Kaum Iroquois atau Haudenosaunee sebenarnya adalah sebuah persekutuan orang asal Amerika yang berpusat di timur laut Amerika (kawasan tasik Great Lakes) yang berkongsi bahasa Iroquois dan budaya. Koloni Perancis menggelarkan persekutuan ini sebagai Iroquois League atau Iroquois Confederacy. Manakala koloni British pula menggelarkannya sebagai Five Nations, persekutuan yang terdiri dari kaum Mohawk, Onondaga, Oneida, Cayuga, dan Seneca. Pada 1722, nama persekutuan bertukar kepada Six Nation kerana persekutuan Iroquois menerima kaum Tuscarora dari tenggara Amerika.

Sebelum bergabung sebagai sebuah persekutuan, kaum-kaum berbahasa Iroquois adalah semi-nomad dan mengamalkan sistem pertanian. Penempatan seperti kampung didirikan hanya sementara bagi tujuan pertanian tersebut. Setiap kampung menampung beratus-ratus penduduk dan rumah panjang atau ‘longhouse’ dibina menggunakan batang kayu Elm (Macam rumah panjang yang dibina kaum Iban). Rumah panjang itu mampu menampung beberapa buah keluarga. Keluarga dalam rumah panjang adalah unit asas dalam pembentukan masyarakat social secara tradisional: Isi rumah terdiri daripada pelbagai puak. Setiap puak mempunyai sebuah perwakilan. Apabila kedua-dua perwakilan bergabung, ia membentuk sebuah suku yang lebih besar.

Gambar 1: Contoh Longhouse kaum Iroquois

Tentang asal-usul penubuhan persekutuan Iroquois, ada 2 teori bagi membincangkan hal ini. Pertama, ahli arkeologi dan antropologi percaya bahawa persekutuan ini wujud pada tahun 1450. Kedua, masyarakat Iroquois sendiri percaya bahawa 1142 adalah tahun sebenar kewujudannya. Namun teori kedua nampak releven walaupun buktinya hanya melalui lisan atau penceritaan dari nenek moyang.

Dikatakan persekutuan ini dibina oleh 3 orang yang warak bernama Peacemaker setelah fenomena gerhana matahari pada tarikh 31 Ogos 1142. Kemudian wujud 2 orang lelaki warak: Dekanawida dan Hiawatha, serta seorang wanita warak bernama Jigonhsasee yang berusaha menubuhkan persekutuan Iroquois. Hiawatha dan Jigonhsasee yang dikenali sebagai Ibu Bangsa membawa mesej perdamaian Dekanawida kepada para puak asal yang saling berperang sesama sendiri. Seterusnya, kelima-lima puak berdamai dan wujudlah Five Nations, lahir sebuah masyarakat berbilang suku yang mengamalkan kehidupan sama rata.

Dean Snow, seorang ahli antropologi menyokong teori tahun 1142 kerana dia mendakwa bahawa tiada bukti arkeologi menyokong teori tahun 1450. Malah Snow menyatakan teori 1450 wujud kerana ada agenda politik tersembunyi yang memaksa teori ini dibentang. Namun begitu, para pengkaji akur bahawa kajian mereka tertumpu kepada pemberi makluman dari warga lelaki Iroquois walaupun sejarah persekutuan mempunyai versi berbeza antara warga lelaki dan wanita. Maka, tiada pendedahan sejarah dari mulut warga wanita diambil dari para pengkaji dan hanya fokuskan sejarah Dekanawida dan Hiawatha, bukan Jigonhsasee.

Sejak penubuhan Five Nation, tiada lagi konflik sesama puak dan mengambil keputusan menentang mana-mana puak yang menceroboh. Majlis 50 ditubuhkan bagi mengelak sebarang pertikaian apabila diumumkan keputusan majoriti yang perlukan sokongan rakyat. Dengan ketiadaan pesaing, populasi Iroquois berkembang maju. Pepaduan persekutuan tersebut menjadikan Iroquois menjadi kaum asal terkuat di timur laut Amerika pada abad ke-17 dan ke-18.

Gambar 2: Kawasan Five Nation dan kaum asal lain.

Sebelum masuk sejarah pengembangan Iroquois, kita perlu fahami budaya mereka. Warga lelaki Iroquois bertanggungjawab membina rumah panjang dan pagar kayu, memburu, menjala ikan, dan terlibat dalam aktiviti peperangan. Manakala warga wanita pula bertugas menguruskan ladang jagung, kacang, dan buah Squash, serta membekalkan pakaian serta mereka barangan yang sesuai untuk kegunaan harian. Selepas musim tuaian pada musim luruh, para warga lelaki pergi memburu rusa di hutan dan kembali semula ke perumahan pada pertengahan musim sejuk. Pada musim bunga pula, ikan di sungai dan tasik menjadi buruan warga Iroquois.

Kekeluargaan dan kedudukan adalah perkara asas dalam kehidupan politik tradisional Iroquois. Para perwakilan menyukai pertemuan, sehingga banyak mengambil masa berada dalam Majlis. Para ahli majlis ditentukan melalui kedudukan, jantina, umur, dan beberapa soalan khusus yang perlu dijawab. Setiap ahli majlis perlu mempunyai protokol tersendiri bagi mendapatkan sokongan, yang mana sokongan itu penting dalam proses membuat keputusan akan datang.

Kaum Iroquois mempunyai pegangan kosmologi agama yang mempercayai bahawa ketibaan wanita jatuh dari langit menjadi peristiwa penting dalam kelahiran kaum tersebut. Terdapat juga kepercayaan lain mengenai peristiwa banjir, pencerobohan dan kekejaman di dunia oleh makhluk ghaib, sihir, penyeksaan, kanibalisme, mitos tentang bintang, dan pengembaraan ke dunia lain. Dalam kitaran upacara formal terdapat 6 buah perarakan agrikultur atau pertanian sebagai tanda terima kasih melalui doa panjang mereka.

Peperangan amat penting bagi warga lelaki kerana bagi mereka penghormatan diri bergantung kepada pencapaian peribadi dalam memenangi mana-mana peperangan. Tawanan perang biasanya dijadikan sebagai hamba dan diserap masuk dalam sesebuah keluarga yang kematian ahlinya. Wabak penyakit dan kekalahan dalam perang menjadi sebab utama peningkatan keperluan tawanan, seterusnya populasi Iroquois meningkat pada lewat abad ke-17 Masihi.

Gambar 3: Six Nation atau Persekutuan Iroquois baru setelah kemasukan kaum Tuscarora.

Dalam proses pengembangan populasi Five Nations ini, mereka mengembangkan budaya dengan menjadikan jagung, kacang, dan buah Squash sebagai makanan ruji bagi menampung populasi. Mereka memulakan peperangan dengan puak Algonquian yang mendominasi tanag Utara Amerika. Penjajahan ini dibuktikan oleh ahli sejarah iaitu Diana Muir di mana menerapan ilmu agrikultur Algonquian ditemui dalam kehidupan masyarakat Iroquois, sehingga ia mampu menampungkan populasi seterusnya melahirkan para pahlawan yang melindungi tanah Iroquois.

Ketika penempatan koloni British dan Perancis pada abad ke-17 Masihi, kaum Iroquois menjadi sebuah komuniti yang digeruni oleh para kolonial yang berasal dari Eropah itu. Setelah terbinanya penempatan British pertama di Jamestown, Virginia pada tahun 1607, para koloni British menemui sekumpulan orang asal bernama Persekutuan Powhatan yang British gelarkan sebagai Massawomeck atau Antouhonoron (gelaran dari koloni Perancis). Persekutuan itu menyatakan bahawa mereka berasal dari utara, luar dari kawasan kaum Susquehannock yang mendiami Sungai Susquehanna (New York). Para sejarahwan sepakat bahawa Persekutuan Powhatan adalah Iroquois.

Pada tahun 1609, kaum Iroquois menunjukkan taring sebenar. Mereka mengisytiharkan perang terhadap kaum asal lain termasuk koloni Perancis yang memihak kepada saingan mereka iaitu kaum Huron. Perang ini digelar Beaver War dan sebab berlaku perang ini adalah bagi menguasai laluan perdagangan bulu haiwan beaver dan mudah mengakses perdagangan dengan koloni Perancis di New York. Kaum pertama yang dibinasakan oleh Iroquois adalah kaum Huron. Kampung terakhir di Wendake dimusnahkan sehingga hancur kerajaan Huron. Kemudian Iroquois menyerang Persekutuan Neutral yang bertempat di kawasan Tasik Erie dan Ontario, kaum Susquehannock, dan beberapa kaum asal selatan. Setelah menumpaskan hamper kesemua puak, Iroquois menjadi kaum digeruni dengan memiliki jajahan dari Sungai Mississippi hingga Lautan Atlantik.

Tahun 1701 selepas Beaver War, selain penambahan populasi Iroquois seramai 12,000 orang, banyak tanah menjadi penguasaan Iroquois terutamanya dari kawasan barat Virginia hingga ke kawasan Sungai Ohio. Pada abad ke-18 timbullah konflik Iroquois setelah kehadiran koloni British memulakan penempatan. Walaupun Iroquois mengamalkan dasar neutral dalam hubungan dagangan dengan para koloni, namun mereka tidak terkecuali terlibat secara langsung dalam konflik Perancis-British sehingga peristiwa Revolusi Amerika di mana Iroquois akan menentang mana-mana koloni yang cuba membina penempatan dalam kawasan pegangan mereka. Kini, kaum Iroquois masih menetap di Utara Amerika. Seramai 45,000 orang menetap di Kanada manakala 80,000 orang menetap di USA.

RUJUKAN:

  1. Beauchamp, William Martin (1905). A History of the New York Iroquois. New York State Education Department. p. 165.
  2. Daeg de Mott, D. K. (2009). “Iroquois”. In Gall, Timothy L.; Hobby, Jeneen. Worldmark Encyclopedia of Cultures and Daily Life, Vol. 2(2nd ed.). Detroit: Gale. pp. 304–310.
  3. Fenton, William N. (1998). The Great Law and the Longhouse: A Political History of the Iroquois Confederacy.Norman: University of Oklahoma Press.
  4. Iroquois People, Encyclopedia Britannica. https://www.britannica.com/topic/Iroquois-people
  5. Johansen, Bruce (1995). “Dating the Iroquois Confederacy”Akwesasne Notes New Series1(3): 62–63.
  6. Johansen, Bruce Elliott; Mann, Barbara Alice (2000). “Ganondagan”Encyclopedia of the Haudenosaunee (Iroquois Confederacy). Greenwood Publishing Group. p. 105.
  7. Reid, Gerald (1996). “Iroquois”. Encyclopedia of World Cultures. Vol. 1: North America. New York: Macmillan Reference USA. pp. 164–167.
  8. Richter, D. The Ordeal of the Longhouse: The Peoples of the Iroquois League in the Era of European Colonization, Chapel-Hill: University of North Carolina Press, 1992

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.