Tipulah jika anda mengatakan anda tidak pernah jatuh cinta dengan sesiapa. Katakanlah siapa, kita semua pernah mengalaminya. Ada sesetengah ada hati terhadap guru sekolah atau pensyarah universiti semasa belajar. Ada juga menyimpan perasaan terhadap rakan sekolah, universiti, tempat kerja atau zaman kanak-kanak walaupun pada sesetengah masa, ia bersifat tepuk sebelah tangan. Tetapi satu soalan yang kita harus tanya kepada diri sendiri ialah mengapa kita jatuh cinta?
Hakikat Cinta
Cinta itu merupakan sesuatu yang didambakan oleh sesiapa saja tanpa mengira sebarang perbezaan seperti warna kulit, fahaman politik dan agama. Tanpa kita sedar, cinta itu sebenarnya antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah s.w.t kepada manusia. Buktinya? Sifat Dia sendiri yang bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan ini diperlihatkan dalam kalimah basmalah pada setiap permulaan surah dalam Al-Quran kecuali Surah At-Taubah. Dan sebagai manifestasi cinta-Nya kepada manusia terutama hamba-hamba-Nya yang beriman, lihat pula ayat 163 Surah Al-Baqarah. Allah s.w.t berfirman, “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”
Dalam konteks hubungan manusia, ini diterjemah dalam bentuk pasangan atau jodoh. Tidak ramai sedar pasangan yang dinikahi itu sebenarnya merupakan satu lagi bentuk nikmat yang dikurniakan Tuhan yang harus disyukuri dan dihargai. Buktinya, ayat pertama Surah An-Nisa. Allah s.w.t berfirman, “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Namun, kita kena ingat tak semua cinta itu sama. Ini kerana wujud perbezaan antara cinta yang bersifat romantik dengan cinta yang bersifat umum seperti keluarga, rakan-rakan dan negara. Dalam kategori umum, kita boleh minta orang senaraikan siapa individu yang tersenarai di dalamnya. Tetapi bagi cinta yang bersifat romantik, percayalah hanya satu nama saja yang akan meniti di bibir. Memang tidak boleh dinafikan, kita boleh jatuh cinta banyak kali sepanjang hayat kita tetapi sekelompok minoriti saja yang boleh menyatakan lebih dari satu nama dalam kategori itu. Apa yang menyebabkan cinta itu dapat disatukan ialah keintiman kerana di situlah ia bermula. Tanpa keintiman, cinta yang cuba dipertahankan akan hancur berkecai. Walau bagaimanapun, jatuh cinta merupakan satu detik yang membawa kepada satu perjalanan kehidupan yang epik.
Dan ini sesuatu yang kita tidak boleh nafikan, kita tidak boleh hidup tanpa cinta. Kita sudah biasa dengar frasa tidur tak lena, mandi tak basah dan ini selalu dikaitkan dengan elemen jatuh cinta. Ini kerana cinta sudah ada dalam struktur psikologi manusia sejak zaman-berzaman. Jika kita hidup tanpa cinta, kita akan merasa kesunyian dan fasa hidup dirasakan seperti terganggu. Tetapi bila kita dilamun cinta, kita akan menjadi diri sendiri dan lebih gembira dalam menjalani kehidupan.
Fasa pertama: tarikan
Bila kita jatuh cinta dengan seseorang, pasti ada sebab yang membuatkan kita jadi penasaran dengan si dia. Dari segi sains terutama biologi, kita mencari petanda yang menandakan seseorang itu mempunyai genetik yang baik. Dari situ, ia mempunyai potensi mendapat zuriat yang baik. Antara petanda yang akan dicari ialah kulit yang bersih, rambut berkilat, gigi putih dan feromon-feromon tertentu yang menandakan sistem imunisasi individu berkenaan dalam keadaan yang baik.
