Sultan Zainal Abidin III Muadzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Muadzam Shah II, merupakan Sultan Terengganu yang ke-11 dalam sejarah Kesultanan Terengganu. Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu pada 19 Disember 1881, dan usia baginda pada ketika itu hanyalah sekitar 16 tahun.

Sultan Zainal Abidin III sangat terkenal dalam sejarah Kesultanan Terengganu sebagai seorang pemerintah yang bukan sahaja adil, malah warak lagi bijaksana. Selain itu, baginda juga dikenali sebagai seorang pemerintah yang begitu kuat memelihara adat istiadat Melayu, tradisi kesultanan dan menjunjung tinggi ajaran agama Islam di bawah kepimpinan para ulama’ pada waktu itu. Sultan Zainal Abidin III juga banyak berjasa dalam mengubah dan memajukan corak kehidupan rakyat Terengganu menjelang abad ke-20.

Sejarah Awal

Baginda Sultan Zainal Abidin III telah dilahirkan pada 23 April 1864, bersamaan dengan tahun 1281 Hijrah, dengan memakai nama Tengku Zainal Abidin. Baginda telah dimasyhurkan menjadi Sultan Terengganu setelah kemangkatan ayahandanya, iaitu Sultan Ahmad Muadzam Shah II pada Disember, 1881. Pemasyhuran baginda sebagai Sultan Terengganu yang ke-11 telah mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar pada waktu itu, yang juga merupakan kekanda iparnya, iaitu Engku Besar Paduka Raja atau nama sebenarnya Saiyed Abdullah bin Muhammad yang bergelar Syaikhul Ulama.

Walau bagaimanapun, cadangan perlantikan baginda sebagai Sultan telah mendapat tentangan dan tidak dipersetujui oleh Tengku Abbas, iaitu bapa saudara baginda yang merupakan adinda kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Muadzam Shah II. Tengku Abbas pada waktu itu turut berusaha dan mencuba untuk menjadi pemerintah, namun tidak berjaya dan baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda. Berdasarkan catatan yang dikisahkan di dalam buku sejarah, faktor utama yang menjadi sebab kenapa baginda dimasyhurkan sebagai Sultan meskipun pada usia yang masih muda ialah kerana ilmu pengetahuan yang dimilikinya, kebolehan serta kredibiliti yang ada pada diri baginda.

Majlis istiadat pertabalan Sultan Zainal Abidin III bermula pada bulan Jamadil Awal 1299, dan terdapat suatu kisah menarik yang berlaku pada waktu istiadat pertabalan baginda ini. Menurut suatu cerita seperti yang dicatatkan di dalam buku Sejarah Darul Iman, pada malam 19 Jamadil Awal, 1299 H, sebuah kapal telah tiba di pelabuhan Kuala Terengganu di mana kapal ini membawa Tengku Long iaitu saudara baginda dari Riau. Keesokan harinya, sebuah lagi kapal telah tiba, iaitu kapal perang dari Negeri Siam yang membawa wakil utusan daripada Raja Siam pada waktu itu bagi menghadiri majlis istiadat pertabalan Sultan Zainal Abidin III.

Peribadi dan Akhlak Sultan Zainal Abidin III

Baginda Sultan Zainal Abidin III sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata kerana peribadinya yang alim dan cintanya terhadap ilmu pengetahuan. Baginda juga seorang yang mesra dan begitu mengambil berat akan hal ehwal yang berlaku di dalam negeri Terengganu dan berusaha untuk memajukan taraf hidup rakyat Terengganu.

Keperibadian dan ketinggian akhlak Sultan Zainal Abidin III ini telah diabadikan di dalam sebuah syair yang terkenal di Terengganu, iaitu Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga, hasil karangan Tengku Dalam Kalthum binti Tengku Wok Khazaki pada tahun 1936. Syair ini sebenarnya telah diangkat sebagai salah satu karya agung Terengganu, kerana naskhah ini mengandungi 3084 buah rangkap syair yang disusun cantik mengikut setiap peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Antara rangkap dan bait syair tersebut yang menunjukkan akhlak serta imej Sultan Zainal Abidin III adalah antara lainnya:

Tersangat Kasih Yang Maha Mulia,

            Kepada segala hamba dan sahaya,

            Hatinya murah lagi bahagia,

            Tiada memandang harta dunia.

            Istimewa kepada segala fakirnya,

            Memohon anugerah atau sebagainya,

            Kembali tiada hampa tangannya,

            Melainkan peroleh segala hartanya.

Melalui setiap bait dalam rangkap syair ini jelas menunjukkan bahawa baginda Sultan Zainal Abidin III mempunyai sikap yang pemurah dan menjaga hubungan silaturrahim meskipun kepada hamba dan orang suruhan. Kemurahan hati baginda dalam menghulurkan bantuan serta tidak lokek untuk mengeluarkan harta demi kesejahteraan masyarakat juga amat dikagumi oleh seluruh rakyat Terengganu.

Sultan Zainal Abidin III juga amat terkenal sebagai seorang pemerintah yang begitu berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan giat mempelajari cabang-cabang ilmu agama Islam. Baginda hadir sendiri untuk solat berjemaah di Masjid Abidin dan apa yang baginda jalankan ini telah menjadi ikutan yang baik dalam kalangan rakyat Terengganu pada waktu tu. Sebagai seorang pemerintah yang sangat mengambil berat akan hal ehwal agama Islam dan patuh kepada ajaran Islam, baginda Sultan Zainal Abidin III telah berangkat untuk belayar ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan fardu Haji pada tahun 1332 Hijrah.

Keberangkatan baginda telah dirahsiakn kerana baginda tidak ingin cita-cita dan impiannya ke Tanah Suci Mekah diketahui oleh orang, malah, pada mulanya para pengiring baginda sendiri tidak mengetahui akan arah tujuan pelayaran mereka. Seramai 15 orang turut mengikuti rombongan baginda ini sebagai pengiring, termasuklah Dato’ Seri Amar Diraja, Tengku Abdullah (Tengku Seri Wak Raja), Tengku Hassan (Tengku Pekerma), Tengku Embong, Tengku Putra, Tengku Ibrahim dan Encik Abdul Rahim Endut.

Cinta baginda Sultan Zainal Abidin III terhadap ilmu pengetahuan amatlah besar dan baginda telah berguru dengan ramai ulama serta guru bagi meningkatkan pengetahuannya dalam pelbagai cabang ilmu. Sejak kecil lagi, baginda telah menunjukkan kebolehan serta bakat yang istimewa hasil daripada ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Antara guru-guru yang pernah menjadi guru utama baginda adalah Haji Wan Abdullah bin Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung), Saiyid Abdul Rahman bin Muhammad (Engku Saiyid Paloh), Saiyed Abdullah bin Muhammad, Haji Zainal Kampung Banggul, Haji Musa Atas Tol serta Haji Wan Muhammad bin Ali Kampung Gedung. Malah, disebabkan minat baginda yang mendalam terhadap Bahasa Arab, baginda turut mempunyai seorang guru khas Bahasa Arab yang bernama Habib Umar Al-Attas.

Selain daripada mempelajari ilmu agama dan pelbagai ilmu yang lain, Sultan Zainal Abidin III juga mempunyai kebolehan dan bakat istimewa dalam mengajar ilmu-ilmu kitab agama Islam. Sikap baginda ini menunjukkan bagaimana baginda berkongsi ilmu yang diperolehnya daripada para guru dan ulama kepada masyarakat dan golongan bawahan baginda. Terdapat banyak kitab-kitab peninggalan baginda dan sesetengahnya masih disimpan dan diwakafkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.

Pentadbiran Sultan Zainal Abidin III

Meskipun baginda Sultan Zainal Abidin III begitu rajin mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan, namun baginda tidak pernah mengabaikan hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu. Zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III merupakan zaman di mana negeri Terengganu menerima perubahan dan pembangunan yang sangat pesat. Malah, zaman ini juga merupakan zaman yang kritikal bagi negeri Terengganu kerana menghadapi kemasukan pengaruh Inggeris. Namun, dengan kecekapan, kebolehan dalam ilmu pentadbiran serta semangat tinggi Sultan Zainal Abidin III dalam mempertahankan institusi Kesultanan Terengganu, baginda berjaya mempertahankan Terengganu daripada kemaraan pengaruh Inggeris.

Sultan Zainal Abidin III tidak bersendirian dalam menjalankan pentadbiran negeri, dan baginda telah dibantu oleh tiga orang pembesar yang dipercayai iaitu Tengku Musa, Tuan Hitam dan Che’ Abdul Rahim. Terdapat banyak perkara yang telah diperkenalkan oleh Sultan Zainal Abidin III sepanjang pemerintahan baginda sebagai Sultan Terengganu yang ke-11 ini, antaranya ialah:

1. Pembentukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu

Undang-undang khas ini dibentuk khusus untuk negeri Terengganu, di mana ia telah ditandatangani pada 2 November 1911 di antara Sultan Zainal Abidin III dengan rakyat Terengganu (diwakili oleh para pembesar dan wakil rakyat). Antara isi kandungan dalam undang-undang ini ialah soal kekuasaan sultan, tugas pembesar, kesetiaan rakyat, peraturan dalam negeri dan sebagainya. Ini merupakan antara langkah bijak yang dilakukan oleh Sultan Zainal Abidin III dalam memantapkan sistem pentadbiran negeri dalam menghadapi pengaruh Inggeris pada masa itu. Undang-undang ini juga merupakan antara undang-undang terawal yang digubal oleh raja Melayu selepas Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang digubal pada tahun 1895.

2. Undang-Undang Islam Terengganu

Terengganu pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III melaksanakan sepenuhnya undang-undang yang berlandaskan ajaran agama Islam. Di Terengganu pada waktu itu, terdapat sekumpulan pengawal yang dipanggil sebagai Budak Raja, dan tugas mereka adalah menyamai tugas polis pada hari ini. Orang salah yang ditangkap akan dihadapkan kepada Yang Dipertuan atau kepada Pembesar Daerah jika berada di daerah. Setelah memberi keterangan, Yang Dipertuan tidak akan terus menjatuhkan hukuman, malah terlebih dahulu akan meminta pandangan fatwadaripada mufti dan hakim sebelum hukuman dilaksanakan.

Hukuman yang dilaksanakan di Terengganu pada abad-19 adalah jika mencuri, akan dikudungkan tangan dan pembunuh akan dihukum bunuh. Namun begitu, pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, hanya lima kali sahaja hukuman bunuh telah diperintahkan oleh mahkamah.

3. Permulaan sukatan dan timbang

Pada tahun 1839, Sultan Zainal Abidin III telah memperkenalkan suatu sistem sukatan yang baru, iaitu kati dan pikul. Baginda telah mengurniakan gantang, cupak, timbangan dacing kecil dan besar kepada Panglima Dalam Wan Ngah dan beliau telah dilantik sebagai Ketua/Inspektor atau Merinyu Sukatan dan Timbangan. Perkiraan yang dipakai pada waktu itu ialah pada gantang, sekiranya beras, berat yang ditimbang untuk bersamaan untuk satu gantang ialah sekadar lima kati beras.

4. Cukai Bia

Cukai yang dikenakan pada masa itu ialah ‘banci dan serah’, dikenali sebagai Cukai Kepala, di mana kadar yang dikenakan ialah sebanyak $1.00 bagi setiap seorang dan dibayar hanya 3 tahun sekali. Ia bertujuan untuk meringankan beban kerajaan bagi mengirimkan Bunga Emas ke Negeri Siam pada waktu itu.

5. Pembinaan Istana Maziah

Pada tahun 1895, Sultan Zainal Abidin III telah menjalankan istiadat untuk mendirikan Istana Maziah, di mana setelah siap, baginda telah bersemayam di istana ini. Pada zaman pemerintahan baginda, istana inilah menjadi tempat tumpuan rasmi rakyat di mana pelbagai acara keramaian telah dijalankan. Antara acara keramaian yang dijalankan di Istana Maziah ini ialah acara pertabalan sultan, sambutan hari lahir, pengurniaan gelaran-gelaran serta menjadi tempat untuk menyambut para tetamu agung daripada dalam dan luar negeri. Tukang-tukang yang bekerja bagi membangunkan istana ini dikatakan terdiri daripada 20 orang (Melayu dan Cina). Urusan pembinaan istana ini pernah terbengkalai selama beberapa tahun akibat daripada kekurangan sumber kewangan, sehinggalah ia berjaya disempurnakan pada tahun 1903.

6. Kemangkatan Sultan Zainal Abidin III

Setelah 38 tahun memerintah negeri Terengganu, baginda Sultan Zainal Abidin III telah mangkat pada 25 November 1918. Tembakan meriam telah dilepaskan sebagai petanda kepada seluruh rakyat mengenai kemangkatan baginda. Berita ini begitu gempar  dan telah disambut oleh seluruh rakyat jelata dengan perasaan hiba dan duka.

Terdapat suatu kisah yang dicatatkan di dalam buku sejarah, di mana dikatakan seminggu sebelum kemangkatan Sultan Zainal Abidin III, kebanyakan penduduk di bandar Kuala Terengganu telah melihat suatu pandangan yang luar biasa di langit, iaitu pelangi beratur berceloreng dan berbelang-belang dengan satu jalur melintangi jalan. Pandangan ini dikatakan dapat dilihat selama tujuh hari dan hujan juga turun dengan lebatnya pada waktu itu meskipun pada hari yang cerah.

Kesimpulan

Baginda Sultan Zainal Abidin III merupakan seorang pemerintah yang sukar dicari ganti kerana ketinggian ilmu pengetahuan serta sikapnya yang warak. Al-marhum Sultan mempunyai ketokohan yang luar biasa sama ada dari segi keperibadian, kebijaksanaan serta keluhuran hati baginda. Kerana inilah, maka nama baginda terus mekar dan harum sebagai salah seorang pemerintah berpengaruh dalam sejarah Kesultanan Terengganu. Malah, kisah baginda juga telah banyak diabadikan dan dicatatkan dalam pelbagai penerbitan makalah dan buku pada masa kini.

Apa yang boleh kita teladani daripada kisah Sultan Zainal Abidin III ini adalah mengenai sikap baginda yang sentiasa cintakan ilmu pengetahuan dan baginda juga amat menggalakkan seluruh rakyatnya untuk terus berusaha bagi mencari dan mempelajari ilmu-ilmu baru di dunia ini. Baginda juga, meskipun berdarah diraja, tidak pernah memandang rendah akan golongan bawahan dan hamba, malah baginda tidak segan silu untuk turut serta dalam berjemaah di masjid dan mendekati para rakyat. Sikap dan keperibadian inilah yang harus kita selami dan contohi bagi terus membangunkan masyarakat pada masa kini.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2012). Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya. Yayasan Diraja Sultan Mizan: Kuala Terengganu.

Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia         Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.

Jelani, H. (2015). Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga Sebuah Karya Agung Terengganu. International Journal of the Malay World and Civilisation, 3(2), 3–15.

Mohamed Roselan Abdul Malek. (1998). Kesan Sejarah dan Tempat-Tempat Menarik Negeri Terengganu Darul Iman. Oscar Book International: Selangor.

Muhammad Yusoff Hashim. (1991). Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.