Saat dunia sedang asyik menyaksikan Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia, kita dikejutkan dengan kehilangan sepasukan bola sepak remaja daripada Thailand. 12 pemain berusia 11 hingga 16 tahun dan seorang jurulatih berusia 25 tahun dilaporkan hilang pada 23 Jun lepas dan hanya ditemui selepas 9 hari hilang, terperangkap di dalam gua Tham Luang sejauh 4 kilometer!

Selama dua minggu usaha menyelamat dilakukan, akhirnya kesemua 13 mangsa berjaya diselamatkan pada 10 Julai. Dalam keadaan makanan yang tidak mencukupi selama lebih 2 minggu, sudah tentu mereka kelaparan. Empat mangsa awal yang diselamatkan meminta nasi Pad Kra Pow tetapi tidak dibenarkan. Untuk beberapa hari pertama, mereka hanya diberikan makanan mudah ditelan seperti bubur, roti dan coklat. Tapi mengapa?

Tahukah anda, memberi makanan yang berat untuk pesakit yang kelaparan lebih daripada 5 hari boleh menyebabkan maut? Dalam perubatan, fenomena ini dikenali sebagai refeeding syndrome. Keadaan ini berhubung kait dengan keseimbangan bendalir di dalam badan yang terganggu apabila badan mengalami kebuluran.

Refeeding Syndrome sudah dikenalpasti sejak tahun 1940-an ketika perang dunia kedua. Apabila tawanan perang dibebaskan dalam keadaan kebuluran, mereka memakan makanan dalam jumlah yang banyak dalam waktu yang singkat. Selepas beberapa hari, keadaan kesihatan mereka semakin merundum dan ada yang mati. Punca kebiasaan adalah masalah jantung akibat ion/elektrolit di dalam bendalir di dalam badan yang tidak seimbang.

Bagaimana Refeeding Syndrome Berlaku?

Glukosa (pecahan ringkas daripada karbohidrat) merupakan sumber utama tenaga badan. Sejurus selepas makan, glukosa akan masuk ke saluran darah dan paras hormon insulin akan meningkat bagi membantu penyerapan glukosa ke dalam sel badan. Glukosa kemudiannya akan diproses menjadi tenaga untuk kelangsungan hidup sel-sel dan organ di seluruh tubuh. Lebihan glukosa pula akan disimpan sebagai glikogen, lemak dan protein di dalam hati dan otot sebagai simpanan tenaga.

Semasa berpuasa (tidak makan lebih daripada 5 jam), paras glukosa di dalam darah akan menurun dan badan perlu mendapatkan tenaga melalui simpanan glukosa yang dikenali sebagai glikogen. Apabila simpanan glikogen habis dan badan masih juga tidak menerima sebarang makanan dalam masa 2 ke 3 hari, ia akan beralih pula kepada pembakaran lemak dan protein untuk mendapatkan tenaga. Metabolisma badan juga akan menurun supaya badan dapat menjimatkan penggunaan tenaga.

Proses penukaran glukosa, lemak, dan protein menjadi tenaga memerlukan sejumlah ion/elektrolit seperti fosfat, sodium, kalium dan lain-lain. Proses metabolisma lain seperti bernafas, jantung berdegup, dan penghasilan hormon juga memerlukan elektrolit. Semasa kebuluran, organ masih tetap berfungsi (tetapi secara perlahan) dan elektrolit di dalam darah terus digunakan sehingga berkurang ke paras kritikal.

Jika karbohidrat (seperti nasi) tiba-tiba diambil semasa kebuluran, badan akan menukarkan proses penghasilan tenaga daripada pembakaran lemak kepada pembakaran glukosa secara mendadak. Disebabkan paras glukosa di dalam darah tiba-tiba meningkat, hormon insulin akan dihasilkan dalam jumlah yang banyak dan kadar metabolisma akan menaik secara tiba-tiba.

Fosfat (PO43-) masuk ke dalam sel sehingga paras dalam darah jatuh
Sumber: http://interactive.nejm.org/ilm/refeeding_syndrome/index.html

Insulin akan menyebabkan glukosa daripada darah diserap ke dalam sel badan. Proses ini memerlukan bantuan elektrolit kalium untuk masuk ke dalam sel sebelum glukosa boleh masuk. Pada masa yang sama, elektrolit lain seperti magnesium dan fosfat juga akan turut masuk ke dalam sel diikuti dengan air melalui proses osmosis. Ini akan menyebabkan darah kehilangan banyak elektrolit dan air yang sememangnya sudah berada di paras kritikal. Apabila tenaga terhasil di dalam sel, proses metabolik seperti pembuatan glikogen, lemak dan otot akan berlaku dan ini akan menyebabkan lebih banyak elektrolit digunakan oleh badan.

Kekurangan elektrolit dalam darah di bawah paras kritikal akan menyebabkan metabolisma badan berada di luar kawalan. Inilah yang menyebabkan refeeding syndrome. Antara tanda-tandanya ialah:

  • Degupan jantung tidak sekata (arrhythmias), keliru, pening, sawan, dan kegagalan jantung – akibat kekurangan fosfat
  • Jantung berdegup pantas, cirit birit – akibat kekurangan magnesium
  • Jantung berhenti berdegup, lumpuh, sukar bernafas – akibat kekurangan kalium
  • Tekanan darah meningkat – proses metabolisma meningkat, lebih banyak oksigen perlu dipam ke dalam sel

Tanda-tanda ini biasanya mula kelihatan selepas 3 ke 4 hari selepas pesakit makan. Jika pesakit terus makan banyak tanpa rawatan, keadaan akan menjadi lebih parah dan boleh menyebabkan koma dan kematian. Rawatan yang biasa pihak hospital berikan ialah dengan memasukkan elektrolit ke dalam darah untuk menyeimbangkan semula bendalir. Makanan yang diberikan juga mestilah yang mudah dihadam agar badan tidak menggunakan banyak tenaga semasa proses penghadaman.

Golongan berisiko untuk mendapat refeeding syndrome

  • Tidak makan atau tidak mendapat makanan yang mencukupi lebih 5 ke 10 hari
  • Mengalami kehilangan otot yang kronik (kurus sehingga nampak tulang) akibat kanser atau penyakit lain-lain
  • Anorexia nervosa (masalah psikologi berkaitan pemakanan, pesakit takut untuk makan)
  • Peminum alkohol yang kronik

Sebelum memberi makanan kepada golongan berisiko, ujian darah perlu dilakukan untuk mengenal pasti paras elektrolit di dalam badan mereka. Jika didapati rendah, rawatan menambah elektrolit di dalam darah perlu dibuat dan makanan yang mudah hadam perlu diberikan dahulu. Ini akan mengambil masa lebih kurang seminggu sebelum badan kembali kepada normal. Sekiranya pesakit mempunyai penyakit lain, tempoh rawatan akan menjadi lebih panjang. Oleh sebab itu pasukan bola kanak-kanak remaja Thailand ini tidak dibenarkan untuk terbang ke Rusia bagi menonton perlawanan akhir FIFA 2018. Kesihatan mereka masih belum stabil!

Rujukan:

All 12 boys and coach successfully rescued from Thai cave – as it happened. (2018, July 10). The Guardian. Retrieved July 10, 2018, from https://www.theguardian.com/news/live/2018/jul/10/thai-cave-rescue-third-mission-planned-to-bring-out-remaining-boys-and-coach-live-updates?page=with:block-5b44a19fe4b0f86cea7468f4#liveblog-navigation

Flesher, M. (2006). Refeeding Syndrome. Retrieved July 11, 2018, from https://www.badgut.org/information-centre/a-z-digestive-topics/refeeding-syndrome/

Maniscalco, J. (2007). Malnutrition. Comprehensive Pediatric Hospital Medicine, 633-640. doi: https://doi.org/10.1016/B978-032303004-5.50103-4

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berasal daripada Sabah, Malaysia, penulis merupakan graduan Sarjana Muda Dietetik (kepujian) dan kini berkhidmat di KKM. Menulis sebagai inisitaif kecil untuk mendidik masyarakat tentang pemakanan dan kesihatan berasaskan bukti perubatan yang sahih (evidence based medical).

Comments are closed.