Bila kita baca sejarah Uthmaniyyah, pasti kita akan lihat bahawa ada di antara mereka naik takhta pada usia yang sangat muda.

Sultan Mehmed II al-Fatih contohnya, menaiki takhta pertamanya pada usia 12 tahun, walaupun sekejap sahaja dan diambil semula takhtanya oleh bapanya.

Begitu juga dengan Sultan Mehmed IV yang menaiki takhta pada umur 6 tahun, walaupun bukan bagindalah yang berkuasa pada waktu itu.

Tapi, ada lagi seorang Sultan yang menaiki takhta pada usia yang sangat muda, iaitu 14 tahun namun memiliki visi dan misi yang hebat untuk kukuhkan kerajaan.

Namun, disebabkan oleh visi dan reformasi itulah, baginda mati dibunuh kejam oleh Janissari.

Sultan Osman II , atau dimasyhurkan dengan gelaran Genç Osman, iaitu Osman Muda telah ditabalkan sebagai sultan pada tahun 1618 selepas rampasan kuasa dari pakciknya, Sultan Mustafa I, yang pada ketika itu empayar berada dalam keadaan kewangan dan ketenteraan yang rapuh.

Disebabkan usia Osman II yang masih belasan tahun, menjadikan pemerintahannya dipandang rendah oleh golongan elit di istana.

Walaupun muda, Osman II memiliki pemikiran yang jauh ke hadapan berbanding kebanyakan pembesarnya yang lain.

Baginda fasih dalam beberapa bahasa, termasuk Arab dan Parsi, serta mempunyai minat mendalam terhadap ilmu dan pentadbiran. Ciri ini membentuk watak seorang sultan yang tidak selesa dengan status quo.

Keinginan Osman II untuk membuktikan kewibawaannya terserlah apabila baginda memimpin sendiri kempen ketenteraan ke atas Poland Lithuania pada tahun 1621.

Perang di Khotyn tunjuk satu kelemahan besar dalam struktur tentera Uthmaniyyah. Disiplin tentera yang longgar dan penentangan dalaman menjadi punca kegagalan strategi baginda.

Selepas dari medan perang, Osman II mula melihat Janissari sebagai satu beban, bukan lagi sebagai aset empayar yang berharga.

Inilah tentera yang suatu ketika dahulu terkenal dengan ketaatan mutlak kini terlibat dalam rasuah dan manipulasi politik. Benda ini membangkitkan kemarahan dan kekecewaan mendalam dalam diri sultan muda itu.

Atas sebab itu, Osman II mula merangka pelan pembaharuan ketenteraan secara menyeluruh. Baginda bercadang untuk mengurangkan pengaruh Janissari dan membentuk pasukan baharu sendiri yang lebih setia kepada institusi kesultanan.

Langkah ini dianggap sebagai ancaman langsung terhadap kedudukan elit tentera di Istanbul.

Dalam masa yang sama, Osman II juga merancang untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah. Perancangan ini tidak pernah berlaku sebelum ini bagi seorang sultan Uthmaniyyah yang memerintah secara aktif.

Banyak sejarawan berpendapat perjalanan ini juga bertujuan membina jaringan sokongan politik di luar kawalan Janissari.

Namun begitu, Janissari menerimanya dengan sangat agresif.

Mereka menafsirkan niat sultan sebagai cubaan melarikan diri atau mengumpulkan kekuatan untuk memusnahkan mereka. Ketegangan antara istana dan tentera akhirnya mencapai tahap yang tidak dapat dikawal.

Bermula pada Mei 1622, pemberontakan tercetus di Istanbul. Janissari menyerbu istana dan memaksa pembesar serta ulama untuk menyebelahi mereka. Sultan Osman II yang masih muda dan terasing gagal mendapatkan perlindungan politik.

Baginda dilucutkan jawatan dan dipenjarakan di kubu Yedikule. Takhta Uthmaniyyah diserahkan semula kepada Sultan Mustafa I yang dikatakan sebagai sakit mental.

Bukan itu sahaja, nasib Sultan Osman II selepas dipenjarakan juga amatlah kejam.

Baginda dipukul tanpa belas kasihan, dihina, dan akhirnya dibunuh dengan cara dicekik oleh pemberontak Janissari. Ketika nyawanya diragut, baginda baru berusia sekitar 18 atau 19 tahun.

Pembunuhan ini mencipta kejutan besar dalam dunia Islam.

Ia menjadi detik pertama dalam sejarah Uthmaniyyah di mana seorang sultan dibunuh secara terang terangan oleh tenteranya sendiri. Kejadian ini menyebabkan rakyat mula meragui autoriti mereka.

Ironinya, idea reformasi Osman II terbukti tepat pada masa hadapan. Janissari terus mencengkam politik empayar selama lebih satu abad sebelum akhirnya dimusnahkan oleh Sultan Mahmud II pada tahun 1826.

Apa yang gagal dilakukan Osman II akhirnya disempurnakan dengan darah yang lebih banyak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.