Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memang menjadi bualan hangat sejak dahulu namun semakin terserlah baru-baru ini selepas PRU 14. Hal ini demikian kerana janji yang diberikan oleh PH kepada Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia atau di dalam bahasa Inggeris sebagai United Chinese School Committees Association of Malaysia (UCSCAM), manakala orang-orang Cina memanggilnya Dong Jiao Zong bahawa PH akan memberikan pengiktirafan kepada UEC sekiranya PH diberikan peluang untuk membentuk kerajaan baharu Malaysia menggantikan kerajaan BN (sebelum PRU14).

Di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Singapura telah mengiktiraf UEC sebagai prasyarat kemasukan ke universiti di sana. Namun tidak begitu di negara yang masih belum (tidak) mengiktiraf UEC kerana UEC gagal mematuhi peruntukan seperti yang digariskan dalam Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 (Akta 550).

Saya tertarik membaca saranan GAPENA agar mata pelajaran Bahasa Melayu (istilah yang digunakan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina ialah ‘Bahasa Malaysia’) dan Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus jika UEC diiktiraf oleh kerajaan. Satu saranan yang sangat baik dan saya bersetuju. Akan tetapi, pada pandangan saya, saranan tersebut pasti akan ditolak mentah-mentah oleh pihak UCSCAM, khasnya oleh masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Bukan disebabkan takut akan gagal. Saya tidak fikir mereka takut pada kegagalan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mereka yang sudah biasa dengan markah lulus minimum 60 markah, tidak akan ada masalah terhadap markah lulus minimum 40 markah. Jika berlaku penolakan mentah-mentah daripada mereka, penolakan itu adalah disebabkan oleh dasar pendidikan sekolah Cina yang mengutamakan bahasa Cina. Bukan itu sahaja, mereka juga mahu melindungi dan memelihara kelestarian bahasa mereka kerana sejak dahulu mereka sudah disemai dengan propaganda bahawa kerajaan Malaysia (BN khususnya UMNO) ingin memadam bahasa Cina sedikit demi sedikit. Sebagai masyarakat majmuk yang hidup dalam negara demokrasi, mereka berasakan bahawa pengutamaan bahasa Melayu dalam semua aspek di negara kita sesuatu yang tidak adil.

Atas alasan-alasan itu, UEC diwujudkan oleh Dong Jiao Zong (DJZ)  sejak tahun 1975. Peperiksaan ini merupakan alternatif bagi pelajar Cina yang tidak mahu berada dalam sistem pendidikan negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sejak itu, pertambahan jumlah lepasan UEC semakin meningkat kerana masyarakat Cina memilih untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Kini, ada SMPC yang mempunyai jumlah pelajar yang terlalu besar sehingga melebihi 7000 orang pelajar. Pertambahan pelajar dari tahun ke tahun menyebabkan timbulnya keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan UEC bagi tujuan kemasukan ke IPTA di Malaysia. Untuk pengetahuan rakan-rakan, terdapat 61 buah SMPC di seluruh Malaysia:

Kedah (3)
Pulau Pinang (5)
Perak ((9)
Selangor (4)
Kuala Lumpur (4)
Negeri Sembilan (2)
Melaka (1)
Johor (9)
Kelantan (1)
Sabah (9)
Sarawak (14)
(Sebenarnya ada sebuah lagi di Kuantan, Pahang tetapi status sekolah tersebut masih kabur).

Saya tidak tahu pendirian kerajaan baharu kita. Saya kira kerajaan baharu kita masih dalam peringkat pemahaman atau mungkin penilaian tentang isu UEC ini. Akan tetapi, kalau pihak kerajaan sebelum ini, BN maksud saya, amat tegas dengan pendirian bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan mengiktiraf UEC untuk tujuan kemasukan ke IPTA sekiranya tidak mematuhi syarata-syarat yang telah ditetapkan. (Kalau saya tidak salah, salah seorang pemegang menteri utama kerajaan baharu ini merupakan antara pemimpin yang sangat tidak disukai oleh masyarakat Cina kerana ketegasan yang dimiliki oleh beliau berhubung hal UEC ini). (Terkini: Ketika artikel ini dinaikkan, Menteri Pendidikkan iaitu Dr Maszlee Malik mengatakan kerajaan sedia ada mahu mengiktiraf UEC dan tidak akan melakukan pusingan U)

Antara syarat tersebut termasuklah penilaian sijil itu perlulah dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan bukan dinilai oleh badan penilai sendiri selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC perlu setara dengan mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM dan liputan sejarah negara dalam kurikulum UEC perlu selari dengan sejarah negara. Tanpa keakuran dan kepatuhan terhadap syarat-syarat ini, isu pengiktirafan ini akan berterusan melainkan kerajaan baharu ini ada hati untuk melonggarkan syarat-syarat tersebut atas dasar keadilan dan memelihara keharmonian negara.

Tuntutan pengiktirafan UEC pada kali ini benar-benar meletakkan kerajaan baharu dalam keadaan yang gundah-gulana. Hendak ditolak, risau sokongan masyarakat Cina hilang. Namun, jika diterima, bimbang kedaulatan dan kedudukan bahasa Melayu tercalar (macam dah calar pun). Janji yang ibarat menjerat leher sendiri ini perlu ditangani dengan sebijak dan sewaras yang boleh. Tariklah rambut daripada tepung dengan berhati-hati. Usah rambut putus. Jangan tepung berselerak.

Sekadar berpesan. Usaha untuk melestarikan bahasa masing-masing itu wajib namun sikap prejudis terhadap Dasar Pendidikan Negara dan terhadap Bahasa Melayu tidak seharusnya bersarang di dalam minda setiap warganegara Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Berkelulusan Pengajian Melayu (major dalam Linguistik Melayu) di UM. Sejarah, bahasa, sosiobudaya, dan pendidikan merupakan isu yang boleh menarik perhatian mata, hati dan minda. Segala pengetahuan hanya asas dan baru mula mengintai ruang untuk menulis.

Comments are closed.