Pertikaian mengenai Negara Palestin dan Israel menjadi isu yang tidak pernah selesai, sejak zaman penaklukan Rom, Parsi, Rom Timur sehinggalah ke zaman Khalifah Umar Al-Khattab menjadi Khalifah islam yang kedua. Malahan, konflik di kawasan yang sempit ini, sebesar lebih kurang 20,000 km2 atau saiznya lebih kurang sebesar Negeri Perak dan Kedah sahaja berlarutan di zaman Bani Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiah Mesir, Turki Seljuk membawa kepada penaklukan berdarah dan berpanjangan tentera-tentera salib, ditawan kembali oleh Salahuddin Al-Ayyubi, dijadikan sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniah dan menjadi Kawasan Mandat British selepas Perang dunia Pertama, iaitu selepas kehancuran sistem Khalifah Turki Uthmaniah di bawah Gerakan Pemuda Turki

Mutakhir ini, banyak sekali artikel dan klip-klip baharu di media sosial yang dimuat naik oleh pihak Zionis yang menafikan kewujudan Palestin sebagai sebuah negara. Kebanyakan mereka memainkan perang saraf dengan mencuba memanipulasikan sejarah di tanah Levant tersebut dengan menyatakan bahawa Palestin tidak wujud, ia adalah sekeping tanah yang menjadi hak milik Syria, Jordan dan Lebanon serta British pula memainkan peranan untuk mewujudkan Negara Israel yang sah selepas Deklarasi Balfour 1917. Selain itu, tuan tanah di kawasan Palestin pula giat menjual tanah kepada Orang Yahudi dengan harga yang tinggi.

Selain itu, wujud pula tanggapan bahawa kawasan Palestin kosong tidak berpenghuni menurut laporan beberapa pegawai kolonial yang berkunjung di Kawasan Gurun (dah namanya gurun, memanglah kurang orang) Negev dan sekitarnya pada kurun ke-19 M, dan anggapan bahawa Empayar Turki Uthmaniah membawa orang Arab islam beramai-ramai pada kurun ke-19M. Anggapan-anggapan ini menjadi perang saraf yang berpanjangan di medsos menyebabkan terdapat segelintir umat manusia di seluruh dunia yang menyokong Israel dan menentang Palestin disebabkan anggapan-anggapan dan perang saraf ini. Ditambah pula klip rencana yang memaparkan bahawa orang Arab menolak 5 perjanjian damai penubuhan negara Palestin yang dipersetujui oleh Israel tetapi ditentang oleh Orang Arab. Semua rencana dan video perang saraf ini boleh dicari dan dilihat di Saluran You tube. Apa yang lebih dikesalkan lagi, terdapat juga segelintir umat islam dan orang Malaysia yang menyokong Israel, walaupun Negara kita sehingga ke hari ini tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah.

Rajah: Peta Ptolemy pada tahun 100 M menunjukkan Palestine dan sebahagian Syria.

Sebenarnya, sejarah negara Palestin bukanlah sebuah istilah baharu yang diciptakan oleh Rom atau Arab.

Palestin adalah nama asal sebuah negara yang terletak di pinggir laut Mediterranean iaitu di antara Semenanjung Gaza sehinggalah ke pinggir Sungai Yarqon. Nama negara mereka ialah Negara Philistia dan bangsa mereka bergelar bangsa Philistine. Kewujudan Negara Philistia ini tertera di dalam Kitab Taurat (Perjanjian lama), menafikan bahawa Palestin adalah suatu terma yang baharu. Malahan, bangsa Philistine ini telah wujud dalam sejarah apabila raja mereka yang dipanggil Jalut (Goliath) diperangi oleh bani Israel di bawah kepimpinan Thalut (Saul) dan kemenangan berpihak kepada pihak Thalut.

Akhirnya, bangsa Philistine ini dikalahkan setelah Nabi Daud a.s. berjaya membunuh Jalut (Goliath) dan penubuhan Negara Israel Raya yang pertama diasaskan oleh Thalut (Saul) ini. Sebelumnya, Bani Israel ini adalah bangsa yang tidak bernegara di tanah Levant. Mereka tertakluk di bawah kekuasaan Bangsa Kanaan, iaitu bangsa asal sebelum Bani Israel berkembang daripada jalur keturunan Nabi Ibrahim a.s.

Sebelumnya, Bani Israel ini adalah bangsa yang tidak bernegara di tanah Levant. Mereka tertakluk di bawah kekuasaan Bangsa Kanaan, iaitu bangsa asal sebelum Bani Israel berkembang daripada jalur keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ishak a.s. Nabi-nabi Allah ini diutuskan kepada Kaum Kanaan dan Mesir Purba, yang mana kaum Kanaan ini ialah bangsa Semitik yang sangat hampir dengan Bani Israel.

