Kalau kita di Malaysia bersuka ria bila Ringgit makin mengukuh, tapi berbeza di Tehran, bunyi laungan marah kini lebih kuat sebab duit sendiri dah tak laku.
Rial Iran kini jatuh ke tahap paling hina dalam sejarah moden Iran. Dalam pasaran terbuka, satu dolar Amerika kini bernilai sekitar 1.42 juta rial. Setahun lepas, angka itu “baru” sekitar 820,000. Dalam bahasa mudah, nilai duit rakyat Iran runtuh hampir separuh dalam masa setahun.
Dan bila duit jatuh, yang naik cuma satu iaitu kemarahan rakyat.
Segalanya bermula di tempat paling simbolik dalam ekonomi Iran iaitu di Grand Bazaar Tehran. Pada hari Ahad, peniaga-peniaga di bazar ini buat sesuatu yang jarang berlaku. Mereka tutup kedai dan mogok. Bukan sebab cuti.
Bukan sebab perayaan. Tapi sebab mereka dah tak mampu berniaga.
Harga import melambung. Kos sewa naik. Barang ada, tapi orang tak mampu beli. Ada peniaga mengaku, dengan nilai dolar hari ini, jual sarung telefon pun tak berbaloi. Untung tak ada, rugi pula yang datang.
Dari bazar, api protes merebak ke jalanan. Video yang disahkan BBC Persian menunjukkan demonstrasi muncul di Karaj, Isfahan, Shiraz, Yazd, Kermanshah, Hamedan, Qeshm dan beberapa bandar lain. Polis rusuhan turun.
Gas pemedih mata dilepaskan. Tapi kali ini, yang turun bukan hanya golongan miskin atau pekerja bawahan, pelajar universiti pun bangkit.
Lebih sepuluh universiti di seluruh Iran menyaksikan pelajar turun ke jalan termasuk kampus-kampus elit di Tehran. Ada yang jerit, “Pergi mampus diktator!” Satu sindiran terus kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, manusia paling berkuasa dalam sistem politik Iran.
Lebih sensitif, ada juga suara yang melaungkan sokongan kepada Reza Pahlavi, anak Shah Iran yang digulingkan dalam Revolusi Islam 1979. Itu merupakan satu penghinaan terus kepada rejim Islam yang memerintah sejak lebih empat dekad.
Reza Pahlavi yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat pantas mengambil peluang. Dia tulis di media sosial bahawa dia bersama rakyat Iran dan selagi rejim sekarang berkuasa, ekonomi Iran akan terus hancur.
Amerika Syarikat pula melalui akaun rasmi berbahasa Parsi, memuji “keberanian” rakyat Iran dan menyokong perjuangan mereka untuk maruah dan masa depan lebih baik.
Tekanan luar datang serentak dengan tekanan dalam.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian cuba tampil sebagai orang tengah. Dia kata kerajaan “mengiktiraf protes” dan sanggup mendengar suara rakyat walaupun kasar. Dia arahkan menteri dalam negeri berunding dengan wakil penunjuk perasaan. Dia juga menerima peletakan jawatan gabenor bank pusat dan menggantikannya dengan bekas menteri ekonomi, Abdolnasser Hemmati.
Tapi semua orang di Iran tahu, presiden bukan orang paling berkuasa.
Dalam sistem Iran, kuasa sebenar berada di tangan Pemimpin Tertinggi atau Supreme Leader. Dan di puncak itu kini berdiri seorang lelaki berusia 86 tahun iaitu Ayatollah Ali Khamenei.
Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, Iran dilanda krisis bertindih. Inflasi rasmi mencecah 52%, tapi harga barang asas naik jauh lebih tinggi daripada angka atas kertas. Elektrik kerap terputus. Bandar-bandar diselubungi jerebu kerana kerajaan guna bahan api murah dan kotor.
20 wilayah dilanda kemarau terburuk dalam 40 tahun, sampai presiden sendiri pernah mencadangkan idea gila dengan pindahkan sebahagian penduduk Tehran untuk kurangkan tekanan air.
Ekonomi pula makin parah dengan sekatan Barat, salah urus dalaman dan percetakan wang berlebihan. Nilai duit jatuh teruk sampai bajet negara kini dikira dalam angka kuadrilion rial. Ini satu petanda ekonomi yang sudah lama rosak.
Di luar negara, kedudukan Iran juga semakin lemah. Rangkaian proksi ketenteraannya dihentam Isnotril hampir setiap hari. Program nuklear rosak teruk selepas serangan udara Amerika dalam perang 12 hari antara Isnotril dan Iran pada Jun lalu. Syria, sekutu utama Tehran, tumbang apabila rejim Assad yang pro-Iran digulingkan pemberontak tahun lepas.
Di Washington pula, Perdana Menteri Isnotril Benjamin Netanyahu sedang menekan Presiden Donald Trump supaya bertindak lebih keras terhadap Iran. Trump secara terbuka berkata ekonomi Iran “bust” dan rakyatnya “tak gembira”. Malah, dia tak menolak kemungkinan menyokong serangan Isnotri jika Iran cuba bina semula program peluru berpandu atau nuklearnya.
Dalam semua ini, Khamenei hanya memilih strategi tunggu dan diam.
Penganalisis Iran menggambarkan keadaan sekarang seperti “tak ada siapa di rumah”. Tiada keputusan besar.
Tiada hala tuju jelas. Apa sahaja pilihan yang ada semuanya membawa risiko besar. Jadi Khamenei berpegang pada skrip lama dengan bina peluru berpandu, baiki proksi, tolak rundingan Barat.
Masalahnya, rakyat sudah penat.
Sejak 2019, Iran sudah beberapa kali meletup dengan protes besar dari kenaikan harga petrol, hinggalah tragedi Mahsa Amini pada 2022 yang membunuh ratusan dan memenjarakan ribuan. Protes kali ini mungkin belum sebesar itu, tapi nadanya lebih berbahaya.
Hari ini, rakyat Iran menuntut harga murah, menuntut perubahan. Tapi soalnya, perubahan yang bagaimana? Reformasi? Kejatuhan rejim? Atau satu lagi pusingan penindasan?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




