Permainan dalam talian Defense of The Ancients 2, atau lebih dikenali sebagai DOTA 2, adalah salah satu permainan multiplayer online battle arena (MOBA). Permainan yang mempertemukan 10 orang pemain di dalam dua kumpulan berbeza, menjadikan permainan ini dalam format lima-lawan-lima. Setiap pemain akan mengawal satu hero, satu watak yang mempunyai kuasa yang akan digunakan untuk mencapai satu tujuan berkumpulan, iaitu untuk memusnahkan ancient atau kubu besar pihak lawannya.

Bermula dari siri Warcraft III, permainan stratergi yang dibina oleh Blizzard Entertainment, pengguna permainan Warcraft boleh membina map atau peta mereka sendiri dengan ciri-ciri mereka kehendaki, sebagai salah satu elemen kebebasan kreativiti yang dibenarkan oleh penerbit permainan tersebut. Versi pertama DOTA direka pada tahun 2002, oleh seorang individu dengan nama samaran ‘Eul’, ataupun Kyle Sommer. Peta DOTA ini adalah berdasarkan peta dari permainan dalam talian yang lain, StarCraft yang bertajuk ‘Aeon of Strife’.

Figure 1: Antara paparan antaramuka bagi Dota Allstar.

Selepas DOTA dihasilkan oleh Eul, ia mendapat perhatian daripada komuniti pemain sendiri. Maka ramai pemain yang mula memajukan peta yang direka oleh Eul, dengan salah satu penambahan yang dilakukan adalah dengan kelahiran DOTA Allstars, yang dibina oleh pereka Meian dan Ragn0r (nama samaran mereka) berdasarkan kepada pengumpulan idea daripada komuniti pemain DOTA sendiri.

Pada tahun 2004, Guinsoo, salah seorang pemaju permainan, mula mengawal pembangunan DOTA Allstars, dari versi 3.xx sehinggalah versi 5.xx. Pada 28 Februari 2005, Guinsoo mengumumkan bahawa beliau berhenti dari membangunkan DoTA, meninggalkan DOTA untuk dijaga oleh Neichus dan IceFrog. Neichus kemudiannya meninggalkan DOTA, menjadikan IceFrog sebagai pemaju tunggal untuk DOTA sewaktu versi 6.xx mula diperkenalkan. Guinsoo kemudiannya bekerja sebagai pemaju permainan bagi syarikat Riot Games, memajukan permainan League of Legends yang berdasarkan kepada gameplay asal DOTA.

Figure 2: Identiti IceFrog sehingga hari ini masih menjadi misteri bagi peminat Dota 2.

Populariti DOTA kemudiannya semakin berkembang dalam kalangan komuniti antarabangsa. Dengan pemain yang hampir menyamai bilangan pemain Counter Strike, DOTA kemudiannya dimasukkan ke dalam Blizzard’s BlizzCon pada tahun 2005. DOTA Allstars juga kemudiannya dimasukkan di dalam World Cyber Games Malaysia dan Singapura pada tahun 2005, dan World Cyber Games Asian Championship yang bermula pada tahun 2006. Populariti DOTA ini amat meluas sehingga DJ muzik Sweden, Basshunter mengeluarkan lagu berkaitan permainan DOTA yang bertajuk “Vi sitter i Ventrilo och spelar DotA” (English: “We’re sitting here in Ventrilo, playing some DotA).

Figure 3: Populariti DOTA amat luas sehingga mereka mempunyai lagu tulisan peminat sendiri!

DOTA sendiri asalnya merupakan permainan yang dibina dan dimajukan oleh pemain dan komunitinya sendiri. Oleh kerana itu, ia adalah berbentuk percuma, dan mampu meraih ramai peminat. Daripada DOTA terlahirlah klon-klon permainan MOBA lain, seperti League of Legends (Riot Games), Heroes of Newerth (S2 Games) dan Heroes of The Storm (Blizzard Entertainment). Permainan telefon bimbit Mobile Legends: Bang Bang (Moonton) sendiri pun menggunapakai idea yang sama dari League of Legends, yang berasal dari DOTA.

Figure 4: Perbezaan grafik antara DOTA, League of Legends, Dota 2 dan Heroes of Newerth.