Setelah itu, anak-anak Nabi Yaakub a.s. berkembang menjadi bangsa Yahudi hari ini, iaitu melalui 12 kaum Yahudi. Semasa zaman Nabi Yusuf a.s., Bani Israel melalui abang-abangnya (yang pernah cuba membunuh Nabi Yusuf a.s. dengan meninggalkan baginda dalam sumur) mendapat sebuah Negeri di Mesir yang bernama Negeri Goshen. Namun, semasa Pemerintahan Firaun Ramses yang kejam di zaman Nabi Musa a.s., Bani Israel ini dijadikan golongan hamba kepada bangsa Hiksos Mesir

Setelah gagal dalam misi dakwah baginda terhadap Firaun yang kejam tersebut, Nabi Musa a.s. membawa kaumnya dari Goshen ke Semenanjung Sinai yang sangat panas terik. Walaubagaimanapun, mereka tetap dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya menyebabkan semua bangsa yahudi bergegas ke Etham. Dari Etham, mereka tidak terus ke Kanaan, mungkin kerana Firaun telah mengarahkan penutupan laluan utama ke Kanaan, menyebabkan Nabi Musa a.s. terpaksa ke arah Selatan dan dengan panduan Allah, mereka menyeberangi Teluk Aqabah ke Jabal Lawz iaitu Gunung Thursina di zaman Nabi Musa a.s., yang terletak di Negara Midian, negara mertua Nabi Musa a.s. iaitu Nabi Syuaib a.s.

Oleh yang demikian, pendapat Yahudi bahawa Negara Israel adalah negara asal mereka setelah berhijrah (exodus) dari Mesir adalah tidak tepat, malahan mereka pula tersesat dengan mengikuti Samiri menyembah lembu emas setelah Nabi Musa pergi ke arah kanan Gunung Thursina untuk menerima Kitab Taurat daripada Allah s.w.t. Banyak bukti arkeologi dan geografi yang menunjukkan perjalanan Nabi Musa a.s. dan kaumnya terletak di Jabal Lawz yang terletak di Arab Saudi pada hari ini.

Namun begitu, apabila Nabi Musa a.s. diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk memasuki Baitul Maqdis, tanah nenek moyang mereka melalui Nabi Yaakub a.s. dan Nabi Ishak a.s. yang telah dikuasai oleh Kerajaan Amalekite, kaum Nabatea (Arab) yang gagah perkasa dan suka berperang, lalu mereka disesatkan oleh Allah swt di gurun Tih yang terletak di Semenanjung Sinai. Bangsa gasar yang ditakuti oleh orang yahudi ini ialah bangsa Amalekites yang hidup secara nomad di Gurun Negev dan Semenanjung Sinai. Oleh yang demikian, bangsa Yahudi sejak zaman Nabi Musa a.s. lagi telah mungkir terhadap perjuangan di Tanah Suci yang dijanjikan kepada mereka, menyebabkan mereka hilang hak terhadap Baitul Maqdis.

Berlainan pula dengan bangsa Philistine, sebuah bangsa maritim yang berasal dari dari Asia Minor (Turki). Philistine bermaksud orang laut, dan tradisi maritimnya berkemungkinan setaraf dengan Pheonician (Kanaan) dan kehadiran mereka di Pantai Semenanjung Gaza sehingga ke Sungai Yarqon bermula sejak kurun ke-12 SM, sebelum kehadiran Yahudi di zaman Raja Thalut lagi. Kaum Philistine ini bertembung dengan Kaum Amalekite semasa kehadiran mereka menyebabkan berlaku pertindihan kuasa di Wilayah yang diduduki mereka.

Sehingga kini, tiada rekod mengenai bahasa Philistine tetapi penamaan tempat dan Tuhan mereka mempunyai pengaruh bahasa semitik, berkemungkinan Bangsa Philistine ini adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s. dengan Kethurah yang bertebaran ke Laut Aegean dan menganut fahaman agama dari Asia Minor, sebelum membawanya kembali ke Philistia. Oleh itu, Philistine juga adalah bangsa yang asli di Tanah Levant bersama-sama dengan bangsa Semitik yang lain seperti Amalekite, Nabatae dan Kanaan. Mereka ini adalah bapa kepada bangsa-bangsa yang wujud di Tanah Levant pada hari ini, iaitu Bangsa Arab Syam atau Suriah. Bangsa Amalekite pula dikatakan wujud sebelum zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi.

Palestin bukanlah bangsa ciptaan, malah mereka telah wujud sejak kurun ke-12 SM lagi di tanah Levant. Semasa zaman pemerintahan Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s., Philistine dan Pheonician adalah dua negara yang merdeka dan tidak termasuk di bawah pengaruh kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Namun, selepas kewafatan Nabi Sulaiman, kerajaan Israel terpecah dua selepas 10 kaum Yahudi tidak menerima kepimpinan Rehoboam, anakanda Nabi Sulaiman a.s. sebagai Raja mereka.

Rehoboam memerintah kerajaan yang bernama Judah, manakala 10 kaum yang lain memilih memisahkan wilayah mereka di Utara dengan nama Kerajaan Israel dan melantik Jeroboam sebagai raja. Mereka menjadi ingkar dan mula menyembah berhala menyebabkan Allah swt mengutuskan Nabi Ilyas dan Ilyasa’ kepada mereka. Namun keingkaran kerajaan Israel ini menyebabkan datangnya bala bencana dalam bentuk perang saudara antara Judah dan Israel, pencerobohan dan menjadi Vasal Mesir, dijajah oleh Assyria dan Neo-Babilonia.

Kerajaan Israel Utara berakhir dengan penaklukan Shalmanesser dari Assyria dan Kaum Yahudi diangkut ke Assyria oleh Raja Sargon II. Kerajaan Judah pula berakhir dengan penaklukan Nebuchadnezzar II dari Babylon dengan Rajanya diangkut ke Babylon, hidup dalam buangan dan Baitul Maqdis dimusnahkan oleh orang Babylon. Maka, pemilikan kerajaan milik Raja Daud dan Sulaiman sebenarnya telah terputus sejak abad ke-6 SM lagi dengan berakhirnya kedua-dua kerajaan warisan Nabi Sulaiman ini dan bangsanya diangkut sebagai hamba di kedua-dua empayar tersebut.

Namun, Philistia kekal wujud sebagai negara yang merdeka, menjadi vassal kepada Assyria, mahupun dijajah oleh Assyria mahupun Neo-babylonia. Namun, mereka kekal berada di Wilayah Philistia sehingga ke zaman Greek, dan Greek menamakan mereka sebagai Palaistine atau palestina, yang mana di zaman Greek kuno, seluruh wilayah di antara Lembah Barat Sungai Jordan sehingga ke tebing Pantai Philistia digelar Palaestine dan akhirnya menjadi Palestine semasa penaklukan Rom.

Tiada rekod Philistia dimusnahkan, malahan Rom menggantikan nama Kerajaan Judah kedua di bawah pemerintahan dinasti Hasmonean dan Herodia dengan nama Syria Palaestina kerana benci dengan Yahudi yang mula melampaui batas di zaman Emperor Hadrian. Istilah Palestin merujuk kepada wilayah geografi di Tanah Levant tersebut, yang mana ia bukan sahaja merujuk kepada suatu bangsa, malahan ia merujuk kepada suatu tempat.

Palestin adalah sebuah kawasan geografi yang merangkumi pelbagai etnik dan budaya, yang mana terdapat tempat suci bagi ketiga-tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Judaism. Justeru itu, semasa mahu membentuk Negara mereka pada Tahun 1948, Israel pernah mencalonkan nama Palestin sebagai nama negara mereka, namun ia tertolak kerana takut tersilap tafsir antara negara yahudi dengan negara Palestin yang sememangnya ada di situ.

Israel pula adalah nama negara bangsa yang baharu diwujudkan semula oleh Pergerakan Nasionalis Yahudi yang bernama Zionisme, manakala Palestin pula sememangnya nama geografi yang telah digunakan untuk merujuk kawasan tersebut sejak zaman Assyria menjajah Tanah Levant, dikenali juga oleh Empayar Neo-Babilonia, dan secara rasminya seluruh kawasan tersebut dipanggil Palaestine oleh Greek dan dinasti-dinasti Hellenistik yang menguasai tanah mereka seperti Dinasti Ptolemy dan Seleucid. Walaupun Negara Judah dibangkitkan kembali oleh Cyrus The Great semasa Parsi menguasai seluruh Tanah Levant dan Haikal Judah dibina semula, namun ia bersifat sementara dan hanya ditadbir oleh Paderi tertinggi atau Nabi-nabi dalam konteks agama sahaja.

Pada kurun ke-5 SM, Herodotus, dalam karya agungnya The Histories mengelaskan Palaistine sebagai Daerah dalam Syria, terbentang di antara Mesir dan Pheonicia dan Syria ialah Wilayah Satrap yang dikuasai oleh Dinasti Ptolemy dan seterusnya Dinasti Seleucid, selepas kemangkatan Raja Iskandar Yang Agung. Aristotle pula menyatakan bahawa terdapat sebuah Tasik dalam Palaistine, yang mana semua benda terapung dan ikan pun tidak boleh di dalamnya, airnya sangat pahit dan masin. Tasik ini dikenalpasti sebagai Laut Mati.

Rajah: Peta Herodotus pada Tahun 450 SM meletakkan Palestina pada Wilayah yang sama dengan Negara Palestin hari ini. Sumber: http://www.bible.ca

Jelaslah, pada zaman dahulu, Palestin adalah wilayah negara yang berdaulat dan diperakui oleh Kerajaan Yunani sebagai kuasa dunia ketika itu. Walaupun negara Israel dan Judah pernah berdiri dalam Wilayah Palestin, namun ia bukanlah sebuah kerajaan yang lama bertahan. Kegemilangan Kerajaan Yahudi tersebut hanya menyinar di Zaman Para Nabi menjadi Raja mereka iaitu Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.