Kemerdekaan Malaysia adalah suatu detik yang sangat unik dan bersejarah jika dibandingkan dengan kemerdekaan negara-negara lain. Uniknya, Malaysia merdeka tanpa pertumpahan darah, sangat berbeza dengan negara-negara jiran dan boleh dikatakan tiada negara di dunia ini yang merdeka tanpa peperangan dengan penjajah mereka, kecuali negara-negara yang lewat dimerdekakan seperti Hongkong (1996) dan Brunei (1984).

Perang dunia kedua yang meletus sejak 1942 telah menyaksikan Jepun yang mewarisi kecanggihan teknologi moden hasil daripada kebangkitan Meiji pada tahun 1868 yang memodenkan Jepun serta pengalaman Jepun menyertai Perang Dunia Pertama Bersama Tentera Bersekutu telah menyebabkan Jepun berubah menjadi gergasi Asia dengan kecanggihan teknologi perang di laut dan di udara. Natijahnya, Jepun menyertai Perang Dunia Kedua sebagai Kuasa Paksi dan menakluki seluruh Negara Asia Timur untuk mewujudkan Persekutuan Asia Timur Raya. Jepun menakluki Negeri-negeri Melayu dan peristiwa hitam ini lantaran kekejaman askar Jepun dalam tekanan peperangan, menjadi lonjakan kepada kehendak kemerdekaan daripada kuasa asing.

Kesatuan Melayu Muda membuat cadangan penubuhan Melayu Raya yang menggabungkan Seluruh Kepulauan Melayu kepada Jepun dan merdeka sebagai sebuah negara, tetapi hasrat tersebut tidak kesampaian kerana Jepun menyerah kalah terlebih dahulu. Selain itu, British dalam penentangan terhadap Jepun di Tanah Melayu telah mewujudkan Tentera Gerila Force 136 dengan askar-askar Melayu dan memberi bantuan peralatan perang kepada Malayan People Anti-Japanese Association (MPAJA) yang ditunjangi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan disertai oleh kebanyakan bangsa Cina. Jepun menganggap orang cina adalah musuh dan membunuh lebih 80,000 orang cina di seluruh Tanah Melayu dan Singapura, rentetan daripada Perang Jepun-China 1937.

Namun begitu, Gerakan Radikal Melayu (Golongan Kiri) melalui Kesatuan Melayu Muda dengan tokoh-tokoh yang berwibawa seperti Ibrahim Haji Yaacob, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Mohamad telah menggerakkan semangat nasionalisme Melayu dengan mencontohi Gerakan Islah di Mesir sejak 1932 lagi. Melalui pendudukan Jepun, mereka Nampak seperti ada satu peluang untuk mewujudkan negara Melayu tersendiri. Namun begitu, KMM telah diharamkan oleh Jepun pada 1942 atas alas an desakan kemerdekaan daripada Jepun. Tentera Jepun juga membelasah pemimpinnya yang bernama Mustafa Hussein.

Peristiwa itu menyebabkan Ibrahim bin Yaacob kecewa dan merasakann kemenangan Jepun bukanlah kemenangan golongan radikal Melayu. Golongan aristokrat Melayu yang terdiri daripada golongan kanan pula diberikan jawatan yang sama seperti di zaman British, tetapi hanya mengangguk sahaja di atas setiap telunjuk Jepun. Gerakan Nasionalisme Melayu di zaman Jepun kelihatan sekata iaitu lebih kepada kerjasama menyokong Jepun. Pendudukan Jepun juga merangsangkan gerakan kemerdekaan melalui Kesatuan Rakyat Indo-Semenanjung (KRIS) yang ditubuhkan atas restu Jepun, tetapi hasrat merdeka tidak tercapai kerana Indonesia telah merdeka terlebih dahulu pada 15 Julai 1945. Penyatuan Golongan Kiri dan Kanan di Tanah Melayu pada masa itu menjadi langkah awal penyatuan politik di Tanah Melayu dan merintis kepada kemerdekaan, sejak 1945 lagi.

Setelah Perang Dunia Kedua kabut, British Military Administration (BMA) yang diketuai oleh Sir Ralph Hone, Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam telah diwujudkan sebagai interregnum pentadbiran di Tanah Melayu. Namun begitu, MPAJA yang menjadi kumpulan penentang Jepun terbesar mengisi kelompongan kuasa selama lebih kurang 14 hari. Dengan kuasa dan persenjataan yang mereka ada, MPAJA telah menangkap ramai polis-polis Melayu dan membunuh mereka kerana didakwa menjadi talibarut Jepun, sehingga mewujudkan ketegangan kaum. Kaum Melayu pula ibarat keluar mulut singa, masuk mulut buaya. Pelbagai peristiwa yang membawa ketegangan ini menyebabkan berlaku rusuhan di banyak tempat terutamanya di Batu Pahat, di mana tentera Bintang Tiga (MPAJA) telah bertembung dengan Kiyai Salleh dan tentera Selempang Merah. Peristiwa parang terbang masih menjadi bualan sehingga ke hari ini. Peristiwa hitam ini menyebabkan BMA terpaksa mencampuri urusan di Tanah Melayu dan memaksa Bintang Tiga meletakkan senjata dan menerima upah sebanyak $350 (Dollar Straits Settlement setiap seorang.

Kehadiran semula British di Tanah Melayu sangat dialu-alukan, lantaran kekejaman tentera MPAJA dan komunis terhadap orang Melayu dan orang Melayu memilih British yang lebih berdiplomasi berbanding Bintang Tiga yang dibelakangi oleh Komunis. British pula tidak mudah melepaskan ‘periuk emas’ mereka ini kerana British telah hampir bankrap dalam Perang Dunia Kedua. Pengunduran Jepun dan kekayaan asset British terutamanya ladang getah dan lombong bijih timah masih didambakan, walaupun kebanyakannya telah musnah dalam Strategi Bumi Hangus yang dilaksanakan oleh British. Oleh itu, BMA mengambil alih kuasa di Kuala Lumpur pada 13 September 1945 secara rasminya dan memaksa MPAJA untuk meletakkan senjata. Namun begitu, masih ramai yang tidak mahu menyerahkan senjata dan masuk kembali ke dalam hutan menubuhkan MPABA (Anti-British) pula. Perang antara pihak berkuasa Malaya dengan komunis ini berlarutan sehingga 1960-an.

Semasa Jepun menduduki seluruh Asia Tenggara, British melalui Parti Buruh telah merangka Malayan Union untuk melincirkan pentadbiran di Tanah Melayu bagi menyediakan kerajaan sendiri berikutan daripada keadaan kewangan Britain yang mengalami defisit teruk akibat perang. Justeru, setelah Jepun menyerah kalah, Gagasan Malayan Union dibentangkan di Parlimen Britain pada 10 Oktober 1945. Penubuhan Malayan Union adalah untuk menggantikan sistem residen dan naungan British kepada tanah jajahan British, dengan diperintah oleh seorang gabenor. Sir Harold McMichael, orang yang bertanggungjawab dalam krisis yahudi di Tanah Mandat Palestin (Palestine Mandate) merupakan seorang yang licik dan tegas. Dia telah memaksa sultan-sultan Melayu untuk menandatangani penubuhan Malayan Union sama ada secara sukarela ataupun secara paksa. Oleh sebab tekanan radikalisme dan komunisme, serta ancaman dikembalikan wilayah ke Negara Thailand seperti sebelum 1909, Raja-Raja Melayu telah menandatangani Malayan Union. Tambahan pula, Raja-Raja Melayu tidak diberikan masa yang cukup untuk berbincang dengan para pembesar masing-masing.

Pada 1 April 1946, Malayan Union diisytiharkan di The King House dengan Sir Edward Gent menjadi Gabenor pertamanya. Namun begitu, orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu menentang Malayan Union dan memboikot upacara perasmiannya. Penentangan terhadap Malayan Union adalah gerakan terbesar orang Melayu dan penyatuan terbesar yang pernah wujud dalam politik orang Melayu, sejak kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka lagi. Orang Melayu menentang cara Malayan Union yang memaksa Raja-Raja Melayu menandatangai perjanjian berat sebelah dan penghapusan kuasa Raja-Raja Melayu. Tambahan pula, prinsip kewarganegaraan yang sangat liberal (jus soli) terhadap warga pendatang di Tanah Melayu juga menjadi faktor utama kebangkitan Melayu. Malayan Union yang ditubuhkan oleh British kea rah Malaya berkerajaan sendiri adalah untuk memuaskan hati Amerika Syarikat yang banyak membantu British yang hampir muflis dalam perang dan dari segi politik. Namun, secara tidak langsung, hak-hak orang Melayu turut terhakis dalam penubuhan Malayan Union.

Bantahan terhadap Malayan Union dilakukan oleh individu mahupun persatuan. Bermula di Perak, Panglima Bukit Gantang telah menghadap DYMM Sultan Perak agar surat perjanjian persetiaan yang diberikan oleh Harold Mc Michael tersebut dihantar ke mahkamah dan segala perbelanjaan guaman akan ditanggung oleh Perikatan Melayu Perak. Penentangan orang Melayu sangat meluas melalui surat, telegram, demonstrasi dan melalui penulisan dalam akhbar seperti Majlis, Utusan Melayu, Malay Mail, Pelita Malaya dan sebagainya. Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpin kiri dalam KMM pula menyokong cara kerakyatan dalam Malayan Union. Di Selangor juga tidak kurang hebatnya penentangan terhadap Malayan Union. Persatuan Melayu Selangor telah menghantar telegram bantahan ke London pada 17 Januari 1946 dan terdapat 12 Persatuan Melayu di Selangor yang menentang penubuhan Malayan Union.

Segalanya bermula di Batu Pahat apabila Dato Onn bin Jaafar, Pegawai Daerah Batu Pahat Berjaya menghentikan rusuhan kaum menjadi lebih teruk di antara Kiyai Salleh dengan Kaum Cina. Namun begitu, beliau tidak menyangka bahawa Malayan Union berjaya ditubuhkan. Dengan mengadakan mesyuarat di dua tempat berasingan iaitu di Gunung Saga dan Kelab Batu Pahat (sekitar November 1945), beliau diberikan kepercayaan untuk mengetuai persatuan-persatuan Melayu di Johor untuk menentang Malayan Union.

Langkah seterusnya menjadi lebih besar apabila Dato’ Onn bin Jaafar Berjaya mengadakan Kongres Melayu Se-Malaya selama Empat Hari di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur (1 Mac 1946 – 4 Mac 1946) dan dihadiri oleh 150 wakil daripada 41 buah badan perkumpulan dengan 107 orang wakil dan 56 orang pemerhati termasuklah kaum wanita. Pada awalnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 dan dirancang oleh Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyertai kongres ini tetapi disebabkan mereka tidak bersetuju lambang keris diletakkan pada bendera merah putih sang saka bangsa semasa penubuhan UMNO, mereka keluar dari UMNO. Kongres ini dinamakan Kongres 1946.

PKMM masih menaruh harapan agar pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju dengan idea penubuhan Indonesia Raya dan langkah perjuangan golongan kanan dan kiri dalam memperjuangkan bangsa Melayu terus terbahagi. PKMM melalui lidah rasminya Pelita Malaya sering meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan tindak tanduk UMNO dan menuduh UMNO dituduh kolot, konservatif dan tidak demokratik kerana menentang Malayan Union.

Datuk Nik Ahmad Kamil dari Kelantan telah mendesak Kongres 1946 untuk mengadakan sidang tergempar selama dua hari (30 dan 31 Mac 1946) bagi membincangkan langkah-langkah menentang Malayan Union. British sememangnya tidak pernah ambil peduli dan meneruskan Malayan Union pada 1 April 1946. Melalui Kongres Tergempar ini, raja-raja dan pembesar yang dilantik bagi menjawati jawatan dalam Malayan Union didesak memboikot Malayan Union dan umat Melayu diminta berkabung selama 7 hari. Seterusnya, pada 11 Mei 1946, dengan kehadiran 29 pertubuhan negeri-negeri Melayu dengan 58 orang wakil dan 30 pemerhati, Dato’ Onn telah membubarkan Kongres 1946 dan menubuhkan UMNO. Penubuhan ini disambut dengan slogan “Hidup Melayu” dan Dato’ Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden pertamanya. Nama asalnya ialah United Malays Organisation (U.M.O) sebelum Zaaba menambahkan perkataan National dalam nama pertubuhan ini.

Penubuhan UMNO sebagai parti golongan kanan terbesar yang merangkumi raja-raja, orang-orang besar dan rakyat jelata menjadikan ia sebagai parti yang menyeluruh dalam hirarki sosial orang Melayu. Raja-Raja Melayu turut menyokong penubuhan UMNO dan diisytiharkan dalam Istana Besar Johor Bahru oleh DYMM Sultan Ibrahim pada 11 Mei 1946. Sejarah menyaksikan Dato’ Onn bin Jaafar telah menjadi seorang pejuang ulung yang telah menyatukan semua orang Melayu tanpa mengira fahaman mereka sama ada konservatif atau radikal, kanan atau kiri. Namun begtu, PKMM menarik diri pada 29 Jun 1946 semasa persidangan perwakilan di Ipoh  dan meninggalkan golongan kanan sahaja di dalam UMNO kerana tidak setuju dengan lambang keris dan tidak memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Sebagai golongan kanan yang menyokong sistem, UMNO telah melantik Dato’ Ronald Braddell sebagai Penasihat Undang-undang pada 2 Julai 1946 sebelum digantikan oleh Ahmad bin Mohamed Ibrahim pada 1950. Seterusnya, suatu sistem pentadbiran yang lebih baik dan efektif perlu diperkenalkan. Rundingan antara pihak kerajaan British, Raja-Raja Melayu dan UMNO bagi merangka Perjanjian Persekutuan 1948 dan dibawa ke mesyuarat Agung UMNO pada 10 Januari 1947. Perjanjian ini telah digubal melalui Sidang Pleno Inggeris Melayu di antara Bulan Jun hingga Disember 1946 dan menghasilkan buku biru setebal 100 muka surat.

PKMM tidak bersetuju dengan UMNO dan menganggap UMNO memperjuangkan Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dengan slogan Hidup Melayu sebagai pengukuhan kolonialisasi British di Tanah Melayu, bukan idea kemerdekaan. PKMM dengan idea Melayu Raya mahu memperjuangkan kemerdekaan diberikan seperti di Indonesia dan Filipina. PKMM dengan sayapnya, Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai oleh Shamsiah Fakeh  dengan doktrinisasi komunisme daripada PKM pada awalnya (sebelum bertukar kepada Nasionalisme di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy sebagai YDP ke-2) telah menyertai Persidangan United Front dengan Parti Komunis Malaya, Malayan Democratic Union dan beberapa persatuan pada 19 November 1946.. Dalam persidangan ini, mereka menyatakan sokongan kepada Malayan Union dalam pembentukan negara Malaya yang merdeka, iaitu dengan tiga prinsip utama:

  • Menyatukan seluruh Malaya termasuk Singapura
  • Pilihanraya Umum dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri-negeri.
  • Kewarganegaraan diberikan sama rata kepada semua yang menjadikan Malaya sebagai kediaman kekal mereka dan mereka yang setia dengan negara Malaya.

Seterusnya, pada 14 Disember 1946, Malayan Democratic Union (MDU) telah menganjurkan mesyuarat yang disertai oleh PKMM dan MIC (Malayan Indian Congress) telah menubuhkan Council for Joint Action (CJA) yang turut disertai oleh persatuan-persatuan buruh dan persatuan bukan Melayu. Tun Tan Cheng Lock telah dilantik menjadi pengerusi yang pertama dengan Paul Eber sebagai Setiausaha Agung. Dua hari kemudian, CJA telah menghantar bantahan terhadap perjanjian antara Dato’ Onn dengan pihak British  (perjanjian persekutuan tanah Melayu yang dibincangkan oleh sidang pleno) kepada Arthur Creech Jones, Kesatuan Pedagang-pedagang di bawah Setiausaha Negara untuk Koloni-koloni British dan CJA juga berhasrat untuk memboikot penubuhan yang dicadangkan daripada sidang pleno.

Pada 22 Disember 1946, CJA bertukar menjadi PMCJA (Pan-Malayan Council of Joint Action) setelah melebarkan lagi sayapnya di Semenanjung dengan penyertaan lebih banyak kesatuan-kesatuan pekerja dan buruh terutamanya di Pulau Pinang, Melaka, Selangor dan Perak. Namun begitu, ‘Kertas Putih” diterbitkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 24 Disember 1946 di antara pemimpin UMNO dan pihak British dengan menggunakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor sebagai asas. Penerimaan Kertas Cadangan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) ini menyebabkan hasrat PMCJA untuk menjadi badan tunggal yang dibenarkan berunding dengan British untuk tujuan pemindaan perlembagaan terpadam kerana Sir Edward Gent menerima semua proposal yang diserahkan kepadanya.

Dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Melayu pada 24 Disember 1946 ini, golongan kiri terus berusaha menentang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 22 Februari 1947, PKMM telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang disertai dengan beberapa persatuan golongan kiri Melayu seperti Gerakan Angkatan Muda (GERAM), Barisan Tani SeMalaya (BATAS) dan Hizbul Muslimin. Perikatan antara Masyarakat Melayu berhaluan kiri disatukan dengan Masyarakat Bukan Melayu yang rata-ratanya menguasai perniagaan dan kesatuan sekerja dan buruh menjadi perikatan pertama bersilang kaum di Malaysia dengan menggunakan nama PUTERA-PMCJA. PUTERA-PMCJA kemudiannya ditukar kepada PUTERA-AMCJA dengan mengambil kira dominasi komunis dalam Dewan Perniagaan Cina (Associated Chinese Chambers of Commerce atau ACCC) dan dianggap hanya bukan Melayu dalam gabungan.

Pada 21 September 1947, PUTERA-AMCJA telah menghantar kertas cadangan penubuhan negara baharu melalui kertas cadangan yang dinamakan Perlembagaan Rakyat. Perlembagaan Rakyat yang dihasilkan mempunyai banyak perbezaan dengan Kertas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Antaranya, perlembagaan Rakyat mahu penyatuan Malaya termasuk Singapura, Pilihanraya diadakan di peringkat pusat dan negeri, hak kewarganegaraan yang sama rata, Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa sebenar yang bertanggungjawab kepada rakyat menerusi majlis yang dipilih (menerusi Pilihanraya), semua rakyat akan dinamakan bangsa Melayu tidak kira keturunan, adat istiadat dan agama dikawal oleh majlis khas orang Melayu dan perlembagaan ini akan membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu dengan Pengurangan Kuasa Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu.

Sedangkan, dalam masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu masih tidak menunjukkan kesediaan untuk kemerdekaan dengan melantik Pesuruhjaya Tinggi British sebagai Ketua Majlis Eksekutif. Di samping itu, golongan haluan kiri yang cenderung kepada gerakan yang radikal dan disokong oleh Parti Komunis berpendapat bahawa Persekutuan Tanah Melayu bukan untuk mencapai kemerdekaan, malahan ia hanya suatu bentuk penjajahan baharu yang lebih tersusun dengan pelantikan Pesuruhjaya Tinggi British sebagai Ketua dalam Majlis Eksekutifnya.

Perlembagaan Rakyat telah dibakulsampahkan orang Sir Edward Gent kerana bimbang dengan Gerakan Golongan Berhaluan Kiri yang radikal dan mendapat sokongan Komunis. Mereka terlalu obses dengan kemerdekaan dan British resah dengan bersatunya parti-parti berhaluan kiri. Justeru intu, British telah menghidupkan semula undang-undang pendaftaran persatuan untuk mengekang gerakan golongan kiri. Perlembagaan Rakyat pula telah disebarkan oleh Gabungan PUTERA-AMCJA ke seluruh pelosok tanah air melalui akhbar-akhbar yang dimiliki oleh mereka dan tindakan British yang mengabaikan Perlembagaan Rakyat menyebabkan mereka bertindak melancarkan mogok besar-besaran yang dipanggil hartal.

Apatah lagi, ACCC menganggap Cadangan Semakan Perlembagaan yang diterbitkan pada Julai 1947 (isi kandungannya menyamai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu) bersifat autokratik, tidak bertanggungjawab dan melengah-lengahkan kemerdekaan Malaya. British pula tidak mahu menerima perlembagaan yang merugikan mereka kerana kekayaan Malaya sangat penting bagi menampung keperluan ekonomi mereka yang mana British telah muflis dari segi kewangan selepas Perang Dunia Kedua.

Maka, pada 20 Oktober 1947, menerusi banyak kempen dan propaganda di dalam akhbar dan radio, All Malaya Hartal telah diadakan di seluruh negara dan disambut oleh semua peniaga dan pekerja di seluruh Malaya yang melancarkan mogok. Mogok ini dianggap sangat berjaya kerana semua kedai-kedai di bandar utama dan pekan-pekan yang majoritinya adalah daripada peniaga Cina yang menganggotai ACCC telah menutup perniagaan masing-masing. Pekerja-pekerja dalam kesatuan buruh yang menganggotai AMCJA juga tidak bekerja dan semua estet-estet menjadi sunyi pada hari tersebut. Walaubagaimanapun, Hartal mendapat tentangan daripada orang-orang Melayu terutamanya dalam kalangan aristokrat Melayu dan UMNO.

Walaupun hartal ini dianggap sangat berjaya, namun ia tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan British dan Malayan Union. Tambahan pula, ACCC tidak dapat memberikan sokongan dari segi kewangan untuk Hartal Kedua kerana perang saudara di Tanah Besar Cina menyebabkan hartal tidak dapat diadakan. Tambahan pula, Persekutuan Tanah Melayu telahpun ditubuhkan dengan jayanya oleh pihak berhaluan kanan pada 1 Februari 1948 dengan pelantikan Sir Edward Gent sebagai Pesuruhjaya Tinggi British yang pertama.

Selaras dengan itu, Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) yang tidak berpuas hati dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu telah melancarkan serangan gerila bersenjata dan tindakan ini menyebabkan British telah mengharamkan Gabungan PUTERA-AMCJA, di mana AMCJA terbubar dengan sendirinya dan parti-parti politik Melayu dalam PUTERA diharamkan satu persatu. Keadaan ini menyebabkan perjuangan kemerdekaan haluan kiri terhapus. Banyak ahli-ahli dalam parti berhaluan kiri meneruskan perjuangan dengan mengangkat senjata dan Malaya kembali ke kancah perang (Darurat atau Malayan Emergency) dengan keazaman Parti Komunis menubuhkan Negara Komunis Republik Malaya. Perang yang kejam ini berlarutan shingga 1960. Tindakan kejam komunis menyebabkan kebencian meluap-luap rakyat Malaya terhadap komunisme.

Perjuangan parti berhaluan kanan yang ditunjangi oleh UMNO pula meneruskan perjuangan mereka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada Tahun 1957.

Rujukan:

  1. Ishak Saat (2010), Caturan Politik Pelbagai Kaum di Tanah Melayu 1946-1957, Malaysian Journal of Histroy, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010), UKM.
  2. Malayan People’s Anti Japanese Army, http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_905_2004-12-23.html
  3. Wan Hashim Wan Teh (1996), Peranan Orang Melayu dalam Gerakan Anti-Jepun, UKM
  4. Koleksi Arkib negara berkenaan Malayan Union, arkib.gov.my
  5. Ku Hasnan bin Ku Halim, Ainudin Lee bin Iskandar Lee, Suhaimi bin Sulaiman, UMNO dan Krisis; Pemelitian Kepada Krisis Dalaman-Kes Terpilih, kajian bersama UTHM, UUM, UMS
  6. Ahmat Adam (2001), Partai Kebangsaan Melayu Malaya: Sebuah Mimpi Nusantara, UKM

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.