Jambatan Kota Mostar atau lebih dikenali dengan nama bahasa Bosnia-nya iaitu, Stari Most adalah sebuah jambatan lama yang dibina pada pertengahan kurun ke-16 ketika Bosnia Herzegovina masih lagi dibawah jajahan empayar Uthmaniah. Dibina merentasi lembah sungai Neretva, ianya merupakan penghubung kota Mostar iaitu sebuah bandar kelima terbesar di negara bekas Persekutuan Yugoslavia itu. Selama lebih 427 tahun lamanya berdiri, jambatan lama tersebut mengekalkan fungsinya sebagai penghubung di antara dua bahagian bandar tersebut sehinggalah ianya musnah ketika berlakunya perang di antara etnik Croat dan Bosniak pada tahun 1993 selepas kejatuhan Persekutuan Yugoslavia.
Dibina pada tahun 1566 oleh Mimar Hayruddin (seorang anak murid arkitek ternama Mimar Sinan), jambatan ini mengambil masa selama hampir 10 tahun untuk disiapkan. Pembinaan jambatan ini ditauliahkan oleh Sultan Suleiman Yang Agung pada tahun 1557 untuk menggantikan jambatan gantung lama yang dibina menggunakan kayu. Ianya dibina sepenuhnya menggunakan batu-batan tempatan yang dikenali sebagai tenelija dan disambungkan oleh pin logam serta lepa diperbuat daripada campuran protein susu. Tidak banyak sebenarnya yang diketahui mengenai kisah pembinaan jambatan ini, apa yang kekal terpelihara adalah nukilan-nukilan memori dan legenda disebalik nama pembinanya iaitu Mimar Hayruddin. Menurut legenda, kononnya beliau berdepan dengan keperitan yang penuh menyiksakan untuk menyiapkan jambatan yang amat menakjubkan mata memandang ini. Sejurus selepas jambatan ini disiapkan, ianya memiliki gerbang (arch) terluas di dunia. Bentuk gerbang itu sendiri terbentuk daripada ketidakteraturan hasil daripada kecacatan intrados (garisan dalam gerbang). Sewaktu ia dibina, dianggarkan pembinaan jambatan ini menelan belanja sebanyak 300 ribu Drams (duit perak).
Berketinggian 24 meter (78 kaki 9 inci) dari aras sungai, dengan lebar 4 meter (13 kaki 1 inci) dan panjangnya 30 meter (78 kaki 9 inci). Jambatan ini dibina secara membukit sesuai dengan rekabentuk gerbangnya. Sepertimana jambatan lama di dunia, ianya diapit dengan dua menara peninjau di kedua-dua bahagian masuk ke arah jambatan ini yang digelar Mostari iaitu menara Halebiya di arah timur laut dan menara Tara di arah barat daya. Asas kepada jambatan ini adalah penampan yang dibina menggunakan batu kapur yang disambungkan dengan dinding sayap sepanjang tebing sungai dibawah jambatan ini.
Menurut catatan pengembara Turki pada kurun ke-17 Evliya Celebi, nama Mostar itu sendiri bererti “penjaga jambatan”. Jambatan ini dibandingkan laksana ‘pelangi yang melambung ke langit’ melalui catatan beliau pada ketika itu: “Jambatan ini laksana gerbang pelangi melambung tinggi ke langit, melanjuti dari satu tebing ke tebing di seberang… daku, hamba-Nya yang miskin lagi sengsara, telah kutelusuri 16 buah negara, namun tidak pernah sekali kulihat jambatan setinggi ini. Dilontar dari batu ke batu setinggi angkasa.”
Selama lebih 427 tahun berdiri teguh di tengah bandar Mostar, jambatan tua ini telah banyak berjasa dengan penduduk setempat mahupun orang luar yang datang melawat ke bandar tua ini. Jambatan ini menjadi penghubung untuk penduduk di kedua-dua bahagian sungai ini untuk menyantuni di antara satu sama lain sama ada perdagangan ataupun kerjasama politik. Jambatan tua ini juga menjadi saksi kepada jatuh bangun-nya kuasa-kuasa besar yang pernah menjadi penguasa di bumi tempat jambatan ini berdiri antara-nya Empayar Uthmaniah, Austria-Hungary dan Persekutuan Yugoslavia. Selama 4 kurun lama berjasa pada penduduk bandar Mostar, Stari Most menjadi simbol penyatuan, keamanan dan keharmonian penduduknya yang berbilang agama.
Akan tetapi segalanya telah musnah apabila tercetusnya perang di antara etnik Croat dan Bosniak untuk merebut penguasaan kota ini selepas runtuhnya Persekutuan Yugoslavia pada awal tahun 1990. Pertempuran tersebut telah mengubah jambatan tua ini menjadikan ia monument dipenuhi ‘parut-parut’ peperangan. Menjadi medan kepada serangan sniper dan mortar, laluan jambatan ini disekat dengan timbunan tayar lama untuk melindunginya daripada menjadi laluan kepada dua pihak yang bertelagah menyeberangi ke kawasan musuh masing-masing. Pada awal pertempuran tersebut ramai beranggapan bahawa ianya satu keajaiban kerana jambatan tersebut tetap teguh berdiri begitu lama sekali meskipun menerima berpuluh-puluh tembakan selama 19 bulan.
Pada tanggal 9 November 1993, akhirnya jambatan tua ini runtuh menyembah bumi selepas menerima tembakan lebih 60 butir peluru mortar daripada militan Croat, Bosnian Croat Defence Council (HVO) seperti yang dilaporkan oleh agensi akhbar yang berpengkalan di Sarajevo. Selepas kemusnahannya, salah seorang jurucakap HVO mengatakan kemusnahannya sebagai salah satu kepentingan strategik. Namun begitu ramai ahli akademik berhujah bahawa jambatan tua tersebut tidak memiliki banyak nilai strategik sekalipun dan serangan terhadapnya hanyalah contoh kepada kemusnahan warisan kebudayaan. Andreas Riedlmayer, seorang sarjana Harvard menerusi petikan makalahnya yang berjudul Killing Memory: The Targeting of Bosnia’s Cultural Heritage bertarikh 4 April 1995 merujuk pemusnahan warisan kebudayaan ini sebagai “pembunuhan memori”.
Meskipun jambatan ini telah dimusnahkan, kedua-dua belah bandar ini masih dihubungkan oleh jambatan kabel sementara yang dibina oleh jurutera angkatan tentera Sepanyol dan Portugal yang bertugas dibawah misi United Nations Protection Force (UNPROFOR).
Selepas tamatnya peperangan ini, rancangan pembinaan semula jambatan ini telah dibangkitkan. Sebuah pakatan telah dibentuk hasil kerjasama Bank Dunia, UNESCO, Yayasan Kebudayaan Aga Khan, dan Yayasan Monumen Dunia untuk menyelia pembinaan semula Stari Most dan juga bandar bersejarah Mostar. Sebahagian dana tambahan juga telah disumbangkan oleh kerajaan Itali, Belanda, Turki, Croatia, Majlis Bank Pembangunan Eropah dan kerajaan Bosnia Herzegovina sendiri. Pada Oktober tahun 1998, sebuah jawatankuasa pakar-pakar antarabangsa telah dibentuk oleh UNESCO untuk menyelia reka bentuk dan pembinaan semula jambatan Mostar. Jawatankuasa tersebut telah memutuskan supaya jambatan Mostar dibina semula semirip mungkin dengan menggunakan kepakaran teknologi dan bahan-bahan yang sama seperti binaan asal. Jambatan baru Stari Most tersebut dibina dengan menggunakan bahan-bahan tempatan oleh Er-Bu Construction Corp, sebuah syarikat pembinaan daripada Turki dengan menggunakan teknik pembinaan zaman Uthmaniyyah. Batuan Tenelia dari kuari tempatan telah digunakan dan penyelam angkatan tentera Hungary juga menemui batu-batu dari binaan yang asal dari dasar sungai untuk digunakan semula. Kerja-kerja pembinaan semula ini bermula pada tanggal 7 Jun 2001 dan disiapkan sepenuhnya dan dirasmikan pada tanggal 23 Jun 2004, dengan kos pembinaan yang dianggarkan sebanyak USD$15.5 juta.
Kini, selepas hampir tiga belas tahun terbina dan berdiri teguh di tapak asalnya. Jambatan Mostar kini menjadi salah satu tarikan utama pelancongan di negara Bosnia Herzegovina. Antara acara tradisi yang diadakan pada setiap tahun di jambatan lama ini adalah pertandingan terjunan dari atas jambatan ke sungai Neretva. Ianya sebuah terjunan yang amat berisiko kerana dasar sungai ini teramatlah sejuk dan penerjun yang pakar dan terlatih sahaja mampu menyahut cabaran ini. Tradisi ini telah diamalkan sejak jambatan ini mula dibina lagi dengan catatan terawal yang menceritakan akan seseorang pernah terjun dari jambatan ini pada tahun 1664. Pada tahun 1968, baru lah pertandingan ini diadakan secara rasmi setiap kali musim panas. Jambatan ini telah disenaraikan sebagai sebahagian daripada monumen Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2005.
Foto jambatan Mostar dibawah telah dirakamkan oleh ibu saya sendiri menggunakan Vivo Y55 ketika lawatannya ke kota Mostar baru-baru ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih