Jerome Kerviel pernah menjadi antara nama paling berpengaruh dalam dunia kewangan Eropah. Dia lahir daripada keluarga sederhana di Brittany, Perancis, ayahnya seorang tukang besi dan ibunya suri rumah. Tiada siapa menyangka lelaki ini akan menjadi watak utama dalam salah satu skandal kewangan paling besar dalam sejarah dunia moden.

Kerviel memulakan kerjayanya di Société Générale, bank pelaburan gergasi Perancis. Dia bermula di bahagian kawalan risiko sebelum dipindahkan ke meja dagangan saham. Dari situlah bakatnya terserlah. Dia membaca pasaran dengan pantas, berani mengambil risiko, dan sering menghasilkan keuntungan besar yang menjadikannya kesayangan pihak atasan.

Kejayaan demi kejayaan membuatkan dia semakin yakin dengan keputusannya sendiri. Dia mula membina posisi dagangan dalam jumlah yang semakin besar. Setiap kali pasaran berpihak kepadanya, keuntungan meningkat dan pujian diterima. Sedikit demi sedikit, keyakinan itu berubah menjadi keangkuhan yang berbahaya.

Kerviel akhirnya mula menjalankan transaksi tanpa kebenaran. Dia menyembunyikan kedudukan sebenar dengan mencipta transaksi palsu supaya kelihatan seimbang di atas kertas. Sebenarnya, dia sedang membina kedudukan spekulatif yang nilainya mencecah sekitar €50 bilion iaitu bersamaan hampir RM250 bilion. Ia antara pendedahan terbesar yang pernah dilakukan oleh seorang individu dalam sejarah kewangan dunia.

Sistem kawalan dalaman bank gagal mengesan aktiviti itu selama bertahun-tahun kerana catatan dagangannya kelihatan sah. Dia bijak memanipulasi sistem dan tahu bagaimana untuk tidak dikesan. Semuanya tampak sempurna sehinggalah awal tahun 2008, ketika pasaran saham global mula jatuh akibat krisis kewangan dunia.

Apabila posisi yang disembunyikannya mula menanggung kerugian besar, pihak penyiasat Société Générale akhirnya menemui penipuan tersebut. Nilai dagangan yang tidak diluluskan itu mencecah €50 bilion dan bank terpaksa menutup semua posisi dalam masa tiga hari. Kerugian bersihnya mencecah €4.9 bilion, kira-kira RM25 bilion satu angka yang menjadikan kes ini antara kerugian tunggal terbesar dalam sejarah kewangan moden.

Jerome Kerviel segera dipecat dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penipuan, penyalahgunaan sistem bank dan pemalsuan dokumen dagangan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, tiga tahun wajib dan dua tahun digantung. Dia juga diarahkan membayar ganti rugi €4.9 bilion, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Agung Perancis pada tahun 2014 sebelum dikurangkan kepada €1 juta pada tahun 2016.

Selepas hukuman itu, hidupnya berubah sepenuhnya. Dari peniaga pasaran saham yang memegang kuasa ratusan bilion euro, dia kini hidup sederhana di pinggir Paris. Dia menyewa apartmen kecil, bekerja dalam bidang teknologi maklumat dan menjalani hidup jauh dari sorotan media.

Kerviel tidak pernah menjadi kaya daripada dagangan itu. Semua keuntungan milik bank. Yang dia warisi hanyalah tekanan luar biasa, rasa bersalah dan trauma akibat kesilapan yang meranapkan reputasinya sendiri.

Dalam satu wawancara televisyen di Perancis, dia berkata dengan nada tenang, “Saya tidak mahu mengejar kekayaan lagi. Saya hanya mahu hidup dengan tenang.”

Kata-kata itu menggambarkan penyesalan yang mendalam. Dia pernah hidup dalam dunia yang penuh dengan angka, keuntungan dan risiko, tetapi kini dia sedar bahawa tiada satu pun daripadanya membawa kebahagiaan sebenar.

Morgan Housel menulis dalam bukunya The Psychology of Money, “Money’s greatest intrinsic value is its ability to give you control over your time.” Nilai sebenar wang terletak pada kebebasan untuk menentukan hidup sendiri. Dalam hal ini, Kerviel tidak pernah memiliki kebebasan itu. Hidupnya dikawal sepenuhnya oleh pasaran yang tidak pernah tidur dan juga sifat tamak.

Dia tidak tamak terhadap harta benda tetapi terhadap pengiktirafan. Keinginan untuk membuktikan dirinya sebagai peniaga terhebat menyebabkan dia terus melangkaui sempadan risiko. Dalam dunia kewangan, kemenangan yang berulang mencipta ketagihan yang sukar dihentikan sehingga mengabaikan nilai positif.

Kisah ini menjadi peringatan kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengan wang dan kuasa. Kecerdikan tanpa kawalan diri boleh menjadi racun yang membinasakan. Wang mampu memberi kemewahan tetapi juga mampu menghancurkan kehidupan jika manusia hilang rasa cukup.

Jerome Kerviel kini dikenang bukan kerana kekayaannya tetapi kerana kejatuhannya. Dia menjadi simbol bagaimana sistem kewangan moden boleh tumbang akibat satu kesilapan manusia. Dari lelaki yang pernah dianggap genius pasaran, kini dia dikenang sebagai peringatan bahawa tiada siapa kebal daripada akibat kesombongan dan kerakusan.

Dia masih tinggal di Perancis, menjalani kehidupan tanpa glamor. Tiada lagi telefon pelabur, tiada lagi lampu papan dagangan yang berkelip siang malam. Hanya hari-hari tenang di kota kecil yang jauh dari hiruk-pikuk dunia saham. Dari ratusan bilion ke hampir kosong, akhirnya dia menemui semula perkara yang paling berharga iaitu ketenangan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.