Generasi terkini yang menikmati kepesatan teknologi dan meluasnya pengaruh globalisasi pastinya tidak memahami dengan tuntas malah pasti berasa pelik dengan fungsi Bahasa Melayu sebagai alat penyatu negara. Bahasa Melayu? Bolehkah bahasa Melayu yang dipandang serong sebagai bahasa mundur ini mampu menjadi bahasa penyatuan? Bukankah bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa globalisasi, bahasa ilmu, bahasa dunia lebih sesuai digunakan sebagai bahasa penyatuan?

Sesungguhnya, Bahasa Melayu di Malaysia bukan secara lewa dijadikan bahasa kebangsaan atas dasar politik semata-mata terutamanya berkaitan ketuanan Melayu namun tugas utamanya ialah sebagai bahasa penyatuan bagi semua rakyat Malaysia. Ini dengan sendirinya telah termaktub dalam dasar kebudayaan Malaysia 1971.

Malah posisi yang sama juga diambil oleh negara Indonesia dengan menjadikan bahasa Melayu Riau sebagai bahasa kebangsaan yang diubah namanya menjadi bahasa Indonesia. Perkara yang sama turut diamalkan oleh Brunei dan Singapura.

Keempat-empat negara ini membuktikan kebolehan dan juga keyakinan ke atas bahasa ini sebagai penyatuan ketika negara-negara ini mencapai kemerdekaan.

Adakah keyakinan ini berasas dan paling penting adakah ianya perkara baru? Pada mereka yang memegang teguh pada negara bangsa pastinya tidak percaya bahawa bahasa Melayu, malah penuturnya, mampu untuk mencapai perpaduan kerana jika dilihat pada masa kini, perpecahan bangsa Melayu ini makin mencapah terutamanya di Malaysia jika ditinjau melalui sudut kekuasaan politik.

Bahasa Melayu sebenarnya telah mencapai status antarabangsa apabila telah berlaku penyatuan semua negara-kota di rantau ini di bawah panji Empayar Melayu Sriwijaya pada abad ke – 7 dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi empayar.

Penyatuan ini telah berlangsung selama seribu tahun melalui hegemoni Empayar Sriwijaya namun penyatuan yang benar-benar berlaku apabila bahasa Melayu mula berubah bentuk dengan penerimaan unsur agama Islam ke dalam batang tubuhnya beberapa dekad selepas kejatuhan empayar Sriwijaya.

Bahasa Melayu bernasib baik kerana walaupun selepas kejatuhan empayar Sriwijaya, bahasa Melayu masih menjadi wadah penghubung dan pengerat-silaturahim dan tidak diatasi oleh mana-mana bahasa vernakular. Ia tidak menerima nasib yang sama seperti bahasa Latin di mana keruntuhan badan agama Kristian menyaksikan keruntuhan bahasa Latin sehinggakan ianya kini menjadi bahasa mati.

Penyatuan fizikal melalui hegemoni Sriwijaya berjaya dikekalkan malah diperpanjangkan kepada penyatuan rohani dengan lahirnya bahasa Melayu Baru beraksarakan Jawi. Bahasa Melayu mula mengambil tempat di pentas dunia menjadi bahasa yang terulung di rantau ini dan menjadi kewajipan kepada mereka yang hadir di sini untuk mempelajarinya sebagai bahasa perhubungan. Malah, ini turut diakui oleh penjajah seperti Portugis, Belanda dan British akan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran.

Selepas kehadiran Islam, penyatuan ini masih berjaya menyatukan suku-suku kaum yang pelbagai di rantau ini di bawah bahasa yang sama malah ianya menjadi lebih unik kerana walaupun berlainan kerajaan dan berlainan suku kaum, bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa pentadbiran dan perhubungan antara-kerajaan. Namun perlu diingatkan hegemoni bahasa Melayu ini tidak sama dengan bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris mencapai status bahasa antarabangsanya melalui penjajahan yang panjang dan mengakibatkan pemusnahan secara terancang bahasa peribumi tanah yang dijajahnya. Ini sangat berbeza dengan bahasa Melayu. Ia berjaya mengekalkan statusnya tanpa memusnahkan bahasa-bahasa suku kaum yang ada. Pemindahan kosa-kata diantara bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain berlaku dengan aman malah mungkin melalui sisi intelektual juga.

Kini negara-bangsa menjadi wadah politik dalam usaha menyatu-padukan negara yang bukan sahaja mempunyai pelbagai suku kaum malah telah muncul kaum yang berbeza dengan kaum pribumi ketika penjajahan mula mendiami negara-bangsa tersebut. Maka usaha mula difikirkan bagaimana untuk menyatukan semua kaum2 yang ada ini dengan bangsa pribumi. Al-Attas menyebut bahawa perpaduan haruslah dicapai melalui perpaduan cecair bukannya perpaduan pepejal. Perpaduan pepejal ialah perpaduan yang hanya mengikat setiap kaum manakala perpaduan cecair ialah apabila semua kaum ini dileburkan dan dibentuk menjadi baru. Perpaduan jenis kedua ini haruslah mempunyai 4 unsur yang dikenalpasti sebagai ciri-ciri penting dalam membentuk perpaduan tersebut.

4 unsur tersebut adalah;

  • Bahasa yang sama
  • Bangsa yang sama
  • Agama yang sama dan
  • Sejarah panjang yang sama

Al-Attas mengatakan hakikatnya bangsa Malaysia merupakan satu mimpi yang tidak mungkin dicapai. Ini disebabkan untuk menjadi bangsa yang sama, perkahwinan antara bangsa perlu dilakukan secara meluas untuk melahirkan bangsa yang baru. Namun yang menghalangnya adalah agama yang berbeza di Malaysia di mana perkahwinan itu diaturkan oleh agama. Di sini sudah terbukti ketidakupayaan penyatuan melalui bangsa dan agama. Bahasa pula adalah bahasa yang sangat berbeza. Bahasa Melayu secara linguistiknya sangat berbeza dengan bahasa orang Cina dan bahasa Tamil jika dibandingkan dengan bahasa Jawa dan Sunda.

Jika diteliti pensejarahan bangsa-bangsa yang ada di Malaysia, sejarah mereka bersama sangatlah singkat iaitu apabila kemerdekaan dicapai. Al-Attas mengiyakan bahawa memang sudah hadir orang Cina dan India di Malaysia sejak zaman Melaka lagi namun ianya hanya melibatkan perdagangan sahaja bukannya dalam proses pembinaan negara.

Kesimpulannya Al-Attas menyatakan hanya bahasa boleh menjadi unsur penyatuan kerana hanya bahasa boleh dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang. Di sini bahasa itu penting sebagai bahasa penyatuan dan bahasa Melayu dipilih kerana ianya bahasa alami rantau ini manakala dinyatakan bahawa orang Cina dan India yang hadir di rantau ini bukanlah datang dari kedudukan yang tinggi dan merupakan cerminan kebudayaan peradaban mereka. Ini berbeza dengan orang Melayu di mana bukti-bukti fizikal dan abstrak kebudayaan peradaban dijumpai di rantau ini.

Ramai yang masih khuatir dengan pemerkasaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara-bangsa Malaysia akan menindas malah melenyapkan bahasa ibunda masing-masing. Mereka bimbang sikap toleransi tidak akan dipamerkan kepada minoriti. Namun haruslah mereka insaf dan sedar bahawa sesungguhnya kosa-kata toleransi itu tidaklah menunjukkan apa yang sepatutnya dilakukan kepada minoriti. Ini disebabkan toleransi mempunyai maksud menahan marah atas ketidaksamaan yang ditunjukkan.

Ada kosa-kata bahasa Melayu yang lebih baik lagi iaitu muhibah yakni menunjukkan perasaan kasih sayang di atas perbezaan yang ada. Kosa-kata ini penting dalam menunjukkan keterbukaan pandangan alam orang Melayu dalam menerima unsur-unsur luar ke dalam diri mereka. Perbezaan yang ditemuinya disambut penuh kasih dan sayang bukannya dengan kemarahan yang ditahan-tahan.

Kesimpulannya, dengan keberjayaan bahasa Melayu menyatukan rantau ini selama 16 abad merupakan satu bukti kukuh keberadaan dan keupayaan bahasa Melayu dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bahasa penyatuan. Keberjayaan ini sendiri terbukti lebih berjaya berbanding pelbagai bahasa lain di dunia termasuk bahasa Inggeris kerana kejayaannya terhasil bukan melalui penaklukan tetapi keupayaan bahasa itu sendiri dalam menyebar diri ke setiap pelusuk masyarakat malah meresap masuk ke dalam tubuh manusia yang menuturkannya. Tarikan bahasa itu sendiri menyebabkan ianya mampu tersebar jauh dan semua dengan rela tunduk ke atas hegemoni bahasa Melayu.

Hanya kini kepercayaan yang kian pudar akibat serangan globalisasi itu yang perlu dipulihkan semula dan semua terpulang pada kita, bangsa Melayu.

Rujukan:

  1. Omar, Asmah Haji. Kajian dan Perkembangan bahasa Melayu. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2010.
  2. Sujud, Arba’ie. Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2011.
  3. Wan Daud, Wan Mohd Nor. Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Pustaka Nasional Pte Ltd. 2007.
  4. Omar, Asmah Haji. Susur galur Bahasa Melayu. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2008.
  5. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam And Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC) 1993.
  6. Al- Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu. Penerbit UKM. 2012
  7. Za’ba, Bahasa Melayu: Kelebihan Dan Kekurangannya. Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia. 2013
  8. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Historical Fact & Fiction. Penerbit UTM. 2011.
  9. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Risalah Untuk Kaum Muslimin. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC). 2001
  10. AL-Attas, Syed Muhammad Naquib, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Penerbit USM. 2007.
  11. Uthman, Muhammad Zainy, Unsur-unsur Utama Pemupukan Bangsa, Kebangsaan Dan Patriotisme, Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), 2015.
  12. Kulliyah Saturday Night Lectures oleh Syed Muhammad Naquib Al Attas di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), 2012-2013.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.