Ke hadapan Menteri Pendidikan Tuan Maszlee Malek, Menteri Belia dan Sukan, Tuan Syed Saddiq, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli DUN dan seluruh rakyat Malaysia.
Awwalul kalam, Syukur kepada hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya, Malaysia sentiasa terus makmur dan sentiasa berada di dalam lindungan RahmatNya. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW serta sahabat dan ahli keluargaNya, contoh teladan ikutan terbaik hingga ke akhir zaman. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Pakatan Harapan atas kemenangan ketika Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Tahniah juga diucapkan kepada tuan kerana telah dilantik menjadi salah seorang menteri kabinet di bawah kerajaan baharu ini.
Tuan yang mulia..
Tidaklah molek sekiranya saya tidak memperkenalkan diri saya. Saya merupakan seorang rakyat Marhaen yang berusia 19 tahun dan seorang penuntut di salah sebuah universiti awam terkemuka di negara ini. Di luar kampus, saya merupakan salah seorang penulis di dalam sebuah kumpulan NGO yang memperjuangkan sejarah dan nasib umat Melayu di rantau ini.
Berdasarkan Undang-Undang Tertinggi negara ini, menurut perkara 152 bahawa Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi di dalam negara ini. Sebagai anak muda, saya berasa kesal apabila melihat bahasa rasmi negara kita menunggu masa untuk mati. Tulisan Jawi kini nasibnya lebih parah. Apakah kita mahu melihat anak cucu kita nanti hanya sekadar mampu melihat Bahasa Melayu dan seangkatan dengannya di pameran muzium semata-mata?
Jika kita lihat pada hari ini, nama-nama Kemelayuan pada sesebuah tempat itu sendiri semakin hari semakin hilang. Misalnya, Bangsar South dahulunya dikenali sebagai Kampung Kerinchi, Mont Kiara asalnya ialah Bukit Kiara / Segambut Dalam dan banyak lagi nama-nama telah hilang dihanyut zaman. Adakah kita terlalu mengejar kemodenan sehingga bahasa ibunda sehingga tergadai? Malangnya kaum itu jika merendahkan martabat dan tidak mengutamakanbbahasa ibunda mereka.
Tuan yang dihormati.
Selaras dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka dengan secara tidak langsung jugalah bahasa ini diangkat sebagai bahasa perpaduan dan perpaduan boleh dipupuk melalui pendidikan. Tetapi sayang, peluang ini telah disia-siakan oleh pihak-pihak yang mengaku Melayu tetapi menjadikan bahasa asing sebagai rutin harian mereka. Di awal tadi, saya menjelaskan bahawa saya merupakan penuntut di salah sebuah universiti awam terkemuka di negara ini. Untuk pengetahuan tuan, pusat pengajian di mana saya menuntut ilmu ini ialah asalnya ditubuhkan untuk membantu kaum bumiputera dan mempunyai cawangan paling banyak di Malaysia.
Tetapi saya amati, segala medium perantaraan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran, kesemuanya di dalam Bahasa Inggeris. Bagi saya, ini adalah suatu perkara yang amat memalukan dan jijik untuk kita hadapi. Sudahlah bahasa ibunda sendiri hampir tergadai, bahasa lain pula diangkat sebagai perantaraan. Adakah kita menganggap bahawa kerana Bahasa Inggeris itu bahasa utama dunia sehingga menjadikan ia sebagai bahasa pembelajaran. Apa Bahasa Melayu itu tidak internasional kah? Apakah pihak tuan tidak tahu bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di rantau ini berkurun lamanya sebelum penjajah menapak di bumi pertiwi ini? Bagi saya, untuk mengukur kemajuan dan mengembangkan kehidupan di luar zon kita, tidaklah wajar sekiranya Bahasa Inggeris terlalu diangkat dan menyebabkan bahasa ibunda sendiri bak hidup segan mati tak mahu.
Dalam pada memperjuangkan nasib Bahasa Melayu yang kian terancam, saya juga ingin berbincang mengenai nasib anak melayu di tanah sendiri. Umum kita mengetahui bahawa MARA telah ditubuhkan oleh Almarhum Tan Sri Sir Onn ibni Almarhum Dato Jaafar. Tetapi saya lihat dan amati, pada hari ini, wujudnya satu persepsi dan suasana tidak baik dalam membantu golongan bumiputera ini. Saya lebih menekankan mengenai soal pendidikan misalnya. Berdasarkan pemerhatian saya, saya lihat MRSM telah menjadi sekolah elitis berbanding tujuan asalnya.
Apakah tujuan syarat kemasukan MARA yang tertakluk kepada gred hanya sekadar untuk menjaga status MRSM sebagai “salah sebuah institusi pendidikan terbaik” di negara ini? Jika kita fikirkan, bagi anak-anak Melayu yang tidak lah mendapat 3A ke atas, namun mereka datang daripada golongan B40 dan kebawah dan mempunyai bakat untuk ke arah sains. Namun, dek kerana syarat yang tidak masuk akal ini, mereka tidak mampu untuk menyerlahkan kepandaian mereka. Akibatnya?
Mereka akan ditempatkan di kelas belakang dan mereka akan tertekan kerana pemikiran kolot pendidik kita pada hari ini, kelas belakang hanya untuk yang tercicir dan seterusnya akan menyebabkan mereka terdedah dan menjadi penyumbang kepada masalah sosial anak muda pada hari ini. Saya juga turut berfikir mengapa pendidikan kita pada hari ini tidak menitikberatkan Sejarah dan Bahasa Melayu sedangkan perkara tersebut sama penting dan bahkan lebih tinggi darjatnya daripada apa yang difokuskan oleh MRSM iaitu Sains dan Matematik? Anak belia pada hari ini kian lupa pada leluhur kita dan saya merasakan platform ini sesuai untuk berbuat sedemikian.
Oleh itu, saya menggesa dan mencadangkan pihak yang berkenaan untuk meneliti dan berusaha untuk merealisasikan cadangan saya. Pertama, saya mencadangkan bahawa Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di dalam pendidikan sejajar dengan perlembagaan negara. Kedua, saya cadangkan agar kuota “orang-orang” kaya untuk MRSM ini dihapuskan dan MRSM hanya ditumpukan untuk golongan yang berhak seiring dengan tujuan penubuhan MARA itu sendiri . Orang-orang berkemampuan boleh menghantar anak anak mereka ke sekolah asrama yang lain seperti Sekolah Sains, MCKK dan lain-lain. Ketiga, saya usulkan bahawa Bahasa Melayu dan Sejarah dititikberatkan dan bukan hanya sekadar wajib lulus di dalam kertas peperiksaan sahaja. Sebaliknya, mata pelajaran ini dititik dengan lebih dalam dan dijadikan sebagai subjek penting di institusi pendidikan. Keempat, saya gesa agar Bahasa Melayu dijulang dan bukan retorik semata-mata.
Sekiranya pihak tuan ingin berbincang dengan saya mengenai soal ini, saya sentiasa terbuka demi membela nasib anak bangsa. Saya juga akan mendedahkan diri saya yang sebenar melalui persendirian. Tujuan saya ini bukanlah untuk mencetuskan permusuhan, tetapi hanya untuk memperjuangkan nasib bangsa dan bahasa di bumi bertuah ini. Sebelum mengakhiri warkah ini, mari kita hayati dan renungkan kata-kata Datuk Laksamana Hang Jebat “AKU JEBAT, RAKYAT BIASA, PANGKAT AKU UNTUK KEPENTINGAN RAKYAT, BERGERAK AKU UNTUK MEMBUAT JASA KEPADA RAKYAT, DAN AKU RELA MATI AKU UNTUK RAKYAT”.
Sekian, Wassalam.
Megat Seri Rama. .
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih