Tuan-tuan, kalau kita tengok brosur pelancongan, wilayah Quebec di Kanada ni nampak macam syurga dunia.

Bangunan lama gaya Eropah yang memukau, salji memutih yang tenang, kopi panas di tepi jalan dan orang tempatan yang senyum lebar menyapa “Bonjour!”.

Sekali pandang, kita rasa inilah tempat paling bertamadun. Inilah puncak ketamadunan Barat yang paling meraikan kepelbagaian. Paling terbuka. Paling “Liberal”.

Tapi tuan-tuan, jangan tertipu dengan keindahan luaran itu. Di sebalik senyuman manis dan bangunan cantik tu, ada satu “Berhala” yang sedang disembah dengan taksub.

Berhala itu bernama Laïcité (Sekularisme Mutlak).

Di Quebec, benda ni bukan sekadar ideologi politik. Ia adalah agama baru. Dan agama baru ni ada satu pantang larang besar yang tidak boleh dilanggar:

“Tuhan tak dibenarkan masuk ke ruang awam.”

Kalau tuan-tuan ingat isu bahasa (Bill 96) yang saya cerita sebelum ni dah cukup kejam, cuba tuan-tuan tengok apa mereka buat pada anak-anak kecil yang cuma nak sujud pada Tuhan mereka.

Kita undur ke April 2023. Tarikh keramat yang menjadi detik hitam bagi pelajar Muslim di sana.

Menteri Pendidikan Quebec, Bernard Drainville, telah mengeluarkan satu “fatwa” kerajaan yang mengejutkan satu dunia.

Dia mengharamkan SEMUA bentuk ruang solat di sekolah awam.

Bayangkan tuan-tuan. Sekolah di sana besar-besar. Bukan tak ada bilik kosong. Banyak je bilik stor atau sudut yang tak guna.

Dulu, sebelum kegilaan ni jadi parah, pengetua-pengetua sekolah yang baik hati akan bagi satu bilik kecil atau sekurang-kurangnya satu sudut sunyi di perpustakaan, untuk pelajar Muslim solat Zohor sekejap. 5 minit je.

Tak kacau orang pun. Senyap sunyi. Tak ada pun azan kuat-kuat yang ganggu sesiapa.

Tapi Menteri Pendidikan kata: “TIDAK.”

Ayat dia sombong dan bongkak: “Schools are places of learning, not places of worship.” (Sekolah tempat belajar, bukan tempat sembah tuhan).

Arahan dia jelas dan keras: Tutup semua bilik solat serta-merta! Haramkan sebarang bentuk ritual keagamaan secara terbuka.

Akibatnya?

Anak-anak kita di sana terpaksa solat curi-curi macam pelarian di negara sendiri.

Ada laporan pelajar yang terpaksa solat di bawah tangga macam penjenayah, takut ditangkap guru disiplin.

Ada yang terpaksa bentang sejadah di tempat parkir kereta, di atas jalan tar yang sejuk beku ketika musim sejuk, semata-mata nak tunaikan kewajipan pada Pencipta sebelum waktu habis.

Bila mereka solat di luar pun, masih ada mata-mata yang memandang sinis.

Bagi kerajaan Quebec, melihat seorang budak sujud di kawasan sekolah adalah satu “pencemaran” kepada kesucian berhala sekularisme mereka.

Mereka rasa terancam dengan budak yang solat, lebih daripada mereka terancam dengan masalah dadah atau sosial lain.

Gila kan? Tapi kegilaan ni tak berhenti setakat solat. Ia merebak sampai ke tubuh badan dan pakaian.

Kenalkan Bill 21.

Ini adalah undang-undang drakonian yang melarang penjawat awam dalam posisi autoriti daripada memakai sebarang “Simbol Keagamaan”.

Bunyi atas kertas nampak macam adil, kan? “Oh, kerajaan neutral. Semua agama tak boleh pakai simbol.”

Tapi realitinya, siapa yang paling terkesan? Siapa sasaran sebenar?

Lelaki Kristian yang pakai rantai salib boleh sorok dalam baju. Lelaki Yahudi boleh pakai topi baseball ganti kippah.

Tapi wanita Muslim yang bertudung? Macam mana nak sorok? Takkan nak buka tudung masa masuk ofis?

Kisah paling tragis yang membuka mata dunia berlaku pada seorang cikgu bernama Fatemeh Anvari.

Dia mengajar di Chelsea Elementary School. Cikgu darjah 3.

Dia bukan cikgu cikai. Dia cikgu yang hebat.