Pada Oktober 2009, IceFrog kemudian dipelawa oleh Valve untuk membina sekuel bagi DOTA, Dota 2. Selain daripada ciri asal yang terdapat dalam DOTA, Valve juga menambahkan sokongan Steam yang bertujuan untuk memudahkan pemain untuk membuat pencarian perlawanan dalam talian (online matchmaking) berdasarkan kawasan. Valve kemudiannya disaman oleh pemilik DoTA Allstars, Riot Games, dan Blizzard Entertainment, pemilik asal DOTA. Kes ini diselesaikan pada Mei 2012, dengan Valve mendapat kebenaran bagi francais Dota 2, manakala penggunaan tak-komersial bagi DOTA adalah terbuka kepada umum, kerana ia adalah permainan yang dibentuk oleh komuniti sendiri.

Figure 5: IceFrog kemudiannya dipelawa oleh Valve untuk memajukan sekuel bagi DOTA, iaitu Dota 2.

Sejarah The International

Setelah Valve mula memajukan Dota 2, Valve mula mengkomersialkan Dota 2 dengan menganjurkan The International, salah satu medan pertarungan antara pemain professional bagi Dota 2. The International pertama telah berlangsung di Cologne, Germany di Gamescom pada tahun 2011, membawa hadiah kesulurahan berjumlah $ 1.6 juta, dengan kumpulan pertama yang menjuarai The International adalah kumpulan Natus Vincere (Navi).

The International kedua masih mengekalkan format yang sama, jumlah hadiah keseluruhan $ 1.6 juta dan 8 kumpulan yang bertanding. Pertandingan ini telah berlangsung di Seattle, USA, di mana pemenang The International sebelumnya, Navi, telah dikalahkan oleh Invictus Gaming 3-1 pada perlawanan akhir, sekaligus menobatkan IG sebagai pasukan China pertama yang memenangi The International. Kumpulan dari Malaysia, Orang eSports turut menyertai pertandingan ini, namun mereka tersingkir awal dan membawa pulang sebanyak $ 25 ribu.

Figure 7: Kumpulan IG membawa pulang $1 juta sebagai juara kedua The International.

Pada The International ketiga yang penulis mampu katakan merupakan salah satu pertandingan akhir paling epik dalam sejarah The International, kumpulan Alliance telah berjaya mengalahkan bekas juara The International, Navi. Pertarungan Navi dan Alliance dianggap sebagai pertarungan el Classico dalam Dota 2, dengan kedua-dua pasukan ini merupakan pasukan ternama pada zaman kegemilangan mereka.

Sebelum The International ketiga berlangsung, Valve memperkenalkan sistem compendium, di mana peminat boleh membeli barangan-barangan dalam talian Dota 2, seperti skin untuk hero, dan wang yang terkumpul itu kemudiannya dikumpulkan sebagai hadiah kejohanan, ditambahkan dengan hadiah asal yang telah disediakan oleh Valve. Di dalam kejohanan ini juga, kumpulan Malaysia, Orange eSports, telah berjaya mendapat tempat ke 3, membawa pulang wang tunai $287,438.

Figure 8: Ketegangan perlawanan akhir ke 5 yang dimenangi oleh kumpulan Alliance pastinya dapat dirasai oleh peminat dan pemain sendiri.

Untuk The International 2014, Valve telah menukar lokasi permainan dari Benaroya Hall kepada Key Arena, yang masih terletak di Seattle. Hal ini adalah perlu untuk menampung kapasiti penonton yang semakin bertambah berbanding 2 tahun sebelumnya. Untuk menonton The International juga, penonton perlu membeli tiket, dengan pas-pas terbahagi kepada kemasukan umum, kemasukan dengan tempat duduk serta pas VIP. Tiket bagi The International 2014 laku keras, dengan sejam selepas kaunter tiket dibuka, tiket kesemuanya telah habis dijual.

Format The International 2014 juga lain dari tahun sebelumnya. Jika tahun sebelumnya, kesemua pasukan bertanding akan dijemput (Direct Invite), namun bermula 2014, 11 pasukan mendapat jemputan dengan 4 tempat tambahan dibuka buat pasukan yang bertanding pada pusingan kelayakan di kawasan mereka. 4 kawasan tersebut adalah Europe, US, SEA dan China server.

Satu pasukan lagi ditentukan berdasarkan konsep wild card bagi naib johan setiap kawasan yang akan bertarung antara satu sama lain, membawa jumlah keseluruhan pasukan yang bertanding pada The International 2014 adalah 16 kumpulan (4+11+1), dengan jumlah hadiah terkumpul (berdasarkan jualan tiket dan compendium) pada nilai $ 10 juta dollar. Jumlah hadiah The International 2014 juga telah memecah rekod hadiah paling lumayan dalam sejarah eSports pada zaman itu. Pemenang The International 2014, kumpulan Newbee dari China membawa pulang wang tunai berjumlah $ 5 juta sebagai juara.

Figure 9: Kumpulan Newbee merupakan salah satu kumpulan China yang kuat, dan dianggap pencabar utama bagi kebanyakan kejohanan The International.

The International 2015 kemudiannya menampakkan penambahan pada jumlah hadiah keseluruhan, dengan penamabahan $ 8 juta berbanding tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah bernilai $ 18 juta. Dalam kejohanan ini, kumpulan dari Amerika, kumpulan Evil Geniuses berjaya menjadi juara, menewaskan kumpulan CDEC dari China.

Figure 10: Juara ke 5 The International, kumpulan Evil Geniuses bergambar bersama dengan Aegis of Champions.

Untuk The International 2016, Valve mula memperkenalkan sistem pemilihan pasukan yang lebih terbuka, terdiri daripada 6 pasukan jemputan, 8 pasukan yang bertanding di kawasan masing-masing, dan 2 kumpulan wild card. Seperti tahun sebelumnya, The International sekali lagi memecah sejarah hadiah eSports, kali ini dengan kemunculan Battle Pass bagi menggantikan Compendium. Valve pada asalnya menyediakan $1.6 juta, namun komuniti Dota 2 berjaya mengumpul sebanyak $20 juta, menjadikan kejohanan The International sekali lagi mencipta sejarah sebagai kejohanan paling lumayan dalam sejarah eSports. Pemenang kejohanan ini, kumpulan Wings Gaming membawa pulang wang tunai sebanyak $9 juta.

Figure 11: Meskipun menjadi juara, kumpulan Wings Gaming akhirnya dibubarkan kerana masalah dalaman.

Pada tahun lepas telah berlangsungnya The International 2017. Mengekalkan format yang sama seperti tahun-tahun lepas, wang hadiah adalah berdasarkan pengumpulan dana oleh peminat Dota 2, dengan pasukan yang bertanding sebahagiannya merupakan jemputan dan sebahagian lagi  terpaksa bertarung untuk melayakkan diri. Jumlah hadiah terkumpul adalah menghampiri $25 juta, dan pasukan Liquid telah dinobatkan sebagai juara, dengan kemenangan 3-0 menentang pasukan China, Newbee.

Figure 12: Juara terkini The International 2017, kumpulan Liquid.

Penutup

DOTA merupakan salah satu perintis kepada kegemilangan permainan MOBA. Daripada DOTA, lahir generasi baru seperti League of Legends, Dota 2, Heroes of Newerth dan Mobile Legends. Sejarah The International dan DOTA sendiri menunjukkan kesepakatan antara komuniti pemain mampu membuat banyak benda, antaranya memajukan DOTA itu sendiri serta pemecahan rekod hadiah dalam eSports yang berlaku saban tahun. Siapakah bakal menjuarai The Internationals 2018? Adakah kumpulan Liquid akan mengekalkan kejuaraan mereka, atau China Curse akan kembali berulang?

Figure 13: Kumpulan yang bakal bertanding dalam The International 2018 bulan ini.

Sumber:

Biessener, Adam (October 23, 2010). “Valve’s New Game Announced, Detailed: Dota 2”.

Hernandez, Patricia (July 9, 2013). “Valve Finally “Releases” DOTA 2″Kotaku.

Tok, Kevin (January 25, 2006). “Defense of the Ancients 101”.

“Dota 2 takes the Top 8 Spots in Gaming Earnings”. Neutral Creeps – Dota 2 News From Around The World. July 24, 2014.

Rose, Victoria. “The International’s prize pool is, once again, the biggest in esports history”. The Flying Courier. Polygon.

Walbridge, Michael (June 12, 2008). “Analysis: Defense of the Ancients – An Underground Revolution”.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.