Kita sering mendengar kata-kata bahawa kanak-kanak ibarat kain putih yang diwarnakan oleh pendewasaan. Kanak-kanak sering dianggap sebagai mereka yang tidak mengetahui apa-apa serta belum cukup matang untuk memahami setiap satu perkara yang terjadi di sekeliling mereka.
Oleh itu, menjaga dan memastikan setiap kanak-kanak itu membesar dengan baik dan sempurna dalam persekitaran yang tidak membantu adalah satu perkara yang sukar dilakukan, khususnya buat ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab.
Pasti ramai di antara kita pernah menonton video tentang bagaimana kanak-kanak mampu meniru karakter dan perbuatan ibu bapa mereka yang agresif dan ganas.
Terdapat juga video-video di mana kanak-kanak bercakap dan berperwatakan seperti orang dewasa, jauh berbeza dan matang daripada umur mereka yang baru setahun jagung.
Persoalannya, bagaimanakah seorang kanak-kanak yang belum mampu berfikir secara kreatif dan kritis mampu meniru perlakuan orang dewasa?
Pada tahun 1961, Albert Bandura, seorang pakar psikologi dari University of Stanford mengkaji perangai kanak-kanak dengan menggunakan sebuah patung yang dipanggil Bobo Doll.
Eksperimen tersebut seterusnya digelar Eksperimen Patung Bobo (Bobo Doll Experiment). Fokus eksperimen ini adalah untuk mengakaji hubungan di antara keganasan dan kesannya pada perangai dan perwatakan kanak-kanak.
Berdasarkan teori pembelajaran soaial oleh Bandura sendiri, pembelajaran itu berlaku menerusi pemerhatian dan interaksi antara satu sama lain. Oleh itu, manusia belajar dengan cara menonton dan meniru sesuatu perbuatan. Sebelum memulakan eksperimen, Bandura terlebih dahulu meramalkan keputusan kajian di mana;
- Kanak-kanak yang memerhatikan orang dewasa yang agresif akan cenderung berlaku agresif walaupun tanpa kehadiran orang dewasa tersebut.
- Kanak-kanak yang memerhatikan orang dewasa yang tidak agresif akan menjadi tidak agresif berbanding mereka yang memerhatikan orang dewasa yang agesif.
- Kanak-kanak lebih cenderung meniru model yang sama jantina berbanding model berlainan jantina.
- Kanak-kanak lelaki akan berkelakuan lebih agresif berbanding kanak-kanak perempuan.
Eksperimen dijalankan dengan menjadikan kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun sebagai subjek. Sebelum memulakan eksperimen, Bandura juga telah meneliti taraf agresif kanak-kanak tersebut dan mereka kemudiannya dipadankan secara adil mengikut taraf agresif masing-masing.
Kanak-kanak ini kemudiannya di bahagikan kepada 2 kumpulan yang mempunyai model orang dewasa yang berbeza, iaitu model yang agresif dan model yang tidak agresif.
Pada mulanya, kanak-kanak akan dibiarkan bermain selama 10 minit di dalam satu bilik yang mempunyai bermacam jenis permainan termasuklah patung Bobo.
Menerusi model agresif, seorang dewasa akan mengambil bahagian dan mula bertindak agresif dengan memukul dan menendang patung Bobo tersebut dengan ganas di samping mengeluarkan kata-kata yang agresif.
Menerusi model tidak agresif pula, seorang model dewasa akan mengambil bahagian dan bermain dengan kanak-kanak tanpa menghiraukan patung Bobo tersebut selama 10 minit.
Kanak-kanak kemudiannya dipindahkan ke bilik lain yang mempunyai permainan-permainan yang menyeronokkan. Namun begitu, mereka tidak dibenarkan bermain. Hal ini adalah untuk meningkatkan taraf kekecewaan dalam kalangan kanak-kanak tersebut.
Akhirnya, setiap kanak-kanak dibawa ke bilik eksperimen terakhir. Bilik ini mengandungi alat-alat mainan yang ‘agresif’ seperti pistol dart, bola penambat, tukul kecil dan juga patung Bobo.
Selain itu, beberapa mainan dan alat yang tidak agresif juga disertakan seperti krayon, kertas, kereta mainan dan juga haiwan plastik. Setiap kanak-kanak diberikan masa 20 minit untuk bermain. Perangai dan perwatakan mereka diperhatikan oleh pengkaji.
Keputusan daripada eksperimen ini mengukuhkan lagi ramalan awal yang dibuat oleh Bandura iaitu;
- Kanak-kanak yang didedahkan kepada model agresif cenderung meniru gaya model tersebut walaupun ketika ketiadaan model.
- Walaupun kanak-kanak, baik lelaki mahupun perempuan, dalam model tidak agresif mempamerkan perangai yang tidak agresif, kanak-kanak lelaki lebih cenderung terlibat dalam situasi yang agresif.
- Kanak-kanak lelaki yang melihat model lelaki dewasa berperwatakan agresif lebih terpengaruh daripada mereka yang melihat model perempuan dewasa berperwatakan agresif. Namun begitu, pengkaji juga mendapati bahawa kanak-kanak lelaki cenderung meniru perlakuan agresif (fizikal), manakala kanak-kanak perempuan cenderung meniru pengucapan agresif (verbal).
- Bandura juga benar apabila meramalkan bahawa kanak-kanak lelaki itu akan berlaku lebih agresif berbanding kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak lelaki didapati berlaku dua kali lebih agresif berbanding kanak-kanak perempuan.
Sebuah eksperimen susulan yang dijalankan oleh Bandura pada tahun 1965 mendapati bahawa, kanak-kanak akan akan meniru perlakuan model dewasa yang agresif apabila model tersebut ditawarkan dengan hadiah.
Walaupun begitu, kanak-kanak akan kurang meniru perlakuan model yang agresif apabila mereka melihat model tersebut diberikan hukuman.
Eksperimen Patung Bobo ini merupakan salah satu eksperimen yang paling terkenal dalam mengkaji psikologi kanak-kanak dan persekitaran. Justeru, terbuktilah bahawa kanak-kanak mampu meniru perlakuan orang dewasa hanya dengan pemerhatian sahaja.
Oleh sebab itu, kita dapat melihat rata-rata kes di mana kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang bersifat ganas, kaki pukul mahupun pembuli, merupakan kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran yang agresif.
Pepatah Melayu ada mengatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebagai masyarakat yang prihatin, setiap daripada kita bertanggungjawab dalam membentuk personaliti dan perwatakan yang positif untuk kanak-kanak.
Hal ini kerana kanak-kanak akan membesar menjadi orang dewasa dan untuk memperbetulkan perwatakan dan perangai orang dewasa adalah amat sukar. Kanak-kanak adalah generasi akan datang. Pencorakan mereka pada hari ini mampu mengubah dunia masa hadapan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih