Penggunaan Senjata Api oleh Pahlawan Melayu Ketika Perang di dalam teks Sulalatus Salatin menjawab tuduhan bahawa naskah ini tidak menceritakan mengenai penggunaan senjata api ketika menentang Portugis. Semoga petikan di bawah ini membersihkan sedikit nama Tun Sri Lanang daripada tuduhan tidak berasas setengah pihak.
Hatta maka Peringgi (Portugis) pun masuklah, setelah berpandangan, maka berperanglah Temenggung Seri Udani dengan Peringgi, terlalu azamat bertembak-tembakan; bunyi meriam seperti halilintar membelah; bunyi pelurunya seperti kumbang dijolok; maka yang mati pun terlalu banyak sebelah menyebelah.
Sehari semalam lamanya perang itu, maka ubat bedil (peluru) pun habis, maka Seri Udani menyuruh memohonkan ubat bedil serta bantu. Maka disuruh beri ubat bedil sehabis-habisnya, hanya empat tempayan; dan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara, dititahkan Sultan Mahmud Syah membantu Temenggung Seri Udani.
Maka Temenggung Seri Udani pun peranglah semalam-malaman itu; setelah dinihari (tengah malam), air pun penuh pasang dalam, maka Peringgi pun mudiklah menyongsong, dikepilkannya (dirapatkan) segala perahunya di Kota Kara; maka dibedilnya dengan Istinggar (senapang patah), bunyi pelurunya seperti kacang jatuh ke bidai.
Maka tiadalah terderita oleh sekalian orang yang di Kota Kara itu, habis berhamburan (terjun) ke air; mana yang sempat lari mudik berperahu, melainkan yang tinggal Temenggung Seri Udani, dan Sang Aria, dan Sang Jaya, dan Sang Lela Segara, dan Sang Lela; mereka itulah yang bersama-sama Temenggung beramuk dengan Peringgi, banyak ia membunuh Peringgi. Maka Temenggung Seri Udani pun matilah kena bedil pengatu (meriam), dan pegawai empat orang itu pun mati; maka Kota Kara pun alahlah, maka Peringgi mudiklah membedil negeri Kopak.
Maka Sultan Mahmud Syah berangkatlah ke Jambatan, diiringkan segala hulubalang. Maka kata Seri Nara Diraja, “Hendak ke mana tuanku berdiri di sini?” Maka titah Sultan Mahmud, “Kita hendak berperang dengan Peringgi, kerana istiadat raja-raja itu, negeri alah rajanya mati.” Maka sembah Seri Nara Diraja, “Benarlah titah duli Yang Dipertuan itu; hanya pada kali ini tiadalah duli Yang Dipertuan patik beri mati dengan negeri Kopak ini;” seraya ditariknya tangan Sultan Mahmud Syah, katanya, ” Marilah tuanku kita undur, kerana paduka anakanda, paduka adinda, sudah turun dari istana.”
Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Syahidlah hulubalang Melayu, kita hendak melawan Peringgi, Seri Nara Diraja membawa kita lari.” Maka sembah Seri Nara Diraja, ” Ialah patik membawa duli Yang Dipertuan lari, segeralah berangkat, Peringgi hampir ke jambatan.” Maka titah baginda, “Kita tiada membawa emas akan belanja;” Maka sembah Seri Nara Diraja, “Patik ada membawa emas.” Maka baginda pun tiadalah berdaya lagi, lalu berjalan membawa raja perempuan, anakanda baginda Sultan Alaud-Din, menyusur kaki Gunung Bintan; hemat dua laksa (20 ribu) orang lelaki perempuan yang mengiringkan baginda. Maka negeri Kopak alahlah, dibakar oleh Peringgi. Setelah itu Peringgi pun kembalilah ke Melaka.
Rujukan
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu (Edisi Pelajar), Selenggaraan A. Samad Ahmad, muka surat 280, cetakan Kelapan Belas 2015, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kredit kepada Saufy Jauhary daripada Revolusi Melayu Baharu untuk petikan daripada Sulalatus Salatin ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih