Pernah tak anda melihat watak dalam teater, filem mahupun animasi yang membuatkan hati anda menjerit “Dah kenapa watak perempuan ni buat hati aku berbunga-bunga?” Watak ini selalunya dialegorikan sebagai bunga dalam cerita. Gadis ideal.

Bila sebut tentang gadis ideal ni, sudah tentu ramai yang akan fikir setiap orang mempunyai citarasa yang berlainan. Ada yang mahukan gadis berambut ikal mayang, ada yang mahukan gadis Kelantan dan ada juga yang mahukan gadis berkulit cerah. Senang cerita, ia adalah relatif. Walau bagaimanapun, tak kisahlah budaya dan dari negara mana pun, kesemua watak trope ‘Gadis Ideal’ ini mempunyai satu persamaan. Untuk memahami persamaan tersebut, kita perlu lihat kembali kenapa mereka digelar ‘bunga dalam cerita’.

Bunga, dalam bahasa sastera, selalunya digunakan untuk sesuatu yang indah, seperti watak jenis ni. Ia menumbuh di atas tanah dan sekiranya ia subur, bunga tersebut akan tumbuh mekar dan harum. Namun, sekiranya kurang subur, ia tetap akan tumbuh mekar, sekalipun lambat. Tanah di sini dialegorikan sebagai ada setempat. Nilai umum masyarakat. Bunga yang berharum wangi tumbuh di atas tanah yang subur. Apabila pokok bunga ini dibiar mekar untuk masa yang lama, ia akan menjadi sepohon pokok yang memberi ribuan manfaat kepada mereka yang memerlukan. Maka, seperti bunga tersebut, trope gadis ideal ini mekar di atas nilai konservatisme.

Ya, kebanyakan watak yang mempunyai trope ini, tak kisah budaya mana pun, selalunya merupakan watak feminin yang kuat pegangan tradisionalnya. Sekiranya diasak dengan perubahan yang melampau, mereka akan tetap teguh dengan nilai konservatif masing-masing. Selalunya, kalau mereka ni akan berpakaian pakaian tradisi mereka. Contohnya, baju kurung/kebaya bagi Melayu, kimono bagi Jepun dan ‘dress’ bagi Inggeris. Namun, ada kalanya bunga tersebut akan menjadi layu sekiranya tak dijaga betul, di mana ia akan melahirkan trope ‘Extreme Doormat’ dan ‘Mary Sue’. Perempuan ideal tapi lemah. Bagi hal ini, saya akan terangkan dengan lebih lanjut dalam perenggan lain.

DUNIA MELAYU: PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR

Dalam dunia sutradara Melayu, kita ada satu trope yang dipanggil sebagai ‘Perempuan Melayu Terakhir”. Malangnya, kita tak banyak membawa naskhah yang membawa watak ini sekalipun idea itu ada. Saya percaya, naskhah yang membawa idea ini secara jitu ialah filem Perempuan Melayu Terakhir (1998) sendiri. Deuterogonis filem berkenaan, Mustika (lakonan Vanidah Imran) ialah perempuan Melayu yang bergiat dalam kesenian dan budaya Melayu (lambang tradisional), Sekalipun dia tersepit di antara tunangnya, Engku Leh dan Haikal, protagonis filem ini, Mustika pilih untuk setia dengan tunangnya sekalipun pandangan keras fundamental agama dari tunangnya menggugat aktiviti keseniannya. Sebagaimana analogi saya berkenaan bunga, filem memberikan analogi indah berkenaan trope ‘Perempuan Melayu Terakhir’. Ia ibarat Sitadewi dalam epik Ramayana. Walaupun Ravana (Haikal) cuba untuk mencuri Sitadewi daripada Ramayana, Sitadewi akan tetap kembali kepada buah hatinya, Ramayana (Engku Leh).

Gambar: Natrah (Maya Karin) dan Che Aminah (Umie Aida) semasa pementasan teater Natrah.

Pelakon Melayu yang banyak melakonkan watak sebegini menurut saya ialah Maya Karin. Sekalipun beliau merupakan Melayu kacuk German, ia tidak mengubah faka bahawa Maya Karin adalah antara pelakon lokal yang mempunyai rupa Melayu klasik seperti Umie Aida (juga banyak melakonkan watak seperti Melayu klasik). Disebabkan itu, beliau banyak memegang watak wanita Melayu konservatif. Contoh watak-watak tersebut ialah Meriam (Pontianak Harum Sundal Malam), Tina (Waris Jari Hantu) dan Tun Fatimah (teater bangsawan Tun Fatimah).

Watak Izzah dalam  filem Ombak Rindu ialah watak ‘Perempuan Melayu Terakhir’, tapi dalam bentuk turun taraf, yakni ‘Extreme Doormat’, ‘Mary Sue’ dan juga ‘Damsel in Distress’. Gadis ideal yang lemah dan pasif. Watak Natrah dalam teater Natrah yang dilakonkannya juga mempunyai trope ‘Perempuan Melayu Terakhir’, cumanya Natrah bukan Melayu. Dia ialah orang Belanda yang dimelayukan. Bagi sesiapa yang tak mendengar tragedi Natrah, anda semua diwajibkan untuk baca, tonton dan ketahui kisahnya kerana ia merupakan sejarah yang penting dalam lipatan dunia Melayu kolonial .

Gambar: Natrah (tengah) bersama ibu angkatnya, Che Aminah (kanan) ketika perbicaraan di Singpura.

DUNIA JEPUN: YAMATO NADESHIKO

Dalam budaya Jepun, mereka mempunyai trope yang dinamai ‘Yamato Nadeshiko’. ‘Yamato’ ialah nama arkaik Jepun (simbol kepada tradisi), manakala ‘Nadesehiko’ ialah sejenis bunga di Jepun. Secara literalnya, trope ini bermaksud ‘bunga tradisi Jepun’. Saya ambil contoh mudah dalam dunia anime, Onodera Kosaki dalam Nisekoi. Sesiapa yang mengikuti perkembangan anime sekitar 2014-2016 pasti kenal karakter ini, dan juga pasti akan teringat betapa kansernya perang waifu antara Chitoge-Kosaki pada waktu tersebut. Sekalipun Chitoge akhirnya berjaya meraih cinta protagonis dalam manga/anime Nisekoi, hakikatnya Onodera Kosaki adalah berkali ganda lebih popular dan disukai pembaca, khususnya dari Jepun.

Gambar: Onodera Kosaki. Segala ilustrasi Nisekoi adalah hak milik Naoshi Komi, Shonen Jump dan studio animasi Shaft.

Alasannya sangat mudah. Mungkin dari sudut cerita, Chitoge mewujudkan lebih banyak dinamik dan pergerakan plot cerita. Namun, dari sudut realiti dan pendapat pembaca Jepun, Onodera Kosaki ialah watak realistik yang anda mahu kahwin, sedangkan perwatakan Chitoge di dunia sebenar dikira menjengkelkan (tsundere, suka tapi buat-buat tak suka).

Onodera ialah simbol ‘Yamato Nadeshiko’ menurut rakyat Jepun. Dia merupakan gadis yang lemah lembut, pemalu, bersopan santun, mempunyai sifat keibuan, berfikiran konservatif dan dikenali di sekolahnya sebagai antara gadis tercantik. Kelemahannya ialah dia tak pandai memasak (hal ini berubah pada hujung cerita). Walau bagaimanapun, ini tidak memadam prestasi Onodera sebagai sekuntum ‘hana’, ‘sakura’ dan ‘yamato’ yang tumbuh mekar dalam kisah ini.

Gambar: Onodera dan Chitoge berpakaian kostum Juliet sempena teater festival sekolah mereka.

Sebagaimana Izzah, Onodera ini antara contoh bunga yang layu akibat tak dijaga betul. Wataknya statik dan tak dikembangkan. Juga, setiap kali dia hendak luahkan perasaannya pada protagonis (Ichijou Raku), pasti akan terganggu (bola besbol pecah tingkap kelas, Raku tertidur etc.). Pengakhirannya juga menyakitkan hati. Setelah beberapa ratus bab pembaca diusik dengan dinamik hubungan Raku dan Onodera, tapi akhirnya mengambil hanya dua bab sahaja untuk menceritakan Raku menolak cinta Onodera, sekalipun suka sama suka. Secara ringkasnya, luahan perasaan Onodera terhadap Raku adalah sebegini:

“Saya sukakan awak Ichijou…tapi saya tahu awak sukakan Chitoge, jadi pergilah pada dia.”

Macam itu sahaja. Anti klimatik. Lagi menyakitkan hati ialah Onodera ini jugalah gadis yang membuat janji berkahwin dengan Raku semasa mereka masih kecil, di mana ini ialah plot utama Nisekoi (10 tahun sebelum kisah bermula, Raku telah membuat janji untuk berkahwin dengan seorang gadis, tapi terlupa siapa gadis berkenaan). Potensi yang besar, tapi disia-siakan. Dalam dunia penulisan, trope ni kita panggil ni sebagai ‘Aspull’. Pergerakan cerita yang tak munasabah, serupa trope ‘Deus Ex Machina’. Wataknya terganggu dek masalah penulisan yang tak munasabah oleh penulis/pelukisnya.

Sekarang, kita bandingkan pula dengan ‘godmother’ trope ‘Yamato Nadeshiko’ yang digarap dengan elok:

Gambar: Poster CD drama Oshin. Ketiga-tiga watak berkenaan ialah Oshin yang diceritakan semasa zaman tua, kanak-kanak dan dewasa. Gambar adalah hak milik NHK.

Ya, Oshin.

Oshin berasal daripada keluarga miskin yang kemudiannya berkhidmat sebagai khadam, kepada penjual gerai, kepada ibu tunggal dan akhirnya taikun pasaraya. Segala dugaan yang menimpa Oshin ni saya anggap memang mencabar iman Lahir-lahir dah miskin, lepas tu kena jadi buruh paksa, anak gugur, kawan baik mati jadi pelacur, suami bunuh diri, anak mati masa perang dunia kedua dan bermacam lagi masalah. Akan tetapi, di akhir cerita, Oshin tetap berdiri dengan kukuh dari segala macam kebangsatan yang jadi padanya. Sebagaimana sepohon pokok bunga yang membawa ribuan manfaat kepada yang dinaunginya, Oshin bertindak memberi nasihat dan hikmah dari pengalamannya kepada cucunya, Kei. Oshin ni sama seperti Onodera. Bezanya ialah dia pilih untuk melawan walaupun dalam kelembutan, lagi-lagi kalau ia melibatkan orang yang disayanginya. Onodera, walaupun dibelenggu masalah penulisan, wataknya adalah yang jenis suka pendam dan tak luahkan apa yang berada dalam hatinya.

DUNIA AMERIKA SYARIKAT: SOUTHERN BELLE

Di Eropah, khususnya United Kingdom, trope ‘gadis ideal’ mereka dikenali sebagai ‘English Rose’ (sekali lagi, motif bunga tradisi). Memandangkan saya mengguna pakai contoh filem ‘Cold Mountain’ lakonan Nicole Kidman, maka saya nak gunakan trope ‘gadis ideal’ kawasan selatan US. ‘Southern Belle’. Filem adaptasi novel ini mengisahkan tentang kehidupan sepasang kekasih, Ada (Nicole Kidman) dan Inman (Jude Law) semasa zaman Perang Saudara Amerika Syarikat. Setelah perang tercetus, Inman mendaftar masuk menjadi tentera pihak Konfederasi dan meninggalkan halaman kampung dan Ada yang tercinta.

Berbanding trope ‘gadis ideal’ yang lain, ‘Southern Belle’ selalunya mengguna pakai watak perempuan dari kasta tinggi. Persamaan ini kita boleh lihat pada trope ‘English Rose’ bagi sastera Inggeris UK yang juga mengguna pakai tema bangsawan. Perbezaan ketara yang ada pada trope ini berbanding trope ‘gadis ideal’ yang lain ialah mereka ni jenis aktif dan lebih sosial. ‘Perempuan Melayu Terakhir’, ‘Yamato Nadeshiko’ dan ‘English Rose’ pula lebih pasif dan pemalu. Juga, seorang ‘Southern Belle’ wajib mempunyai loghat kawasan selatan US (seperti Alabama) yang pekat.

Gambar: Babak pertemuan pertama kali Ada dan Ipman. Kesemua grafik Cold Mountain adalah hak milik Charles Frazier dan syarikat perfileman yang berkaitan.

Dalam karya Cold Mountain, Ada merupakan gadis dari keluarga pendeta aristokrat (KASTA TINGGI) yang berhijrah ke kawasan pekan kecil kerana ayahnya mempunyai masalah kesihatan. Dek tugas ayahnya sebagai pendeta, Ada aktif dalam aktiviti sosial kemasyarakatan pekan tersebut (AKTIF DAN SOSIAL). Dari situ jugalah, dia bertemu mata dengan Inman ketika semua pemuda pekan mereka sedang sibuk membina gereja. Setelah pemergian Inman dan kematian ayahnya, keadaan Ada menjadi tak terurus kerana selama ini, urusan harta dan tanah semuanya diuruskan oleh ayahnya. Bagi point ini, Ada dikira sebagai seorang ‘Mary Sue’.

Hal ini berubah apabila Ada ditemukan dengan seorang perempuan eksentrik, Ruby Thewes (Renee Zellweger) kiriman jirannya untuk membantu Ada. Dari sini, Ada belajar untuk bangkit kembali dan akhirnya, ladang milik Ada kembali terurus dan dia dikenali sebagai wanita yang disegani, kuat dan bebas (TEMA BIASA GADIS IDEAL: POKOK BUNGA YANG SUBUR). Malah, semasa pertemuan kembali Ada dan Inman, dia hampir-hampir menembak kekasihnya kerana menyangkanya sebagai penjahat. Ingin diingatkan bahawa sebelum ini, Ada yang lama merupakan gadis yang lemah dan lembut, sifat yang agak antagonistik berbanding Ada yang baru, seorang yang kuat.

Gambar: Ruby dan Ada ketika sedang memburu.

Secara ringkasnya, trope kolektif ‘gadis ideal’ adalah sangat luas kerana ia merangkumi pelbagai budaya tamadun dan negara. Namun, temanya selalu menyentuh sisi gadis konservatif dan alegori bunga. Kalau kita lihat dari sudut realiti, tokoh-tokoh terkenal seperti Ratu Elizabeth I (English Rose) dan Tun Fatimah (Perempuan Melayu Terakhir) adalah contoh ‘gadis ideal’ bagi tamadun masing-masing. Sekiranya anda tanyakan saya, daripada kesemua jenis perempuan dan gadis yang pernah saya temui, kurang daripada 10 orang yang saya anggap sebagai seseorang yang mempunyai trope 100% ‘gadis ideal’, dan salah satu daripadanya merupakan muse penulisan saya. Berbalik pada fokus penulisan dan sastera, penulis yang bagus dan mengguna pakai trope ni harus berhati-hati dalam membina karakter tersebut. Sekalipun nampak ringkas dan mudah, sekiranya tak digarap dengan betul, akan mencacatkan potensi cerita sebagaimana Onodera Kosaki dalam Nisekoi.

RUJUKAN:

  1. https://tvtropes.org/pmwiki/pmwiki.php/Main/YamatoNadeshiko
  2. https://tvtropes.org/pmwiki/pmwiki.php/Main/SouthernBelle

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.