Kita semua belajar dan tahu belaka bahawa leluhur kita telah menggunakan tulisan jawi sebagai medium penulisan bahasa Melayu di masa lampau. Buat ratusan tahun lamanya, tulisan yang berasaskan abjad Arab ini telah menjadi tulisan utama buat orang Melayu yang hidup di serata pelusuk Gugusan Alam Melayu ini.
Tetapi pada hari ini, penggunaan tulisan ini adalah pada kadar yang amat minimal sekali. Penggunaannya boleh dikatakan terhad kepada hal ehwal agama Islam semata-mata dan hanya diajarkan secara umum di peringkat persekolahan rendah dan menengah. Ia bukan lagi sistem tulisan rasmi yang digunapakai dalam urusan seharian.
Sejarahnya adalah tulisan Jawi ini dikatakan telah mula digunakan oleh orang Melayu semenjak lebih semilenia lamanya. Sudah tentu, tulisan ini adalah hasil olahan orang Melayu yang mengambil abjad daripada tulisan bahasa Arab yang kemudiannya telah disesuaikan dengan penggunaan bahasa Melayu yang menjadikan penciptaan beberapa abjad baru yang unik sekaligus membentuk tulisan Jawi itu sendiri.
Adanya terjadi hal itu sudah tentu adalah berakar daripada kedatangan agama Islam ke Alam Melayu itu sendiri.
Dengan tersebarnya kitab-kitab dari tanah Arab, para sarjana Melayu telah mengolah penggunaan tulisan Arab itu menjadi Jawi.
Makanya, orang Melayu yang pada ketika itu sudah mulai memeluk pegangan Islam mula mengangkat tinggi tulisan Jawi dek kemiripannya dengan tulisan Arab yang merupakan tulisan utama dalam kitab-kitab agama Islam yang dibawa dari tanah Arab. Bahkan, Al-Quran itu sendiri adalah ditulis dalam tulisan Arab. Jadinya, Jawi itu juga dipandang mulia oleh orang Melayu.
Kewujudan tulisan Jawi ini yang sebegitu lama itu juga boleh dibuktikan dengan adanya artifak-artifak seperti yang telah dijumpai di Terengganu. Artifak ini dikenali sebagai Batu Bersurat Terengganu yang dipercayai berusia lebih 700 tahun, menguatkan lagi hujah bahawa Jawi adalah tulisan turun-temurun orang Melayu dan segenap orang yang mendiami kawasan Alam Melayu ini.
Namun, kenapa kini tidak lagi kita menggunakan tulisan Jawi ini?
Semuanya bermula apabila British mula mengawal dan menduduki Tanah Melayu. Di bawah pentadbiran British, mereka telah memperkenalkan penulisan bahasa Melayu dalam tulisan Rumi bagi memudahkan mereka dalam menguruskan pentadbirannya. Perluasan penggunaan tulisan ini di bawah pentadbiran British telah mempengaruhi transisi daripada tulisan Jawi kepada Rumi.
Apabila kita merdeka, kita telah mewarisi pemakaian tulisan ini meskipun tulisan Jawi masih lagi giat digunakan dengan meluas dalam kalangan orang kebanyakan. Rakyat jelata terutamanya orang Melayu masih lagi selesa menggunakan tulisan leluhurnya itu kerana itulah tulisan turun-temurunnya.
Ianya adalah dua tahun selepas Merdeka yang benar-benar telah menjadi titik tolak kepada ketidakgunaan tulisan Jawi dalam masyarakat. Kerajaan pada ketika itu merasakan ada keperluan untuk menggunakan tulisan Rumi dalam bahasa Melayu supaya ianya bersifat lebih inklusif kepada kepelbagaian kaum yang wujud dalam masyarakat negara yang baru sahaja merdeka.
Bermula tahun 1959, kerajaan telah mengiystiharkan bahawa tulisan Jawi bukanlah lagi satu-satunya tulisan rasmi dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dengan pengenalan tulisan Rumi secara rasminya sebagai satu lagi sistem tulisan rasmi kepada bahasa Melayu di negara ini.
Kemudian dalam tahun 1963, satu undang-undang persekutuan telah digubal dan diperkenalkan; Akta Bahasa Kebangsaan 1963. Boleh kita katakan bahawasanya akta inilah yang telah menoktahkan penggunaan tulisan Jawi dalam sebarang urusan rasmi yang kemudiannya telah menjurus kepada penggunaan Rumi secara meluas dalam masyarakat.
Akta ini memperincikan bahawa tulisan yang digunakan untuk bahasa kebangsaan itu seharusnya ditulis dalam tulisan Rumi. Meskipun begitu, ia tidak mengharamkan penggunaan tulisan Jawi.
Walaupun tidak diharamkan, ia bukanlah lagi tulisan rasmi kepada bahasa kebangsaan yang menjadi nadi perpaduan masyarakat. Secara tidak langsung, tulisan ini perlahan-perlahan mulai lupus daripada minda generasi-generasi mendatang.
Semua ini dilakukan supaya bahasa kebangsaan itu bersifat inklusif dan boleh serta mudah digunakan oleh apa jua bangsa. Satu harga untuk sebuah misi perpaduan kepada negara bangsa yang dianggotai masyarakat berbilang identiti.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




