Nepal sekarang tengah bergolak teruk. Apa yang mula dengan sekatan media sosial, tiba-tiba bertukar jadi krisis politik paling besar sejak negara tu jatuhkan sistem beraja pada 2008.
Rakyat terutamanya generasi muda dah lama simpan marah. Cuma kali ni, semua kemarahan tu meletup serentak.
Semua bermula bila kerajaan Nepal umumkan sekatan terhadap 26 platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, YouTube dan X.
Katanya nak kawal berita palsu dan jaga “keharmonian sosial”, tapi rakyat nampak benda ni sebagai cubaan kerajaan nak kawal suara orang ramai.
Media sosial di Nepal ni lah ramai guna untuk berniaga, belajar dan dapatkan berita. Bila kerajaan tetiba sekat semua, rakyat terus anggap ini percubaan tutup mulut rakyat.
Marah orang muda Nepal memang dah lama terkumpul. Kadar pengangguran belia cecah 20 peratus, ekonomi perlahan dan setiap hari lebih dua ribu anak muda terpaksa tinggalkan negara untuk cari rezeki di Timur Tengah atau Asia Tenggara.
Dalam masa yang sama, TikTok dan Instagram Nepal penuh dengan video gaya hidup mewah anak-anak orang politik dengan kereta import, bercuti luar negara, barang designer, semua pamer tanpa segan.
Fenomena “nepo kids” ni jadi simbol ketidakadilan sosial, bila rakyat terbeban dengan kos hidup tapi elit politik dan keluarga mereka hidup senang lenang.
Kemuncak semua ni berlaku pada 9 September 2025. Puluhan ribu orang turun ke jalanan di Kathmandu dan bandar-bandar besar lain.
Polis cuba kawal keadaan dengan gas pemedih mata, meriam air, peluru getah malah peluru hidup. Rusuhan hari tu bertukar berdarah bila 19 orang terbunuh dan lebih dua ratus cedera.
Malam tu juga kerajaan panik dan tarik balik sekatan media sosial, tapi masa tu api kemarahan dah terlanjur marak. Protes dah jadi lebih besar daripada sekadar isu sekatan semata-mata.
Hari berikutnya, keadaan bertambah parah. Rakyat ceroboh dan membakar bangunan parlimen Nepal di Singha Durbar. Gambar viral menunjukkan tingkap pecah, dinding penuh grafiti, asap hitam berkepul-kepul naik ke langit Kathmandu.
Bukan setakat parlimen, rumah bekas Perdana Menteri Sher Bahadur Deuba turut diserang, dia dan isterinya cedera.
Rumah bekas Perdana Menteri Jhala Nath Khanal pula terbakar dan isterinya, Rajyalaxmi Chitrakar, maut selepas terperangkap dalam api.
Beberapa pejabat kementerian dan rumah menteri lain juga musnah.
Suasana Kathmandu masa tu lebih mirip medan perang daripada ibu negara.
Dalam keadaan huru-hara, Perdana Menteri K.P. Sharma Oli umum letak jawatan. Dia kata kononnya nak bagi laluan untuk penyelesaian politik ikut perlembagaan. Tapi walaupun dia resign, protes tak surut.
Tentera Nepal mula ambil alih kawalan beberapa kawasan strategik, menteri-menteri dievakuasi dengan helikopter dan curfew diisytiharkan.
Rakyat langsung tak peduli, mereka terus memenuhi jalanan, terus menuntut keadilan, terus menolak kerajaan yang dianggap gagal.
Kalau kau tengok betul-betul, kemarahan ni tercetus bukan sebab media sosial kena sekat. Itu cuma pencetus.
Masalah sebenar dah lama berakar dari korupsi politik yang kronik, nepotisme yang melampau dan janji kosong kerajaan yang tak pernah ditepati.
Rakyat rasa ditipu, suara mereka diketepikan dan peluang hidup makin sempit. Sebab tu parlimen jadi sasaran. Bagi mereka, bangunan tu ialah simbol kuasa elit politik yang dah lama abaikan rakyat.
Sekarang Nepal masih dalam keadaan tak stabil. Perdana Menteri dah letak jawatan, tapi kerajaan caretaker yang wujud tak ada kuasa jelas.
Tentera dah mula masuk campur, ribuan orang masih turun protes setiap malam dan masa depan politik Nepal kabur.
Kalau kerajaan tak ambil serius tuntutan rakyat, Nepal boleh hadapi dua kemungkinan sama ada reformasi besar-besaran atau krisis berpanjangan yang boleh bawak campur tangan tentera.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