Budak-budak sayang dia. Mak bapak suka cara dia mengajar. Dia tak pernah ajar agama Islam pun dalam kelas.

Dia ajar matematik, ajar membaca, ajar jadi manusia berguna.

Satu-satunya “jenayah” besar dia ialah: Dia pakai tudung.

Hanya kerana sehelai kain di atas kepala, kerajaan Quebec kata dia “Tidak Layak” memegang jawatan guru.

Bagi pembuat dasar di Quebec, tudung Cikgu Fatemeh itu seolah-olah “meracuni” minda budak-budak secara pasif.

Mereka takut budak-budak akan “terpengaruh” melihat wanita menutup aurat.

Akhirnya, Cikgu Fatemeh dipecat dari bilik darjah. Dia dipindahkan buat kerja ofis, kerja pentadbiran yang tak jumpa orang, semata-mata nak sorokkan dia.

Bayangkan perasaan anak murid dia. Budak-budak umur 8 tahun menangis. Mereka tanya mak bapak: “Kenapa Cikgu Fatemeh kena buang? Dia jahat ke?”

Mak bapak terkedu. Tak tahu nak jawab apa.

Macam mana nak terangkan pada budak kecil yang suci bahawa kerajaan mereka takut pada sehelai kain?

Macam mana nak terangkan bahawa cikgu mereka didiskriminasi oleh undang-undang negara sendiri?

Inilah wajah sebenar “Liberalisme” acuan Quebec.

Di mulut, mereka laung kebebasan. Freedom of speech. Freedom of choice.

Tapi bila sampai bab agama, kebebasan tu mati serta-merta.

Definisi “Neutral” bagi mereka bukan bermaksud “adil kepada semua agama”.

Bagi mereka, “Neutral” bermaksud “membenci semua agama” dan memadamkan sebarang jejak Tuhan dari muka bumi.

Mereka nak cipta masyarakat robot. Masyarakat yang kosong jiwanya. Masyarakat yang malu nak mengaku bertuhan.

Tuan-tuan, apa pengajaran besar untuk kita di Malaysia?

Pertama: Jangan mudah terpesona dengan label “Negara Maju”.

Jalan raya mereka mungkin tiada lubang. Ekonomi mereka mungkin gah. Gaji mereka mungkin besar.

Tapi jiwa bangsa mereka sedang sakit tenat. Sakit yang dipanggil Islamofobia yang disalut cantik dengan bedak Sekularisme.

Kedua: Pertahankan identiti kita walau di mana kita berada.

Anak-anak di Quebec yang solat di tepi tangga tu adalah wira sebenar zaman ini.

Cikgu Fatemeh yang sanggup hilang kerja daripada buka tudung tu adalah srikandi sebenar.

Mereka mengajar kita satu erti kehidupan: Bahawa rezeki itu milik Allah, bukan milik Menteri Pendidikan, bukan milik kerajaan.

Mereka ajar kita bahawa maruah agama itu harganya jauh lebih mahal daripada slip gaji bulanan.

Kita yang duduk selesa di Malaysia ni, yang bebas dengar azan berkumandang lima kali sehari, yang bebas pakai tudung pergi kerja, yang ada surau di setiap R&R dan pejabat… adakah kita bersyukur?

Atau kita pun dah mula malu dengan identiti sendiri?

Dah mula rasa solat tu menyusahkan kerja? Dah mula rasa tudung tu menghalang kemajuan kerjaya?
Ingatlah tuan-tuan.

Kalau di Quebec, orang sanggup kena buang kerja demi sehelai tudung. Orang sanggup kena halau ke jalanan demi satu sujud.

Malulah kita, kalau di tanah air sendiri yang merdeka ini, kita pula yang melonggarkan agama kita semata-mata nak nampak “cool” di mata Barat.

Biarlah mereka dengan berhala sekularisme mereka. Kita pegang bara api agama kita.

Sebab akhirnya, di hadapan Tuhan nanti, Dia tak tanya kita duduk di negara mana. Dia tak tanya kita gaji berapa.

Dia akan tanya: “Masa agama Aku dihina, masa dahi kau dilarang sujud, di mana kau berdiri?”

Moga Allah kuatkan iman saudara-saudara kita di sana yang sedang berjuang mempertahankan aqidah dan moga Allah pelihara kita di sini dari penyakit hati yang membenci agama sendiri.

Sesungguhnya, izzah (kemuliaan) itu hanya milik Allah, Rasul dan orang-orang mukmin yang sabar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.