Selepas satu siri gegaran kuat yang melanda Kamchatka, dua gunung berapi utama di semenanjung itu kembali aktif. Klyuchevskaya Sopka dan Krasheninnikov meletus hampir serentak, memuntahkan asap, gas dan abu ke langit. Letusan ini berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bumi besar yang turut mencetuskan tsunami kecil.
Klyuchevskaya Sopka meletus terlebih dahulu pada 30 Julai 2025. Gunung ini memang terkenal sebagai antara gunung berapi paling aktif di dunia. Sejak letusan pertamanya direkodkan pada tahun 1657, ia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda nak bertenang langsung.
Letusan terbaru menghasilkan kolum abu setinggi sekitar enam kilometer ke udara. Ia mengganggu laluan penerbangan dan menyebabkan gangguan trafik udara serta memaksa pemindahan penduduk dari kawasan berisiko. Awan panas dan debu turut melitupi kawasan berhampiran dengan kesan yang sangat luas.
Yang lebih mengejutkan ialah Krasheninnikov. Gunung ini telah senyap selama hampir enam abad. Letusan terakhirnya direkodkan sekitar tahun 1463, menurut anggaran sejarah geologi Rusia. Namun pada 3 Ogos, dua puncaknya kembali hidup dan memuntahkan kandungan perut bumi secara serentak.
Krasheninnikov terbentuk di dalam kaldera purba yang berusia lebih 39,000 tahun. Kaldera ini wujud selepas letusan besar pada zaman silam yang mengosongkan ruangan magma (magma chamber) bawah tanah. Selepas ribuan tahun, dua kon baharu terbina dalam kawah itu dan menjadi struktur utama hari ini.
Pakar melihat letusan ini sebagai reaksi kepada tekanan bawah tanah yang telah terbina sejak sekian lama. Gempa bumi di Kamchatka menambah regangan dalam sistem magma. Akhirnya tekanan itu memacu lava naik ke permukaan dan mencetuskan letusan.
Institut geologi Rusia dan US Geological Survey mengesahkan bahawa petanda awal telah muncul sejak awal Julai. Aktiviti mikro-gempa meningkat secara konsisten. Terdapat tekanan tinggi di kolam lava serta pembentukan rekahan kecil di sekitar lereng gunung.
Letusan Krasheninnikov dan Klyuchevskaya berlaku dalam zon yang sangat aktif secara geologi. Kamchatka terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, satu zon yang membentuk garis melengkung sepanjang 40,000 kilometer mengelilingi Lautan Pasifik. Kawasan ini mengandungi lebih 75 peratus gunung berapi aktif dunia.
Lingkaran Api merangkumi Amerika Selatan, pantai barat Amerika Utara, Jepun, Indonesia serta banyak pulau di Lautan Pasifik. Zon ini terbentuk apabila plat tektonik bertembung di dasar laut. Dalam proses ini, salah satu plat ditolak ke bawah plat yang lain dan perlahan-lahan tenggelam ke dalam lapisan mantel.
Tekanan dan suhu tinggi di bawah permukaan menyebabkan kerak bumi mencair dan membentuk takungan magma. Dari sinilah lahirnya gunung berapi yang aktif sepanjang Lingkaran Api Pasifik.
Setakat data semasa, terdapat lebih 750 gunung berapi aktif di dalam Lingkaran Api. Hampir 90 peratus gempa bumi dunia juga berlaku dalam kawasan ini. Oleh itu, setiap gegaran di zon ini harus dianggap serius dari sudut geologi dan keselamatan awam.
Klyuchevskaya dan Krasheninnikov tergolong dalam kategori stratovolcano. Ini ialah jenis gunung berapi yang tinggi, curam dan terbina daripada lapisan lava serta abu hasil letusan berulang. Letusannya sering menghasilkan piroklastik, gas toksik dan gelombang kejutan.
Stratovolcano ialah salah satu daripada empat jenis utama gunung berapi. Tiga lagi ialah shield volcano, cinder cone dan lava dome. Setiap jenis mempunyai bentuk struktur, kelikatan magma dan risiko letusan yang berbeza.
Shield volcano dicirikan oleh bentuk lebar dan landai. Lava yang keluar darinya sangat cair dan mengalir jauh sebelum membeku. Gunung Mauna Loa di Hawaii ialah contoh paling klasik. Letusannya perlahan tetapi mampu melitupi kawasan yang sangat luas.
Cinder cone pula ialah jenis paling kecil dan sering terbentuk daripada serpihan batu dan lava beku yang jatuh berhampiran kawah. Walaupun kecil, letusannya pada peringkat awal boleh menjadi sangat kuat akibat tekanan gas yang tinggi dalam magma.
Struktur lava dome muncul apabila lava likat tidak mengalir jauh, sebaliknya berkumpul di sekitar kawah dan mengeras membentuk kubah. Letusannya jarang tersebar luas, namun tekanan tinggi di bawah permukaan boleh mencetuskan letupan kuat berhampiran kawah. Mount St. Helens pernah menghasilkan lava dome selepas letusan utamanya.
Memahami jenis gunung berapi amat penting kerana setiap satu membawa risiko yang unik dan berbeza. Stratovolcano menghasilkan letusan letupan, lahar dan abu halus. Shield volcano menghasilkan aliran lava yang meluas tetapi perlahan. Cinder cone memberi kejutan awal yang kuat. Lava dome pula berpotensi mencetuskan letusan setempat yang ganas.
Dalam kes Kamchatka, pemantauan secara berterusan sedang dijalankan. Satelit digunakan untuk mengesan pergerakan awan abu dan suhu di sekitar kawah. Gas seperti sulfur dioksida turut dianalisis untuk menilai kekuatan letusan dan impaknya terhadap atmosfera.
Terdapat kemungkinan bahawa abu dari letusan ini boleh bergerak jauh melalui angin dan memberi kesan kepada negara jiran. Jika letusan berterusan, zarah halus di atmosfera boleh memantulkan serta menghalang cahaya matahari seterusnya menurunkan suhu.
Letusan juga mempengaruhi tanah dan air. Dalam jangka masa panjang, abu gunung berapi boleh menyuburkan tanah. Namun dalam tempoh awal, ia mampu menutup tumbuhan, mencemarkan sumber air dan mengganggu sistem pernafasan manusia serta haiwan.
Letusan besar pernah mengubah sejarah dunia. Gunung Tambora pada 1815 menyebabkan Tahun Tanpa Musim Panas. Gunung Vesuvius menghapuskan Pompeii. Walaupun letusan di Kamchatka tidak setara dengan peristiwa itu, ia tetap memberi peringatan tentang kuasa bumi yang sebenar.
Pakar menjangkakan bahawa aktiviti magma masih belum reda. Sistem dalaman masih aktif dan kemungkinan letusan susulan tidak dapat diketepikan. Justeru, pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa terus menjalankan pemantauan setiap jam.
Kejadian ini menunjukkan bahawa teknologi tidak dapat menghalang bencana tetapi hanya mampu memberi amaran. Setiap kepulan asap dan gegaran tanah membawa mesej bahawa kerak bumi sedang bergerak dan manusia hanya mampu menyesuaikan diri dengannya.
Soalannya kini, jika dua gunung yang diam selama ratusan tahun boleh bangkit semula, berapa banyak lagi yang sedang menunggu giliran dalam senyap?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.