Tidak lama lagi, rakyat Malaysia dari Pantai Timur akhirnya dapat menikmati perjalanan pantas ke Lembah Klang dengan ECRL. Projek ini menghubungkan bandar, memendekkan jarak, dan mendekatkan wilayah yang selama ini terasa jauh. Semoga projek ini siap dengan jayanya.
Namun pernah suatu ketika dulu, ada sebuah projek mega rel keretapi di Dunia Islam yang berakhir dengan kegagalan sebelum sempat bergerak sepenuhnya. Namanya Rel Keretapi Hijaz.
Projek ini sebenarnya adalah satu manifestasi cinta dan visi agung Sultan Abdul Hamid II terhadap konsep Pan-Islamisme yang melangkaui sempadan negara bangsa.
Pada waktu itu, perjalanan haji dari Damsyik ke Madinah adalah satu kembara yang cukup perit kerana jemaah terpaksa mengharungi padang pasir selama 40 hari dengan ancaman serangan penyamun serta cuaca yang boleh meragut nyawa.
Baginda mahu memendekkan tempoh itu kepada hanya empat hari sahaja supaya urusan ibadah menjadi lebih selamat. Apa yang paling membuatkan penulis kagum adalah keberanian baginda menolak sebarang dana daripada bank-bank Eropah kerana enggan kedaulatan umat Islam dicatur oleh kuasa asing.
Sebaliknya, dana pembinaan dikumpul melalui sumbangan ikhlas umat Islam dari segenap pelosok dunia, termasuklah dari nenek moyang kita di Tanah Melayu yang sanggup mendermakan harta mereka demi melihat landasan ini menjadi realiti.
Namun, kegemilangan rel yang siap pada tahun 1908 ini tidak bertahan lama apabila dunia mula diheret ke kancah Perang Dunia Pertama. Kehadiran landasan ini dianggap sebagai ancaman besar kepada strategi penjajah kerana ia menjadi talian hayat utama bagi pergerakan tentera Uthmaniyah di wilayah Hijaz.
Maka muncullah watak seperti T.E. Lawrence yang menghasut pemberontak tempatan untuk melakukan sabotaj besar-besaran dengan meletupkan jambatan dan mencabut besi-besi landasan.
Amat menyedihkan apabila kita mengenangkan betapa impian penyatuan ini akhirnya hancur bukan sahaja kerana bedilan musuh, tetapi juga disebabkan oleh perpecahan dalaman yang cukup memilukan jika kita kenang.
Sebaik sahaja Uthmaniyah tumbang, landasan ini dibiarkan sepi tanpa ada usaha untuk menyambungnya semula ke kota suci Mekah, sekali gus mematikan harapan untuk melihat sebuah sistem pengangkutan Islam yang bersepadu.
Andai kata projek ini berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini, geopolitik dan ekonomi dunia Islam pasti akan berada di tahap yang jauh berbeza. Bayangkan jika kita boleh menaiki tren dari Istanbul, singgah untuk solat di Damsyik dan terus meluncur ke depan Masjid Nabawi tanpa perlu pusing kepala memikirkan pasport atau sempadan buatan penjajah.
Projek ini sepatutnya menjadi tulang belakang kepada kekuatan umat, namun hari ini ia hanyalah tinggalan sejarah yang menyayat hati. Jika anda ke Jordan atau Arab Saudi sekarang, anda akan melihat lokomotif yang sudah berkarat dan stesen yang ditinggalkan sepi di tengah padang pasir.
Sisa-sisa projek ini berdiri di situ sebagai saksi kepada sebuah visi yang gagal sempat mekar sepenuhnya. Kisah ini mengajar kita bahawa teknologi sehebat mana pun tidak akan mampu bertahan jika integriti dan perpaduan kita sudah mula retak dari dalam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




