Bila sebut nama “Antartika”, apa yang bermain dalam kepala kita?

Kita bayangkan sebuah tempat beku yang memutih, dihuni oleh penguin comel dan suhu yang mampu membunuh manusia dalam beberapa minit. Bagi majoriti penduduk dunia, Antartika adalah tanah mati yang tidak pernah berubah sejak azali.

Tapi, tahukah anda bahawa persepsi ini sebenarnya salah sama sekali?

Satu penemuan saintifik yang menggemparkan dunia geologi telah mendedahkan satu rahsia besar yang terkubur jauh di dasar benua tersebut.

Rupa-rupanya, Antartika yang kita kenal hari ini, suatu masa dahulu adalah sebuah hutan hujan purba yang sangat lebat, lembap dan panas, persis seperti gambaran hutan di Malaysia atau Amazon pada hari ini.

Ini bukan teori konspirasi atau cerita dongeng. Ini adalah fakta sains yang disokong oleh bukti fizikal “keras” yang ditemui sebelum ini.

Pada tahun 2017, satu ekspedisi saintifik yang menaiki kapal pemecah ais RV Polarstern telah melakukan pengerudian di dasar laut Amundsen Sea, berdekatan Antartika Barat. Misi mereka mudah sahaja, mereka nak tahu apa ada di bawah dasar laut tu.

Apabila gerudi itu ditarik naik dari kedalaman 30 meter di bawah dasar laut, para saintis dari Jerman dan UK yang berada di atas kapal itu tergamam. Mereka bukan menemui batu kawi atau pasir laut semata-mata.

Sebaliknya, mereka menemui lapisan tanah purba yang warnanya berbeza. Bila dibawa ke makmal dan diimbas menggunakan CT Scan, mereka menemui sesuatu yang mustahil iaitu fosil akar kayu, debunga (pollen) dan spora tumbuhan yang masih elok terpelihara.

Dapatan makmal mengesahkan bahawa tumbuhan ini berasal dari zaman Cretaceous, kira-kira 90 juta tahun dahulu. Zaman di mana T-Rex dan dinosaur gergasi masih menjadi raja di muka bumi.

Lebih mengejutkan, jenis tumbuhan yang ditemui itu mengesahkan bahawa Antartika pada waktu itu mempunyai ekosistem hutan hujan sederhana (temperate rainforest).

Data menunjukkan suhu purata tahunan di sana adalah sekitar 12 hingga 19 darjah Celsius. Malah pada musim panas, suhunya boleh mencecah sehingga 25 darjah Celsius.

Bayangkan, di kutub selatan yang sepatutnya beku, anda boleh berjalan santai hanya memakai t-shirt dan seluar pendek!

Sungai mengalir deras, pokok gergasi tumbuh melata dan reptilia purba bebas berkeliaran di kawasan yang hari ini dilitupi ais setebal 4 kilometer.

Persoalannya, macam mana benda ni boleh berlaku? Siapa yang ubah “suis aircond” dunia ni?

Jawapannya ada dua. Pertama, paras Karbon Dioksida (CO2). Pada zaman itu, kandungan CO2 dalam atmosfera adalah sangat tinggi, sekitar 1,100 ke 1,600 ppm. Ini mewujudkan kesan rumah hijau semula jadi yang memerangkap haba lalu menjadikan seluruh bumi (termasuk kutub) seperti dalam oven yang selesa.

Kedua, kedudukan benua. Masa tu, Antartika masih bercantum dengan Australia, Amerika Selatan dan India dalam satu benua besar bernama Gondwana. Arus laut panas dari khatulistiwa boleh mengalir bebas sampai ke kutub selatan dan memanaskan kawasan tersebut.

Tapi, takdir alam itu kejam. Apabila plat tektonik bergerak, Gondwana pecah. Amerika Selatan dan Australia bergerak menjauhi Antartika.

Perpisahan ini membuka laluan laut baru yang dipanggil Drake Passage. Akibatnya, terbentuklah arus laut paling ganas di dunia iaitu Antarctic Circumpolar Current (ACC). Arus sejuk ini berpusing mengelilingi Antartika tanpa henti dan menjadi “dinding air” yang menghalang haba panas masuk.

Bila haba tak boleh masuk, Antartika mulai sejuk. Hutan hujan tadi perlahan-lahan mati. Salji mula turun dan tak pernah cair. Akhirnya, syurga hijau itu terkubur menjadi padang jarak padang tekukur yang beku.

Kenapa kita perlu ambil tahu kisah sejarah purba ni? Sebab sejarah selalunya berulang.

Hari ini, paras CO2 dunia sedang naik mendadak akibat aktiviti manusia. Ais di Antartika sedang mencair pada kadar yang menakutkan. Saintis bimbang kita sedang memutar kembali jam geologi ke arah zaman panas tersebut.

Jika ais Antartika cair sepenuhnya, paras laut dunia akan naik setinggi 60 meter. Ucapkan selamat tinggal kepada bandar seperti Jakarta, Bangkok, London, dan sebahagian besar persisiran pantai Malaysia.

Di sebalik ancaman banjir besar, ada juga mata-mata geopolitik yang “air liurnya” sedang meleleh jatuh dari mulut. Kuasa besar dunia tahu, jika ais mencair, ia bermakna akses kepada minyak, gas asli dan mineral berharga yang tersimpan di bawah hutan purba Antartika itu akan terbuka luas.

Sebab itulah di sebalik tabir, negara seperti China, Rusia, dan Amerika Syarikat sedang berlumba-lumba membina pangkalan di sana. Mereka bukan sekadar nak kaji penguin. Mereka sedang menanda kawasan untuk “Harta Karun Gondwana” yang bakal timbul bila ais mencair nanti.

Antartika mengajar kita satu perkara penting, tiada yang kekal di muka bumi ini. Benua yang paling sejuk pernah jadi hutan rimba dan tak mustahil ia akan kembali menghijau satu hari nanti. Cuma persoalannya, adakah manusia masih wujud untuk melihatnya atau kita akan pupus ditelan air bah ciptaan kita sendiri?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.