah bahawa paksaan dan kuasa ketenteraan dijustifikasikan oleh liberal kerana sejarah telah membuktikan bahawa tindakan tersebut amat diperlukan untuk memperbetulkan apa yang liberal anggap salah. Contohnya, Revolusi Perancis selepas tahun 1789 di mana para pejuang revolusi mahu menyebarkan liberalisme ke seluruh Eropah atau sebagaimana Presiden Woodrow Wilson telah menjustifikasi tindakan Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Pertama dengan alasan untuk menamatkan perang kepada segala peperangan. Malah, tindakan Presiden George W. Bush menghantar tentera ke Iraq dan Afghanistan untuk menghalang kemaraan terrorisme sekaligus menyebarkan demokrasi juga boleh dianggap sebagai interventionist liberalism.
Maka dapat disimpulkan bahawa walaupun liberalisme menekankan kerjasama antarabangsa bagi mengalakkan kepercayaan terhadap satu lain sekaligus mengelakkan konflik dan peperangan, liberalisme juga boleh mencetuskan konflik seperti yang dilihat oleh negara-negara interventionist liberalism.
Realist dan pandangan pesimis
Lawan kepada Liberalisme adalah Realisme, yang merupakan sebuah ideologi di mana para sarjana Hubungan Antarabangsa mempunyai pandangan pesimis terhadap dunia kita dan berpendapat bahawa struktur politik di luar sesebuah negara sentiasa bersifat anarki. Bagi mereka, tidak ada entiti atau kuasa besar yang mengawal dan mengawasi tingkah laku negara-negara di seluruh dunia, oleh itu Realist berpendapat dunia ini bersifat anarki. Realist mengkiritk Liberal dengan memanggil mereka sebagai idealists, optimists atau utopians (Lieber 2009: 1). Morgenthau contohnya mengkritik golongan idealists dan utopians ini kerana mereka gagal memahami dan mengambil kira aspek kuasa (Mansbach dan Taylor 2018: 11).
Mapel (1996) menambah dan berkata Realist juga mengkritik Pacisifsts kerana tindakan mereka menolak peperangan merupakan tindakan kurang bijak yang tidak bermoral juga. Memetik kata-kata beliau:
“Other realist think that the pacifist rejection of war is not only imprudent but immoral as well, since these realists think that the distinction that common morality draws between doing and allowing harm cannot be sustained. Pacisfism, should be morally condemned because in refusing to use force to prevent the ruin of some, it allows the ruin of all.” – (Mapel 1996: 57).
Tradisi atau pemikiran Realisme telah bermula seawal zaman China purba dan Yunani purba (Mansbach dan Taylor 2018: 10). Namun, amat popular dan dihidupkan semula dalam buku The Prince yang ditulis oleh Niccolo Machiavelli pada abad ke-16 dan juga dibahaskan dan dibicarakan oleh para sarjana seperti Thomas Hobbes, Hans J. Morgenthau, dan E.H. Carr.
Walaupun, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wujud, Realist masih berasa entiti seperti PBB tidak mampu menghalang konflik atau konfrontasi skala besar seperti yang telah dibukitkan oleh Liga Bangsa semasa Perang Dunia Kedua dan PBB semasa Perang Dingin. Tambahan pula, walaupun PBB telah bersidang berpuluh kali pun, konflik-konflik dunia seperti Perang saudara Syria, Isu pelarian Rohingya, Perang Dingin di Timur Tengah, dan lain-lain isu lagi masih tidak dapat ditamatkan oleh PBB. Tambahan pula, walaupun undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan oleh PBB, perang-perang proksi yang dilakukan oleh Rusia, Amerika Syarikat, dan lain-lain tidak dapat dihentikan dengan berjayanya oleh PBB sehingga kini. Malah, tindakan Amerika Syarikat melanggar Iraq pada tahun 2003 tidak dizinkan oleh PBB dan sekutu-sekutu Amerika Syarikat sendiri, namun Amerika Syarikat tetap meneruskan kempen mereka itu.
Oleh kerana itu, Realist berpandangan bahawa sistem atau keadaan di luar sesebuah negara adalah bersifat anarki dan seorang pemimpin haruslah meletakkan keselamatan dan kepentingan negaranya sebagai keutamaan. Cara seorang pemimpin menjamin keselamatan dan kepentingan negaranya boleh dilakukan melalui pelbagai cara, malah jika ia bermaksud pemimpin tersebut perlu membunuh, mencuri, menipu, dan lain-lain ia tetap dihalalkan dan dijustifikasikan oleh sarjana-sarjana Realist demi menjamin keselamatan dan kepentingan negara.
Oleh kerana hal demikian, falsafah Realism ini boleh disimpulkan sebagai satu pandangan pesimis tetapi realistik dalam sesetengah situasi yang boleh diaplikasikan dan diperhatikan dalam isu-isu global.
“Sifat manusia yang mencetuskan konflik.” – Classical Realist
Dalam aliran pemikiran Classical Realism, para sarjana berpendapat bahawa kelemahan manusia itulah yang mencetuskan keinginan para pemimpin untuk menjadi gila kuasa, seterusnya mencetuskan konflik.
Memetik kata-kata Machiavelli tentang kelemahan sifat manusia:
“Upon this a question arises: whether it be better to be loved than feared or feared than loved? It may be answered that one should wish to be both, but, because it is difficult to unite them in one person, is much safer to be feared than loved, when, of the two, either must be dispensed with. Because this is to be asserted in general of men, that they are ungrateful, fickle, false, cowardly, covetous, and as long as you succeed, they are yours entirely; they will offer you their blood, property, life and children, as is said above, when the need is far distant; but when it approaches, they turn against you.” -(Machiavelli, dipetik Marriott 2014: 17).
Dalam konteks peperangan atau konflik yang berlaku di Yugoslavia dan Rwanda, Hinde dan Rotblat (2003: 104-5) mendapati bahawa kedua-dua kepimpinan politik dalam scenario-scenario tersebut menjustifikan peperangan kemudian genosid dengan alasan perbezaan kebudayaan dan menjamin keselamatan negara, tetapi sebenarnya motif sebenar mereka adalah untuk meluaskan kawasan mereka melalui kekejaman dan keganasan.
Bagi Machiavelli yang dikategorikan oleh para sarjana sebagai seorang Classical Realist, beliau berpendapat bahawa seseorang pemimpin mestilah obsess dan sentiasa memirkan akan kuasa demi menjamin keselamatan rakyat jelatanya (Mansbach dan Taylor 2018: 10).
Para sarjana Realist berpendapat bahawa watak-watak dalam politik global mestilah sibuk atau mencari jalan untuk mendapatkan kuasa. Selain itu, mereka haruslah peka terhadap watak-watak lain yang sedang mengejar kuasa kerana jika dicapai, mungkin watak tersebut boleh mengancam keselamatan dan survival negara-negara watak lain. Mansbach dan Taylor (2018) berhujah bahawa seorang pemimpin mestilah memikirkan dan hanya mempedulikan akan negaranya sahaja. Pendek kata, politik global pada pandangan realisit menekankan idea state-centricism yang berpendapat bahawa politik global ditentukan oleh tindakan negara-negara serata dua yang bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan kuasa serta menjamin kepentingan dan keselamatan negara mereka.
“Bukan sifat manusia yang cetuskan konflik tetapi struktur di luar negara yang bersifat anarki yang mencetuskannya.” – Neorealist
Realisme pun ada cabang-cabang pemikirannya, dalam Realisme ada Classical Realisme dan Neorealist atau Structural Realist. Pemikiran Neorealist mencabar dan mengkritik Classical Realism. Neorealist berkata yang konflik tercetus bukan sebab kerana sifat manusia, tetapi kerana keadaan anarki yang wujud di luar sesebuah negara. Sarjana-sarjana Neorealist di Amerika mendakwa bahawa Neorealisme merupakan hujah yang lebih saintifik berbanding Realisme Klasik; lebih tepat dalam pemikiran sains sosial dan pendekatan yang lebih baik untuk memahami Hubungan Antarabangsa (Forde 1995: 141). Antara pemikir Neorealist yang tersohor termasuklah Kenneth Waltz dan John Mearsheimer.
Struktur politik global menurut pemikir-pemikir Neorealist adalah bersifat anarki. Analogi yang mudah digunakan ialah firma-firma ekonomi (negara) perlu bersaing dan hidup dalam pasaran bebas. Firma-firma ini perlu bersaing untuk mendapatkan keuntungan atau duit (kepentingan dan keselamatan). Dalam keadaan anarki, firma-firma ini tidak boleh mempercayai antara satu sama lain dan akibatnya, wujudnya self-help system di mana negara-negara seluruh dunia tidak ada sesiapa untuk bergantung kepada dan perlu menyediakan sekuriti untuk diri mereka sendiri. Bagi Neorealist, tidak dinafikan para pemimpin mencari kuasa tetapi ianya demi keselamatan dan survival negara-negara mereka bukannya untuk memuaskan nafsu mereka.
Disebabkan struktur politik global sering berada dalam keadaan anarki, negara-negara seluruh dunia harus bersedia dan meningkatkan keselamatan mereka walaupun terdapat negara-negara lain di luar sana yang berkongsi kepentingan sama dengan negara tersebut. Akibatnya, akan wujudnya fenomena security dilemma (Mansbach dan Taylor 2018: 12).
Security dilemma atau Dilema Sekuriti wujud apabila tindakan sesebuah negara yang sedang meningkatkan sekuriti dan keselamatannya akan menakutkan negara-negara lain. Akibatnya, negara-negara yang takut ini akan mencari atau membentuk perikatan dengan negara-negara lain untuk mengukuhkan keselamatan dan sekuriti negara mereka.
Tindakan Amerika Syarikat melanggar Iraq pada tahun 2003 pada pandangan neorealist adalah kerana dilema ini. Khabar angin atau informasi tentang pemilikan nuklear oleh Iraq yang boleh mencabar dan mengancam sekutu-sekutu AS atau AS sendiri telah mengakibatkan kerajaan Amerika melanggar Iraq demi menjamin sekuriti atau keselamatan mereka dan sekutu-sekutu mereka.
Realisme, Liberalisme dan Perspektif Negara Matahari Terbit Terhadap Konflik Pertahanan
Setelah Amerika Syarikat mejatuhkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, Jepun kemudian mengambil keputusan untuk menyerah kalah pada 2 September 1945. Deklarasi menyerah kalah itu telah ditandatangani secara rasmi diantara Menteri Luar Negeri Jepun ketika itu, Mamoru Shigemitsu dan Jeneral Richard K. Sutherland di atas dek kapal perang, USS Missouri. Di sini bermulanya pendudukan Tentera Bersekutu ke atas Jepun selepas perjanjian menyerah kalah dimeterai. Semasa fasa pertama pendudukan, Panglima Tertinggi Tentera Bersekutu dan Ahli perundangan perlembagaan berpendapat bahawa Jepun tidak akan mempunyai pasukan tenteranya yang tersendiri. Kelahiran Perlembagaan Artikel 9 telah melarang Jepun daripada mengekalkan potensinya untuk melibatkan diri dalam sesebuah peperangan. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat telah bersetuju untuk berkongsi beban yang dimiliki Jepun dari sudut pertahanan, dan berusaha untuk mengekalkan keselamatan Jepun demi menjaga keamanan antarabangsa.
Tindakan Amerika Syarikat mengambil tindakan itu, dari perspektif liberalisme boleh menjamin kerjasama antarabangsa sekaligus menghalang konflik tercetus antara Jepun dan Amerika Syarikat. Manakala dari perspektif Realisme, terutamanya Neorealisme, Amerika Syarikat dan Jepun perlu berkerjasama untuk meningkatkan sekuriti dan keselamatan mereka di Asia kerana mereka sedar struktur di luar negara-negara mereka bersifat anarki. Walau bagaimanapun, wujudnya security dilemma kerana tindakan mungkin mereka telah menakutkan Korea Utara dan China yang mengakibatkan kedua-dua negara tersebut meningkatkan kuasa ketenteraan mereka untuk menjamin keselamatan, sekuriti, dan kepentingan mereka juga.
Di sini juga bermulanya kesangsian dan dilema Tentera Berikat jikalau Jepun bakal bangkit semula dari abu bak seekor burung phoenix. Maka, bermulanya draf bagi Artikel 9 yang memacu negara Jepun ke arah pendekatan ‘pacifism’ – sesuatu solusi bagi menyelesaikan konflik tanpa pengunaan kuasa ketenteraan. Dengan mengekalkan konsep keamanan sejagat (global peace), Jepun tidak boleh memiliki sebarang kuasa ketenteraan untuk melakukan ofensif tetapi ianya bersifat lebih ke arah defensif (self-defence).
Terdapat dua kumpulan yang lahir daripada pelaksanaan Artikel 9 ini – mereka yang menyokong dan juga yang membantah. Jika dilihat dengan keadaan isu global sekarang, konflik seringkali berlaku di mana-mana tempat di muka bumi ini. Kehilangan untuk mempertahankan diri yang juga dikawal secara bersama boleh membawa mudarat yang besar. Jepun mengharapkan Amerika Syarikat sebagai wakil tunggalnya untuk berperang atau membantu Jepun yang serba serbi kekurangan aset ketenteraan. Sikap kebergantungan ini membawa padah jika Jepun mempunyai polisi yang berlawanan dengan negara yang membantunya, oleh kerana itu, Jepun harus menjadi ‘pak turut’ Amerika bagi mengelakkan hilangnya potensi pertahanan itu. Di sini, kebanyakkan rakyat Jepun ingin membuat semakan semula terhadap Artikel 9, semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Jepun makin meningkat jika dilihat pada tinjauan yang dijalankan di antara tahun 2015 hingga tahun 2017.
Antara sebab perlunya penggubalan Artikel 9 adalah kerana Jepun ingin memiliki fungsi yang lebih luas dalam operasi keamanan yang dianjurkan oleh PBB. Selain itu, dalam konteks geopolitik pula, ancaman Korea Utara dan juga China dalam meluaskan kuasa di Asia Tenggara telah mengancam Jepun secara langsung. Keagresifan yang ditunjukkan oleh dua buah negara ini telah memberi tekanan yang besar terhadap Jepun terhadap ancaman yang bakal lahir dari sikap ‘expansionist’ China di Laut China Selatan dan ‘militarist’ Korea Utara yang baru-baru ini melancarkan misil ICBM(inter-continental ballistic missile) melepasi sempadan Jepun. Ketegangan ini terjadi kerana Jepun tidak mempunyai imbangan yang sepatutnya dimiliki. Jika dilihat dari segi ‘balance of power’, Jepun akan ketinggalan kerana pusat kuasa ketenteraannya dikawal oleh Amerika Syarikat.
Dari kaca mata Realism, kekurangan ini mampu membahayakan Jepun sepertimana ketika Perang Dunia Kedua yang meletus akibat kebangkitan Nazi Jerman yang disebabkan oleh sikap ‘pacifist’ United Kingdom dan Perancis yang baru sahaja melalui Perang Dunia Pertama.
Para sarjana Realist telah menekankan idea bahawa negara-negara seluruh dunia sedang bersaing antara satu sama lain untuk dapatkan kuasa melalui pelbagai cara termasuklah menakluki atau mendominasi negara-negara lain. Selain itu, jika dilihat melalui kaca mata seorang Neorealist seperti John Mearsheimer, beliau berhujah bahawa negara-negara yang ingin menjamin keselamatan sekaligus meningkatkan sekuritinya akan mendominasi negara-negara lain. Ini juga mungkin bermaksud negara-negara yang lemah akan mudah dibuli oleh negara yang lebih agresif yang ingin mencapai objektif itu. Oleh kerana itu, negara Jepun dalam scenario ini, sedang mencari jalan untuk mengelakkan diri mereka daripada menjadi mangsa buli negara-negara besar seperti China.
Mengikut undian yang dijalankan oleh Japanese Broadcasting Corporation (NHK), sebanyak 87 peratus yang menyokong bahawa perlunya hak status ketenteraan Japan Self Defence Force dikembalikan. Titik kelemahan Artikel 9 terletak pada status Jepun yang hanya bersifat ‘pertahanan kolektif’ di mana Jepun tidak berupaya untuk menyerang atau menyertai operasi ofensif jikalau mereka diancam atau ingin membantu operasi memerangi keganasan yang global. Kematian mengerikan bagi dua orang wartawan Jepun di tangan kumpulan radikal ISIS telah membuka mata sesetengah rakyat Jepun untuk menggubal Artikel 9 yang dilihat akan membebankan Jepun pada masa akan datang. Tambahan pula, ketidakpastian bagi kepimpinan di Amerika Syarikat akan berubah dari masa ke masa akibat perubahan polisi luar negeri ataupun pilihanraya. Hal ini akan membuatkan Jepun terikat dengan sebarang perubahan yang berkemungkinan besar bakal merugikan Jepun.
Walau bagaimanapun, sesetengah penduduk Jepun percaya bahawa Artikel 9 tidak perlu diubah kerana ianya berkait rapan dengan sifat normalisasi Jepun ataupun ‘the normal Japan’. Tindakan PM Jepun, Shinzo Abe dalam melaksanakan dasar-dasar nasionalis serta perancangan untuk mengkaji semula Artikel 9 telah memarakkan kemarahan ramai penduduk Jepun yang berpendapat tindakannya berlawanan dengan arus yang dibawa oleh Jepun yang normal. Dari segi sektor pendidikan, buku teks telah diperbaharui dengan memadamkan fakta-fakta kekejaman Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Umum mengetahui bahawa dari segi pendidikanlah kita mampu memacu masa hadapan masyarakat yang bakal membentuk sesuatu pegangan ideologi atau naratif. Sikap ‘revisionist’ Abe tidak disukai kerana ianya dilihat sebagai menukar perspektif Jepun yang sediakala.
Propaganda yang memaparkan perspektif ‘pacifist’ dari pasca Perang Dunia Kedua telahpun disebati dalam masyarakat Jepun. Selain itu, terdapat pertembungan ideologi dua jurang umur yang berbeza di mana masyarakat Jepun yang muda melihat ancaman-ancaman terhadap Jepun merupakan satu realiti yang tidak dapat dielakkan. Maka, perlunya Jepun berdikari untuk memiliki kemampuan ketenteraan. Sebaliknya, golongan berumur dan warga emas kebanyakkanya tidak bersetuju di atas sebab sejarah hitam Jepun yang melanda ketika Perang Dunia Kedua. Kekejaman Jepun di Nangking tidak dilupakan sama sekali oleh jiran seberangnya. Maka mereka merasakan bahawa perubahan polisi sedia ada mampu menggugat keamanan sejagat di Asia dengan mengapi-apikan kemarahan Beijing dan Pyongyang.
Jadi dalam fenomena ini boleh disimpulkan bahawa golongan berumur ini sedang mencari jalan melalui kaca mata liberalism atau neoliberal yang menekankan kerjasama antarabangsa untuk mengelakkan konflik. Manakala golongan muda sedang melihat melalui kaca mata realism yang berpandangan bahawa ancaman yang ditunjukkan oleh Korea Utara dan China tidak boleh diendahkan dan sedang berada di pintu depan Jepun. Oleh kerana itu, golongan muda ini sedang mengaplikasikan idea neorealism untuk menjamin kepentingan dan keselamatan negara Jepun.
Hakikatnya, perubahan polisi Jepun telah menyatakan secara jelas bahawa kajian semula itu adalah sebagai ‘deterrence’ dan ianya mampu mengurangkan ketegangan yang berlaku di rantau ini serta mengekalkan ‘balance of power’. Kebanyakkan masyarakat Jepun nampaknya lebih percaya dalam penyusunan semula serta pemindaan Artikel 9 dalam Perlembagaan. Untuk mengekalkan hak Perlembagaan, keraguan yang kuat mengenai tafsiran kerajaan Jepun mengenai Artikel 9 mesti diolah secara lebih baik dan diperhalusi dengan menjelaskan peranan Jepun secara menyeluruh dalam memiliki keupayaan tentera untuk mendapat kepercayaan rakyat. Walaupun terdapat beberapa tentangan daripada rakyat Jepun tentang cadangan penggubalan, realitinya, lambat-laun Artikel 9 akan dipinda bagi mengekalkan kedaulatan Jepun di era kemuncak China yang sedang giat meluaskan pengaruh kuasanya di Asia Tenggara. Jepun tidak mampu untuk menjadi ‘pacifist’ selamanya kerana dunia yang ada masa kini lebih mencabar serta kompleks di mana perubahan drastik diperlukan untuk menangani masalah-masalah yang mendatang. Dari perspektif seorang Classical Realist, naluri manusia adalah diibaratkan sama seperti sebuah negara, ketika ianya beremosi, negara juga turut serta mengalaminya dari segi peperangan atau konflik.
Adalah tidak mampu bagi kita untuk mengagak naluri manusia seperti amarah dan ini juga serupa seperti sesebuah negara. Justeru, pendekatan ‘pacifist’ dalam konteks moden perlu diolah semula kerana ianya seakan-akan meletakkan kepercayaan terhadap sesuatu emosi yang berubah-berubah serta tidak dapat dikawal, dan seterusnya mencampakkan sebuah negara kearah kebinasaan.
Kesimpulan
Perbahasan tentang Liberalism dan Realism telah berlanjutan untuk hampir seabad. Perbahasan dan perbincangan tentang dua-dua pemikiran ini menjadi hangat dan popular semasa The Third Debate di mana para pemikir dan para sarjana telah mencari objectivity dalam politik global. Realists mengkritik pendekatan pasifis dan berpendapat bahawa perang dan konflik serata dunia tidak boleh dielakkan tetapi boleh dikawal dan diawasi. Walaupun wujudnya organisasi global seperti PBB, Realists masih berpendapat ia tidak mampu menghalang konflik atau mencipta dunia yang pasifis kerana wujudnya masalah ketidakpercayaan dalam kalangan negara-negara dunia. Bagi Liberals pula, mereka berpendapat bahawa peperangan boleh dihalang melalui reformasi pendidikan, perdagangan bebas, kebajikan, dan demokrasi. Namun, begitu persoalan tentang sama ada sebuah dunia yang pasifis relevan atau tidak, merupakan satu persoalan yang sehingga kini tidak menemui titik noktah. Kedua-dua sarjana Realisme dan Liberalisme sendiri mengakui bahawa terdapat wujudnya konflik dan akan wujudnya konflik, namun pendekatan mereka terhadap bagaimana untuk mengawal atau menamatkan konflik ini amat berbeza seperti yang telah ditulis. Pendapat dua-dua pemikiran ini saling bercanggah dalam Hubungan Antarabangsa sehingga kini dan para sarjana haruslah mengambil pendekatan yang berbeza apabila menganalisa sesuatu isu.
Rujukan
Forde, S. (1995) ‘International Realism and the Science of Politics: Thucydides, Machiavelli, and Neorealism’ Blackwell [online] 39 (2), 141-160. available from <www.jstor.org> [30 October 2018]
Hinde, R. and Rotblat, J. (2003). War No More: Eliminating Conflict in the Nuclear Age. London: Pluto Press, pp. 102-4 and 135-44. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=3386259).
Lieber, K.A. (2009) War, Peace, and International Political Realism: Perspectives from The Review of Politics. Indiana: University of Notre Dame Press
Mapel, D.R. (1996) ‘Realism and the Ethics of War and Peace’. in The Ethics of War and Peace: Diverse Religions and Secular Perspectives. ed. by Nardin, T. New Jersey: Princeton University Press
Mansbach, R.W. and Taylor, K.L. (2018) Introduction to Global Politics. 3rd edn. Routledge: New York
Wong, A.R. (2017) Falsafah Politik Liberal [online] available from <https://thepatriots.asia/4302/> [29 October 2018]
Bibliografi
Al-Jazeera English (2017). Will Abe Change Japan’s Pacifist Constitution? – Inside Story. Available at: https://www.youtube.com/watch?v=sRPXtlI8EbY [Accessed 2 Aug. 2018].
Burrett, T. (2018). Japan’s pacifism in peril, again. [online] New Internationalist. Available at: https://newint.org/sections/agenda/2017/07/01/japan-pacifism [Accessed 7 Aug. 2018].
Japan: Article 9 of The Constitution. [Accessed 9 Aug. 2018].
NHK Broadcasting Culture Research Institute (2016). Kansuru Ishiki Chosa Kara [Pros and Cons Evenly Matched on Constitutional Revision]. [online] Tokyo: Public Opinion Research Division. Available at: https://www.nhk.or.jp/bunken/english/reports/pdf/report_16010801.pdf [Accessed 10 Aug. 2018].
Vox (2017). Japan’s Rising Right-Wing Nationalism. Available at: https://www.youtube.com/watch?v=IHJsoCAREsg [Accessed 12 Aug. 2018].
Moseley, A. (2002). Philosophy of War. Algora Publishing, pp. 70. ProQuest Ebook Central. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=318641.)
The National Academy of Engineering, (2013). Harnessing Operational Systems Engineering to Support Peacebuilding: Report of a Workshop by the National Academy of Engineering and United States Institute of Peace Roundtable on Technology, Science, and Peacebuilding. Washington, DC: The National Academies Press, pp. 9-22, 41-6. [Online source] Available from: (https://www.nap.edu/catalog/18598/harnessing-operational-systems-engineering-to-support-peacebuilding-report-of-a)
Vasquez, J. A. (2009). The War Puzzle Revisited. Cambridge University Press, ProQuest Ebook Central, pp.. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=452039)
Rosen, S. P. and Rosen, S. P. P. (2005). War and Human Nature. Princeton University Press, pp. 8. ProQuest Ebook Central. Available from: (https://ebookcentral.proquest.com/lib/nottingham/detail.action?docID=457897)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih