Semua sedia maklum selepas kejatuhan kerajaan Bani Umayyah pada tahun 750 Masihi, peranan khalifah digalas oleh pengasas kerajaan Bani Abbasiyah Abu Abbas al-Saffah. Kerajaan itu meneruskan kesinambungan pemerintahan khalifah dengan memindahkan pusat pentadbiran dari Damsyik ke Baghdad dan bertanggungjawab mencetuskan satu era yang dikenali sebagai Era Keemasan Islam. Tetapi bagaimana interaksi mereka dengan kerajaan-kerajaan luar seperti China?
Abbasiyah dan Tang
Tatkala kerajaan Bani Abbasiyah sedang sibuk membina asas pemerintahan mereka di Timur Tengah, lain pula kisahnya di China. Ketika itu, Kota Larangan dikuasai oleh maharaja-maharaja dari Dinasti Tang. Para sejarawan berpandangan era dinasti tersebut merupakan era emas Tamadun China. Dari segi wilayah sahaja, Dinasti Tang mengatasi keluasan wilayah yang diperoleh oleh Dinasti Han dengan populasi seramai 50 juta orang. Dengan bilangan penduduk sedemikian, ini memudahkan dinasti berkenaan mengumpul kekuatan tentera yang berjumlah ribuan orang terdiri daripada tentera profesional dan khidmat kerahan tentera.
Sebelum kedua-dua kerajaan ini bertembung dalam Perang Talas yang berlaku pada tahun 751 Masihi, kedua-dua kerajaan sudah mula masuk ke Asia Tengah. Kerajaan Abbasiyah semasa era khalifah al-Saffah menawan satu demi satu kota yang terletak di Laluan Sutera dan pada tahun 750 Masihi, mereka sudah memasuki wilayah Transoxania (Uzbekistan moden). Sementara Dinasti Tang pula menggunakan pengaruh mereka di kota-kota dalam lingkungan empayar mereka seperti perjanjian perdagangan dan perjanjian perlindungan dengan pemerintah tempatan. Walaupun mereka berupaya menggerakkan bala tentera untuk operasi ketenteraan berskala besar tetapi itu dianggap sesuatu yang tidak perlu. Tidak lama selepas itu, China juga sudah memasuki wilayah Transoxania dan pertembungan antara kedua-dua kerajaan dianggap sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
Jika ada menyangka China tiada rekod tentang pertemuan dengan orang Arab dan orang Islam, anda salah. Interaksi antara kerajaan Islam dengan China sudah bermula semasa era Khulafa’ Ar-Rashidin lagi. Semasa era Uthman bin Affan r.a, beliau menghantar sekumpulan sahabat diketuai Saad bin Abi Waqqas ke China pada tahun 650 Masihi semasa pemerintahan Maharaja Gaozong dari Dinasti Tang. Semasa pemerintahan Bani Umayyah pula, mereka menghantar duta ke China sebagai wakil khalifah pada tahun 713 Masihi. Rekod-rekod China menggelar duta tersebut sebagai Dashi. Dan beberapa tahun sebelum kejatuhan kerajaan Bani Umayyah dan kebangkitan Abbasiyah di bawah kepimpinan al-Saffah dan Abu Muslim al-Khurasani, sebuah masjid di Xian dibina dengan gelaran Masjid Agung Xian pada tahun 742 Masihi.
Perang Talas
Pertembungan kedua-dua kerajaan ini bukan atas sebab konflik kepentingan tetapi lebih kepada naluri manusia yang bijak melihat kesempatan di hadapan mata. Pada tahun di mana al-Saffah menjadi khalifah, wujud konflik antara dua kerajaan kecil iaitu Ferghana dan Chech. Ferghana yang tertekan dengan ancaman Chech mendapatkan bantuan dari Dinasti Tang dan bantuan tersebut muncul dalam bentuk seorang panglima tentera Tang yang membunuh Raja Chech. Putera raja Chech berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan kerajaan Abbasiyah untuk mendapatkan semula kerajaannya. Bagi al-Saffah, ini satu peluang menafikan kekuasaan China di Asia Tengah.
Justeru, baginda mengarahkan orang kepercayaan baginda al-Khurasani ke Transoxania dan bergabung dengan tentera yang diketuai Ziyad bin Salih untuk memerangi kedudukan tentera Tang. Bagaimanapun, wujud perdebatan tentang jumlah sebenar tentera kedua-dua belah pihak di mana angka tentera Tang dikatakan berjumlah 30,000 hingga 100,000 orang. Sementara rekod China pula menyatakan tentera Abbasiyah seramai 200,000 orang namun bilangan tersebut dianggap berlebih-lebihan. Tetapi boleh dinyatakan secara jelas bahawa bilangan tentera Abbasiyah melebihi tentera Tang di medan perang.
Pada bulan Julai 751 Masihi, tentera Abbasiyah menyerang kedudukan tentera Tang di tebing Sungai Talas dengan kemenangan menyebelahi tentera Ziyad dan al-Khurasani. Rekod-rekod China menyalahkan kekalahan Tang pada pembelotan tentera-tentera upahan dari etnik Karluk yang menyebelahi tentera Abbasiyah. Tetapi itu sama sekali tidak mendedahkan hubungan tentera Karluk yang sudah bersekutu dengan tentera Abbasiyah sejak dari awal (berkemungkinan dari hubungan mereka dengan al-Khurasani) dan tidak pernah berpura-pura menyebelahi Dinasti Tang. Justeru, tidaklah mengejutkan sekiranya kisah pengkhianatan ini sebenarnya hanyalah cerita samaran sebagai cara untuk menutup kekalahan memalukan mereka. Daripada angkatan Tang yang berperang di Talas, hanya 2,000 tentera saja yang terselamat dan berjaya melarikan diri ke China. Mana-mana yang tidak bernasib baik menjadi tawanan perang angkatan Abbasiyah.
Hubungan Abbasiyah-Tang pasca-Talas
Bagaimanapun, Perang Talas bukan bermakna permulaan kepada permusuhan antara Abbasiyah dengan Dinasti Tang. Ini kerana kedua-duanya meraih keuntungan dari urusan perdagangan yang berlaku di Laluan Sutera dan perkara terakhir yang dimahukan ialah peperangan yang menjejaskan kestabilan perniagaan dan perdagangan yang berlaku di laluan berkenaan. Dan dengan kedua-dua kerajaan berkenaan kurang arif dengan keadaan muka bumi dan demografi Asia Tengah, lebih baik kedua-duanya berdamai demi kepentingan jangka panjang.
Walaupun wujud rancangan dari Dinasti Tang untuk membalas kekalahan mereka di Talas, rancangan tersebut musnah sekelip mata atas satu sebab: Pemberontakan An-Shi/An-Lushan yang berlaku pada tahun 755 Masihi. Dinasti Tang memerlukan semua tentera bagi menamatkan pemberontakan termasuk mendapatkan bantuan dari bekas musuh mereka. Abu Jaafar al-Mansur, pengganti al-Saffah menerima permohonan bantuan Tang dan menggerakkan 4,000 tentera untuk membantu dinasti berkenaan menamatkan pemberontakan. Selepas pemberontakan tersebut ditamatkan, tentera-tentera ini diberi kebenaran untuk bermastautin di China. Tentera-tentera ini berkahwin dengan wanita-wanita tempatan dan mula membentuk komuniti Muslim pertama di negara berkenaan.
Dan secara tidak langsung, kejayaan tentera Abbasiyah di Talas turut membuka ruang kepada pengetahuan penghasilan kertas. Wujud satu legenda ada sekumpulan artisan yang menjadi sebahagian daripada tawanan perang Abbasiyah pasca-Perang Talas. Melalui golongan artisan ini, kerajaan Abbasiyah mendapat akses maklumat penghasilan kertas dan sejak itu, maklumat yang dianggap rahsia tersebut tersebar luas ke setiap penjuru empayar Abbasiyah. Tiada siapa tahu bagaimana ilmu penghasilan kertas ini timbul di Timur Tengah tetapi ia membawa kepada penubuhan kilang-kilang kertas di rantau berkenaan. Dan antara teks-teks yang diterjemah cendekiawan-cendekiawan ketika itu ialah teks-teks ilmu dari Yunani dan Rom. Secara tidak langsung, ia sebenarnya menjadi benih kepada permulaan Zaman Renaissance di Eropah dan ini turut ditambah melalui penciptaan mesin pencetak, satu evolusi dari kaedah penghasilan kertas China.
Catatan Arab tentang Dinasti Tang
Semasa era al-Mansur, baginda pernah berdiri di tebing Sungai Tigris dan mengisytiharkan, “Inilah Sungai Tigris dan tiada apa yang dapat menghalang antara ini dengan China!” Kapal-kapal dagang Arab mula berlayar keluar ke Timur pada musim angin bertiup sebelah Timur dan kembali semula semasa musim mawsim atau monsun. Terminal utama para pedagang Arab ialah bandar pelabuhan Siraf di Iran hari ini. Dari situ, kapal-kapal ini akan bergerak ke Suhar atau Muscat, Oman dan meneruskan perjalanan ke India, Kepulauan Nusantara dan akhir sekali Khanfu atau Guangzhou. Rekod-rekod China menggelar laluan maritim ke Iraq dan ibu kota Abbasiyah, Baghdad sebagai Bangda.
Semasa era Abbasiyah, pengembara-pengembara Arab seperti Abu Zayd al-Sirafi mengembara ke negara-negara yang jauh termasuk China. Dan semasa berada di sana, al-Sirafi membuat beberapa pemerhatian. China menurut beliau merupakan sebuah masyarakat yang tersusun dari segi struktur sosialnya dan mematuhi undang-undang negara. Dinasti Tang yang memerintah ketika itu amat mengambil berat soal kebajikan rakyatnya sehinggakan mana-mana rakyat miskin yang sakit dibayar kos perubatannya dari perbendaharaan negara.
Selain itu, warga China hanya perlu membayar cukai apabila usia mereka mencecah 18 tahun. Golongan warga emas pula tidak dikenakan sebarang cukai oleh pihak pemerintah tetapi menerima pencen. Setiap bandar di China mempunyai sekolah dan kanak-kanak miskin diberi makan menggunakan perbendaharaan negara. Dan menurut al-Sirafi, setiap warga China tanpa mengira umur atau tahap kekayaan diajar untuk membaca dan menulis. Beliau turut memuji aspek pentadbiran Dinasti Tang yang bersifat adil dan bersedia menghukum sesiapa saja yang melakukan kesalahan walaupun pesalah merupakan mempunyai status tinggi dalam masyarakat.
Al-Sirafi dalam catatannya turut menunjukkan China meraih kekayaan menerusi cukai dan hak penjualan eksklusif garam dan teh. Orang Arab tidak tahu tentang kewujudan teh sehinggalah mereka mengembara ke China. Dalam catatannya, beliau menggambarkan teh sebagai satu tumbuhan di mana mereka meminumnya dengan air panas dan ia dijual di setiap bandar dengan sejumlah besar wang. Bagi menyediakan teh tersebut, air akan dijerang sehingga panas sebelum daun-daun teh dicampakkan ke dalam air tersebut. Masyarakat China mengganggap teh merupakan penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi mereka. Pengembara-pengembara Arab turut merasa kagum dengan kreativiti masyarakat China terutama dari segi industri mereka.
Namun, tidak semua perkara yang dilakukan masyarakat China menyenangkan pengembara-pengembara Arab. Mereka merasa pelik dengan tabiat kebersihan warga China yang hanya menggunakan kertas untuk membersihkan punggung mereka selepas membuang air besar. Selain itu, mereka juga merasa hairan dengan kecenderungan seksual sesetengah anggota masyarakat China seperti mengadakan hubungan kelamin walaupun pasangan mengalami haid dan industri pelacuran yang wujud ketika itu.
SUMBER
- Keulen, Jan. (2015). MiddleEastEye.net. The Chinese through Abbasid eyes. https://www.middleeasteye.net/in-depth/features/1000-years-ago-chinese-through-abbasid-eyes-1745528673
- Doran, Joe. (2012). TheWorldofChinese.com. When the Middle East met the Far East. https://www.theworldofchinese.com/2012/05/when-the-middle-east-met-the-far-east/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih