Ketika Pertempuran Kursk sedang sibuk mengaum di Soviet Union, tentera Berikat pimpinan General Eisenhower mendarat di pulau Sicily, selatan Itali. Tidak lama selepas itu, Raja Itali, Victor Emmanuelle III memecat diktator Benito Mussolini.

Pertempuran Kursk

Pada 5 Julai 1943, Nazi Jerman melancarkan Operasi Citadel, serangan kereta kebal besar-besaran untuk menakluk sebuah pekan bernama Kursk dan memerangkap beribu-ribu tentera Soviet di sana. Operasi tersebut bermula agak perlahan kerana benteng pertahanan tentera Soviet yang sangat kebal di sana.

Sungguhpun begitu, tentera Soviet pimpinan Marshal Zhukov mampu menghentikan serangan bertali arus tentera Nazi yang dipimpin Field Marshal von Manstein dan Field Marshal von Kluge yang tidak henti-henti menyerang posisi tentera Soviet di pekeliling Kursk.

Pada 12 Julai, pertempuran kereta kebal terhebat berlaku di sebuah pekan di Prokorovka, beberapa kilometer sahaja di selatan Kursk. Tentera Panzer Manstein membedil posisi tentera kereta kebal General Vatutin di sana. Walaupun Manstein menghancurkan beribu-ribu kereta kebal Vatutin, namun tentera simpanan Soviet masih lagi banyak menyebabkan Manstein terpaksa berpatah balik.

Pada petang itu, Hitler memanggil panglima-panglimanya untuk bermesyuarat. Beliau membawa khabar buruk, Tentera Amerika dan sekutunya telah mendarat di Sicily, Itali.

Pendaratan Amerika dan Sekutunya di Sicily

Pada 9 Julai 1943, dua buah tentera medan yang dipimpin panglima Amerika, General Dwight D. Eisenhower dan panglima British, General Sir Harold Alexander melancarkan Operasi Husky.

Selepas tentera Rommel tumbang di Afrika pada Mei lepas, tentera Bersekutu mempunyai posisi kuat untuk melancarkan satu lagi serangan dan mereka bersetuju untuk memilih Pulau Sicily sebagai batu loncatan seterusnya menyerang Itali dari bawah.

Tentera Bersekutu dalam operasi ini akan dibantu oleh Laksamana Andrew Cunningham bersama-sama armada Tentera Laut Diraja (Royal Navy) yang sedang berpangkalan di Malta. Mereka juga akan dibantu oleh sejumlah pesawat udara Royal Air Force yang dipimpin Marshal Udara Arthur Tedder.

Dalam pada itu di Sicily, keadaan pertahanan tentera Nazi dan Itali di sana agak terumbang-ambing kerana masih lagi dihantui oleh kekalahan mereka di Afrika. Pulau tersebut dipertahankan oleh Tentera Itali Keenam (Italian 6th Army) pimpinan General Alfredo Guzzoni.

Peta menunjukkan kedudukan Pulau Sicily

Misi mempertahankan Itali tampak mustahil. Komander Turus Tentera di Selatan, Field Marshal Albert Kesselring tidak mampu untuk melancarkan pertahanan menyeluruh kerana dihimpit oleh serangan bertali arus Royal Air Force yang berpangkalan di Malta dan Tunisia. Di Sicily, selain daripada Italian 6th Army, Kesselring juga menghantar 15th Panzergrenadier Division dan Hermann Goering Panzer Division untuk bersama-sama Itali mempertahankan pulau berkenaan.

Serangan Bermula!

Pada 9 Julai 1943, sepasukan tentera payung terjun Amerika dan British mendarat di beberapa kawasan strategik di selatan dan barat Sicily. Pendaratan waktu malam ini menyebabkan tentera Nazi dan Itali menjadi kucar-kacir. Mereka berjaya mengganggu sistem komunikasi musuh di sana agar bantuan tidak mampu diberikan serta merta.

General Montgomery, melawat anak-anak buahnya di Sicily.

Pada 10 Julai, pendaratan besar-besaran di selatan dan barat Sicily bermula. Pendaratan ini agak mengecewakan kerana cuaca buruk dan ada beberapa unit yang mendarat di pantai yang salah. Namun, disebabkan kelewatan tentera Itali untuk membuat serangan balas, tentera yang mendarat itu terselamat daripada dimusnahkan.

Kelewatan tentera Nazi dan Itali untuk menyerang balas pendaratan tentera Bersekutu ini menyebabkan mereka mampu menawan beberapa kawasan-kawasan strategic seperti bukit-bukit, kubu-kubu serta beberapa pelabuhan kecil yang lain.

Apabila menawan pelabuhan-pelabuhan ini, mereka dapat membawa masuk kesemua artileri-artileri berat dan kereta-kereta kebal mereka di selatan dan timur Sicily. General Guzzoni mengarahkan tentera Itali dan Hermann Goering Panzer Division untuk melancarkan counter-attack pada 12 Julai namun segala-galanya sudah terlambat. Tentera Bersekutu tersebut sudah memegang beberapa kawasan kuat di Sicily dan hanya menunggu arahan sahaja untuk menolak tentera Nazi dan Itali keluar dari pulau tersebut.

Tentera Nazi meninggalkan Sicily

General Guzzoni, komander tentera Itali di Sicily. Beliau berjaya keluar daripada pulau berkenaan dari ditangkap oleh Pihak Berikat dan berjaya dalam melengahkan pulau tersebut daripada ditawan.

Pada 27 Julai, keadaan di Sicily semakin sukar dimana tentera Berikat pimpinan Eisenhower dan Alexander sudah melabuhkan banyak divisyen-divisyen yang kuat di sana. Perkara ini menyebabkan komander tentera Nazi, General Hans-Valentin Hube menelefon Kesselring untuk membawa keluar seluruh tentera Nazi keluar meninggalkan Sicily.

Jika perkara ini berlaku, tentera Itali pimpinan Guzzoni akan berlawan berseorangan di pulau tersebut. Pada 1 Ogos, tentera Nazi mengerah keluar seluruh tenteranya dari pulau tersebut. Guzzoni tidak tahu akan perkara ini sehingga 8 Ogos. Tentera Nazi berjaya mengeluarkan 40,000 tentera, 96,605 kenderaan, 94 meriam, 47 kereta kebal, 1,100 tan ammunisi, 970 tan minyak, dan 15,000 tan barang barang lojistik.

Peta menunjukkan pelan Operasi Husky, serangan keatas Sicily.

Dalam pertempuran ini, Tentera Berikat berjaya menawan seluruh Sicily namun mereka gagal untuk memusnahkan sepenuhnya tentera Nazi-Itali di sana. Kesselring bijak membawa keluar sejumlah besar tentera dan lojistiknya daripada jatuh ketangan tentera Berikat.

Dalam pertempuran ini juga, boleh dilihat satu peristiwa jenayah perang telah berlaku yang dilakukan tentera Amerika apabila 74 tentera Itali dan 2 tentera Nazi Jerman dibunuh oleh Sergeant Horace T. West dan Captain John T. Compton. Alasan yang diberi kerana tekanan dan depresi. West dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan dilucut pangkat namun diampunkan dan bertempur di D-Day. Manakala Compton ditukarkan unit ke rejimen lain dan terbunuh ketika bertempur di Itali.

Pada 17 Ogos, seluruh Sicily tumbang ketangan Tentera Bersekutu.
Mussolini diambang kejatuhan. Satu insiden menarik ketika pertempuran ini ialah pemecatan Benito Mussolini sebagai Perdana Menteri Itali oleh Raja Victor Emmanuelle III.

Benito Mussolini menjadi Perdana Menteri Itali pada 1922 selepas parti politiknya, Parti Fasis Nasional mengambil alih kuasa sewaktu peristiwa “Kawad Kearah Rome” (March on Rome). Sejak dari haritu, beliau sedikit demi sedikit mengubah landskap politik Itali menjadi kerajaan diktator dimana semua parti politik di Itali disisihkan. Walaupun Itali memakai institusi Raja Berpelembagaan, Mussolini berjaya menyingkirkan kuasa raja ketika itu, Victor Emmanuelle III daripada peranan penting dalam kerajaan.

Ramai yang menasihati Mussolini agar menjauhkan diri daripada Hitler.

Pembangunan yang dilakukan oleh Mussolini, ditambah pula dengan teknik propaganda, beliau berjaya menjadikan Itali sebuah kuasa besar yang disegani di Eropah. Semua rakyat ketika itu amat sayang kepada diktator yang dikenali sebagai Duce (Leader/Ketua). Namun segala-galanya berubah apabila beliau berhasrat untuk berganding bahu bersama-sama diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler.

“Orang Itali bukan askar yang bagustetapi mereka pekerja yang sangat baik” – Field Marshal Erwin Rommel.

Selepas melihat kejayaan Hitler menawan Perancis, Mussolini mengisytihar perang bersama-sama Hitler. “Aku hanya perlukan beberapa orang untuk mati, supaya aku boleh duduk di meja perdamaian sebagai orang yang pernah berperang

Populariti Mussolini mula merundum apabila beliau gagal dalam mempertahankan seluruh koloni Itali di Afrika. Apabila musuh mereka mendarat di Sicily, rakyat Itali semakin rancak mempersoalkan kredibiliti diktator berkenaan. Rakyat mahu Itali keluar daripada perang secepat mungkin. Hanya seorang sahaja yang mampu menggulingkan pemimpin berkenaan iaitu Raja Itali Victor Emmanuelle III.

Sungguhpun begitu, raja berkenaan lebih suka berdiam diri kerana tidak mahu terlibat dalam politik kotor Mussolini. Ada yang berpendapat, baginda masih percaya bahawa Mussolini mampu memberikan ‘keajaiban’.
Selepas Sicily ditawan, Presiden Majlis Fasis Itali, Dino Grandi datang menghadap Raja Itali untuk memujuk baginda agar melakukan sesuatu. Pada mulanya baginda enggan namun Grandi berjaya mengubah fikiran Raja berkenaan selepas Grandi mahu melancarkan satu komplot menggulingkan Mussolini dan mengangkat kuasa Raja Itali.

Sebenarnya, Mussolini sendiri sudah lama mahu membawa Itali keluar daripada Perang Dunia Kedua cuma beliau kurang yakin untuk memujuk Hitler. Pada 19 Julai, Mussolini dan Hitler bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju tentera di Itali. Hitler menyalahkan tentera Itali yang lemah dalam mempertahankan tanah air. Mussolini terdiam. Tidak lama selepas itu, seorang pegawai masuk berbisik ke telinga Mussolini,
“Rome telah dibom”.

Pertama kali dalam sejarah, bandar tersebut di bom dari udara.
Ketika makan tengah hari, General Ambrosio menekan Mussolini agar memberitahu Hitler bahawa Itali mahu berhenti segera merta! Mussolini memberitahu bahawa beliau dalam dilemma yang sangat teruk. Beliau seperti direndah-rendahkan oleh Hitler. Beliau terlalu malu untuk berkata. Ketika pulang dari mesyuarat, diktator tersebut berhasrat untuk menghantar surat kepada Hitler untuk berhenti. General Ambrosio yang merupakan Ketua Staf Angkatan Tentera Itali membalas,

“Kau sepatutnya buat semasa mesyuarat tadi! Sekarang semuanya dah terlambat!”

Kemudian, panglima berkenaan meletak jawatan.

Dino Grandi, Presiden Majlis Fasis dan Ahli Majlis Tertinggi Fasis, merupakan dalang disebalik kejatuhan Mussolini”

Grandi memulakan rancangan beliau. Pada petang 24 Julai 1943, Dino Grandi berjaya meyakinkan Mussolini untuk mengadakan mesyuarat tergempar diantara pucuk pimpinan Parti Fasis.

Seramai 28 orang anggota tertinggi Fasis antaranya bekas Menteri Luar, Galeazzo Ciano dan Panglima Itali, Marshal Emilio De Bono. Mereka duduk di meja berbetun U-shape yang besar dimana Mussolini duduk di kerusi yang paling tinggi. Selepas Mussolini menyampaikan ucapan alu-aluan, Dino Grandi mula bangun dan mula membidas diktator berkenaan diatas kegagalan Itali. Mesyuarat tersebut mula menjadi heboh apabila ada yang menyokong Grandi dan adapula yang menyokong Mussolini

Pada pukul 11.30 malam, Mussolini mengarahkan agar mesyuarat ditangguhkan pada keesokkan harinya. Grandi terus bangun dan menjerit,

“Tiada siapapun yang boleh keluar dari bilik ini selagi kamu semua tidak mengundi resolusi yang saya akan beri ini! Kamu patut berasa malu untuk tidur sedangkan orang Itali kat luar sana disembelih kerana mempertahankan negara!”

Mussolini menjeling Grandi tajam dan bersetuju untuk memanjangkan mesyuarat. Tidak pernah dalam sejarah 20 tahun memerintah, ada orang berani mengadakan ‘pengundian’. Selepas berehat selama 10 minit, mereka berkumpul semula. Mussolini menggertak sidang hadirin,

“Jika Resolusi Grandi ini dipersetujui, maka berakhirlah Parti Fasis kita ini. Aku yakin kita akan menang dalam perang ini, kerana aku ada satu ‘senjata rahsia’. Lagipun, Raja Itali lebih mempercayai aku untuk membawa kita kearah kemenangan. Keputusan ditangan tuan-tuan.”

Selepas mendengar ucapan diktator berkenaan, hampir semua 28 orang hadirin menggigil. Grandi sekali lagi bangun dan menjerit:

“Jangan kalian ditipu dan dianiayai dengan kata-kata berkenaan! Adakah anda masih ingin memberi kesetiaan kepada seseorang? …atau kepada tanah air? Maka anda tidak tersilap”.

Pengundian ‘undi tidak percaya’ bermula. Adakah Mussolini harus diganti?

Tidak: 8 orang
Ya: 19 orang
Tidak mengundi: 1 orang

Ciano, anak menantu Mussolini dan Marshal De Bono merupakan salah seorang yang mengundi tidak percaya terhadap Mussolini. Diktator berkenaan menandatangan resolusi berkenaan dan bertanya siapa yang akan membawa keputusan resolusi ini kepada baginda Raja Itali?

“Kamu!” balas Grandi.

Raja Itali memecat Mussolini

Selepas mesyuarat tersebut, Mussolini menelefon isteri beliau, “Kita sudah berada di penghujung epilog sebuah cerita. Sebuah cerita yang termasyhur dalam sejarah. Bintang tersebut semakin malap. Semuanya sudah berakhir.

Dino Grandi segera pergi ke istana diraja dan memberitahu pihak istana mengenai keputusan resolusi berkenaan. Pada pukul 7 pagi, 25 Julai 1943 Raja Itali diberitahu mengenai perkara tersebut dan terus menghubungi bekas Ketua Staf Angkatan Tentera Itali, Marshal Pietro Badoglio bahawa beliau akan menggantikan Mussolini sebagai Perdana Menteri.

Pada pagi tersebut, Mussolini mencari Grandi di pejabatnya untuk menyediakan sebuah resolusi bahawa Itali mahu menyerah kalah kepada Eisenhower. Tetapi Grandi tidak kelihatan. Diktator berkenaan menghubungi pihak istana bahawa beliau mahu menghadap baginda Raja Itali untuk memberitahu mengenai keputusan Resolusi Grandi.

Mussolini sempat bertemu dengan Duta Jepun dan terkejut apabila memberitahu kesediaan Itali untuk berhenti. Selepas makan tengah hari, Mussolini berehat di sofanya dan datang isterinya Rachelle memberitahu bahawa Raja Itali tidak boleh dipercayai dan memujuknya agar tidak menghadap baginda.

 “Kamu tidak akan kembali” kata Rachelle.

“Baginda Raja adalah kawan baik saya” balas Mussolini.

Tepat jam 5 petang, Mussolini tiba di depan istana. Raja Itali sedang menunggu diktator berkenaan di tangga istana. Mussolini mula melaporkan mengenai Resolusi Grandi dan cuba meyakinkan baginda bahawa resolusi tersebut tidak sah dan tidak membawa makna. Baginda Raja Itali secara tiba-tiba mencelah dengan suara yang lembut memberitahu,

“Negara beta dalam keadaan yang gawat. Situasi sekarang ini telah memaksa kamu untuk melepaskan jawatan kamu sebagai Perdana Menteri. Marshal Badoglio akan mengambil alih tempatmu.”

Mussolini menggigil.

“Maka, semuaya sudah berakhir? Ya, tuanku. Semuanya sudah berakhir. Tetapi, apa akan terjadi kepada saya?….dan keluarga saya?

Raja Itali menjawab “Beta akan uruskan keselamatan kamu”.

Baginda memimpin bekas diktator berkenaan ke pintu masuk istana sebelum dijemput oleh Kapten Vigneri untuk menguruskan keselamatan beliau. Mussolini seterusnya dibawa ke sebuah ambulans dimana beliau terus ditahan dan dibawa pergi ke sebuah kem tentera berdekatan. Seterusnya, beliau dibawa ke sebuah hotel di pergunungan dan dikurung disitu sehinggalah beliau diselamatkan oleh Otto Skorzeny, komando Nazi.

Hubungan akrab antara Mussolini dan Raja Itali menjadi kunci kelangsungan penguasaan diktator berkenaan di Itali.

Selepas penahanan tersebut, Raja Itali kembali ke singgahsana dan bertemu dengan Pemaisurinya. “Apa yang kamu buat itu tidak baik. Mussolini itu tadi merupakantetamu kita.”

Raja Itali mula mengambil angin diperkarangan istana sambil memikirkan apa yang sudah terjadi. Beliau baru sahajamemecat seorang diktator Itali yang telah berkuasa selama 21 tahun! Selama 21tahun beliau membisu, kini beliau berkuasa.

Raja Victor Emmanuelle III (kiri) dan Maresciallo d’Italia Pietro Badoglio di selatan Itali, 1943.

Maka, berakhirlah perjalanan dan pemerintahan Benito Mussolini. Selepas pengumuman mengenai pemecatan Mussolini di radio, orang ramai mula bersorak. Rakyat mula keluar dari rumah meraikan pengumuman diraja tersebut. Mereka mencabut semua poster-poster Mussolini dan memijak potret bekas diktator berkenaan.
Kerajaan baru Marshal Badoglio mula mengorak langkah seterusnya. Beliau menjanjikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Hitler. Namun, secara diam-diam Perdana Menteri baru berkenaan mula mengadakan beberapa siri rundingan bersama Pihak Berikat.

Peta menunjukkan keadaan semasa ketika gencatan senjata ditandatangani selepas kejatuhan Mussolini.

Pada 8 September, Badoglio dan Pihak Berikat menandatangani Perjanjian Gencatan Senjata. Raja Itali dan seluruh kerabat diraja terbang ke selatan Itali untuk mengelakkan ditangkap oleh tentera Nazi. Sebaik sahaja pengumuman tersebut, Hitler melancarkan Operasi Axis: Seluruh Utara dan Tengah Itali serta jajahan takluknya ditawan serta merta.

Rujukan

1. Birtle, Andrew J. (2004). Sicily 1943. The U.S. Army Campaigns of World War II. United States Army Center of Military History. OCLC 607176966. CMH Pub 72–26.

2. Atkinson, Rick (2007), The Day of Battle, The War in Sicily and Italy, 1943–1944, The Liberation Trilogy, II, New York: Henry Holt, ISBN 978-0-8050-6289-2

3. Grandi, Dino (1983). De Felice, Renzo, ed. Il 25 Luglio 40 anni dopo (in Italian) (3 ed.). Bologna: Il Mulino. ISBN 8815003312.

4. D’Este, Carlo (2008), Bitter Victory: The Battle for Sicily 1943, London: Arum Press, ISBN 978-1-84513-329-0


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.