Untuk melayakkan seseorang calon mendapat tempat di mana-mana universiti awam, politeknik atau kolej komuniti, ia bukanlah bergantung semata-mata kepada kelayakan akademik sahaja.

Lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran dunia pendidikan hari ini. Selain kelulusan akademik, calon juga perlu memiliki sejumlah merit di dalam aktiviti luar akademik, malah ada juga kursus dan program yang memerlukan calonnya perlu melepasi saringan lain atau set ujian dahulu termasuklah sesi temuduga.

Proses seumpamanya ini diaplikasikan bagi kebanyakan pengambilan kemasukan di Pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) Awam, malah turut terpakai untuk beberapa kursus dan program yang diawarkan di Universiti Awam (UA) di Malaysia.

Misalnya, mungkin ada yang menyangka syarat minimum untuk kemasukan Politeknik dan Kolej Komuniti (syarat akademik umum bagi diterima untuk belajar di Kolej Komuniti hanya lulus Bahasa Melayu dan Sejarah) sudah mencukupi untuk melayakkan seorang calon diambil sebagai pelajar. Ini tidaklah benar sepenuhnya untuk semua kursus atau program yang mereka tawarkan.

Terdapat kursus tertentu di Kolej Komuniti misalnya yang memerlukan calon untuk ditemuduga terlebih dahulu. Kursus berkaitan pendawaian elektrik misalnya perlu melepasi kriteria tertentu bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang menitikberatkan kompetensi di dalam bidang praktis ilmu terlibat.

Subjek Seni Visual di peringkat SPM pula misalnya menjadi sandaran jika calon mahu mengambil kursus atau program yang bersandarkan kemahiran kreatif atau seni seperti multimedia, senibina dan media kreatif.

Semua prasayarat dan keperluan tambahan ini akan dipersembahkan oleh setiap calon yang dipanggil ke sesi temuduga apabila ia dilaksanakan. Malah calon juga akan diuji bagi memastikan tidak rabun warna dan rabun penglihatan misalnya terutamanya untuk kursus yang memerlukan pancaindera yang berfungsi dengan baik.

Di Kolej Kemahiran MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA pula misalnya ada keperluan penilaian terhadap folio dan profail calon, dibawa sekali semasa temuduga sekiranya mereka memohon untuk program Art & Design tetapi tidak mengambil subjek Pendidikan Seni di peringkat SPM. Folio ini bertujuan supaya panel dapat menilai tahap asas kemahiran yang dimiliki calon selain mengenalpasti minat pelajar terhadap program yang dimohon.

Ada juga kursus dan program yang memerlukan calon menghadiri tapisan personaliti, minat atau tahap penerimaan dan kelayakan khusus bagi kursus atau program yang dimohon. Sesi temuduga bertujuan memastikan setiap calon melepasi tahap-tahap tertentu di dalam kursus tersebut sebelum diklasifikasikan untuk layak mengambil kursus dan program tersebut.

Kursus berkaitan Kesetiausahaan misalnya akan memberi kelebihan kepada calon yang pandai tentang tatarias wajah dan penampilan diri, selain memiliki keupayaan pengayaan dan cara berpakaian selain berpewatakan menarik.

Kursus Perundangan pula misalnya mungkin menitikberatkan kestabilan emosi, kemampuan menzahirkan idea, kemampuan berkomunikasi dan menterjemah, kemahiran menaakul selain memiliki sifat intuitive, ingin tahu dan kemahiran mengenalpasti perubahan kecil yang tinggi misalnya.

Calon yang berjaya dan gagal boleh dipisahkan bersandarkan pencapaian terhadap kriteria ini hanya selepas menduduki proses temuduga dengan panel berkelayakan.

Pendek kata, temuduga adalah sesuatu penilaian bersifat subjektif. Calon dinilai dari pelbagai aspek dan perspektif, malah ia berbeza juga bagi setiap panel, namun bersandarkan justifikasi yang telah dinyatakan dengan jelas sebelum setiap panel dilantik untuk menemuduga.

Jika ada yang tahu, temuduga bukan sahaja untuk menilai kelayakan akademik, bahkan berfungsi untuk menilai kemahiran berkomunikasi, sikap, lenggok bahasa dan gaya badan, selain kefasihan menyampaikan maksud selain pengetahuan am yang menajdikan anda seorang pelajar yang lebih kompeten dan berdaya saing.

Merit yang baik, misalnya penglibatan di peringkat badan uniform atau sukan di tahap tertinggi menunjukkan secara tidak langsung kepada panel temuduga bahawa beliau memiliki keupayaan menerima arahan, berdisiplin serta ada ciri-ciri mahu menang dan athletic yang diperlukan bagi kursus-kursus yang memerlukan keupayaan fizikal dan psikomotor yang tinggi.

Merit di luar skop akademia ini juga secara umumnya bukanlah bersifat ‘asal ada boleh dapat’. Ia bergantung juga kepada tahap merit yang dimiliki oleh seseorang calon. Misalnya, calon yang memiliki merit tertingginya di peringkat kebangsaan atau antarabangsa pastilah memiliki kelebihan berbanding calon yang memiliki merit di peringkat sekolah atau daerah.

Merit yang pelbagai, ada variasi dan merentasi banyak disiplin; misalnya penglibatan di dalam koir atau debat sekolah, dalam masa yang sama menganggotai badan beruniform dan pernah memenangi johan tilawah, mewakili pasukan ragbi sekolah, dalam masa yang sama menyertai aktiviti lasak di dalam ekspedisi anjuran sekolah, badan belia dalam aktiviti kesukarelawanan atau kelab rekreasi luar akan dilihat lebih menarik berbanding merit yang sekadar terarah di dalam satu bidang sahaja.

Ia menunjukkan calon memiliki kemampuan membahagi-bahagikan masa, berdisiplin selain mampu meresap pelbagai disiplin ilmu, boleh bekerja dengan pelbagai individu dalam kelas serta mempunyai perwatakan yang pandai selok belok bersosial dan merupakan seorang ‘team player’ yang baik, sesuatu yang amat penting di dalam mengusahakan tugasan berkumpulan atau penglibatan dengan fokus tinggi di dalam bengkel dan kuliah.

Malah di dalam beberapa situasi pengambilan, prospek calon yang memohon bukan sahaja diteliti oleh pegawai pengambilan semata-mata, malah kadangkala turut dibantu juga oleh pegawai sukan juga pegawai hal ehwal pelajar. Ini semata-mata untuk memastikan calon yang diterima kelak bukan sahaja dapat mengharumkan nama institusi di dalam bidang akademik, malah turut mampu mengharumkan nama institusi di dalam bidang sukan, badan uniform, sahsiah serta lain-lain aktiviti kokurikulum di luar skop akademik.

Di UA sebagai contoh, mereka memberi lebih keistimewaan dan pastinya kelebihan kepada calon yang memiliki merit sukan yang baik kerana turut mahukan prospek atlet yang baik bertanding mewakili universiti di dalam kejohanan anjuran Majlis Sukan Universiti (MASUM). Politeknik juga tidak terkecuali dengan persaingan sesama mereka dalam kejohanan anjuran Majlis Sukan Politeknik (MSP) atau Kolej Komuniti dengan kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM). Semuanya berebutkan atlet dan prospek juara sukan yang terbaik!

Perkara ini menjadikan penelitian terhadap merit berkaitan aktiviti luar akademik, kesukarelawanan, sukan serta pelbagai aktiviti kokurikulum dan sumbangan luar dari akademia calon akan dinilai dengan rapi. Bahkan bukan hanya Pegawai Pendaftar atau Pegawai Pengambilan sahaja yang terlibat di dalam pengambilan pelajar.

Ada beberapa ketikanya, Pegawai Sukan dan Pegawai Hal Ehwal Pelajar juga kerapkali diminta untuk meneliti calon-calon pelajar yang sesuai untuk diambil belajar di sesebuah institusi tersebut.

Sememangnya merit adalah sama penting dengan kelayakan akademik bagi mendapat tempat di institusi akademik awam hari ini.

Selain dari itu, kekosongan tempat yang ditawarkan turut memainkan peranan. Sebagai contoh, jika sesebuah institusi itu mampu menampung seramai 500 orang pelajar dalam satu-satu masa, dan calon yang memohon katakanlah ada 1000 orang, penelitian serta pemilihan calon yang berjaya akan turut mengambil kira kekangan tempat yang ditawarkan.

Secara automatik, penelitian terhadap kelayakan akademik, penelitian terhadap merit serta penilaian semasa proses temuduga (jika ada) akan dilaksanakan dengan lebih teliti dan ketat. Ini bagi memastikan kuota 500 tempat itu tadi hanya akan dipenuhi dengan 500 orang calon yang terbaik sahaja dari kalangan 1000 yang memohon.

Lebih-lebih lagi di dalam proses pengambilan di UA di mana secara umumnya calon yang memohon lebih ramai dari tempat yang ditawarkan, perkara ini akan membezakan juga siapa yang mendapat tempat dan siapa yang gagal.

Di akhirnya, semua proses ini akan dirangkumkan demi mendapatkan calon-calon yang benar-benar layak serta yang benar-benar berminat mengambil kursus atau program yang ditawarkan di sesebuah institusi tersebut.

Kelayakan Akademik dan merit sukan dan kokurikulum adalah penilaian awal. Temuduga serta penilaian subjektif dan kemahiran sahsiah lain yang berkaitan pula adalah saringan seterusnya bagi mendapatkan calon pelajar yang benar-benar layak menduduki kursus atau program yang dimohon, selain berdasarkan bilangan kekosongan tempat yang ditawarkan.

Ringkasnya, jika kita merasakan kita layak untuk mendapat tempat di mana-mana institusi pilihan sendiri, maka ketahuilah, lebih ramai lagi yang merasakan mereka juga jauh lebih layak dan memenuhi semua merit berkaitan untuk diletakkan di kursus atau program di institusi tersebut.

Begitulah. Dalam mendepani cabaran yang hebat dewasa ini, bukan calon-calon sahaja ramai yang hebat, keperluan dan syarat institusi untuk pengambilan pelajar mereka juga lebih hebat. Malah institusi ini apabila diberi peluang memilih, mereka juga mahukan yang terbaik dari kalangan yang terbaik yang mereka mampu dapatkan kerana tempat yang terhad di institusi awam kita.

Akhirnya, di dalam hidup ini, bukan semua yang kita minta boleh dapat. Ada yang mudah dicapai, ada juga yang lambat dapatnya, malah tidak kurang juga ada yang kita minta tidak akan dapat selamanya.

Ini belum dikira yang sudah diyakini benar ada dalam genggaman, tetapi terlepas akhirnya begitu sahaja.

Itulah realiti kehidupan sebenar. Kita usaha, doa dan tawakal, namun di akhirnya Tuhan jua yang akan menentukan.

Namun percayalah, tidak penting di mana anda bermula, tetapi lebih penting lagi di mana anda berakhir.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.