Bagi kaum Adam, mereka melihat bentuk badan wanita yang melambangkan kesuburan terutama kadar lemak pada bahagian pinggang, peha dan punggung tanpa mengira berat badan. Semua ini ada kaitan dengan soal hormon, kesuburan dan kesihatan wanita. Sementara golongan Hawa pula melihat bentuk badan lelaki yang bersifat maskulin. Dan jangan terkejut jika ada wanita yang tertarik dengan bau badan lelaki kerana mereka amat sensitif dengan bau badan golongan ini. Selain itu, lelaki yang menonjolkan kejantanannya dengan meraih perhatian dan mempengaruhi orang lain sekaligus satu petanda individu sebegini boleh bersaing dengan lelaki lain. Wanita juga mencari petanda lain seperti aspek pendidikan, asprasi karier, bakat dan situasi kewangan. Atau dalam kata lain, ia merujuk kepada status terkini atau masa depan individu dan kebolehannya menyokong keluarga.
Pasti ada kata semua ini mengarut kerana pada zaman moden ini, ia dilihat tidak relevan. Tetapi pada zaman ini, ia masih menjadi sebahagian daripada kriteria utama dalam kaji selidik terutama yang dijalankan di internet dan berpacaran secara ekspres. Tak kiralah apa alasan individu setiap kali melihat gambar atau ditanya kriteria siapa lelaki/perempuan idaman, coraknya masih tetap sama. Contoh, bagi golongan lelaki yang meminati wanita berkerjaya akan berhadapan kesukaran sekiranya si dia lebih memilih karier dan prospek kelangsungan kerjayanya.
Selain soal ini, usah pandang enteng persamaan dari segi minat, latar belakang, nilai dan pendidikan. Ini kerana selain mengurangkan risiko bertemu dengan orang yang salah, ia dilihat dapat meningkatkan lagi keserasian antara lelaki dengan wanita. Selain persamaan yang dinyatakan sebelumnya, ada juga mencari persamaan dari segi fizikal. Ada yang mahukan lelaki/wanita yang mempunyai hidung mancung, warna kulit dan warna mata yang sama. Tetapi ada pula yang mahukan kelainan walaupun dianggap sesuatu yang berisiko dan merbahaya. Ini kerana orang sebegini mempunyai kualiti yang melengkapi kekosongan personaliti kita.
Fasa kedua: jatuh cinta
Kita sudah menilai semua aspek yang kita mahu untuk mendapatkan pasangan yang ideal. Bohonglah kalau jangkaan kita itu kadang-kadang lebih dari apa yang disangkakan. Kita nak pasangan kita jujur tetapi tidaklah terlalu jujur mengalahkan Sherlock versi Benedict Cumberbatch atau Dr Gregory House (Hugh Laurie). Kita nak pasangan kita tampan dan menawan tetapi mengharapkan rupa sama seperti Fattah Amin atau Scarlett Johansson. Tetapi percayalah bila kita sudah jatuh cinta, kelemahan si dia kita tolak jauh-jauh. Sementara kelebihannya kita angkat dan pertahankan bak soldadu yang menjaga sang puteri/putera.
Bila kita jatuh cinta, otak dan hormon kita akan jadi gila apatah lagi bila bertentang mata dengan orang yang kita sayang. Bagi Dr Nicki Nance, seorang ahli terapi psikologi dari Beacon College di Florida mendedahkan otak akan menghasilkan lebih banyak serotonin sekaligus menghasilkan perasaan baik dalam diri. Otak juga akan menghasilkan lebih banyak endorfin dan dopamin yang mencetuskan penahan sakit semulajadi dan kegembiraan. Walaupun tahap serotonin berbeza mengikut individu tetapi ia boleh turun semasa proses jatuh cinta berlaku. Menurut ahli psikiatri Dr Joe Bates, penurunan tahap serotonin boleh menghasilkan simptom-simptom kecelaruan obsesif kompulsif bila kerap memikirkan seseorang. Namun ia tidak terhad kepada jatuh cinta saja. Menurut Bates, ia boleh juga berlaku bila kita melihat gambar alam semulajadi, haiwan peliharaan atau orang tersayang. Bila itu berlaku, kita akan merasa tenang atau menunjukkan emosi sayang sekaligus melepaskan oksitosin dalam saluran darah.
Jatuh cinta juga menyebabkan jiwa kita merasa lebih besar kerana dipenuhi dengan rasa cinta dan kemahuan. Individu yang mengalami fasa ini akan merasa bangga bukan saja dengan diri sendiri tetapi juga terhadap orang tersayang. Atau dalam erti kata lain, ia menghasilkan keintiman yang tidak pernah ada dalam diri. Sigmund Freud menggambarkannya sebagai menemui semula cinta lama yang telah hilang, sekaligus mengembalikan semula keseluruhan diri yang wujud semasa dalam rahim.
Fasa ketiga: dilamun cinta
Perasaan jatuh cinta itu kemudiannya beransur-ansur digantikan dengan dilamun cinta. Tatkala otak dipenuhi dengan pelbagai elemen kimia penuh dengan perasaan cinta seperti oksitosin dan vasopresin, ia menghasilkan perasaan selamat dan cukup dengan apa yang dimiliki. Dari situ, wujud satu hubungan di mana mereka saling mengasihi di mana ia sama sekali berbeza dengan hubungan seperti persahabatan dan kekeluargaan. Situasi ini yang menyebabkan mereka menjadi rapat di mana ikatan tersebut dibina atas dasar cinta atau penderitaan.
Ikatan sebegini akan dibentuk oleh apakah bentuk hubungan diri dengan ibu bapa semasa kecil. Apakah cinta tersebut merupakan tempat perlindungan dan penangkis dari gangguan tekanan? Dan bolehkah anda lakukan perkara sama dengan orang lain? Atau apakah cinta mereka terlalu berisiko sehingga menyebabkan cinta anda juga terjejas dalam usaha mencari hubungan yang menjanjikan risiko rendah? Semua soalan ini akan menentukan bagaimana kisah cinta anda akan berakhir.
Mengapa kita jatuh cinta
Suka atau tidak, jika kita ingin dicintai kala mencintai orang yang kita sayangi, kita perlu belajar bukan saja mencintai orang lain tetapi juga belajar mencintai diri sendiri. Menurut ahli psikologi Dr Beverly Palmer, orang yang penuh dengan rasa cinta akan menunjukkan perasaan mereka dan ini akan disedari oleh orang lain. Beliau menambah sekiranya seseorang itu mencari seorang pencinta, seseorang itu perlu belajar menghargai diri sendiri dan merasakan dirinya layak dicintai. Orang yang merasakan dirinya tidak layak dicintai dilihat tidak mempunyai rasa cinta dan sayang diperlukan bagi menjayakan sesebuah hubungan.
Bagi pakar perhubungan Kevin Darne, bila mana seseorang itu bersikap penyayang dan bersedia menerima cinta dari luar, cinta yang dicari akan muncul juga pada akhirnya. Ia boleh dipengaruhi oleh hormon, masa dan persamaan seseorang. Walaupun masih ada yang berhujah orang yang punya personaliti berbeza boleh jatuh cinta, hakikatnya pandangan sebegini dianggap falasi oleh Darne. Ini kerana bila mencari seseorang, individu itu seharusnya mencari individu yang berkongsi nilai hidup yang sama, mahukan perkara sama dari hubungan, bersetuju bagaimana mendapatkan hasil dari hubungan dan akhir sekali, sejauh mana tahap cinta dan sayang antara satu sama lain. Beliau turut menambah, manusia mencari seseorang yang mencintai dirinya seperti mana dia mahu dicintai. Sekiranya manusia itu tidak merasa dicintai, tiada isu apa sebenarnya yang terkandung dalam hati pasangan kita itu.
Tanda kita jatuh cinta
- Mata tidak henti memandang orang yang kita cintai.
- Merasa diri dilanda mabuk asmara.
- Sentiasa memikirkan mereka.
- Sentiasa mahukan mereka merasa gembira.
- Lebih tertekan.
- Tidak mudah merasa sakit
- Mahu mencuba benda baru.
- Jantung berdetak sama dengan jantung pasangan
- Tiada masalah dengan soal perkara bersifat buruk
- Selalu berpeluh
- Menyukai tabiat-tabiat unik kekasih/suami/isteri
SUMBER
- Hoyt, Alia. (2018). HowStuffWorks.com. Why do we fall in love? https://health.howstuffworks.com/relationships/love/why-do-we-fall-in-love.htm
- Salaky, Kristin. (2017). The Independent. 11 signs that you’re falling in love, according to science. https://www.independent.co.uk/life-style/love-11-scientific-signs-romance-relationships-attraction-a7944751.html
- Gaffney, Maureen. (2018). The Irish Times. Why and how do we fall in love? https://www.irishtimes.com/life-and-style/people/maureen-gaffney-why-and-how-do-we-fall-in-love-1.3376797
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih