Revolusi Perancis telah menyaksikan kemunculan Napoleon Bonaparte (15 Ogos 1769 – 5 Mei 1821) yang merupakan ketua pasukan tentera Perancis dan pemimpin politik yang terkenal ketika revolusi itu. Beliau merupakan Maharaja Perancis dari tahun 1804 hingga 1814 dan membawa perubahan penting di seluruh Eropah, termasuk pemansuhan feudalisme dan penyebaran toleransi agama.
Pada tahun 1796, Napoleon hanyalah salah seorang daripada sekian banyak jeneral yang berpengalaman dari segi politik yang mengetuai tentera republikan untuk memasuki wilayah Itali. Namun begitu, tiga tahun kemudian, beliau muncul sebagai pemimpin yang dihormati.
Kebangkitan dan kejayaan yang menakjubkan ini sebahagian besar terletak pada keupayaan hebat beliau untuk membentuk populariti sendiri menerusi propaganda dengan memanipulasi pendapat awam yang dirancang dengan teliti.
Napoleon menerbitkan Bulletins Napoleon (Bulletins) dari Grande Armée (Angkatan Tentera Besar), yang ditulis di bawah pengawasan beliau. Ia mengandungi arahan-arahan kepada tentera, deklarasi, surat dan juga kisah mengagungkan kemenangan dirinya. Ringkasnya, Bulletins itu membesar-besarkan kehandalan dan kehebatan Napoleon ketika bertempur di medan perang, dan menutup kelemahannya.
Bulletins ini dicetak dalam akhbar rasmi Le Moniteur Universel, dan disalin kepada pegawai kerajaan dan ditampal di dinding gereja, dataran bandar, dan dewan bandaran. Pejabat diplomat asing akan melaporkan kandungan ini kepada kerajaan mereka. Akhbar-akhbar di seluruh dunia akan mencetak semula semua atau sebahagian Bulletins secara langsung atau dari halaman Moniteur Universel.
Meskipun begitu, ada kalanya Bulletins menjadi bahan jenaka dikalangan warga Paris, “Dusta seperti Bulletins”, namun medium ini tetap menjadi sumber inspirasi utama dikalangan para tentera.
Napoleon mempergunakan propaganda dengan sebaik mungkin. Sekiranya pertempuran bermula dengan teruk, Napoleon akan mengingatkan semula kemenangan pertempuran silam. Bahkan kegagalan dalam Kepungan Kota Acre di Syria pada tahun 1799 dan kehilangan beratus-ratus orang tentera, Napoleon mengeluarkan Bulletins mengumumkan bahawa beliau telah memusnahkan Kota Acre menjadi “padang jarak padang tekukur.”
Akhirnya Napoleon dan tenteranya disambut pulang seperti pahlawan yang menang.
Wayne Hanley menulis dalam The Genesis of Napoleonic Propaganda, 1796–1799, Wayne Hanley mengkaji manipulasi Napoleon terhadap akhbar yang diasaskan oleh beliau sendiri. Ternyata akhbar digunakan dengan tujuan memastikan imejnya berkesan dan mengelakkan kritikan sepanjang pemerintahannya.
Pada tahun 1796, sebagai jeneral berusia 26 tahun, beliau mengetuai tentera dari barisan depan dan mengusir tentera Austria keluar dari selatan Itali. Melalui dua akhbar yang diusahakan oleh beliau, terkandung perumpamaan pemujaan: “Dia terbang seperti kilat, dan menyerang seperti petir,”.
Pada zaman beliau kebebasan akhbar juga dikawal demi mengekalkan tahap kuasanya. Mana-mana bahan bercetak yang tidak mengikut kemahuan Napoleon akan ditutup. Untuk mengurangkan kontroversi agama, beliau mewujudkan Journal des Cures bagi menggantikan semua akhbar yang beliau telah sekat. Apabila Napoleon mula berkuasa pada tahun 1804, terdapat 73 akhbar di Paris; pada tahun 1810, hanya tinggal 4 akhbar sahaja.
Selain itu, Napoleon juga menggunakan akhbar beliau sendiri untuk melawan propaganda negatif, dari kumpulan politik yang dikenali sebagai Club de Clichy. Pastinya, dalam akhbar berkenaan terkandung makalah yang mencerminkan pandangan politik yang lebih memihak kepada beliau sendiri.
Robert Holtman dalam bukunya Napoleonic Propaganda, menegaskan bahawa Napoleon memberikan dua sumbangan sebenar kepada perkembangan propaganda. Beliau merupakan raja pertama yang bercakap dengan rakyatnya secara langsung menerusi Bulletins dan menggunakan jentera kerajaan secara sistematik ke arah kegiatan propaganda yang mendewakan dirinya.
Di samping mengawal penerbitan akhbar, cara negatif lain untuk mengawal pendapat awam adalah melalui penapisan. Wujud penapisan ketat terhadap surat, akhbar, teater, kesenian dan buku. Penerbitan dilarang sekiranya buku berkenaan berpendirian berbeza dengan kepentingan keamanan, negara, dan ketenteraman awam.
Seluruh jentera kerajaan, orang awam, dan tentera digunakan untuk mengedarkan bahan propaganda. Napoleon adalah penting sebagai diktator pertama yang menumpukan perhatian yang begitu mendalam terhadap membingkai pendapat awam dan membina imej yang dikehendaki.
Secara keseluruhannya, Napoleon menggunakan strategi “serampang dua mata,” iaitu propaganda tulisan dan penapisan yang memainkan peranan penting sehingga membolehkan beliau berkuasa.
Praktis propaganda seperti yang dilakukan oleh Napoleon masih dilakukan oleh para propagandis pada hari ini. Apabila Napoleon kerap berhubung dengan orang ramai menggunakan Bulletins dan akhbar sebagai medium penyebaran propaganda, propagandis era dunia digital menggunakan media sosial, seperti Twitter dan Facebook. Niat yang sama dengan cara berbeza.
Budiman Mohd Zohdi, penyelidik komunikasi dan politik berpusat di Jakarta, Indonesia
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih