Video Menteri Perpaduan kita suatu masa dahulu berucap merendahkan Melayu kini tular semula. Dalam video itu, ia penuh dengan pendustaan ke atas sejarah Melayu yang memanggil kami untuk menyiapkan balasan ilmiah kami. Ucapannya berbunyi seperti di bawah:
“Melayu asalnya tak berpakaian.
Melayu tak ada bahasa sendiri
Bahasa Melayu berasal dari Indonesia.
Melayu tiada agama sendiri, agama berasal dari Arab.”
Sebelum dinoktahkan dengan ayat dibawah:
“Kami mahu hak kami!
Kami tuntut hak kami!
Kami anak bumi Malaysia!
Bumi Malaysia hak Tuhan!
Sejarah kami sudah 200 tahun!
Sejarah kami bermula di Estet!”
Tidak ada masalah kalau kalian mahu tuntut hak kalian, tetapi dengar sini, yang jadi masalah bila kalian cuba mengacau sejarah bangsa lain, cuba menodai prestij sejarah mereka.
1. Melayu Tiada Bahasa
Kau ingat orang Melayu ini diciptakan dari batu, lalu terus jadi manusia? Bahasa Melayu yang dituturkan hari ini bahasa milik siapakah? Bahasa yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Austronesia dan merupakan bahasa yang paling besar dalam keluarga Austronesia ini milik siapakah?
Ingat, bila anda mengatakan bahasa Melayu ini tidak wujud, anda sebenarnya secara tidak langsung mendabik bahawa bahasa seperti Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Hawaii, Maori dan seumpama dengannya sebagai tidak wujud. Kenapa?
Sebab mereka inilah bahasa-bahasa adik-beradik bahasa Melayu. Ia seumpama seperti kau dakwa bahawa mak kepada sebuah keluarga ini tak pernah wujud, maka kau mendakwa anak-anaknya juga tidak wujud.
Semua bahasa-bahasa ini asalnya dari bahasa Proto-Austronesia, yang menurut pakar linguistik bermula di Taiwan, sebelum berkembang ke seluruh Alam Melayu lalu menjadi seperti kebanyakan bahasa yang merentangi dari Madagascar, Kepulauan Melayu dan sampai sehingga ke Kepulauan Hawaii.
Kau jangan jadi bodoh disempitkan dek sempadan geografi moden Malaysia dan Indonesia, sedangkan Bahasa Melayu ini lebih tua dari segala itu semua.
2. Melayu Tak Ada Pakaian
Kalau macam tu, Melayu ini dahulunya bogelkah? Berlari-lari sambil tayang bebird masing-masing sebelum orang asing datang sini dan tunjukkan mereka pakaian? Ini falasi jenis apakah ini?
Meh nak bagitahu, antara pakaian yang merupakan lokal genius tempatan yang kau tak mungkin jumpa di tempat lain. Aku ambil satu sahaja. Hiasan kepala orang Melayu (tanjak, destar, tengkolok etc) Tak perlu main jauh-jauh.
Kau bagitahu aku ada tak mana-mana kawasan di dunia, yang punya falsafah seperti pemakaian hiasan kepala oleh orang Melayu? Okey, aku mohon falsafah dibawah, kau bawakan kepada aku mana-mana bahagian di dunia yang punya falsafah yang sama, barulah aku bersetuju bahawa hiasan kepala orang Melayu itu turut diambil dari negara asing.
Aku mulakan dahulu dengan syair dari TENAS EFFENDY.
“Sekali bernama destar
Duanya bernama tanjak
Tiganya bernama tengkolok
Nan di hujung kepala
Nan dipakai berpatut-patut
Nan beradat berlembaga
Nan beradat berketurunan
Nan dijaga dipelihara
Nan bertempat dan bertepatan
Nan ada asal usulnya.”
Syair ini sudah cukup menggambarkan perbezaan antara destar, tanjak dan tengkolok dengan penggunaan kain dan tujuan pemakaiannya.
Oleh sebab orang kita dan cinta tak dapat dipisahkan, kau harus tahu bahawa terdapat 10 lipatan dalam falsafah tanjak itu yang cukup untuk membawa simbolik melambangkan pertemuan antara pasangan dan kekasih.
Teknik lipatan ‘langkah bermula’ membawa maksud percintaan, kemudian diikuti ‘risik melangkah’, ‘risik bertemu’ dan ‘cincin dikembangkan’ yang melambangkan proses pertunangan.
Apabila selesai peringkat berkenalan dan upacara merisik, lipatan diteruskan dengan ‘lambaian kasih’ yang melambangkan ucapan selamat tinggal anak perempuan kepada ibunya.
‘Kasih berjawab’ tanda si dara menerima risikan sang teruna manakala ‘kasih bermula dan ‘bertemu kasih’ pula menunjukkan hubungan antara suami isteri sebelum diakhiri dengan ‘gelombang kasih’ dan ‘lambaian kasih’ yang menandakan kegembiraan menerima kelahiran cahaya mata.
Ini semua ada dalam setiap fasa lipatan tanjak itu. Aku baru cerita tentang cinta aje tau dalam falsafah pemakaian orang Melayu. Itu belum aku buka cerita ikatan-ikatan tertentu pada tanjak melambangkan kedudukan seseorang. Bangsawan mempunyai ikatannya tersendiri, laksamana ada ikatannya, orang biasa ada ikatannya.
Untuk pemakaian samping pula, sebagai contoh tambahan, falsafahnya adalah seperti berikut; kepala kain songket seharusnya terletak di bahagian belakang punggung dan kalau si pemakai sudah beristeri, labuh kain songketnya haruslah di bawah lutut iaitu lebar dua jari dari paras lutut.
Jika dia masih lagi teruna, labuh kain samping perlu tepat pada tempurung lututnya. Lelaki yang berkedudukan tinggi pula, labuh kain samping harus betul-betul berada di bawah lutut.
Melalui ketinggian falsafah yang diterapkan dalam pemakaian orang Melayu ini, bagi aku adalah mustahil sama sekali pakaian-pakaian asli bangsa Melayu ini ditolak sebagai pakaian Melayu, bahkan disamakan orang Melayu sebagai “tidak mempunyai pakaian.”
3. Melayu Tak Ada Agama
Ya, aku akui bahawa agama aku berasal dari Arab. Tetapi kau kena ingat, agama aku untuk semua bangsa, dan tidak terikat pada budaya dan bangsa Arab sahaja. Nabi aku sendiri mengatakan dengan jelas bahawa dia tidak diutuskan untuk bangsa Arab sahaja, tetapi sekian alam.
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (QS Saba’ 34:28)
Maaflah kalau agama kami tidak terbatas kepada mitologi bangsa kami sahaja, atau agama kami tidak terbatas kepada kebudayaan bangsa kami sahaja. Agama kami memang diutuskan untuk seluruh bangsa di dunia.
Adapun, izinkan aku untuk menemplak. Apakah tidak wujud sebuah agama yang lahir pada sebuah kawasan, atau dibangunkan oleh sebuah bangsa ianya merendahkan prestij tamadun mereka? Apakah apabila sebuah tamadun mengambil ajaran dari ketamadunan lain, dan disematkan pada tamadun mereka, maka sebuah ketamadunan itu akan jadi sebangsat-bangsatnya dalam sejarah?
Byzantine itu sendiri merupakan sebuah empayar yang serpihan dari Empayar Rom yang awal, yang asasnya didirikan oleh Julius Caesar ketika masih bergelar republik, sebelum dibangunkan oleh pewarisnya Augustus. Agama rasminya ialah Kristian Ortodoks. Apakah kau mahu merendahkan keagungan Byzantine yang membina Haiga Sophia yang menakjubkan itu dengan ‘banter” serendah “agama kau datang dari tanah Jerussalem, dari seorang Yahudi yang disalib oleh nenek moyang kau sendiri.”
Apakah Jepun itu sendiri hilang prestij tamadunnya apabila pernah mengambil ajaran Buddha sebagai salah satu daripada tiang tamadun mereka, sedang asal Buddhisme itu dari seorang putera raja dari tanah India. Apakah hilangnya prestij ketamadunan Dinasti Tang apabila mengadaptasikan ajaran Buddha sebagai imej empayarnya yang menakjubkan itu?
Info tambahan dalam perbahasan kita ini, asal usul Hinduisme itu dibahaskan oleh sejarawan, dan salah satu teorinya ialah berasal dari sekitar Parsi, dibawa oleh orang Aryan yang menyerang Tamadun Indus itu sendiri. Bahkan, rumpun Indo-Aryan itu sendiri pembawa ajaran hindu, bukan daripada wilayah yang terkenal dengan rumpun Dravidian.
Tetapi nanti dulu, kalau aku guna teori di atas untuk merendahkan prestij ketamadunan orang Dravidian di Malaysia, nescaya kau akan lihat aku melaungkan bahawa “agama kau pun dari orang Aryan yang menyerbu dari wilayah sekitar Parsi, melanggar Tamadun Indus.”
Tetapi aku tahu… aku tak akan menapak serendah itu, kerana bagi aku, di mana pun asal usul Hinduisme, ketamadunan Tamil dan Dravidian, ada keagungan yang harus dibanggakan oleh dunia!
Kesimpulan
Kau orang mahu tuntut hak kau orang, silakan. Kalau mahu lawan penindasan oleh kerajaan kalian (kononnya), dipersilakan. Kalau ia benar, aku sendiri menyokongnya. Revolusi itu bukan satu dosa, malah ia norma dalam setiap ketamadunan di dunia. Tetapi, yang menjadi bangsatnya perjuangan kalian apabila mengheret seluruh bangsa Melayu yang tidak bersalah sekali dalam konflik ini.
Kau harus tahu, anak-anak Melayu hari ini celik sejarah mereka. Mereka tidak lagi dangkal ilmu seperti 10 tahun yang lepas. Mereka sedang menggali kembali sejarah dan khazanah tamadun mereka. Kau jangan risau, dalam mereka berbuat demikian, amatlah jarang kau lihat mereka merendahkan peradaban yang dibina oleh bangsa lain yang menumpang dibawah bumi Malaysia. Mereka lagi mengagumi peradaban yang kalian pernah dirikan di tanah air tempat asalnya kalian sebelum menjadi sebahagian dari warga manusia di bumi Nusantara.
Maka aku beri amaran. Tuah dan Jebat wujud dalam diri mereka. Jangan bermain api perkauman. Hari ini, kau mungkin lihat sisi Tuah aku yang masih mampu rasional. Tetapi aku tidak beri jaminan bahawa sisi Jebat dan amuknya tidak akan muncul dalam diri aku. Aku sayangkan Malaysia, tetapi aku bimbang, tindakan kalian akan melahirkan Jebat dalam kalangan bangsa aku.
P.S: Sejarah kau orang tak bermula di estet, Sejarah kau orang lebih besar daripada itu, tetapi janganlah meng-estet-kan diri kau orang dengan perbuatan ini. Aku percaya, kau orang lebih besar daripadanya.
Bacaan Lanjut:
1. James T. Collins. (1998) Malay, World Language: A Short History. Dewan Bahasa dan Pustaka, Foreign Language Study
2. Peter Bellwood (1998). Taiwan and the Prehistory of the Austronesians-speaking Peoples
3. Peter Heather (2006) The Fall of the Roman Empire: A New History of Rome and the Barbarians. Oxford University Press.
4. J. M Hussey. (1966).The Cambridge Medieval History. Vol. IV: The Byzantine Empire. Cambridge: Cambridge University Press.
5. Upinder Singh (2008) A History of Ancient and Early Medieval India: From the Stone Age to the 12th Century, Pearson Education India
6. Charles Benn (2002) China’s Golden Age: Everyday Life in the Tang dynasty, Oxford University Press
7. Sir Charles Eliot (2005) Japanese Buddhism. Kegan Paul International
8. Artikel Harian Metro tulisan Hamizah Badiran bertajuk Seni Klasik Gaya Tanjak
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih