Ke hadapan Tun M yang dikagumi…

Sedari kecil, kita mendengar kejayaan demi kejayaan yang dilakar oleh Tun M. Perubahan demi perubahan yang Tun telah lakukan untuk membangunkan Malaysia. Bahkan, seantero dunia bagai hanya mengenal satu nama sahaja pemimpin Malaysia yang berjaya – Mahathir Mohamad. Apatah lagi Wawasan 2020 yang menjadi visi utama Perdana Menteri ketika memerintah selama 22 tahun (1981 hingga 2003) . Kini sekali lagi Tun dipilih rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai kabinet Malaysia.

Tun…

Sebelum melanjutkan penulisan, ingin saya soroti sejenak sejarah Tanah Melayu yang mungkin sudah lama kita lupakan. Ketika mula mula kerajaan mengambil langkah untuk menyatupadukan bangsa melalui sistem pendidikan kebangsaan. Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia dan ia dikenali sebagai Penyata Razak. Penyata Razak yang telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957.

Ordinan ini telah mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa.  Oleh itu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk cuba untuk mengelak masalah polarisasi kaum kerana perbezaan kebudayaan, corak hidup dan menganuti kepercayaan. Antara yang turut  menyumbang kepada perbezaan tersebut juga ialah bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.

Hari ini, apabila kerajaan mula mempertimbangkan pelaksanaan pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate)  dalam sistem pendidikan Malaysia sudah tentu ia amat menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia. Namun yang menjadi kerisauan saya ialah apabila rata-rata anak melayu sendiri yang kurang cakna akibat baik buruk perlaksanaan UEC. Bahkan sikap tidak endah dan kenyataan mengelirukan daripada Menteri Pendidikan sendiri juga menjadi salah satu penyebab kenapa sesetengah golongan berpendirian untuk memilih diam dan tidak tercabar untuk menyatakan bantahan.

Betapa hari ini kita lihat apa yang berlaku dalam Malaysia menyebabkan golongan generasi yang bakal mewarisi negara tercinta ini sudah tidak ada jiwa dan kecintaan lagi untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan khazanah bahasa yang boleh dibanggakan. Perpaduan kaum yang cuba diwujudkan melalui Dasar Pendidikan Negara tidak lagi menjadi sesuatu yang penting untuk diperjuangkan demi menyemai semangat patriotisme sesama kaum  terhadap negara Malaysia tercinta.

Apakah Tun masih ingat akan hasrat Tun terhadap idea Sekolah Wawasan yang digagaskan sewaktu ketika dahulu? Sekolah yang berkonsep untuk menggabungkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kompleks persekolahan. Tiada hasrat yang lebih murni dari penubuhan sekolah tersebut melainkan hanyalah untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid dari pelbagai bangsa  dan latar belakang dan memupuk semangat integrasi antara pelajar pelbagai aliran.

Bayangkan semenjak dari sekolah rendah, semua menjalankan gagasan sekolah wawasan yang Tun idamkan. Persekolahan dimulakan dengan perhimpunan pagi yang terdiri daripada para pelajar pelbagai kaum. Menyemai semangat patriotik dan menyanyikan lagu Negaraku bersama sama. Membaca ikrar dan membacakan perlembagaan negara Malaysia dengan penuh semangat. Kemudiaan ketika waktu rehat duduk makan bersama sama, sebelah menyebelah antara pelajar Melayu, Cina dan India. Berborak dan bergaul sesama mereka. Interaksi yang sihat seperti inilah yang akan memupuk dan mendidik para pelajar untuk bertoleransi dan berlapang dada. Dan inilah yang akan terus menyuburkan semangat nasionalisme dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Apa yang saya coretkan disini bukan suatu yang baru. Dan ia bukanlah angan angan yang sengaja saya cipta dan reka melainkan ia adalah idea dan cita cita Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia 13 tahun yang lalu. Mungkin atas faktor kesibukan dan lambakan beban amanah yang perlu Tun fikirkan dan laksanakan oleh kerajaan membuatkan Tun terlupa akan impian Tun ini. Dulu, sebelum Tun mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003 Tun pernah menyatakan satu impian terakhir buat rakyat Malaysia.

“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini. Kerajaan amat menekankan penghantaran anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan kerana mahu mengekalkan kejayaan negara dalam memupuk perpaduan kaum sampai bila-bila.”

Begitulah seruan Tun ketika itu agar rakyat dapat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan walaupun sekolah vernakular tetap dikekalkan. Sedikit pun tidak berhasrat untuk menafikan hak pendidikan bagi masyarakat Cina dan India melainkan menggalakkan agar nikmat pendidikan ini dirasai secara bersama sama di bawah satu bumbung.

Masih segar juga dalam ingatan rakyat Malaysia pada tahun 2012, dimana timbul isu hangat pada ketika itu yang menzahirkan sikap tegas dan prinsip Tun dalam sistem pendidikan iaitu ketika isu cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baharu di Kuantan. Tun menyerang sekolah pendidikan vernakular yang didakawa menjarakkan rakyat dan menyekat hubungan hubungan antara kaum di negara ini. Tun juga mengatakan sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka, kita akan mungkin ada 3 rakyat yang berlainan, dengan setiap satu bercakap dengan bahasa yang berbeza.

Malah Tun juga berpendapat bahawa kita tidak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain. Saya kagum dengan ketegasan dan kelantangan Tun pada ketika itu, bukanlah bermakna kita mahu menyekat kebebasan bangsa lain tetapi dengan melihat kesan jangka masa panjang hasil penubuhan institusi pendidikan yang berbeza sistem pendidikan seperti ini tidak akan menatijahkan masa depan yang baik dalam kelangsungan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Berbalik semula kepada tujuan utama penulisan ini agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan janji manifesto Pakatan Harapan yang ingin mengiktiraf sistem UEC. Saya mencadangkan agar lebih baik sekiranya Tun bertindak lebih tegas dan menyatakan prinsip seperti yang pernah Tun lakukan sebelum ini. Apakah Tun rela membiarkan lahirnya generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum? Apakah masih ada jaminan untuk kita membangunkan perpaduan yang dikenali sebagai Bangsa Malaysia sedangkan jarak hubungan antara kaum semakin besar akibat berbezanya sistem pendidikan?

Saya berpendapat adalah lebih baik Tun bersama para jemaah menteri yang lain terutamanya Menteri Pendidikan sebulat suara dalam menangani isu ini. Melaburkan lebih banyak usaha dan perhatian dan untuk memperbaiki sistem pendidikan yang sedia ada adalah cara yang terbaik untuk memenangi semula keyakinan para ibu bapa terhadap sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini.

Mereka yang bersekolah persendirian Cina dan mengikuti sijil UEC ini sebenarnya tidak yakin dengan dasar Pelajaran Kebangsaan sebab itu mereka memilih untuk belajar dalam satu sistem di luar dasar pendidikan kebangsaan. Malah Kementerian Pendidikan masih belum terlambat untuk ‘merawat’ semula sistem pendidikan negara agar menjadi lebih ideal dan bukannya mengambil langkah mengiktiraf UEC sebagai jalan pintas.

Kita juga turut melihat rakan-rakan dari bangsa lain juga menzahirkan luahan hati mereka dan tidak menyokong pengiktirafan UEC kerana jelas ia bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan Negara, bahkan Akta Bahasa Kebangsaan juga. Masyarakat faham yang kita perlukan sistem pendidikan yang seragam yang menjadi teras perpaduan sosial pelbagai kaum di negara ini. Sepatutnya sistem pendidikan yang mengutamakan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tanah air yang sebagai teras untuk membina negara bangsa dan memastikan keharmonian antara kaum dikekalkan.

Tun…

Akhir kata, harapan besar saya sandarkan kepada Tun sebagai benteng terakhir untuk bersuara tegas dalam isu ini dan menyatakan pendirian Tun. Setelah sekian lama  keharmonian dan maruah bangsa kita di bumi Malaysia ini dipelihara Perdana Menteri sebelum ini,  saya tidak mampu melihat UEC ini diiktiraf ketika saat kembalinya Tun M memegang tampuk pemerintahan negara hari ini.

Nurul Maziah binti Mohd Nor


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.