Bahasa Melayu dewasa ini dipandang sebagai bahasa picisan di pelbagai lapisan masyarakat. Ini kerana bahasa Melayu tidak dianggap sebagai bahasa global terutamanya apabila dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Sedangkan dengan satu klik sahaja kita boleh mengetahui bahawa bahasa Melayu menduduki tangga ke-8 berdasarkan bilangan penutur bahasa. Dengan jumlah penutur yang mampu mencapai 250 juta penutur, bahasa Melayu sebenarnya mampu untuk bertanding di peringkat global.
Namun pasca-penjajahan telah menyaksikan penutur ini dikecil-kecilkan pengaruhnya melalui penubuhan negara bangsa. Penubuhan ini telah menyaksikan penutur utama telah dipecah-pecahkan kepada beberapa buah negara walaupun sepatutnya digabungkan dalam satu negara. Negara-negara penutur utama masa kini ialah Malaysia dan Brunei manakala negara penutur kedua ialah Indonesia.
Sejarah bahasa Melayu ini mula ditemui paling awal di selatan Vietnam terpahat di Prasasti Dong Yen Chau. Kemudian disatukan oleh Sriwijaya keseluruhan Asia Tenggara di mana Sriwijaya telah melakar pembentukan bahasa dan kebudayaan Melayu yang akan diteruskan oleh Kerajaan Melaka. Kesultanan Melaka pula perintis kepada bahasa dan kebudayaan Melayu-Islam yang akan diteruskan oleh Kesultanan Acheh dan Johor-Riau dimana ia mencapai zaman kemuncaknya.
Namun begitu sejarah moden negara-bangsa Malaysia, Indonesia dan Brunei kini mendominasi pemikiran pelbagai lapisan masyarakat melebihi sejarah pra-penjajahan sehinggakan ketaksuban terhadap negara-bangsa moden ini semakin membarah. Manakala negara yang berpopulasi kecil pula mengalami keyakinan diri yang amat rendah. Lebih-lebih lagi kekuatan ekonomi penutur bahasa Melayu dewasa ini sangat terkebelakang telah menyisihkan kepenggunaan bahasa ke arah yang lebih mapan, saintifik dan global.
Pengagungan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa yang disangka lebih bertaraf tinggi daripada bahasa Melayu berpunca daripada kepenggunaannya yang kurang dalam bidang-bidang berdaya saing. Ini terjadi terutamanya di Malaysia apabila dasar PPSMI telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri pada tahun 2003. Tindakan ini telah merencatkan perkembangan bahasa Melayu untuk bersaing setelah bertahun memperkayakan daftar katanya semenjak kemerdekaan 1957 dan diperkuatkan lagi dengan dasar kebudayaan negara 1971.
Bahasa mana yang mampu berkembang jika penggunaannya menurun dan penurunan ini bukan hanya kerana kuantiti menurun tetapi kualiti menurun turut menyumbang. Jika dasar ini diteruskan malah diperkukuhkan, kemungkinan besar bahasa Melayu akan menyusuli apa yang berlaku kepada bahasa Hawai dan Guam. Yang tinggal hanyalah pada tulisan seperti bahasa Sanskrit dan Latin, bahasa beku.
Setiap bahasa itu ada pengaruhnya, tidak terkecuali bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang dituturkan oleh bangsa maritim ini telah menyerap segala kosa-kata dengan setiap bangsa yang bertemu dengannya. Ini ditambah pula dengan geografi selat melaka yang digelar jalan sutera laut menambahkan lagi keupayaannya untuk menyerap kosa-kata dari luar. Namun begitu penyerapan kata seperti almari daripada Portugis dan kicap daripada Cina tidaklah menunjukkan pengaruh sebenarnya bahasa asing ke atas bahasa Melayu.
Kearifan tempatan dalam menyaring dan menyerap mana yang perlu dan mengubah-suai mengikut acuan tempatan menunjukkan kebijaksanaan bangsa Melayu tersebut. Penggunaan kosa-kata sanskrit bagi tujuan pentadbiran dan kosa-kata bahasa arab bagi tujuan agama dan falsafah membuktikan keterbukaan bangsa Melayu menerima unsur luar tanpa prejudis. Malah kosa-kata ini disesuaikan dengan bahasa tempatan tanpa dicedok bulat-bulat. Jika kosa-kata itu ditemui dalam bahasa Melayu maka tidaklah diganti dengan unsur luar. Sikap cermat dalam menerima menunjukkan dalam keterbukaan bangsa Melayu tersebut terselit jati diri yang kuat dan tidak mudah dilunturkan oleh sesiapa.
Pada pendapat penulis, pewaris bagi bahasa Melayu ini perlu dipegang oleh negara Malaysia. Mengapa bukan Indonesia mahupun Brunei? Ini kerana dari segi populasi, Brunei terlalu kecil untuk menunjukkan keabsahannya dalam memegang obor bahasa Melayu. Indonesia pula walaupun dengan populasi yang berganda daripada Malaysia telah digelar sebagai ‘liberal’ pada bahasanya sehinggakan penyerapan bahasa luar itu dilakukan dengan gopoh dan secara semberono.
Malah ada yang mengatakan bahawa bahasa Indonesia merupakan bahasa Melayu tahap rendah/pasar berbanding bahasa Melayu Malaysia dan penggunaannya dapat dikesan wujud semenjak daripada zaman kesultanan Melaka lagi. Walaupun begitu, bahasa pasar ini turut dikenali sebagai bahasa pelabuhan yang secara tidak langsung menunjukkan lagi nilai bahasa itu dan punca ekonomi bangsa Melayu iaitu sebagai bangsa maritim dan ini yang diwarisi oleh negara Indonesia.
Kemelut yang melanda penutur Bahasa Melayu masakini yang dilanda kekurangan daripada pelbagai segi berpunca daripada penguasaan bahasa yang rendah di kalangan penutur. Ini kerana setelah mengambil dan mengasimilasikan tulisan Jawi ke dalam bahasa Melayu, ianya telah mula berubah menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu mula membincangkan ilmu-ilmu bersifat saintifik dan falsafah. Malah kehadiran tulisan Jawi memungkinkan penyebaran ilmu dengan lebih baik di kalangan rakyat bawahan bukan hanya bangsawan dan diraja sahaja.
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah memungkinkan orang Melayu faham ilmu walaupun buta huruf. Ini kerana pembelajaran bukan hanya melalui penglihatan sahaja, pendengaran juga boleh dijadikan cara pembelajaran. Namun begitu, peranan ini telah berjaya direncatkan secara sistematik dengan penghapusan tulisan Jawi secara berperingkat dan ini telah memutuskan hubungan generasi masa kini dengan khazanah ilmuwan melayu silam yang menulis dengan Jawi. Ilmu bangsa Melayu terpaksa dimulakan daripada awal tanpa asasnya kerana bahasa Melayu beraksara rumi merupakan bahasa baru.
Penyerapan kosa-kata bahasa Inggeris menjadi lebih laju dengan perumian bahasa Melayu dan ini kelihatan bagus dalam mengejar kemajuan ilmu yang tertinggal namun ianya kehilangan ruh Melayu. Kosa-kata baru ini terasa janggal di mulut Melayu malah kelihatan asing. Amat mudah untuk melihat kosa-kata baru ini dengan perasaan takjub lebih-lebih rupa bentuknya sendiri sama seperti bahasa Inggeris walaupun telah diubah-suaikan supaya mirip dengan bahasa Melayu.
Perasaan takjub ini pada hemat penulis telah membawa kepada penafian kepentingan mempelajari kosa-kata ilmu teknologi ini dalam bahasa Melayu sedangkan ianya kelihatan sama dengan bahasa Inggeris dan bukankah lebih mudah mempelajarinya daripada sumber bahasa asal. Apabila bahasa Melayu ditinggalkan dalam bahasa tinggi dan saintifik dan diganti oleh bahasa Inggeris, bahasa Melayu akan mula digunakan dengan mutu yang rendah.
Disebabkan bahasa itu merupakan cerminan kepada individu tersebut malah bahasa merupakan cermin kepada akalnya juga. Oleh itu, bahasa merupakan terjemahan kepada apa yang kita fikirkan dan di sini boleh kita simpulkan bahawa penggunaan bahasa yang bermutu rendah membawa maksud kepada akal yang bermutu rendah juga.
Sehubungan itu apa yang perlu bangsa Melayu Malaysia sedar untuk memikul dan menggalas tanggungjawab ini? Pertamanya mengetahui bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa tua dan memainkan peranan sebagai abang long bagi bahasa Austronesian. Kedua, bahasa Melayu ini sangat anjal sepertimana penuturnya, anjal namun kekal bergetah. Pengaruh luar tetap diasimilasikan dengan kehendak bahasa Melayu dan ini ketara dengan munculnya tulisan Pallava dan Jawi di mana yang pertama itu dipengaruhi bahasa Sanskrit dan yang kedua itu dipengaruhi oleh Bahasa Arab.
Ketiga memusatkan tenaga dalam bidang penerbitan dan penterjemahan dalam usaha membanyakkan daftar buku dalam pelbagai bidang dan semestinya yang paling terkini. Bangsa Melayu perlu melengkapkan diri menjadi penutur dwibahasa yang baik dan membantu dalam proses terjemahan ini. Apalah guna peristilahan yang telah didaftar-bukukan oleh pihak berwajib seperti DBP kalau ianya hanya tersimpan di dalam kamus; bahasa beku. Akhir sekali, pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu dilakukan di pelbagai sektor dan lapisan masyarakat malah yang paling penting diri sendiri membudayakan.
Rujukan:
- Omar, Asmah Haji. Kajian dan Perkembangan bahasa Melayu. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2010.
- Sujud, Arba’ie. Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2011.
- Daud, Wan Mohd Nor Wan. Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Pustaka Nasional Pte Ltd. 2007.
- Omar, Asmah Haji. Susur galur Bahasa Melayu. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2008.
5. Sardar, Ziauddin. The Consumption of Kuala Lumpur. Reaktion Books. 2000
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih