Kira-kira sebulan yang lalu, tragedi tsunami telah menimpa di Palu, Sulawesi dengan begitu dahsyatnya sehingga mengorbankan ribuan nyawa di sana. Dalam kekalutan tersebut, selain berdepan dengan kekacauan dan panik, masyarakat di sana telah dikejutkan dengan kemunculan semula ritual penyembahan semangat laut. Jika diperhatikan dalam gambar tersebut, ritual tersebut amat menyerupai amalan-amalan animisme yang pernah diamalkan oleh bangsa Melayu sebelum era kedatangan Islam.

Untuk pengetahuan semua, kemunculan semula kepercayaan-kepercayaan kuno seperti ini bukan sahaja berlaku di rantau Asia Tenggara malahan sedang berlaku di seluruh dunia. Di dunia Barat, fenomena ini telah diistilahkan oleh ahli-ahli teologi sebagai Neo-Paganisme.

Apa itu Neo-Paganisme? Neo-Paganisme merupakan suatu gerakan untuk memulihkan pelbagai agama penyembahan alam, mitologi dewa-dewi kuno dan kultus misteri yang pernah wujud sebelum penyebaran agama Kristian. Selain itu, gerakan ini juga telah menjalankan proses asimilasi terhadap kepercayaan-kepercayaan kuno tersebut supaya bersesuaian dengan kehidupan moden masyarakat dunia pada hari ini.

Gerakan ini dipercayai berasal daripada sekitar kurun ke-19 di England dan Jerman iaitu ketika benua Eropah sedang melalui Fasa Romantisme.  Pada fasa tersebut, segelintir warga Eropah mula beralih ke kepercayaan-kepercayaan pagan untuk mengisi kekosongan unsur-unsur spiritual dalam kehidupan mereka.  Seterusnya antara tahun 1940 dan 1950, salah satu kepercayaan ajaran pagan yang berunsurkan sihir telah diasaskan oleh Gerald Gardner dan Doreen Valiante yang dirujuk sebagai ajaran Wicca. Kemudian, ajaran tersebut telah diimport masuk dari England ke Amerika Syarikat pada tahun 1963.

Secara kebetulan, kemasukan ajaran Wicca ke Amerika Syarikat pula sejajar dengan fasa yang dikenali sebagai American Counterculture yang menyaksikan lebih banyak pembentukan kultus Neo-Pagan di negara tersebut. Antara kultus tersebut ialah Feraferia, Church of All Worlds dan New Reformed Order of the Golden Dawn. Pada tahun 1967, Church of All Worlds menjadi gereja Neo-Pagan yang diiktiraf secara rasminya di sisi undang-undang Amerika Syarikat. Pada 1970-an pula, gerakan ini telah cenderung ke arah bersifat environmentalis dan feminis. Kebanyakan kultus-kultus tersebut masih kekal ke hari ini dan telah tersebar ke Rusia, Eropah dan Oceania.

Hampir semua agama Neo-Pagan berkongsi prinsip dan falsafah yang sama antara satu sama lain iaitu:

  1. Anti-authoritarianisme

Berbeza dengan agama-agama samawi yang mempunyai institusi pusat (seperti gereja dan kesatuan Rabbai) untuk mengajar dan mengawal pengamalan ajaran agama dalam kalangan masyarakat, agama Neo-Pagan tidak mempunyai institusi tersendiri untuk berbuat demikian. Hal ini kerana agama Neo-Pagan berteraskan autonomi yang mana pengamalan agama mereka bebas dan tanpa kokongan oleh mana-mana pihak. Setiap individu berhak penuh untuk menentukan bagaimana cara mereka berhubung dengan entiti-entiti yang disembah.

  1. Anti-dogmatik

Disebabkan faktor ketiadaan institusi pusat, maka agama Neo-Pagan bersifat tidak bersistematik. Mereka tidak memerlukan sebarang kitab suci atau rujukan pakar agama untuk mengamalkan agama mereka, sebaliknya apa yang diperlukan untuk meningkatkan tahap rohani adalah melalui pengalaman peribadi. Pengalaman peribadi yang dimaksudkan adalah perasaan dan intuisi kebersamaan dengan seluruh kehidupan di alam semesta.

Bagi mereka, pengalaman tersebut adalah lebih utama dan makrifat berbanding dengan pengkajian secara intelektual dalam mencari kebenaran. Selain itu, mereka percaya bahawa kebenaran bersifat subjektif dan tidak bersifat mutlak seperti yang kerap ditekankan dalam kitab-kitab suci agama samawi.

  1. Eklektik

Di samping itu, agama Neo-Pagan membenarkan setiap penganutnya untuk mencedok, meminjam dan mencampuraduk idea-idea daripada sumber-sumber luar daripada agama tersebut untuk disesuaikan dengan ritual harian dan akidah mereka.  Antara idea-idea yang sering dicedok ialah upacara sihir, falsafah, psikologi serta kitab-kitab mantera dan jampi (tidak mengandungi sebarang hukum agama, hanya digunakan dalam ritual sahaja).

  1. Etika

Walaubagaimanapun, mereka juga ada berkongsi satu prinsip yang sama dengan agama-agama lain iaitu etika terhadap hidupan-hidupan dan masyarakat di sekeliling. Antara etika tersebut adalah “Berbuatlah sesuka hatimu, tapi jangan sesekali menyakiti sesiapapun”. Dalam etika ini, mereka amat menekankan cinta terhadap hidupan-hidupan sekeliling termasuk manusia sekali.

Cuma dari segi relativitisme etika, mereka beriktikad bahawa tiada perbuatan yang betul atau salah secara mutlak.

  1. Open Metaphysics

Mereka juga beriktikad bahawa realiti bersifat majmuk dan pelbagai yang mana aturan hukum alam dan logik tidak dapat dijangkau sepenuhnya oleh mana-mana ahli agama atau falsafah.

  1. Animisme

Seperkara lagi yang agak menarik tentang agama Neo-Paganisme ialah penyembahan terhadap setiap unsur alam seperti langit, laut, angin, api dan bintang. Mereka percaya bahawa setiap unsur alam tersebut merupakan entiti-entiti yang berkuasa dan berinteraksi antara satu sama lain.

  1. Hylozoisme

Dalam prinsip ini, mereka percaya bahawa benda-benda yang tidak bernyawa juga adalah ‘hidup’ iaitu tidak bersifat pasif dan statik.

  1. Panpsychism

Sesetengah penganut Neo-Pagan juga percaya bahawa setiap objek termasuk yang tidak bernyawa juga mempunyai akal, roh dan jiwa selain mempunyai kesedaran dan pengetahuan terhadap alam di sekeliling mereka.

  1. Politheisme

Kebanyakan penganut Neo-Pagan beriktikad dengan fahaman politheisme iaitu mempercayai kewujudan pelbagai dewa dewi yang masing-masing mempunyai posisi tersendiri dalam alam semesta.

  1. Monisme

Kebanyakan penganut Neo-Pagan juga percaya bahawa semua benda yang wujud di alam semesta ini seperti roh, tenaga, akal dan dewa dewi berasal daripada satu sumber yang Maha Abadi dan Sempurna. Oleh itu, setiap benda bersifat suci tapi masih mengekalkan ciri-ciri unik dan peranan masing-masing.

  1. Reinkarnasi

Sama seperti hukum Karma yang terdapat dalam ajaran Hindu dan Buddha, mereka percaya bahawa setiap perbuatan iaitu baik dan jahat akan memberi kesan dan akibat yang tersendiri. Kesan dan akibat tersebut juga mampu mempengaruhi kehidupan selepas mati apabila seseorang dijelma sebagai sesuatu makhluk yang lain.

  1. Mengamalkan sihir dan jampi dalam penyembahan dan ritual tertentu.

Sumber:

  1. Hawkins, C. S. (1998). Goddess worship, witchcraft, and neo-paganism. Grand Rapids, MI: Zondervan Publishing House.
  2. Halstead, J. (2015, June 7). A Brief History of Neo-Paganism. Retrieved November 15, 2018, from https://humanisticpaganism.com/2015/06/07/a-brief-history-of-neo-paganism-by-john-halstead/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar di UPM. Pencinta sejarah, falsafah dan sains. Percaya bahawa masyarakat perlu kembali kepada pembudayaan ilmu untuk memajukan agama, bangsa dan negara

Comments are closed.