Baru-baru ini, empat perompak mencipta sensasi di media apabila merompak Koleksi Permata Diraja Perancis Di Muzium Louvre. Rompakan persis Ocean’s Eleven ini sememangnya menarik tetapi ini bukan kali pertama rompakan khazanah berharga di muzium tersebut berlaku.

Muzium Louvre ini pada asalnya merupakan istana yang dibina pada abad ke-13. Selepas Revolusi Perancis tercetus pada akhir abad ke-18, segala koleksi kesenian dan barang kemas milik keluarga diraja Perancis menjadi milik negara tersebut.

Revolusi yang tercetus menyaksikan penyokong anti-monarki mahu menghapuskan semua perkara yang ada kaitan dengan Raja Perancis yang terakhir, Louis XVI. Situasi ini mendorong ramai pemimpin revolusi memindahkan semua khazanah negara ke Louvre agar ia dapat dinikmati semua orang dengan selamat.

Sejak itu, Muzium Louvre dilihat sebagai cabaran buat pencuri karya seni untuk mendapatkan hasil karya yang dipamerkan di situ. Salah satu lukisan yang menjadi mangsa perompak sebegini ialah karya Leonardo da Vinci, Mona Lisa pada 1911.

Lukisan itu dicuri oleh seorang lelaki Itali bernama Vincenzo Peruggia. Peruggia yang pernah bekerja di muzium tersebut di bahagian bingkai memilih membawa lari lukisan itu ketika ia dipamerkan di Salon Carre. Kecurian itu tidak disedari staf muzium kerana mereka menyangka Peruggia membawa Mona Lisa untuk kerja pemulihan atau fotografi.

Sebaik lukisan tersebut disedari hilang 24 jam kemudian, pihak berkuasa Perancis mula memburu suspek yang mencuri lukisan berkenaan. Antara nama yang secara tidak langsung dikaitkan dengan kes tersebut ialah bakal pelukis terkenal, Pablo Picasso.

Nama Picasso berada dalam radar pihak berkuasa selepas beliau memilih menyerahkan dua kepala patung Iberia yang dimilikinya. Ini kerana Picasso menyedari dua kepala patung itu sebenarnya dicuri dari Muzium Louvre beberapa tahun sebelumnya. Situasi ini mendorong beliau bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana tidak mahu dirinya menjadi suspek kes tersebut.

Dua tahun kemudian, Mona Lisa berjaya didapatkan semula pada 1913. Hal ini terjadi apabila Peruggia dikesan cuba menjual lukisan tersebut kepada sebuah muzium lain. Kecurian itu secara tidak langsung menaikkan nama Mona Lisa sebagai mahakarya da Vinci yang dikenali hari ini.

Semasa Perang Dunia Kedua (WWII), ancaman mesin perang Jerman mula menghampiri Paris. Pengarah Muzium Louvre ketika itu, Jacques Jaujard bertindak memindahkan lebih 1,800 kotak kayu mengandungi karya seni berharga ke pedalaman Perancis. Sebaik tentera Jerman tiba di Paris pada 1940, Muzium Louvre hampir kosong tanpa sebarang karya seni.

Hal ini tidak menghalang mereka menjarah dan merampas sejumlah besar karya yang masih ada di muzium itu. Ini termasuk karya Bartolome Esteban Murillo, “The Immaculate Conception of Los Venerables”. Lukisan itu kemudiannya diserahkan kepada pemerintah Sepanyol ketika itu, Francisco Franco.

Selepas WWII, pencuri karya seni semakin ghairah mencuba mendapatkan khazanah berharga Muzium Louvre. Ini termasuk lukisan Flemish pada Januari 1976, pedang bertatahkan permata milik Raja Charles V (Disember 1976) dan lukisan Camille Corot (1998).

Isu keselamatan Muzium Louvre yang teruk mencetuskan kemarahan rakyat Perancis. Situasi ini mendorong pengurusan muzium menambah baik sistem keselamatan dan membuat semakan dari semasa ke semasa.

Isu ini juga turut memberi inspirasi kepada beberapa watak fiksyen. Antaranya ialah Arsene Lupin yang menjadi inspirasi kepada pelbagai siri termasuk siri Netflix, Lupin. Antagonis filem Ocean’s Twelve, Francois Toulour (Vincent Cassel) dikatakan merompak Muzium Louvre sebanyak dua kali.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.