Ada dua jenis orang dalam dunia ini, orang yang menonton Interstellar dan menyukainya, dan orang yang menonton Interstellar dan tidak memahaminya. Agak jarang sebenarnya untuk kau tidak meminati Interstellar, sekiranya kau kenal dengan kesemua sains yang wujud di dalamnya.

Ya, Interstellar merupakan sebuah karya di bawah kategori sains fiksyen, namun perlu diingatkan bahawa kebanyakan sains dalam Interstellar sebenarnya adalah kukuh, kerana selain adik beradik Nolan (Christopher Nolan dan Jonathan Nolan) yang merupakan penulis skrip, filem Interstellar juga mempunyai penasihat saintifik yang baru-baru ini menerima anugerah Nobel Fizik pada tahun 2017, Professor Kip Thorne (Fizik Teori).

Gambar 1: Gabungan pengarah prolifik Christopher Nolan dan Pemenang Anugerah Nobel Fizk 2017, Kip Thorne

Berpaksikan kepada pengembaraan angkasa lepas dan aplikasi pengembangan masa (time dilation) sepertimana yang termaktub dalam Teori Relativiti Einstein, gabungan Kip Thorne sebagai minda kepada Interstellar, Christopher Nolan sebagai tangan yang menghasilkan karya dan Hans Zimmer yang memasukkan jiwa muzik ke dalam Interstellar, penulis berpandangan bahawa Interstellar akan menjadi penanda aras bagi filem-filem sains fiksyen pada masa akan datang.

Di dalam artikel ini, penulis akan menceritakan serba sedikit mengenai plot sebenar Interstellar, bersempena dengan ulangtahun Interstellar yang ke 4 pada 5 November ini.

Perhatian: Spoiler Alert!

Kemusnahan Bumi

Memasuki babak pertama, penonton diperkenalkan dengan watak utama, Joseph Cooper (Matthew McConaughey) yang sedang memandu sebuah jet. Dalam babak berikutnya, penonton mampu meneka bahawa Cooper adalah seorang juruterbang, namun sesuatu yang tidak dapat dipastikan berlaku menyebabkan kegagalan penerbangan Cooper. Cooper kemudiannya dilihat mengalami trauma di rumahnya sendiri akibat situasi tersebut, dan dia ditenangkan oleh anaknya.

Penonton kemudian diperkenalkan dengan watak dalam Interstellar satu persatu, dengan kemunculan anak lelaki Cooper, Tom, anak perempuannya, Murph dan ayah mertuanya, Donald. Isteri Cooper telah meninggal dunia akibat kanser, dan Cooper dilihat mempunyai hubungan yang agak istimewa dengan anak perempuannya, kerana anak perempuannya mempunyai keinginan yang kuat untuk mempelajari sains, sama seperti ayahnya.

Penonton kemudiannya diperkenalkan dengan dunia pada zaman tersebut: dunia di mana tanaman mereka tidak menjadi akibat wabak yang dipanggil sebagai Blight. Di dalam filem Interstellar, ciri Blight tidak dikhususkan, namun apa yang kita mampu ketahui adalah Blight menyerang tanaman, dan pada masa yang sama, membebaskan nitrogen ke bumi. Justeru, bilangan oksigen di bumi menjadi semakin berkurang akibat Blight, dan pada masa yang sama, kemusnahan tanaman menyebabkan manusia pada zaman tersebut mengalami dua masalah – ketiadaan sumber makanan dan ketiadaan sumber oksigen.

Disebabkan krisis makanan yang meruncing dan Cooper dibuang dari menjadi juruterbang, Cooper meneruskan kehidupannya dengan menanam Jagung, satu-satunya sumber tanaman yang belum dimusnahkan oleh Blight. Penonton kemudiannya turut diperkenalkan dengan latar masyarakat pada zaman tersebut, di mana manusia pada zaman tersebut tidak di galakkan untuk mencari pekerjaan selain menjadi petani. Sains juga, pada zaman tersebut, ditolak bulat-bulat, dengan salah satu buku teks sains Murph menyatakan bahawa pendaratan ke bulan adalah palsu (https://thepatriots.asia/faq-mencabar-teori-konspirasi-pendaratan-manusia-di-bulan-adalah-hoax/).

Gambar 2: Selain Blight, ribut pasir juga sering melanda bumi dan merosakkan tanaman

Gravitational Anomaly dan NASA

Terma gravitational anomaly sebenarnya adalah terma yang digunapakai dalam Fizik, namun digambarkan dalam Interstellar sebagai suatu kecelaruan pada keadaan graviti. Murph, anak perempuan Cooper, mendakwa bahawa terdapat ‘hantu’ di dalam biliknya. Cooper tidak mempercayai anaknya dan menyatakan bahawa perkara itu adalah tidak saintifik, dan menjelaskan bahawa dia perlu menganalisa dan mengkaji kejadian tersebut sebelum membuat suatu kesimpulan.

Gambar 3: Nombor binari yang didapati dari keanehan graviti tersebut

Namun ternyata Cooper sendiri tersentap apabila suatu hari, sewaktu ribut pasir melanda kawasan rumahnya, berlakunya kejadian yang tak mampu dia jelaskan, di mana pasir yang masuk ke dalam bilik anaknya membuat suatu corak yang ganjil. Cooper menafsirkan corak tersebut sebagai nombor binari, dan meneka bahawa nombor tersebut merupakan suatu koordinat bagi sesuatu tempat. Cooper bertekad untuk pergi meneroka tempat tersebut, namun Murph mengikuti Cooper secara sembunyi-sembunyi.

Cooper dan Murph ternyata terkejut apabila koordinat itu membawa mereka ke tempat persembunyian NASA, di mana pada zaman tersebut, NASA terpaksa melakukan aktiviti mereka secara tersembunyi kerana peruntukan kewangan, sekiranya diketahui oleh umum digunakan untuk penerokaan angkasa, pastinya akan mendapat tentangan yang hebat dari masyarakat luar. “Lebih baik guna duit itu untuk menanam makanan!”

Pelan untuk Menyelamatkan Manusia

Di NASA, Cooper dipertemukan semula dengan salah seorang bekas ketuanya, Professor Brand (Sir Michael Caine) yang menerangkan pelan NASA untuk membantu menyelamatkan bangsa manusia. Menurut Prof. Brand, 10 tahun yang lepas, suatu wormhole (turut dikenali sebagai Einstein-Rosen bridge) telahpun diletakkan di sekitar planet Zuhal yang mampu membawa manusia ke galaksi lain, dengan 12 planet di galaksi tersebut yang mempunyai kebarangkalian untuk mampu dihuni. 12 orang angkasawan telahpun pergi ke planet-planet tersebut dalam bentuk one-way ticket, pergi ke sana tanpa mampu kembali semula ke bumi. Daripada 12 orang yang pergi, 3 orang menghantarkan signal bahawa planet mereka sesuai untuk didiami, yang mana membawa kepada pelan untuk menyelamatkan bangsa manusia.

“We used to look up at the sky and wonder at our place in the stars, now we just look down and worry about our place in the dirt.” – Cooper

Pelan A adalah untuk membina suatu stesen angkasa yang memuatkan seluruh manusia dan menghantar mereka ke rumah baru. Untuk melaksanakan hal ini, Professor Brand perlu mempersiapkan persamaan graviti bagi membolehkan stesen tersebut mampu dihantar keluar dari bumi. Maksud persamaan graviti di sini adalah persamaan yang membolehkan kita mengawal graviti, sama seperti persamaan elektromagnet yang membolehkan kita mengawal perkakasan elektrik kita pada zaman sekarang.

Pelan B adalah untuk menghantar suatu ‘population bomb’, di mana 5000 zygote telahpun dibekukan untuk mengkolonisasikan planet baru tersebut. Koloni ini akan membiak di planet baru, dan akan memulakan ketamadunan manusia yang baru di planet baru tersebut. Manusia di bumi pula, sekiranya pelan B dilaksanakan, akan ditinggalkan untuk mati di bumi – as their case are hopeless.

Goodbye Murph

Setelah mengetahui pelan tersebut, Cooper diminta oleh Prof Brand untuk menjadi juruterbang bagi program itu. Oleh kerana Cooper mempunyai banyak pengalaman, ditambah pula dengan gravitational anomaly yang terjadi, Prof Brand percaya akan kebolehan Cooper dan dia percaya Cooper tidaklah menemui koordinat rahsia NASA secara tak sengaja, sebaliknya Cooper telah dihantar khas oleh ‘mereka’, hantu yang menghantui bilik Murph. Cooper kemudiannya berada dalam keadaan dilema, adakah perlu untuk dia pergi ke angkasa lepas, dan berusaha untuk menyelamatkan generasi anaknya, atau adakah dia perlu terus tinggal di bumi, membiarkan anak-anaknya mati dan melihat kemusnahan bangsa manusia?

“Mankind was born on Earth. It was never meant to die here.” – Cooper

Meskipun pahit, namun Cooper mengambil keputusan untuk membantu NASA pergi ke angkasa lepas. Dia percaya keputusannya itu perlu meskipun ditentang sekeras-kerasnya oleh anak perempuannya Murph. Setelah mendapat keizinan ayah mertuanya Donald, dia meminta Donald untuk menjaga keluarganya sepanjang ketiadaannya, dan trak miliknya diberikan kepada anak lelakinya, Tom.

Sewaktu di bilik Murph, Cooper dilihat cuba memujuk Murph untuk melepaskannya pergi, namun, kita sendiri tahu, tiada anak yang mahu kehilangan ayah atau ibunya sewaktu mereka sedang membesar. Salah satu babak paling emosi dalam filem ini terjadi dalam bilik tersebut, apabila Cooper cuba menjelaskan bahawa masa akan berlalu dalam keadaan yang berbeza bagi mereka berdua (ini dipanggil Relativiti). Maka, ada kemungkinan apabila Cooper pulang ke bumi, umur mereka berdua adalah sama. Murph cuba untuk menghalang Cooper pergi, dengan mengatakan bahawa ‘hantu’ yang mendiami biliknya menghantar kod morse yang berbunyi “STAY”. Dalam keterpaksaan, Cooper pergi juga, meskipun tanpa keizinan Murph.

Perjalanan Angkasa

Cooper, ditemani oleh anak Professor Brand, Dr. Amelia Brand (Anne Hathaway) dan dua orang lagi saintis, Dr. Romily dan Dr. Doyle, serta dua buah robot, TARS dan CASE merupakan pasukan yang dihantar sebagai penyelamat bangsa manusia. Perjalanan mereka dimulakan dari pejabat rahsia NASA, bergerak ke kapal angkasa Endurance yang sedang mengorbit bumi. Setelah tiba di Endurance, mereka kemudiannya mula bergerak menuju ke wormhole yang terletak di Zuhal. Untuk mengurangkan pembaziran tenaga anak-anak kapal, mereka diletakkan di dalam ‘Hyperspace sleep’ ataupun “The Long Nap”, di mana mereka akan tidur dalam tempoh masa yang lama untuk melambatkan proses penuaan biologi angkasawan-angkasawan tersebut.

Gambar 4: Endurance yang merupakan inspirasi daripada ISS.

Setelah mereka sampai di Zuhal, Cooper mendapati wormhole itu berbentuk sfera, tidak sama seperti apa yang dia bayangkan. Dr Romily kemudiannya menerangkan bahawa sekiranya mereka berada dalam alam 2 dimensi, wormhole tersebut akan kelihatan seperti bulatan (hole), manakala disebabkan mereka berada dalam dunia 3 dimensi, bulatan tersebut akan mempunyai bentuk sfera.

Sewaktu mereka melalui wormhole tersebut, Dr Amelia merasakan bahawa terdapat sentuhan antara dirinya dengan makhluk dari dimensi lain. Dia menggelarkan sentuhan tersebut sebagai ‘The First Handshake’ antara manusia dan makhluk dari dimensi lain. Sewaktu melalui wormhole juga, jarak antara galaksi mereka dengan galaksi lain dipendekkan, menyebabkan mereka mampu bergerak ke galaksi lain dalam masa yang singkat.

Setibanya mereka ke galaksi baru, mereka mendapat signal dari 3 planet yang berbeza, planet Miller, planet Mann dan planet Edmund. Nama tersebut diberikan berdasarkan kepada nama angkasawan yang pertama sampai di sana, Dr Laura Miller, Dr. Mann dan Dr. Wolf Edmunds. Oleh kerana jarak kapal mereka dengan planet Miller adalah dekat, maka mereka mengambil keputusan untuk melihat planet Miller terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk pergi ke planet lain.

Planet Miller dan Masalah Pengembangan Masa

Masalah utama berkaitan dengan planet Miller adalah – ia terletak terlampau dekat dengan lohong hitam di galaksi tersebut. Sepertimana planet-planet lain dalam sistem suria kita mengelilingi matahari, planet Miller, Planet Mann dan Planet Edmund kesemuanya mengelilingi lohong hitam dalam galaksi tersebut, yang dipanggil sebagai Gargantua.

Masalah utama dengan planet Miller adalah, disebabkan ianya terletak terlampau hampir dengan Gargantua, relativiti akan menyebabkan masa di tempat tersebut menjadi amat perlahan. Menurut anggaran Dr Romily, satu jam di planet Miller adalah bersamaan dengan tujuh tahun di bumi, dan hal ini memberi kesan psikologi terhadap Cooper. Sekiranya Cooper pergi ke sana dalam masa 2 jam sekalipun, 14 tahun akan berlalu, dan sekiranya mereka mampu pulang ke bumi, anak-anaknya pastinya telah membesar. Dalam keterpaksaan dan cubaan menjadi objektif, mereka memutuskan untuk pergi ke planet Miller, dengan Dr. Romily tinggal di kapal Endurance untuk melakukan kajian terhadap Gargantua.

Cooper, Dr. Amelia dan Dr. Doyle kemudiannya melakukan perjalanan mereka dari kapal Endurance turun ke planet Miller, namun mereka hampa apabila mereka mendapati bahawa planet Miller, meskipun dipenuhi dengan air, planet tersebut berada dalam keadaan tidal lock dengan Gargantua, menyebabkan air tersebut sentiasa ditarik oleh graviti Gargantua. Air dari planet kemudiannya membentuk gelombang ombak, dan putaran planet tersebut akan menyebabkan ombak tersebut sentiasa berpusing di sekeliling planet tersebut, yang dipercayai membunuh Dr. Miller.

Dalam cubaan beliau untuk mendapatkan data Dr. Miller, Amelia telah bertindak bodoh dengan tidak mendengar arahan Cooper dan menyebabkan dirinya tersangkut oleh besi. Dalam kejadian tersebut, Amelia telahpun diselamatkan oleh TARS, namun Dr. Doyle tidak mampu masuk ke dalam kapal mereka, menyebabkan dia tertinggal ditimpa ombak gelombang tersebut. Dalam proses mereka untuk menyelamatkan diri, air telahpun masuk ke bahagian enjin kapal angkasa mereka, menyebabkan mereka terpaksa berhenti untuk mengeringkan enjin mereka sebelum mereka mampu berlepas semula ke angkasa lepas. Setelah mereka berlepas dan kembali ke Endurance, mereka berdua mendapati Dr. Romily telah menua dan mereka telahpun terlepas lebih 30 tahun masa di bumi akibat relativiti.

Rajah 5: CASE bertindak membantu Dr. Amelia

Permasalahan pengembangan masa ini terhasil akibat Relativiti Khusus dan Relativiti Umum yang dibawa oleh Einstein, di mana bagi objek yang mempunyai kelajuan menghampiri kelajuan cahaya ataupun objek dengan graviti yang lebih tinggi, masa akan berlalu lebih perlahan bagi mereka.

Masa Cooper dan Masa Murph

Gambar 6: “Apabila ayah bergerak menghampiri kelajuan cahaya, atau melalui kawasan bergraviti tinggi, masa akan berlalu berlainan bagi kita.”

Sepertimana yang telah diberitahu sebelum ini, Cooper hanyalah berada di Planet Miller selama beberapa jam, namun waktu di bumi adalah sebaliknya. Masa di bumi telah berlalu selama 32 tahun, dan Endurance mula mendapat signal dari bumi untuk jangka masa tersebut. Satu lagi babak yang memberi kesan dalam filem Interstellar adalah apabila Cooper menonton rantaian video yang dihantar oleh anak lelakinya, yang mula menjadi remaja, kemudian dewasa, menamatkan persekolahan, jatuh cinta, berkahwin dan mempunyai anak. Perasaan melihat kehidupan mereka berlalu di depan mata, tanpa seorang ayah dapat berada di samping mereka, amat bertepatan dengan salah satu ayat Cooper dalam filem Interstellar ini sendiri,

“Once you’re a parent, you’re the ghost of your children’s future.” – Cooper

Anak lelakinya Tom kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti menghantar khabar berita kepada Cooper, kerana dia merasakan perkara tersebut sia-sia. Kemudian, di satu video lain, kelihatan sosok seorang wanita yang tidak Cooper kenali berada di skrin tersebut. Itu adalah anak perempuannya, yang telah sekian lama kecil hati terhadapnya, yang akhirnya meminta dia untuk kembali pulang, sebagaimana yang telah dia janjikan, sebagai hadiah hari lahirnya (kerana Cooper berkata bahawa usia mereka mungkin sama sewaktu dia pulang ke bumi).

“Today is my birthday. And it’s a special one because you once told me that when you came back, we might be the same age. Well, now I’m the same age that you were when you left… and it’d be really great if you came back soon.” – Murphy Cooper

Gambar 7: Babak paling terkesan dalam Interstellar. Murph meminta bapanya pulang sepertimana yang telah dijanjikan

Meneruskan misi mereka, Cooper, Amelia dan Romily kemudiannya mengambil undian untuk pergi ke planet Mann. Sampai di planet Mann, mereka bertemu dengan Dr. Mann, lakonan Matt Damon. Mereka diberitahu oleh Dr. Mann bahawa planet tersebut dipenuhi dengan gas ammonia, namun permukaan di bahagian altitude rendah mempunyai kepadatan oksigen yang stabil untuk manusia.

Pada masa yang sama, mesej dari Murphy sampai kepada mereka, menyatakan bahawa ayah Amelia telah meninggal dunia, dan Pelan A tidak pernah menjadi fokus utama Prof. Brand. Niat sebenar mereka hanyalah untuk menghantar manusia ke angkasa lepas, dan membina planet baru. Hal ini disahkan oleh Dr. Mann, yang mengatakan bahawa Prof. Brand telah menyelesaikan persamaan gravitinya lama dahulu, dan dia tidak mampu berbuat apa-apa selagi tiada data asli dari lohong hitam sendiri.

Dr. Mann yang Pengecut

Gambar 8: Planet Mann yang terdiri daripada salji dan kesejukan

Sewaktu mereka sedang mula untuk menyiapkan tapak bagi memulakan proses kolonisasi, Cooper telahpun diserang oleh Dr. Mann. Dr. Mann ternyata sebenarnya telah memalsukan data planetnya, kerana dia takut untuk mati berseorangan di situ. Sebaliknya, dia bercadang untuk bergerak ke planet yang boleh diterokai yang lain, dan dia perlu menutup mulut Cooper dan angkasawan yang lain. Dr. Romily, yang cuba untuk membetulkan semula robot Dr. Mann, KIPP, telahpun terkena bom yang diletakkan di dalam KIPP bagi mengelakkan sesiapapun dari mengakses memori dan data KIPP.

Setelah Cooper diserang oleh Dr. Mann, Amelia bergegas untuk membantu Cooper yang hampir mati. Pada masa yang sama, Dr. Mann mengambil alih salah satu kapal angkasa mereka dan bergerak menuju ke Endurance untuk memulakan perjalanan ke tempat lain. Cooper, setelah diselamatkan oleh Amelia, kemudiannya bergegas untuk mengejar Dr. Mann untuk mengelakkan beliau mengambil alih Endurance. Disebabkan proses docking yang tidak kemas, kapal angkasa Dr. Mann telah meletup, menyebabkan Endurance kemudiannya tertarik masuk ke dalam graviti planet Mann.

Apabila mengetahui akan hal tersebut, Cooper dengan tangkasnya mencuba untuk menolak kapal Endurance dari masuk ke atmosfera planet Mann. Dengan menggunapakai proses secara manual dan dengan bantuan robotnya TARS dan CASE, Cooper berjaya mengeluarkan Endurance dari orbit, namun Endurance kemudiannya mula masuk ke dalam medan graviti Gargantua.

Disebabkan bahan api mereka tidak mencukupi untuk bergerak ke planet Edmunds, Cooper mencadangkan mereka untuk melakukan powered slingshot, dengan menggunapakai graviti dari Gargantua, mereka mampu bergerak untuk pergi ke planet Edmunds. Dalam proses tersebut, mereka akan mengorbit Gargantua, dan TARS akan dihantar untuk meneroka isi dalam lohong hitam tersebut, dan menghantarkan data kuantumnya walau apa cara sekalipun.

Dalam usaha mereka untuk melalui lohong hitam tersebut, sesuatu yang tak disangka berlaku. Mungkin kerana telahpun putus harapan untuk pulang ke bumi, Cooper, beserta dengan TARS, melepaskan diri mereka dari kapal Endurance, sekaligus memberikan Endurance halaju yang cukup untuk bergerak ke planet Edmunds. Sepertimana kata Cooper, itu adalah hasil dari hukum Newton ketiga, untuk bergerak ke hadapan, kita perlu meninggalkan sesuatu di belakang.

Lohong Hitam, Singularity, Teserract dan Dimensi Lebih Tinggi

Buat mereka yang tidak tahu, filem ini mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana ia memaparkan lohong hitam sepertimana yang termaktub dengan fungsi-fungsi yang ada dalam fizik. Maksudnya di sini, Kip Thorne pada asalnya membina fungsi bagi memberi gambaran mengenai lohong hitam, dan apabila fungsi tersebut dimasukkan ke dalam komputer berkapasiti tinggi, imej yang terhasil (dari filem Interstellar) adalah serupa dengan matematik yang dibina oleh Professor Thorne.

Gambar 9: Imej lohong hitam dalam Interstellar dijana dari persamaan lohong hitam sebenar

Disebabkan imej yang dihasilkan adalah bersandarkan daripada sains yang nyata, maka filem Interstellar sendiri telahpun mengeluarkan scientific paper mereka sendiri, yang terbit di American Journal of Physics sebagai gambaran terhadap lohong hitam yang sedang berputar. Kertas tersebut merupakan hasil kerjasama Double Negative Ltd, yang bertugas untuk mendigitalkan formula matematik tersebut, dan idea asalnya adalah dari Kip Thorne sendiri, sebagai penasihat Interstellar dan ahli sains.

Berbalik kepada plot Interstellar, sejujurnya, saintis tidak tahu apa yang wujud di dalam lohong hitam. Lohong hitam adalah suatu masalah dalam Relativiti Umum, di mana persamaan matematiknya membawa kita kepada singularity, ataupun nilai yang belum mampu kita caknakan lagi. Justeru, mengambil inisiatif mereka sendiri, Nolan mereka teserract, suatu dimensi ke 4 di mana masa boleh diwakili sebagai suatu entiti fizikal dan mampu dikawal.

Sewaktu masuk ke dalam Teserract, Cooper mendapati dia duduk di dalam suatu gelung ruang-masa infiniti di suatu tempat yang sama – bilik Murphy. Dia kemudiannya melihat situasi di masa lampau, di mana dia sedang memujuk anaknya untuk memberi keizinan dia pergi ke angkasa lepas. Dia mula menghentak-hentakkan tangannya ke dinding Teserract tersebut, dan mendapati bahawa dia mampu berinteraksi dengan bilik Murphy, dengan interaksi graviti yang lemah. Dia kemudiannya menghantar kod Morse kepada Murphy, menyuruh Murphy untuk tidak membiarkan dirinya pergi ke angkasa lepas. ‘STAY’, itulah kod yang dia berikan kepada Murph, dan itulah kod yang Murph tunjukkan kepada dirinya sendiri, di mana dia abaikan.

Gambar 10: “Don’t let me leave Murphhhhhh!”

Dia kemudian mula meneroka Teserract tersebut, dan mula mendapat isyarat daripada TARS yang turut masuk ke lohong hitam bersamanya. Dari situ dia mula mereka-reka semula situasi yang menyebabkan dia dihantar ke NASA, dengan memberikan koordinat NASA dalam bentuk Binari dan meletakkan ia di dalam bilik Murph sewaktu gravitational anomaly tersebut berlaku. Perkara ini, dari segi definasinya, disebut sebagai causal loop, di mana pengembaraan masa berlaku semata-mata untuk melakukan pengembaraan masa tersebut.Setelah menyedari bahawa dia yang menghantar dirinya ke lohong hitam tersebut, Cooper kemudiannya sedar bahawa untuk menyelamatkan bangsa manusia, dia perlu menghantar data kuantum graviti tersebut kepada anaknya.

Love is the one thing that transcends time and space.” – Amelia Brand

Di satu sudut yang lain, Murph yang telah membesar kemudiannya telah menjadi protégé kepada Prof. Brand dan meneruskan kerja Prof. Brand dalam Graviti. Murph pulang ke rumah lamanya, yang kini didiami oleh keluarga abangnya, dengan anak dan isterinya. Namun Murph tahu akan ketidakselesaan yang dihadapi oleh anak saudaranya dan kakak iparnya akibat menghirup ammonia, namun disebabkan abangnya berkeras tidak mahu berpindah dari kawasan tersebut, mereka menjadi mangsa.

Dalam proses untuk mengalih perhatian abangnya, Murph membakar ladang jagung abangnya dan mengajak rakannya untuk menyelamatkan kakak ipar dan anak saudaranya. Sewaktu sampai di rumah lama mereka, Murph kemudian mengambil peluang untuk melihat biliknya untuk satu masa yang terakhir, hanya untuk memahami bahawa selama ini, ayahnyalah yang telah menjadi ‘hantu’ di dalam biliknya.

Cooper kemudian bertindak dengan menghantar data kuantum graviti yang diperoleh dari TARS dengar menggunakan jarum jam yang diberikan olehnya kepada Murph. Murph, yang baru menyedari bahawa kesemua mesej tersebut merupakan mesej dari ayahnya, kemudian mendapati jam tangan yang diberi oleh ayahnya juga berkemungkinan besar membawa mesej yang sama. Dia kemudian keluar untuk berjumpa dengan abangnya dan menyatakan perkara tersebut. Dengan data kuantum graviti yang dia peroleh, Murph akhirnya berjaya menyelesaikan usaha Professor Brand berkaitan persamaan graviti, dan manusia di bumi pada zamannya mampu menggunapakai graviti untuk meneroka angkasa lepas yang luas.

Cooper, setelah tugasnya untuk menghantar data tersebut selesai, kemudiannya dicampak keluar dari teserract tersebut. Dalam proses tersebut, dia melalui wormhole yang kumpulannya lalui di awal cerita tadi, di mana pada waktu itu, dia bersalaman dengan Dr. Amelia. Maka di sini dapat disimpulkan bahawa ‘The First Handshake’ tersebut berlaku antara Dr. Amelia yang berada di dalam wormhole (dalam keadaan 3-Dimensi) dan Cooper yang kini berada dalam keadaan dimensi lebih tinggi.

Gambar 11: Jabat tangan pertama sebenarnya berlaku antara Cooper dan Dr. Amelia

Setelah terkeluar dari wormhole, dengan berbaki seminit lagi di dalam tangki oksigennya, Cooper disambut oleh Ranger yang membawanya ke hospital yang berdekatan. Cooper mendapati bahawa akibat pengembangan masa di lohong hitam tersebut, dia telah melalui hampir 100 tahun masa di dunia. Dia kemudiannya diberitahu bahawa hasil dari usaha anaknya, manusia kemudiannya mampu untuk memulakan pengembaraan di angkasa lepas, dengan Cooper pada masa tersebut sedang duduk di stesen Cooper, nama yang diambil bersempena dengan nama anaknya.

Cooper kemudian diberikan replika rumah lamanya di situ, dan anaknya Murph sedang dalam perjalanan untuk menemuinya, namun perjalanan beliau sukar kerana beliau sudahpun dalam keadaan tua dan uzur. Usai Murph sampai ke Cooper Station, sanak saudara dan keluarganya mengerumuni nenek mereka, dengan Cooper bertindak untuk menghampiri anak perempuan kesayangannya yang sedang terlantar nazak akibat sakit tua.

Gambar 12: Detik Murph bertemu semula dengan Cooper yang menyayat hati

Murph kemudiannya menyuruh Cooper pergi dan mencari semula Dr Amelia yang kini terkandas di planet Edmunds berseorangan. Dia (Murph) sudah tua, dan tiada orang tua yang sewajarnya melihat anak mereka mati di hadapan mata mereka. Menurut kata Murph, Cooper meninggalkan anak kesayangannya dengan keluarga besar yang baru dikenalinya, dan membetulkan semula TARS dan membawanya menaiki pesawat menuju ke planet Edmunds. Menutup filem Interstellar, dapat dilihat Dr. Edmund sudah tiada, dan tugu peringatan dibina bagi memperingati beliau oleh Dr. Amelia. Dr Amelia kemudian dilihat mampu untuk membuka helmet angkasawannya dan bernafas secara normal di planet Edmunds, menandakan bahawa planet tersebut sesuai didiami oleh manusia.

Penutup

Penulis merasakan tidak salah sekiranya Interstellar diletakkan sebagai suatu penanda aras bagi filem sains fiksyen abad ini. Hasil garapan Christopher Nolan, dibantu dengan minda pemenang anugerah Nobel, Kip Thorne dan pemuzik handalan Hans Zimmer sememangnya mantap dan mampu membuai minda mereka yang meminati filem-filem bergenre berat. Mengakhiri ulasan filem ini, Interstellar adalah sebuah filem unik, kerana semakin banyak kali kita menontonnya, semakin kita faham akan apa yang sedang berlaku di dalamnya.

Rujukan:

Nolan, C. (2014). “Interstellar”. Warner Bros. https://www.imdb.com/title/tt0816692/?ref_=tt_urv

Thorne, K. (2014). “The Science of Interstellar”. W. W. Norton & Company. ISBN 978-0393351378.

Smith, N. (2013). “Time Travel”. Stanford Encyclopedia of Philosophy. Retrieved June 13, 2015.

https://plato.stanford.edu/entries/time-travel/index.html#CauLoo

James, O., Tunzelmann, E., Franklin, P., Thorne, K. (2015). “Visualizing Interstellar’s Wormhole”. American Journal of Physics 83, 486.

https://aapt.scitation.org/doi/10.1119/1.4916949

James, O., Tunzelmann, E., Franklin, P., Thorne, K. (2015). “Gravitational Lensing by Spinning Black Holes in Astrophysics, and in the movie Interstellar”. –

http://iopscience.iop.org/article/10.1088/0264-9381/32/6/065001/pdf

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.