Perkataan “propaganda” tidak asing kepada kita semua. Kita sering mendengar rakyat berkata, “Itu hanya propaganda politik,” atau pemimpin negara, berkata, “Itu hanya propaganda pihak luar” sambil memberikan alasan-alasan tertentu, antaranya “mereka cuba memecahbelahkan rakyat” atau “mereka mencemburui kita”.
Bermula kewujudan media cetak, media elektronik dan kini media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, blog, dan sebagainya yang menyebabkan “segala mesej dirakamkan” sehingga membolehkan propaganda berlegar-legar untuk membentuk dan mempengaruhi pendapat awam. Dalam pada teknologi silih berganti dan menjadi usang, propaganda kekal dengan sifatnya.
Dari segi sejarah, boleh dikatakan bahawa sejarah propaganda sama tuanya dengan peradaban manusia. Di zaman Mesir kuno, beribu-ribu tahun sebelum Masihi, telah terkenal dengan kehadiran piramid dan patung Raja Firaun. Peninggalan sejarah ini, dari segi komunikasi adalah sebagai lambang propaganda, baik dalam konteks budaya, autoriti, mahupun budaya.
Sementara itu di China, propaganda dalam bentuk tatzepao (poster dinding) sudah dikenali masyarakat luas sejak Dinasti Shang (1523 – 1028 Sebelum Masihi) dan diwariskan secara turun-temurun hingga sekarang. Media tersebut sangat berkesan untuk mempengaruhi atau menumbuhkan sikap tertentu pada masyarakat.
Yunani kuno mempunyai dua orang propagandis, iaitu ahli falsafah Plato dan Aristotle. Plato memberikan perhatian terhadap propaganda dalam karyanya, Republic, sebuah penulisan dalam bentuk dialog mengemukakan pandangan tentang takrif “keadilan.” Beliau mengemukakan penubuhan sebuah kota yang ideal yang mengamalkan keadilan yang sempurna. Tujuan cadangan itu adalah untuk menjamin kesetiaan penduduk dengan alasan agar mereka tidak mendengar pandangan selain pihak kerajaan.
Dalam perkembangan kemudian, muncul tokoh seperti Corax dan Aristotle. Corax dikenali sebagai pengajar propaganda yang meletakkan dasar ilmu retorik, iaitu teknik berpidato yang dapat digunakan sebagai sarana (vehicle) membujuk. Corax meletakkan oratori menjadi lima bahagian, iaitu (1) proem atau pengantar; (2) narratio, mengandungi huraian tentang pokok persoalan yang akan dikemukakan; (3) agon atau argumen, bahagian yang mengemukakan bukti tentang persoalan utama; (4) parekbasis atau digressio, catatan pelengkap untuk menjelaskan persoalan; dan (5) peroratio, penutup pidato yang mengemukakan kesimpulan dan saranan.
Aristotle juga muncul sebagai pengasas propaganda Yunani kuno yang menulis dalam Rhetoric telah memperkenalkan pendekatan mempengaruhi dengan ethos, logos, dan pathos. Beliau mahu memenangi rakyat melalui pujukan, supaya menerima pandangan penutur dan menolak idea pihak lawan. Aristotle – anak murid Plato telah menghasilkan sebuah buku pegangan tentang propaganda yang pertama, dengan menggunakan kata-kata yang diucapkan sebagai tekniknya (speech and oratory). Hingga sekarang, buku tersebut masih merupakan buku kajian klasik tentang propaganda.
Bagi ketiga-tiganya, iaitu Plato, Corax, dan Aristotle, propaganda disampaikan atau disebarkan melalui pidato, dengan itu, kemampuan atau kepetahan penutur amat penting. Walau bagaimanapun, sebagai perbandingan, propaganda yang ditekankan oleh Plato lebih bersifat bertahan atau defensif kerana beliau menyokong penapisan, manakala Corax dan Aristotle lebih bersifat menyerang kerana mereka berdua memperkenalkan kaedah lisan dan pidato untuk menyerang atau menolak pihak lawan.
Propaganda juga ditemui dalam Rom kuno. Salah satu kegiatan propaganda pada zaman Rom itu dalam usaha mempengaruhi pendapat umum adalah dengan penganjuran perarakan yang disebut “Kemenangan Rom” atau Triump. Suatu perayaan sambut kemenangan para panglima Rom yang kembali dari medan perang dan membawa hasil kemenangan yang berupa harta rampasan dan tawanan.
Perakan kemenangan ini diadakan bertujuan untuk melahirkan rasa takjub dalam kalangan warga Rom tentang kebesaran dan kegemilangan Rom. Pertunjukan yang disajikan di arena besar, misalnya manusia diadu dengan manusia atau manusia diadu dengan binatang, dilakukan semata-mata untuk mempengaruhi bangsa Rom akan keagungan dan kejayaan His Mother State (Imperium Rom).
Ternyata propaganda merupakan sebahagian peradaban manusia dan bergerak seiringan dengan perkembangan intelektual manusia. Semenjak dari zaman kuno, propaganda merupakan alat pengukuhan wibawa dan lambang kuasa.
Budiman Mohd Zohdi merupakan penyelidik komunikasi dan kempen berpusat di Jakarta, Indonesia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih