Raja Taksin the Great merupakan satu-satunya raja dari Kerajaan Thonburi (yang kemudiannya di ganti Kerajaan Rattanakosin) yang memerintah Siam selepas kehancuran Kerajaan Ayutthaya akibat serangan ganas dari Burma. Baginda berjaya menyatukan semula negeri-negeri Siam membentuk sebuah empayar yang kuat ketika Burma mengundurkan hampir semua tenteranya dari bumi Siam bagi melawan China. Kesempatan itu di gunakan oleh baginda untuk menyatukan semula Siam dan mengalahkan tentera garison Burma di Siam.
Pemerintahan baginda bermula 28 December 1767 hingga 6 April 1782, memerintah selama 14 tahun lebih sebelum berlaku rampasan kuasa oleh pegawainya sendiri sebelum sahabatnya iaitu Thongduang (atau Chao Phraya Chakri atau Raja Rama I) merampas semula ibu negara daripada pemberontak, seterusnya menubuhkan Kerajaan Rattanakosin dan Dinasti Chakri.
Banyak jasa dan sumbangan baginda dalam usaha mengangkat Siam kembali menjadi kuasa di geruni di rantau Asia Tenggara apabila menyatukan semula Siam, menaiktaraf ekonomi, sosial, budaya, dan ketenteraan negara. Baginda turut menjalinkan hubungan dengan kuasa luar bagi memajukan negara. Atas jasa dan sumbangan baginda yang terlalu banyak, baginda di anugerahkan gelaran Maharaj atau the Great oleh sejarawan dan rakyat Thailand.
Sejarah Awal
Dilahirkan dengan nama asal Den Chao atau Zheng Xin (kemudiannya panggilan Sin lebih popular) pada 17 April 1734 di Kota Ayutthaya yang merupakan anak kacukan Cina-Siam. Ayahnya bernama Zheng Yong (atau Yong Saete) berketurunan Teochew dari wilayah Guandong, Dinasti Qing, yang merupakan seorang pedagang dari China yang menjalankan perniagaan di Siam. Ayahnya menjadi terkenal dan antara orang kaya di Siam ketika itu. Ibunya pula bernama Nok-iang berbangsa Siam.
Pada zaman kanak-kanak Taksin di gelar Sin yang bermaksud harta atau kekayaan oleh Perdana Menteri Siam ketika pemerintahan Raja Boromakot (penulis menggunakan nama Taksin bagi merujuk kepada baginda). Taksin memulakan pengajian di sebuah kuil Buddha bernama Wat Kosawat dan menjadi sami Buddha selama 3 tahun.
Selepas 7 tahun belajar, Taksin mula bekerja sebagai pekerja istana Kerajaan Ayutthaya. Ketika itu Taksin mula bersahabat dengan Thongduang (yang kemudiannya di kenali sebagai Chao Phraya Chakri dan Raja Rama I) dan mula belajar banyak bahasa. Kemudian Taksin mula berkhidmat dengan kerajaan Ayutthaya, dan rezeki menyebelahinya apabila di lantik menjadi gabenor bagi Wilayah Tak atau gelarannya Phraya Tak. Disinilah Taksin di kenali dengan nama “Taksin” iaitu Tak nama tempat, Sin nama gelarannya.
Serangan Burma
Pada Februari 1764, Burma pimpinan Maha Nawrata menggempur wilayah Tanah Sari yang ketika itu di kuasai pemberontak Mon yang di sokong Siam. Kemudian tentera Burma mara ke arah bandar Phetchaburi tetapi Taksin yang ketika itu menjadi jeneral perang berjaya mengundurkan tentera Burma.
Kemudian pada tahun 1765, Burma melancarkan serangan besar-besaran ke atas Siam, dan berjaya mengepung Kota Ayutthaya. Taksin bertindak sebagai jeneral dalam menghadapi ancaman Burma dan tidak berjaya mengalahkan pasukan Burma yang terlalu kuat dan bersemangat. Menjelang kejatuhan Kota Ayutthaya pada malam 7 April 1767, Taksin dan beberapa orang pengikutnya bertindak melarikan diri ke Chonburi kerana berasakan Ayutthaya sudah tidak dapat di selamatkan lagi.
Kemudian Taksin berjaya menguasai Chantaburi di timur Teluk Siam. Kejatuhan Kerajaan Ayutthaya juga menyebabkan Siam berpecah kepada beberapa negeri kecil. Di wilayah Chantaburi yang terletak di sebelah timur kawasan pesisir pantai Teluk Siam ini lah Taksin mengatur semula pemerintahan negeri kecilnya. Kawasan ini sesuai kerana tidak sempat di jarah oleh tentera Burma, dan ramai golongan pemuda wilayah tersebut bersemangat untuk bersama dengan Taksin bagi membebaskan semula Siam daripada kuasa Burma.
Membina Kerajaan Thonburi
Serangan China ke atas Burma merupakan nafas baru kepada Siam atau kepada Taksin khususnya, apabila ramai tentera Burma terpaksa pulang semula ke negaranya bagi menangkis serangan dahsyat dari Dinasti Qing. Burma hanya meninggalkan sebilangan kecil sahaja tenteranya di beberapa kota di seluruh Siam dan di tadbir oleh pegawai boneka Burma yang berbangsa Siam.
Kesempatan itu di gunakan oleh Taksin dan pengikutnya dalam menguasai semula Siam daripada cengkaman Burma. Taksin bertindak menyerang Thonburi terlebih dahulu pada 6 November 1767, dan berjaya menguasainya. Penguasa boneka tersebut di hukum bunuh oleh Taksin. Di Thonburi, Taksin berjaya mengumpul ramai orang-orang Siam yang sememangnya begitu bencikan Burma untuk bersamanya menyerang kem Burma di Ayutthaya dan akhirnya berjaya menguasainya semula.
PEMERINTAHAN
- Politik dan Pentadbiran
Selepas berjaya mengalahkan pasukan tentera Burma di sekitar lembangan delta Sungai Chao Phraya, Taksin membangunkan pekan kecil Thonburi (Bangkok sekarang) yang terletak sebelah Sungai Chao Phraya sebagai pusat pentadbiran kerajaan barunya. Pada 28 December 1767, Taksin mengisytiharkan dirinya sebagai Raja bagi Kerajaan Thonburi, dengan nama dirajanya Raja Boromraja IV dan Raja Phra Sri Sanphet. Tetapi baginda lebih di kenali sebagai Taksin Maharaj atau Raja Taksin the Great. Baginda melantik sahabat baiknya iaitu Thongduang (juga di kenali Chao Phraya Chakri) sebagai komander perang utama kerajaan, dan orang paling kanan dalam kerajaan.
Pada tahun 1770, baginda memperbaiki undang-undang dan pentadbiran yang berkaitan dengan kebajikan rakyatnya dan mengenakan tindakan yang tegas kepada mana-mana pihak yang salah guna kuasa, rasuah, dan penyelewengan.
- Hubungan Dengan Kuasa Luar
Ketika mula-mula menjadi Raja bagi Kerajaan Thonburi, bagi menghadapi ancaman Burma, baginda telah menghantar tiga orang utusan ke China yang ketika itu diperintah oleh Maharaja Qianlong untuk membina hubungan diplomatik dengan China, memandangkan ketika itu China turut berperang dengan Burma. Tetapi Maharaja Qianlong tidak mengiktiraf Raja Taksin sebagai penguasa di Siam di sebabkan baginda bukan berketurunan Dinasti Ban Phlu Luang (Dinasti yang memerintah Kerajaan Ayutthaya).
Baginda tidak berputus asa, dan pada tahun 1772 akhirnya Maharaja Qianlong mengiktiraf Taksin sebagai penguasa di Siam. Dengan itu, hubungan perdagangan secara rasmi berjaya di bina antara kedua-dua buah negara, dan memudahkan Raja Taksin untuk membawa ramai orang-orang Cina ke Siam bertujuan untuk memulihkan ekonomi Siam yang tenat. Selain itu, bekalan makanan dan peralatan ketenteraan juga dapat di bawa masuk dari China.
Kemudian Raja Taksin turut mengarahkan pegawainya untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Barat. Baginda ingin menjalinkan hubungan dengan Portugis apabila menghantar utusan ke Goa, India (koloni Portugis) tetapi Portugis tidak berminat untuk membuat hubungan diplomatik dengan Siam. Kemudian, baginda beralih pula hubungan dengan British. Pada 1776, baginda berjaya menjalinkan hubungan dengan pegawai koloni British iaitu Francis Light dan Penguasa British di Madras iaitu George Stratton. Hasilnya, mereka mula membuat rundingan berkaitan perdagangan antara kedua-dua belah pihak.
Baginda turut menjalinkan hubungan dengan beberapa orang mubaligh Kristian dari Perancis dan membenarkan orang-orang Perancis tinggal di Thonburi bagi menjalankan aktiviti perdagangan dan perkongsian ilmu. Mubaligh Perancis juga di benarkan menyebarkan agama Kristian di Siam dan pada tahun 1780, sebuah gereja Katolik telah di bina bagi mengukuhkan lagi usaha penyebaran Kristian di Siam.
- Ekonomi
Akibat serangan dahsyat Burma ke atas Siam menyebabkan keadaan ekonomi Siam sangat tenat dengan hasil pertanian telah musnah akibat serangan Burma dan bencana alam yang melanda Siam. Ramai rakyat Siam kebuluran akibat kekurangan sumber makanan dan ramai juga yang tidak berpakaian. Keadaan ekonomi yang tenat memaksa Raja Taksin melakukan transformasi bagi membaik pulih ekonomi negaranya yang kritikal.
Memandangkan baginda merupakan bekas saudagar Cina yang kaya, baginda telah menggunakan sendiri hartanya untuk membeli sumber pertanian untuk di bangunkan di kawasan-kawasan yang bertanah subur demi menjaga kebajikan rakyatnya yang kebuluran. Atas arahan baginda, banyak hasil perbendaharaan negara telah di gunakan untuk membekalkan makanan dan pakaian untuk di agihkan kepada rakyatnya yang memerlukan dan baginda sendiri turut terlibat dalam agihan tersebut.
Baginda telah memperkenalkan satu polisi bagi menggalakkan orang-orang Siam berminat dalam aktiviti pertanian dengan mengenakan tatu kepada mereka yang telah menjadi petani. Tatu tersebut sebagai tanda supaya para petani tidak di benarkan meninggalkan aktiviti pertanian mereka seperti berhenti daripada menjadi petani, atau berhijrah ke tempat lain.
Baginda juga telah membawa ramai imigran daripada China untuk membangunkan pertanian Siam dan memenuhi tenaga kerja yang kurang. Imigran Cina tersebut telah berjaya memajukan sektor pertanian Siam dan membawa kepada limpahan ekonomi Kerajaan Thonburi. Walaupun niat Raja Taksin membawa ramai pendatang dari China merupakan niat yang baik, tetapi timbul perasaan kurang senang orang Siam mengenai tindakan tersebut. Hal ini di burukkan lagi dengan keturunan baginda sendiri yang berbangsa Cina. Ini merupakan salah satu faktor orang-orang Siam sendiri menentang baginda ketika di akhir pemerintahan baginda.
KETENTERAAN DAN PERLUASAN KUASA
- Penyatuan Semula Siam
Selepas kejatuhan Kerajaan Ayutthaya, wilayah-wilayah di Siam membentuk negeri masing-masing dan membebaskan diri daripada pengaruh kerajaan pusat. Negeri-negeri tersebut ialah Chantaburi di ketuai oleh Raja Taksin yang merangkumi kawasan pesisir pantai Teluk Siam, Phitsanulok dan Chao Phra Fang (kedua-duanya bernama Raja Ruang – utara), Phimai (Raja Teppipit – timur), dan Negara Sri Dharmaraja (Raja Pra Palad – selatan).
Belum sempat Burma menguasai negeri-negeri tersebut, China bertindak menyerang Burma dan Burma terpaksa mengundurkan hampir semua tenteranya di Siam. Ketika itu Raja Taksin mengambil kesempatan dengan menguasai semula kawasan tinggalan Burma dan merancang untuk menguasai negeri-negeri Siam yang merdeka tersebut bagi membentuk sebuah Empayar Siam yang tunggal.
Pemerintahan Raja Taksin yang bermula di wilayah Chantaburi berjaya menguasai Thonburi dan kawasan sekitar lembah Sungai Chao Phraya daripada pengaruh Burma. Pada tahun 1768, Raja Taksin mula menyerang negeri Phitsanulok yang di ketuai oleh Raja Ruang tetapi tidak berjaya menguasainya. Kemudian baginda menyerang Phimai yang ketika itu mengalami masalah dalaman akibat pembunuhan rajanya iaitu Raja Teppipit, serangan Raja Taksin dapat menawan negeri Phimai. Kemudian Raja Taksin mara ke selatan Siam dan menyerang Negara Sri Dharmaraja yang ketika itu di ketuai oleh Raja Pra Palad dan berjaya menguasainya.
Selepas berjaya menguasai hampir keseluruhan tanah Siam, Raja Taksin kembali ke Thonburi dan mengumpul ramai tenteranya bagi menguasai negeri di utara. Pada tahun 1770, Raja Taksin bersama tenteranya mara ke arah utara dan berjaya mengalahkan pasukan tentera Raja Ruang. Kemenangan tersebut menandakan Empayar Siam kembali di satukan di bawah sebuah kerajaan tunggal iaitu Kerajaan Thonburi.
- Kempen Ke Atas Kemboja
Raja Taksin ingin menguasai semula Kemboja. Sebelum kehancuran Kerajaan Ayutthaya, Kemboja merupakan negeri naungan kepada Siam sejak pencerobohan Raja Siam ketika itu iaitu Raja Naresuan pada tahun 1583, dan menguasainya pada tahun 1594. Selepas kejatuhan Ayutthaya, Kemboja kembali membebaskan diri daripada pengaruh Siam tetapi di sebabkan berlaku pergolakan politik dan perebutan takhta dalam kerajaan Kemboja antara Raja Narairaja (Raja Kemboja) dengan Putera Ang Non menyebabkan Raja Taksin mengambil peluang untuk menguasainya dan berjaya menguasai beberapa wilayah di Kemboja pada tahun 1769. Dua tahun kemudian, Raja Taksin berusaha ingin menjatuhkan Raja Kemboja iaitu Narairaja dengan menggantikan Putera Ang Non yang memihak Siam. Akhirnya, Siam berjaya menjatuhkan Narairaja daripada menguasai pemerintahan Kemboja dan Putera Ang Non di angkat menjadi Raja Kemboja dan bersetuju menjadi negeri naungan kepada Siam.
- Kempen Ke Atas Lan Na
Kemudian Raja Taksin berhasrat untuk menguasai wilayah Lan Na yang merupakan negeri naungan kepada Burma selama lebih 200 tahun. Akibat desakan daripada pemimpin Lan Na yang anti-Burma bertindak memohon pertolongan Siam bagi menghalau Burma dari bumi Lan Na, Raja Taksin menghantar dua sahabatnya iaitu Chao Phraya Chakri dan Chao Phraya Suresi bagi menguasai bandar Chiang Mai dan berjaya menguasainya pada Januari 1775. Sebagai tindak balas, Burma mengisytiharkan perang terhadap Siam yang dikenali sebagai Perang Siam-Burma 1775-1776.
- Perang Siam-Burma 1775-1776
Perang Siam-Burma 1775-1776 tercetus akibat tindakan Siam bersama-sama dengan pemberontak Lan Na menyerang Chiang Mai yang ketika itu berada di bawah pengaruh Burma dan berjaya menguasainya pada Januari 1775.
Kemudian pada bulan Oktober 1775, Raja Hsinbyushin yang masih lagi menderita akibat serangan penyakit telah mengarahkan Ketua Tentera Burma iaitu Maha Thiha Thura dan di bantu oleh Ne Myo Thihapate bersama kira-kira 35,000 orang tentera mara untuk menakluk Siam. Di pihak kem Burma, pelbagai masalah dalaman melanda yang menyebabkan serangan kali ini begitu suram dan lemah. Raja berada dalam keadaan tenat akibat penyakit, para pegawai dan bangsawan mula berbalah untuk mencari pengganti, penyelewengan mula berlaku, manakala komander yang menjaga negeri mula bertindak bersendirian dan turut bertindak kejam ke atas rakyatnya.
Semangat pasukan tentera Burma tidak seperti 10 tahun lalu ketika menakluk Kerajaan Ayutthaya, kali ini dengan jumlah yang kecil berbanding dahulu, serta pelbagai masalah yang melanda menyebabkan mereka bertempur dengan Siam dalam keadaan moral yang rendah. Di pihak Siam, mereka begitu bersemangat untuk mengalahkan Burma dan ingin membalas dendam di atas kekejaman Burma 10 tahun dahulu yang telah menghancurkan kota agungnya iaitu Ayutthaya. Raja Taksin mengarahkan dua beradik yang juga sahabatnya iaitu Chao Phraya Chakri dan Chao Phraya Suresi menjadi komander perang utama Siam bagi menghadapi Burma.
Serangan kedua Burma di pecahkan kepada pasukan utara dan selatan. Utara di ketuai oleh Ne Myo Thihapate, manakala selatan di ketuai oleh Maha Thiha Thura. Pada peringkat awal, Burma berjaya menguasai Chiang Mai (pasukan Ne Myo Thihapate), dan mnguasai tengah Siam (pasukan Maha Thiha Thura). Akibat kekurangan makanan, Burma tidak bertahan lama dan mengundurkan semula tenteranya dari bandar Phetchabun pada Mac 1776.
Berita menyedihkan diterima oleh kem Burma apabila Raja Hsinbyushin telah mangkat pada 10 Jun 1776 (ketika baru berusia 39 tahun) yang menyebabkan semangat tentera Burma terus jatuh. Maha Thiha Thura menamatkan operasi ketenteraan melawan Siam bagi memberi laluan kepada menantunya iaitu Singu Min sebagai pengganti kepada Raja Hsinbyushin. Siam kembali menguasai semula wilayah Lan Na dan kota Chiang Mai dari Burma. Peperangan di tamatkan. Dengan itu, Chiang Mai kekal di bawah Siam hingga sekarang
- Kempen Ke Atas Laos
Wilayah Laos ketika itu di perintah oleh tiga kerajaan merdeka sejak keruntuhan Kerajaan Lan Xang. Tiga kerajaan tersebut ialah Kerajaan Luang Prabang di utara, Vientiane (tengah), dan Champasak (selatan). Semasa serangan Burma ke atas Siam, Kerajaan Luang Prabang dan Vientiane merupakan negeri naungan kepada Burma, manakala Champasak kekal merdeka. Selepas pengunduran tentera Burma akibat pencerobohan China, negeri-negeri Laos kembali merdeka daripada pengaruh luar sehinggalah kehadiran Raja Taksin yang berhasrat untuk menguasai negeri-negeri Laos.
Pada tahun 1776, Raja Taksin melancarkan kempen perluasan kuasa ke atas negeri Laos. Raja Taksin bertindak sedemikian apabila gabenor wilayah dalam kerajaan Siam iaitu gabenor wilayah Nangrong dan Nakhon Ratchasima berbalah sesama sendiri dan bertindak memohon bantuan dari raja Kerajaan Champasak iaitu Raja Sayakumane bagi mengekalkan kuasa mereka sebagai gabenor di wilayah tersebut. Raja Taksin yang berang dengan campur tangan Raja Sayakumane bertindak menyerang Champasak dengan tentera Siam di pimpin oleh Chao Phraya Chakri. Siam berjaya mengalahkan Champasak. Raja Sayakumane yang di tangkap bersetuju menjadi negeri naungan dan membayar ufti ke Siam. Dengan itu Champasak berjaya berada di bawah pengaruh Siam.
Pada tahun 1778, seorang pegawai Kerajaan Vientiane memohon bantuan daripada Siam akibat tindakan kejam Raja Vientiane iaitu Raja Ong Bun (atau Bunsan) ke atas beberapa orang pegawainya. Kesempatan ini di gunakan oleh Raja Taksin dalam menguasai Vientiane. Ketika melakukan persiapan untuk menyerang Vientiane, Raja Kerajaan Luang Phrabang iaitu Raja Surinyavong II bersetuju memihak kepada Siam dan menjadi negeri naungan kepada Siam. Hal ini memudahkan lagi Raja Taksin untuk menakluk Vientiane. Akhirnya pada tahun 1779, Siam berjaya menguasai Vientiane dan Raja Ong Bun bersetuju menjadi negeri naungan kepada Siam. Raja Taksin melantik Phraya Supho sebagai gabenor di Vientiane. Dengan itu, ketiga-tiga negeri Laos berada di genggaman Raja Taksin.
Ketika di akhir pemerintahan Raja Taksin the Great, baginda berjaya membina semula Empayar Siam menjadi empayar yang sangat luas, lebih besar daripada Kerajaan Ayutthaya, dan menjadikan Empayar Siam di geruni negeri-negeri jiran.
KEMEROSOTAN
Seperti kata pepatah, “di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Pepatah tersebut sesuai untuk menggambarkan era pemerintahan Raja Taksin yang gilang-gemilang, dan membina empayar yang luas, akhirnya merosot dalam masa yang singkat.
Selepas menempa kejayaan gemilang sehingga tahun 1779, berlaku perubahan secara mendadak mengenai peribadi dan sifat Raja Taksin sehingga beginda di gelar “gila” atau “kurang siuman” oleh ahli sejarah. Menjelang tahun 1781, masalah mentalnya semakin terserlah apabila mendakwa dirinya akan di tabal sebagai Tuhan atau Buddha pada masa akan datang. Tindakan gilanya itu menimbulkan perasaan kurang senang penduduk Siam yang berpegang teguh dengan agama Buddha. Baginda juga memaksa sami-sami Buddha menyembahnya sebagai Tuhan. Sami-sami yang enggan menyembahnya di halau, di pecat dari jawatan, dan di paksa menjadi buruh paksa.
Dengan kebanjiran warga asing di Kota Thonburi dan penguasaan ekonomi oleh orang Cina yang semuanya akibat dasar terbuka Raja Taksin menimbulkan rasa kurang berpuas hati oleh orang-orang Siam.
Selain itu, kebanyakan pegawai kerajaan juga memberontak secara diam terhadap Raja Taksin. Hal ini di sebabkan polisi tegas kerajaannya yang menghukum pegawai yang mengamalkan rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa. Ketika Siam melancarkan peperangan menakluk wilayah, berlaku masalah ekonomi dalam kerajaan menyebabkan rasuah berleluasa. Raja Taksin tidak berkompromi dengan pegawai yang rasuah menyebabkan ramai pegawai-pegawai tersebut berdendam dengan baginda.
RAMPASAN KUASA
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila pegawai kerajaan mula bangun memberontak melawan pentadbiran baginda secara terang-terangan. Pada tahun 1782, pegawainya iaitu Phraya Sun dan beberapa orang pegawai yang lain serta ribuan tentera bangkit memberontak melawan Raja Taksin. Ketika itu sahabat baginda iaitu Chao Phraya Chakri sedang bertempur di Kemboja melawan pemberontak yang ingin membebaskan Kemboja daripada pengaruh Siam.
Pada 6 April 1782, Phraya Sun berjaya menguasai Kota Thonburi dan memaksa Raja Taksin untuk turun takhta kerajaan. Chao Phraya Chakri yang ketika itu berada di Kemboja bergegas pulang semula ke tanah air bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Chao Phraya Chakri berjaya menguasai semula Kota Thonburi daripada pemberontak dan Phraya Sun di tangkap dan di hukum oleh beliau.
Mengikut sejarah kebanyakan, Chao Phraya Chakri juga bertindak membunuh Raja Taksin dengan memenggal kepalanya pada 10 April 1782. Alasan beliau membunuh Raja Taksin masih tidak jelas dan masih menjadi persoalan hingga sekarang kerana Chao Phraya Chakri (atau nama asalnya Thuangdong) merupakan sahabat baik baginda sejak zaman kanak-kanak. Sesetengah sejarawan berpendapat bahawa Chao Phraya Chakri tidak membunuh baginda sebaliknya Raja Taksin melarikan diri dan tinggal di kawasan pergunungan sehingga tahun 1825.
Selepas kemangkatan Raja Taksin (atau turun takhta), pada 21 Jun 1782, Chao Phraya Chakri di angkat menjadi Raja Siam yang baru dengan gelaran Raja Rama I atau nama di raja Phra Buddha Yodfa Chulaloke. Baginda menggantikan Kerajaan Thonburi kepada Kerajaan Rattanakosin dengan susur galur keturunannya di gelar Dinasti Chakri yang memerintah Siam hingga sekarang. Dengan pengisytiharan di atas, menandakan berakhirnya Kerajaan Thonburi yang hanya mempunyai seorang raja sahaja iaitu Raja Taksin the Great
PENGHARGAAN DAN PENUTUP
Menjelang zaman moden dalam sejarah Thailand, jasa-jasa dan sumbangan Raja Taksin mula di hargai oleh ahli politik, dan seluruh rakyat Thailand sendiri. Nama Raja Taksin mula menjadi bualan para ahli politik ketika era transisi daripada sistem monarki kepada zaman demokratik pada era 1930’an.
Pada tahun 1981, kabinet Thailand bersetuju untuk menganugerahkan kepada baginda gelaran maharaj atau the Great bagi menghargai jasa baginda yang membangunkan Siam daripada sebuah negara yang hancur akibat di ratah Burma kepada sebuah empayar yang di segani kawan dan lawan. Atas sumbangan Raja Taksin juga lah sebenarnya Kerajaan Rattanakosin berjaya mengekalkan keagungan Empayar Siam.
RUJUKAN
Buyers, Christopher. “The Royal Ark: Burma – Konbaung Dynasty”
Charney, Michael W. (2006). Powerful Learning: Buddhist Literati and the Throne in Burma’s Last Dynasty, 1752–1885. Ann Arbor: University of Michigan.
James, Helen (2004). “Burma-Siam Wars”. In Keat Gin Ooi. Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, Volume 2. ABC-CLIO. ISBN 1-57607-770-5.
Min Zin (August 2000). “Ayutthaya and the End of History:Thai views of Burma revisited”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group. 8 (8).
Aung Lwin Oo (13 October 2005). “The Shadow of 1767: Old enmities still weigh on Thai-Burmese relationship”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group.
Ba Than (1951). History of Burma (in Burmese). Yangon: Sarpay Beikman.
Baker, Chris, Christopher John Baker, Pasuk Phongpaichit (2009). A history of Thailand (2 ed.). Cambridge University Press. ISBN 9780521767682.
Chris Baker, Pasuk Phongpaichit. A History of Thailand. Cambridge University Press. ISBN 0-521-81615-7.
Prida Sichalalai. (December 1982). “The last year of King Taksin the Great”. Arts & Culture Magazine, (3, 2).
Taksin. King of Siam. Encyclopedia Britannica.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih