Satu kajian yang dijalankan oleh University of Oslo baru-baru ini mendedahkan sesuatu yang menarik. Berdasarkan lebih 12,600 imbasan MRI daripada hampir lima ribu orang berumur antara 17 hingga 95 tahun, penyelidik mendapati otak lelaki mengecut lebih cepat apabila meningkat usia berbanding wanita.

Otak lelaki kelihatan kehilangan isipadu lebih banyak di beberapa kawasan penting seperti bahagian yang berkait dengan ingatan, deria sentuhan dan penglihatan. Bahagian seperti korteks penglihatan (pericalcarine, cuneus dan lingual) serta struktur subkortikal seperti caudate dan putamen menyusut pada kadar lebih tinggi. Proses ini berlaku perlahan sejak dewasa awal, tetapi menjadi lebih ketara selepas umur 60 tahun.

Pasukan penyelidik turut menilai faktor-faktor lain seperti saiz kepala, tahap pendidikan dan jangka hayat. Selepas semuanya diambil kira, hasilnya tetap sama. Kadar pengecutan otak lelaki masih lebih cepat. Dapatan ini agak menarik kerana dalam kebanyakan kes penyakit Alzheimer, kadar pesakit dalam kalangan wanita biasanya lebih tinggi berbanding lelaki.

Menurut ketua penyelidik, Prof. Anne Ravndal, dapatan ini menunjukkan bahawa perbezaan kadar penuaan otak antara lelaki dan wanita sahaja tidak mencukupi untuk menjelaskan mengapa Alzheimer lebih banyak menyerang wanita.

Para saintis percaya ada gabungan faktor lain yang memainkan peranan, termasuk perubahan hormon selepas menopaus, kecenderungan genetik, serta jangka hayat wanita yang lebih panjang. Kesemua faktor ini saling berhubung dan masih dikaji bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana penyakit ini berkembang dalam otak manusia.

Salah satu faktor yang banyak dikaji ialah gen APOE ε4, yang meningkatkan risiko Alzheimer. Menariknya, gen ini memberi kesan berbeza antara lelaki dan wanita. Ada bukti menunjukkan bahawa wanita yang membawa gen ini lebih mudah terdedah kepada pengumpulan protein berbahaya seperti tau dan beta-amiloid. Bahan ini yang merosakkan neuron dan menyebabkan sel otak mati secara perlahan.

Namun para penyelidik juga menegaskan bahawa pengecutan otak tidak bermaksud seseorang itu sedang sakit. Otak sememangnya menua secara semula jadi. Apa yang penting ialah bagaimana seseorang menjaga kesihatan fizikal, tidur, tekanan dan gaya hidupnya. Semua ini mempengaruhi kadar kemerosotan fungsi otak.

Otak juga mempunyai “rizab kognitif” iaitu keupayaan untuk terus berfungsi walaupun ada bahagian yang kehilangan sel saraf. Orang yang banyak membaca, belajar kemahiran baharu dan aktif berfikir cenderung memiliki rizab ini dengan lebih baik. Ia seolah-olah tenaga simpanan yang melambatkan kesan penuaan.

Senaman berkala juga amat membantu. Kajian terdahulu menunjukkan senaman aerobik ringan meningkatkan aliran darah ke otak dan merangsang pertumbuhan sel baru. Diet seimbang seperti diet Mediterranean iaitu buah, sayur, ikan dan minyak zaitun juga dikaitkan dengan risiko demensia yang lebih rendah.

Selain itu, tekanan darah tinggi, diabetes dan tabiat merokok mempercepat kerosakan otak. Menjaga tiga perkara ini sahaja sudah terbukti memberi kesan besar terhadap kesihatan minda untuk jangka panjang. Tidur yang cukup pula membolehkan otak “mencuci” toksin yang terkumpul setiap hari.

Dalam konteks hormon, estrogen yang menurun selepas menopaus juga memainkan peranan besar. Hormon ini melindungi sambungan sinaps dalam otak. Apabila tahapnya jatuh mendadak, fungsi perlindungan itu turut hilang. Sebab itulah wanita lebih mudah terdedah kepada perubahan kognitif selepas menopaus.

Bagi para lelaki pula, penurunan testosteron dan gaya hidup pasif sering menjadi punca utama otak cepat mengecut. Tambah pula dengan tekanan kerja, tabiat tidur tidak menentu dan kurang aktiviti sosial menyebabkan semua ini mengurangkan rangsangan kepada otak.

Hakikatnya, walaupun lelaki menunjukkan kadar pengecutan otak yang lebih cepat, ia tidak bermaksud fungsi mereka akan merosot dengan cepat juga. Setiap individu berbeza. Dengan gaya hidup sihat, penuaan otak boleh diperlahankan dengan sangat ketara.

Mungkin selepas ini para isteri boleh lebih pemaaf apabila suami terlupa tarikh penting kerana bukti MRI sudah menunjukkan sebabnya. Ada pula yang berseloroh, otak lelaki kekal dalam “mod remaja” sepanjang hayat.

Mungkin sebab itulah kita perlukan seseorang yang boleh mengingatkan dan siapa lagi kalau bukan isteri sendiri.
Ada juga yang berseloroh, “Lelaki tak perlu risau lupa benda kecil, sebab isteri akan ingat semuanya.”

Nampaknya, sains dan realiti rumah tangga saling melengkapi dalam hal ini.

Namun jenaka tetap jenaka. Hakikatnya, hasil penyelidikan ini mengingatkan kita semua bahawa lelaki mahupun wanita agar tidak mengambil ringan kesihatan otak. Ia organ paling kompleks dan paling penting dalam hidup manusia.

Untuk lelaki, pesanan mudah: kawal tekanan darah, bersenam, dan jangan biarkan diri duduk terlalu lama setiap hari. Untuk wanita pula, bincang dengan doktor tentang kesihatan hormon dan pastikan gaya hidup kekal aktif selepas menopaus. Untuk kedua-duanya, jadikan membaca sebagai salah satu hobi.

Dalam dunia yang serba sibuk, otak kita bekerja tanpa henti. Maka ia juga perlu dijaga seperti jantung atau paru-paru. Bacalah, berbual dengan orang, belajar perkara baru dan jangan biarkan diri terasing. Semua itu memberi tenaga kepada otak untuk terus “hidup”.

Kesimpulannya, kajian besar ini menunjukkan otak lelaki memang mengecut lebih cepat, namun ia tidak bermakna mereka kurang bijak atau cepat nyanyuk. Ia sekadar menunjukkan bahawa otak lelaki dan wanita menua dengan cara yang berbeza. Yang penting ialah bagaimana kita menjaganya.

Otak kita, walau kecil dan lembut, ia menyimpan seluruh sejarah diri dan kebijaksanaan hidup kita. Maka jagalah anugerah ini sebaik mungkin agar fikiran terus segar, ingatan kekal tajam dan akal menjadi cahaya hingga ke akhir hayat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.