Telekomunikasi dalam bahasa mudahnya adalah perhubungan jarak jauh. Imbuhan “tele-“itu sendiri datangnya dari Yunani yang bermaksud jauh. Tidak, ini bukan bermakna yang rencana ini akan membincangkan tentang perhubungan anda dengan kekasih anda yang mungkin sekadar dipisahkan oleh Lebuhraya Utara Selatan. Perhubungan jarak jauh yang saya maksudkan di sini adalah perhubungan komunikasi dalam menyampaikan atau menyebarkan maklumat antara sama lain pada jarak yang jauh.

Perkataan Telekomunikasi ini sekarang pada kita mungkin sesuatu yang remeh. Mana tidaknya, jika kita ingin berhubung dengan yang tersayang, walau di mana pun dia berada, kita hanya perlu whatsapp. Malah kalau dulu kita hanya boleh teks, atau telefon sahaja, sekarang kita boleh buat panggilan video lagi. Boleh nampak yang tersayang tu depan mata kita maka mudahlah mengubat rindu di hati.

Penciptaan dan kemajuan dalam bidang telekomunikasi telah menjadikan jarak itu hanyalah satu konsep yang abstrak, kosong dan tidak membawa makna apa-apa. Tapi tahukah anda bagaimana susahnya manusia zaman dahulu untuk berkomunikasi di antara satu sama lain? Di sini saya akan ceritakan bagaimana telekomunikasi berlaku pada zaman purba.

Penghantar Mesej

Gambar 2: Pheidippides, penghantar mesej lagenda Yunani Purba
Sumber: http://www.ekathimerini.com/208162/article/ekathimerini/sports/stolen-marathon-messenger-statue-to-be-replaced

Gambar di atas menunjukkan Pheidippides, seorang penghantar mesej Yunani Purba. Mengikut lagenda, Pheidippides berlari sejauh 40 kilometer dari Padang Marathon ke bandar Athens untuk mengumumkan kemenangan Athens ke atas tentera Parsi. Pheidippides lantas mati kerana kepenatan, namun kisahnya menjadi inspirasi kepada larian maraton yang kita kenali sekarang.

Pheidippides bukanlah penghantar mesej yang pertama dunia. Sejak manusia mencipta tulisan, mesej yang ditulis di atas kertas,papyrus ataupun tablet batu sudah dihantar sejak Zaman Mesopotamia Purba lagi. Ada rekod mengatakan pada kurun ke-18 SM, Hammurabi, Raja Babylon pernah menghantar orangnya untuk menyampaikan mesej kepada Larsa yang jauhnya lebih dari 100 km.

Namun seperti juga Pheidippides, kebanyakan penghantar mesej ini berlari, ataupun berjalan kaki. Kemudian ianya diperbaiki lagi dengan menaiki kuda bagi membolehkan mesej dihantar lebih cepat. Tetapi, inovasi yang terhebat berlaku apabila satu sistem berganti-ganti diwujudkan dalam satu rangkaian perhubungan.

Sistem berganti-ganti membolehkan mesej dihantar dengan lebih cepat, efisyen dan tidak memenatkan penghantar mesej. Perkara ini diamalkan oleh empayar-empayar besar seperti Empayar Parsi, yang mendirikan stesyen di pelusuk empayarnya. Cyrus pada ketika itu (kurun ke-6 SM) memastikan yang setiap stesyen mempunyai kuda dan pembawa mesej ganti bagi menggantikan pembawa mesej dari ibu kota empayar. Hal ini membolehkan mesej di hantar pada kadar yang lebih cepat, dan beroperasi 24 jam sehari tanpa henti. Tiada lagilah kes dramatik seperti Pheidippides boleh berlaku.

Merpati

Gambar 3: Gambar Merpati
Sumber: http://theconversation.com/explainer-how-do-homing-pigeons-navigate-25633

Pada mulanya saya kurang percaya pada fakta ini. Penggunaan merpati nampak macam sukar untuk dipercayai. Tapi mengikut sejarah, ia berlaku, seawal kurun ke-30 sebelum masihi lagi.

Di awalnya merpati hanya digunakan sebagai satu bentuk isyarat, petanda bagi sesuatu peristiwa, seperti kedatangan pelawat, ketibaan orang kehormat dan juga mengumumkan kemenangan pertempuran. Kemudian apabila manusia sudah boleh melatih merpati, ianya mula ditugaskan untuk menghantar mesej dari satu tempat ke tempat yang lain. Disebabkan merpati ini terbang di udara, mesej yang dihantar sangat sukar untuk dipintas musuh menjadikan merpati sangat sesuai untuk membawa mesej rahsia.

Mengikut catatan sejarah, merpati digunakan secara meluas sejak dari Zaman Mesir Purba sehinggalah sekarang. Malah merpati merupakan satu medium perhubungan yang digunakan ketika Perang Dunia Pertama oleh Tentera Udara Diraja British. Mengikut rekod terdapat sehingga 20,000 ekor merpati digunakan oleh British untuk menghantar mesej melangkaui medan pertempuran.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika didapati merpati masih digunakan pada tahun 1981 oleh sekumpulan jurutera Lockheed untuk menghantar negatif lukisan kejuruteraan. Merpati satu haiwan sangat dipercayai untuk menghantar mesej merentas awan.

Menara Api/Isyarat Api

Gambar 4: Isyarat Api
Sumber: http://4.bp.blogspot.com/-gIpI1a4GDhM/T83MhtssQXI/AAAAAAAAJRc/1pPsb81goY0/s1600/7+jubilee+3.JPG

 Saya rasa demonstrasi bagaimana isyarat api ini digunakan di zaman silam sudahpun dilihat oleh ramai orang. Eh,lupake? Lah, dalam cerita Lord of the Ring kan ada. Bilamana Peregrin Took (Pippin) menyalakan api di atas menara Minas Tirith, bergantian obor api dinyalakan dari satu unggun api ke unggun yang lain yang terletak berpuluh batu jauhnya di antara satu sama lain.

Sehinggalah ia sampai ke Edoras, dan dilihat oleh Aragorn. Api yang dinyalakan itu memberi petanda yang Gondor sedang diserang. Dan ia memberi isyarat jelas yang Gondor memerlukan bantuan Rohan (The beacons are lit! Gondor calls for aid!).Dah cukup ulasan mengenai filem.

Sepertimana ia dipaparkan dalam filem, seperti itu jugaklah ia berlaku lebih dari 3000 tahun yang lampau. Antara rekod terawal penggunaan isyarat api ataupun menara api boleh didapati melalui epik Homer’s Iliad. Menceritakan tentang kejatuhan bandar Troy, dikatakan bahawa menara api telah dinyalakan di bandar Troy pada ketika itu bagi memberi isyarat tentang kejatuhannya kepada Mycenae yang terletak 600 km jauhnya.

Kisah ini diperincikan lagi oleh Aeschylus melalui skrip teaternya Agamemnon. Sejarawan yang meneliti kedua-dua teks ini berjaya memetakan kedudukan menara-menara ini dan menentukan lokasi sebenar mereka. Melalui penelitian, didapati bahawa terdapat 10 menara api yang dibina dari Troy sehinggalah ke Mycenae. Boleh rujuk di bawah.

Gambar 5: Menara-menara api yang dibina dari Troy sehinggalah ke Mycenae
Sumber: J., G., & Pehrson, B. (1995). The early history of data networks. Wiley-IEEE Computer Society Pr. (m/s 16)

Merpati dan juga penghantar mesej mempunyai keupayaan yang terhad. Ia tidak boleh tiba lebih laju berbanding kelajuan yang dikurniakan oleh Tuhan. Oleh itu ia masih dikira sebagai rangkaian perhubungan yang lembab. Lain pula ceritanya dengan isyarat api.

Isyarat api bergantung kepada kelajuan cahaya. Jadi secara asasnya ia lebih laju berbanding penghantar mesej yang lain. Selagi anda boleh nampak api, selagi itu mesej itu boleh disampaikan berganti-ganti dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Tetapi, ia juga mempunyai had. Tidak banyak benda yang boleh disampaikan melalui isyarat api. Bukannya kita boleh membentuk api tu dalam bentuk abjad. Jadi ia juga satu bentuk komunikasi yang primitif. Disebabkan itulah penggunaanya dihadkan pada saat-saat kecemasan.

Selain daripada isyarat api, ada juga rekod menunjukkan kaedah-kaedah kompleks dan canggih yang direka oleh manusia zaman dulu seperti penggunaan cermin, isyarat bendera, isyarat asap, dan banyak lagi. Namun, ia masih lagi terhad pada kemampuan dan aplikasinya.

Penutup

Kisah menara api dari Troy memberi kita satu pengajaran. Yang manusia ini memang dicipta natijahnya ingin berhubung. Tidak ada manusia yang ingin hidup bersendirian sampai mati.Kita adalah spesis yang berkembang melalui perhubungan.

Oleh kerana itulah sejak dari zaman purba lagi, manusia memikirkan berbagai cara untuk berkomunikasi antara sama lain. Kalau jarak dekat melalui kata-kata ataupun penulisan. Kalau jarak jauh menggunakan merpati, penghantar mesej dan isyarat api.

Kesemua ini sebagai bukti yang manusia itu makhluk yang berkelompok.

Rujukan

J., G., & Pehrson, B. (1995). The early history of data networks. Wiley-IEEE Computer Society Pr. (m/s 1-17)

Standage, T. (2013). Writing on the Wall. A&C Black.

Kriwaczek, P. (2014). Babylon. Atlantic Books Ltd.

Karnzes,Dean (2016), “The Real Pheidippides Story” Runner’s World

Charpin, D. (2012). Hammurabi of Babylon. I.B.Tauris. (m/s 131)

Polo, M. (2016). The Description of the World. Hackett Publishing.(m/s 150-151)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.