1. KAPTEN ARTHUR HENRY ROSTRON
Anak jati Bank Cottage, Sharples, Lancashire ini mungkin tidak dikenali pada April 1912 tetapi selepas berjaya menyelamatkan penumpang-penumpang Titanic selepas kapal malang itu tenggelam, Kapten Arthur Henry Rostron dan krew RMS Carpathia mendapat penghormatan bukan saja dari penumpang seperti Margaret Brown tetapi juga dari Raja George V dan Presiden William Howard Taft. Sudah mula berjinak-jinak dengan laut sejak berusia 17 tahun, beliau menyertai Sekolah Kadet Kapal HMS Conway dan selepas dua tahun, melakukan kerja perantis di kapal Cedric the Saxon dan dua kapal layar, Red Gauntlet dan Camphill.
Selepas beberapa lama, Rostron menyertai syarikat Cunard Line pada tahun 1895 dan mula berkhidmat sebagai pegawai keempat di RMS Umbria. Pada tahun 1899, beliau berkahwin dengan kekasih hatinya, Ethel Minnie Stohert, anak kepada seorang pemilik syarikat kimia di sebuah gereja di Atherton. Untuk tahun-tahun berikutnya, beliau berkhidmat di beberapa kapal Cunard seperti Servia, Cherbourg dan Saxonia dan mendapat kenaikan pangkat kepada pangkat pegawai pertama sebelum dilantik sebagai kapten Brescia. Semasa Perang Rusia-Jepun tercetus, Rostron kembali berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja (Royal Navy) sebelum menyertai semula Cunard. Di sini, pada mulanya beliau berkhidmat sebagai pegawai pertama RMS Lusitania tetapi dipindahkan dan dilantik sebagai kapal RMS Carpathia.
Tatkala Titanic dalam perjalanan menuju ke New York dari Southampton, Carpathia pula berangkat dari New York menuju ke Fiume, Austria-Hungary (kini Rijeka, Croatia) pada 11 April 1912. Antara orang terkenal yang menaiki kapal tersebut ialah pasangan pelukis Amerika, Colin Campbell Cooper dan isterinya, Emma Lambert Cooper dan penulis teologi, Philip Mauro. Pada malam Titanic tenggelam, operator radio Carpathia Harold Cottam menerima berita kapal malang itu dilanda krisis. Terkejut dengan berita tersebut, Cottam segera berlari ke kabin Rostron dan mengejutkan beliau. Selepas mendengar berita tersebut, Rostron mengarahkan Carpathia berpatah balik menuju ke Titanic dan kelajuannya ditingkatkan. Krew Carpathia segera menyelamatkan penumpang yang terselamat dan memberi mereka minuman panas dan sup untuk memanaskan badan, ruang menunggu sebagai dormitori dan merawat penumpang yang tercedera. Para penumpang Carpathia juga turut membantu mengikut keupayaan mereka. Tindakan pantas Rostron dan krew mendapat pujian ramai, yang melayakkan beliau mendapat Pingat Emas Kongres.
Rostron terus berkhidmat dengan Cunard dan pernah menjadi kapten bagi beberapa kapal Cunard terkenal termasuk RMS Mauritania dan Lusitania. Selepas Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus, beliau mengetuai kapal Aulania membawa tentera ke Pertempuran Galipoli di Turki. Selepas tamat perang, Cunard dinaikkan pangkat sebagai kapten dalam Tentera Laut Diraja Simpanan (RNR) dan dijadikan Commander of the Order of the British Empire (CBE) pada tahun 1919. Selepas bersara dari RNR, beliau dianugerahkan gelaran Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE) yang membawa gelaran Sir. Rostron menghembuskan nafas terakhir di Cottage Hospital, Chippenham akibat masalah pneumonia dan dikebumikan di Gereja West End Parish.
2. NAGA LAUT
Sesetengah orang mempunyai kepercayaan atau pengalaman pelik berkenaan sesuatu yang bersifat aneh, kadangkala mempengaruhi aspek pekerjaannya. Dalam kes Rostron, beliau tidak segan-silu menyatakan minat terhadap bidang kriptozoologi. Malah semasa berkhidmat sebagai pegawai pertama RMS Campania pada tahun 1907, Rostron mendakwa pernah melihat seekor naga laut dan ia ada dinyatakan dalam memoirnya, “Home from the Sea”. Peristiwa ini berlaku tatkala kapal itu berlayar di luar perairan Ireland.
Bila melihat kapal sedang bertembung dengan satu objek dalam air, Rostron mengarahkan kapal mengelak tetapi apabila mereka semakin menghampirinya, barulah beliau sedar itu sebenarnya raksasa laut. Ketiadaan kamera memaksanya melakar gambaran kasar raksasa berkenaan. Dakwaan berkenaan tidak pernah ditarik balik tetapi itu tidak menghalangnya dari terus mendapat kenaikan pangkat dan penghormatan dari mana-mana pihak pasca-tragedi Titanic. Agaknya jika beliau menceritakan pengalaman tersebut pada masa sekarang, pasti ramai melabelnya gila dan kuat berkhayal. Ini kerana mana-mana juruterbang atau kapten yang berhadapan dengan situasi berkenaan pasti akan dipersoal keupayaan mental mereka.
3. BUKAN KAPAL PERTAMA MENGIRIM MESEJ BANTUAN
Pada tahun 1912, kebanyakan kapal membawa peralatan wayarles tetapi ia hanya digunakan untuk kemudahan penumpang berkomunikasi bila berada di kawasan pesisir pantai dan bukannya sebagai alat kecemasan dan pemanduan kapal. Selepas tragedi Titanic, semua kapal yang berlayar perlu mempunyai keupayaan wayarles dan membawa kapasiti bot penyelamat mencukupi bagi setiap nyawa di atas kapal. Pada tahun 1912, operator yang diberi tugas memantau komunikasi wayarles bukan sebahagian daripada krew kapal. Kebanyakan operator ini bekerja dengan Syarikat Telegraf Wayarles Marconi yang dimiliki pencipta radio, Guglielmo Marconi.
Tidak seperti mitos menggambarkan Titanic kapal pertama yang menggunakan radio untuk menghantar isyarat kecemasan, hakikatnya ia sudah digunakan sejak tahun 1909. Dan pada awalnya, operator radio kapal bermasalah menghantar mesej konvensional CQD. CQ merujuk kepada panggilan am kepada semua stesen radio dan D merujuk kepada kecemasan. Bagaimanapun, mesej ini kadangkala diinterpretasi sebagai Datang Cepat Bahaya (Come Quick Danger)). Apabila mesej tersebut tiada balasan, operator menukar pula kepada panggilan radio SOS baru yang seharusnya merujuk perkataan ‘Save Our Ship’ (Selamatkan Kapal Kami) tetapi mesej ringkas yang berbunyi tiga dot, tiga dash dan tiga dot yang merujuk terus kepada SOS. Operator radio Harold Bride menghantar mesej ini kepada semua kapal selepas tengah malam 15 April 1912 dan Carpathia sampai tiga jam selepas itu.
PERANG DUNIA PERTAMA
Dua tahun selepas tragedi Titanic, dunia dilanda ribut WWI dan seperti biasa, pihak Bersekutu menggunakan kapal-kapal penumpang untuk membawa askar-askar mereka ke perbatasan di Eropah. Dalam kes Carpathia, kapal tersebut digunakan untuk membawa Pasukan Ekspedisi Amerika dan Kanada ke Eropah. Sesetengah daripada perlayarannya dibuat secara konvoi dari New York melalui Halifax menuju ke Liverpool atau Glasgow.
Pada Julai 1918, konvoi kapal berkenaan diserang kapal selam Kaiserliche Marine (Tentera Laut Diraja Jerman), U-55 120 batu di barat Fastnet. 218 penumpang dan krew berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat. Kapal tersebut tenggelam selepas diserang dengan tiga torpedo: satu mengenai bahagian tepi kapal, torpedo kedua mengenai bilik enjin yang membunuh tiga ahli bomba dan dan dua orang pemepak dan terakhir mengenai bilik persenjataan yang mengakibatkan kemusnahan besar pada Carpathia.
U-55 dilihat cuba menghampiri bot-bot penyelamat tetapi dihalau keluar oleh kapal HMS Snowdrop dengan tembakan senjata api. Selepas U-55 berlalu pergi, barulah Snowdrop dapat menyelamatkan krew dan penumpang Carpathia. Carpathia tenggelam secara rasmi pada pukul 11.00 pagi, sekaligus mengikut jejak langkah kapal-kapal Cunard lain yang menjadi sasaran Kaiserliche Marine. Kapal-kapal yang dimaksudkan ialah Ascania, Ausonia, Dwinsk dan Valentia. Hanya lima kapal Cunard saja yang terselamat dari Perang Dunia Pertama di mana salah satunya ialah RMS Aquitania. Aquitania memegang rekod sebagai kapal penumpang paling panjang perkhidmatannya dalam Cunard sebelum rekod itu dipecahkan oleh kapal Queen Elizabeth 2. Aquitania juga memegang rekod berkhidmat pada WWI dan Perang Dunia Kedua sebagai kapal mengangkut askar.
SUMBER
Cohen, Steven. (2012). History.com. 5 Things You May Not Know About Titanic’s Rescue Ship. https://www.history.com/news/5-things-you-may-not-know-about-titanics-rescue-ship
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih