Tahun 2013 menjadi titik hitam dalam hidup James Howells, seorang jurutera IT dari Newport, Wales. Boleh pula masa kemas rumah, dia terbuang sebuah cakera keras yang menyimpan kunci peribadi untuk akses 8,000 Bitcoin miliknya. Waktu itu, Bitcoin hanyalah aset kecil yang nilainya tidak pernah terlintas akan mencapai langit.
Segalanya berubah apabila tong sampah itu dihantar ke tapak pelupusan bandar. Cakera keras tersebut terkubur di bawah ribuan tan sampah yang dimampatkan. Kini, pada kadar semasa, Bitcoin itu bernilai kira-kira lebih kurang RM3.98 – 4 bilion. Nilai yang mampu mengubah hidup sesiapa sahaja, tetapi untuk James, ia tinggal sejarah yang menghantui fikirannya.
Sejurus menyedari kesilapan itu, James memohon kepada Majlis Bandaraya Newport untuk membenarkannya mengorek tapak pelupusan. Dia sanggup menanggung semua kos, membawa masuk teknologi pengimbas tercanggih dan memastikan tiada pencemaran alam sekitar. Dia malah berjanji memberi ganjaran besar kepada pihak majlis jika operasi berjaya.
Namun, pihak majlis menganggap risiko kepada alam sekitar terlalu tinggi dan peluang menemui satu cakera keras dalam timbunan sampah adalah hampir mustahil. Undang-undang tempatan pula menetapkan bahawa segala yang dibuang ke tapak pelupusan menjadi hak milik pihak berkuasa. Hatinya remuk melihat birokrasi membunuh harapannya.
Bertahun-tahun dia mencari jalan. Pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk menggunakan dron, anjing pengesan elektronik, malah kecerdasan buatan. Tetapi setiap kali pintu harapan terbuka, keputusan rasmi mematikannya semula. Lebih memilukan, tapak pelupusan itu kini dirancang untuk dijadikan ladang tenaga solar. Ruang untuk menggali sudah tertutup rapat!
Kisah James ini menjadi antara tragedi paling terkenal dalam dunia mata wang digital. Ia mengajar betapa rapuhnya penyimpanan kendiri aset kripto. Dalam Bitcoin, kehilangan kunci peribadi bermaksud kehilangan hak milik sepenuhnya tanpa sebarang jalan pulang. Ia seperti peti besi tanpa kunci yang akan kekal terkunci sampai bila-bila.
Bayangkan… hanya satu cakera keras memisahkannya daripada RM4 bilion. Nilai itu cukup untuk menebus masa, membeli kebebasan dan menjamin masa depan generasi. Namun semua itu kini hanya wujud dalam angka dan kenangan, terkubur bersama timbunan sampah yang tidak akan terusik.
Dalam wawancara terkini, James mengaku dia akhirnya menerima hakikat. Tekanan mental, penolakan pihak majlis dan kegagalan demi kegagalan membuatnya sedar bahawa harapan itu lebih memakan dirinya daripada menyelamatkan apa yang hilang. Tetapi jauh di sudut hati, ada satu rasa yang tidak akan hilang… rasa “Kalaulah aku semak betul-betul sebelum membuangnya…”
Pakar keselamatan digital sering menjadikan kisah ini sebagai peringatan. Mereka menekankan pentingnya simpanan kunci peribadi secara berlapis dan selamat. Satu kelalaian kecil boleh memusnahkan seluruh nilai yang dibina bertahun-tahun.
Penganalisis menganggarkan hampir 20 peratus daripada semua Bitcoin di dunia kini terkunci selama-lamanya akibat kehilangan kunci peribadi. James hanyalah satu contoh paling tragis yang mendapat perhatian dunia. Mungkin banyak lagi kisah serupa yang tidak diketahui.
Sayangnya… kekayaan sebesar ini terkubur bersama sampah, sedangkan jika ditemui, ia mampu mengubah hidup sesiapa sahaja. Semoga kita sentiasa berhati-hati menjaga setiap “kunci”, walaupun sekecil satu peranti yang kelihatan tidak berharga.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.