Bahasa Inggeris yang kita gunakan sebagai bahasa kedua dan sebagai bahasa utama pada peringkat antarabangsa telah melalui satu perjalanan sejarah yang panjang. Bahasa Inggeris yang kita ketahui pada hari ini sebenarnya bermula dari bawah, kemudian menapak dari satu tangga ke satu tangga dan melalui pelbagai proses bahasa seperti peminjaman, pengayaan kosa kata, dan penciptaan istilah baharu. Perkembangan bahasa Inggeris ini juga didokong oleh para pencinta bahasa, aktivis bahasa, dan pengkaji bahasa. Peranan golongan ini telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai satu bahasa yang hidup dan dinamik sehingga mempunyai 1.2 bilion jumlah penutur bahasa ini di dunia.
Dari sudut sejarah, bahasa Inggeris dikatakan berasal daripada cabang bahasa Germanik Barat yang merupakan rumpun Indo-Eropah. Bahasa Inggeris bermula sejak 450 sebelum masihi apabila penutur rumpun bahasa Germanik memulakan petempatan di Britain. Bahasa Germanik berasal dari Eropah yang mempunyai beberapa cabang, termasuk rumpun bahasa Jerman, Belanda, Saxon lama, Anglo-Frisian, Inggeris, Scott, Scandinavia, termasuk Swedish dan Norwegian. Bahasa ini bergerak secara evolusi dan mengambil masa yang panjang kerana campuran dan hubungan bahasa Germanik memerlukan masa untuk penyesuaian dan perubahan semasa.
Penutur Inggeris lama dikenali sebagai Anglo-Saxon. Golongan tersebut bertanggungjawab terhadap pengasimilasian bahasa Inggeris lama dengan bahasa dialek dan bahasa-bahasa rumpun Germanik. Contohnya, perkataan seperti gift, egg, skirt, skill, skin, take, give, dan get adalah antara rumpun bahasa Scandinavia. Usaha memasukkan dialek ke dalam bahasa Inggeris telah mencetuskan idea untuk cuba memodenkan bahasa mereka. Maka, pada abad ke-12 dan pada abad ke-15, bahasa Inggeris lama ini bertukar sebagai bahasa Pertengahan Bahasa Inggeris. Dalam tempoh inilah berlaku perubahan bunyi dan morfologi dalam bahasa Inggeris. Perubahan ini telah membawa kepada peminjaman puluhan ribu bahasa Latin, Greek, dan penciptaan perbendaharaan kata.
Kesan perubahan ini ialah kemunculan kamus-kamus yang belum mantap. Perkara sebegini menimbulkan kebimbangan tentang ancaman kesucian bahasa tersebut. Justeru, untuk mengelakkan persoalan tentang kemurnian bahasa, satu set preskriptif berkenaan ejaan, sebutan, dan tatabahasa yang seragam diwujudkan. Ketika pendudukan Rom, ramai penutur dialek bahasa Germanik yang berkhidmat dengan tentera Rom. Keadaan ini mewujudkan hubungan saduran bahasa.
Setiap bahasa mempunyai satu karya agung sebagai teras kepada pembinaan bahasa, sejarah dan kebudayaannya. Justeru, versi sejarah The Anglo-Saxon Chronicle yang dihasilkan pada tahun 1154 berupaya memberikan sejarah golongan Anglo-Saxon sejak zaman Julius Caesar hingga abad ke-12. Berdasarkan sejarah ini, perkataan English berasal daripada satu kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Angels. Begitu juga perkataan England yang dikatakan berasal daripada perkataan Angels. Kelompok ini hidup dengan kelompok lain seperti Franks, Goths, Saxon, Vandal, dan Lombard.
Penguasaan Norman ke atas England pada tahun 1066, sistem mahkamah, gereja, sistem perundangan, dan ketenteraan diwujudkan untuk tujuan kekuasaan dan kekayaan. Pada masa ini, bahasa Inggeris diletakkan sebagai bahasa kelas bawahan sahaja yang hanya dituturkan oleh penduduk desa dan masyarkat kelas rendah. Bahasa yang diangkat sebagai bahasa kelas tinggi ialah bahasa Perancis. Walau bagaimanapun terdapat usaha untuk menggunakan kedua-dua bahasa ini namun banyak kekurangan serta banyak aspek bahasa yang gagal dikuasai.
Apabila Raja Joh tewas kepada Raja Philip Perancis pada tahun 1204 dan perhubungan mula antara England, pertembungan politik dan ketenteraan menjadikan bahasa Anglo-Norman mulai longgar. Meskipun bahasa Inggeris belum begitu mantap lagi dan berada di tengah-tengah dominasi bahasa Latin dan bahasa Perncis, namun pada abad ke-13, bahasa Inggeris berjaya diungkapkan dalam bentuk kesusasteraan.
Bahasa Inggeris yang berputik di Englan dari utara Eropah pada abad ke-5, berkembang ke British Isle yang kemudian berkembang ke Wales, Cornwall, Cumbria, dan selatan Scotland yang merupakan pusat bahasa-bahasa Celtic. Apabila pihak dari utara Perancis yang dikenali sebagai golongan Norman datang menyerang pada tahun 1066, kebanyakan golongan bangsawan England lari ke utara Scotland, dan bahasa Inggeris turut merebak di sana. Pada abad ke-12 pula, golongan pahlawan Anglo-Norman dihantar menyeberangi Lautan Isrish dan Ireland kemudian secara beransur-ansur bahasa Inggeris mula berkembang di sana. Anglo-Norman merupakan campuran Norman dan Inggeris di England.
Pada abad ke-15 dan abad ke-17, pemodenan bahasa Inggeris mula berlaku. Pemodenan berlaku dalam aspek sastera khususnya dalam aspek struktur bahasa dalam bahasa moden. Terdapat perubahan dan kemajuan bahasa yang berkaitan dengan perubahan sosial. Hal ini dapat dilihat juga dalam perubahan struktur tatabahasa yang lebih kompleks dan dinamik. Kemajuan bahasa dapat diukur juga melalui penghasilan kamus-kamus bermutu tinggi dan penyelarasan sistem tatabahasa. Dalam konteks di England, hal ini berlaku pada abad ke-18. Antara teks pelopor ialah teks Trinity yang ditulis oleh Bishop Lowht pada tahun 1762, Universal Grammar Theory ditulis oleh James Harris pada tahun 1751, dan kamus yang ditulis oleh Samuel Johnson pada tahun 1755.
Penghasilan teks yang mantap dengan kuantiti yang terbaik serta terperinci berupaya membudayakan pembentukan penguasaan bahasa Inggeris yang bermutu dan meningkatkan kadar celik huruf dan minat membaca penduduk negara. Situasi bahasa di England yang berasaskan teori tatabahasa sejagat mencerminkan kualiti minda dan penghormatan terhadap Latin. Kehadiran bahasa Latin yang merupakan bahasa dunia pada masa itu wujud erana kewujudan empayar Rom yang mempunyai kelebihan memanfaatkan kuasa yang ada pada mereka meskipun penutur bahasa asal mereka sangat kecil. Selepas menguasai sesebuah negara, mereka dengan penuh jati diri memperkenalkan, mempromosikan, dan mengembangkan bahasa Latin ke negara yang pernah dijajah. Semangat mencintai bahasa kebangsaan mereka dikembangkan ke negara-negara lain melalui penjajahan. Selepas kejatuhan Rom, maka kuasa yang ada [ada mereka pudar. Di sinilah, Inggeris sedikit demi sedikit mengambil tempat dan kedudukan bahasa dunia.
Apabila Rom mengeluarkan tentera pada 410 sebelum Masihi dari Britain, bahasa Latin masih bertahan dan masih dituturkan di kebanyakan tempat di Britain dan di Benua Eropah. (Artikel tentang kegemilangan dan kejatuhan bahasa Latin akan menyusul). Bahasa Latin mempunyai pengaruh terhadap bahasa Germanik dan Celtic seperti wall, kitchen, wine, mile, dan street. Bahasa Latin juga berkembang melalui migrasi, gereja Katolik, dan aspek intelektual, khususnya dalam bidang kemanusiaan. Antara perkataan yang dipinjam ialah abbreviate, acceleration, accomomodate, aristocracy, barbarously, circumscription, democracy, education, encyclopedia, historian, inflection, modesty, society, temperature, tolerate, contemporary, simultaneous dan epistemic. Peminjaman kosa kata bahasa Latin juga diambil dalam bidang agama seperti altar, angel, clerci, temple, psalm, master dan demon. Dari sini kita dapat lihat bahawa perkembangan bahasa Inggeris juga ada bergantung pada bahasa Latin.
Bertitik tolak daripada kemajuan yang sedikit demi sedikit itu (selepas kejatuhan Rom), bahasa Inggeris mula memasuki era sebagai bahasa imperialisme. Pada abad ke-16, jumlah penutur bahasa Inggeris hanyalah sekitar 5 hingga 6 juta dan kebanyakan mereka tinggal di British Isle. Namun pada abad ke-17, bahasa Inggeris berkembang di seluruh dunia. Ketika permulaan pemerintahan Elizabeth II (1952), jumlah penutur semakin meningkat berlipat kali ganda iaitu sekitar 250 juta yang kebanyakannya tinggal di luar England. Keadaan ini adalah disebabkan oleh peranan dan tindakan pihak kerajaan Inggeris yang menitikberatkan penggunaan dan pengembangan bahasa tersebut.
Hasilnya pada abad ke-18, Britain menjadi kuasa hegemoni yang ampuh di Kanada, India, Australia, New Zealand, Hong Kong, Burma, Malta, Cyprus, Kepulauan Pasifik, dan di benua Afrika. Situasi ini merupakan pergerakan penting dalam sejarah perkembangan dan penyebaran bahasa Inggeris di luar kepulauan Inggeris sendiri. Dan kita dapat lihat pada abad ke-21 ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan paling meluas penggunaannya.
Namun begitu, sebagai mana bahasa-bahasa lain di dunia, bahasa Inggeris juga menghadapi masalah ancamannya. Bahasa Inggeris juga berhadapan dengan isu penggunaannya yang kurang tepat dan tidak standard dalam dunia penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda seperti yang berlaku di Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, termasuk Britain sendiri. Putera Charles sendiri pernah menyuarakan bahawa para pekerja di istana tidak dapat menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. (Tidak kedengaran pula Sultan-sultan kita meluahkan soal penggunaan bahasa dalam kalangan pekerja istanakan?). Universiti Oxford juga mengkritik tahap rendah mutu bahasa Inggeris yang digunakan oleh para pelajar di universiti tersebut. Mereka mencadangkan langkah pembaikan dalam pengajaran khususnya dalam tatabahasa.
Bagaimanapun, negara yang berbahasaibundakan bahasa Inggeris mengambil pendekatan kreatif dalam pengembangan dan mempromosikan bahasa Inggeris. United Kingdom misalnya mempunyai British Council yang mengkhusus tentang pendidikan antarbangsa dan kebudayaan Inggeris. Organisasi ini diiktiraf sebagai propaganda kebudayaan yang mempromosikan bahasa dan pendidikan Inggeris di luar negara. Hampir setiap negara di dunia ini mempunyai pejabat British Council. (Sekadar bertanya : Adakah UK mengizinkan jika kita menubuhkan satu pejabat khas Dewan Bahasa dan Pustaka di sana?)
Ternyata bahawa bahasa Inggeris yang berabad-abad usianya mempunyai strategi sendiri untuk memperluaskan pengaruh. Kelebihan penyebaran bahasa ini dibantu oleh peranan Hollywood dan budaya popular Amerika Syarikat. Bahasa Inggeris dijangka terus mengungguli senarai baahsa yang paling meluas penyebarannya di dunia ini
Rujukan:
- Awang Azman Awang Pawi, ‘Bahasa Inggeris : Bahasa Pinggiran ke Antarabangsa”, Majalah Dewan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Mei 2015
- Edward Finegan, Attitudes Toward English Usage: The History of a War of Words, Teachers College Press, Teachers College, Columbia University, 1980
- http://www.thehistoryofenglish.com/history_before.html
- https://www.sgr.fi/sust/sust266/sust266_kroonen.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih