Langit cerah. Suasana tengah hari di Ahmedabad masih tenang. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner bersedia berlepas ke London Gatwick.
Penerbangan AI171 itu membawa 230 penumpang dan 12 anak kapal. Semuanya berjalan lancar. Sehinggalah dua minit selepas berlepas.
Dalam tempoh kurang 30 saat selepas lepas berlepas, pesawat mula terhoyong sebelum menjunam ke kawasan padat. Impak hentaman mencetuskan letupan besar dan asap tebal menjulang dari tapak nahas
Pesawat dengan nombor pendaftaran VT-ANB itu dikendalikan oleh Kapten Sumeet Sabharwal, juruterbang berpengalaman lebih 8,200 jam, dan pembantu juruterbang Clive Kundar dengan 1,100 jam di kokpit.
Pesawat baru selesai menjalani penyelenggaraan dan dilaporkan dalam keadaan baik. Ia membawa bahan api penuh untuk penerbangan selama 9 jam ke London. Faktor itu menjadikan kebakaran selepas impak sangat besar.
Nahas berlaku berhampiran BJ Medical College di Meghani Nagar, kawasan padat dengan pelajar dan hospital. Sebahagian bangunan hostel perubatan dirempuh serpihan, menyebabkan lima orang awam terbunuh di darat dan 41 lagi cedera, majoritinya pelajar perubatan.
Antara 230 penumpang yang berada dalam pesawat, 169 merupakan warga India, 53 dari Britain, tujuh dari Portugal dan seorang dari Kanada. Ramai antara mereka ialah pelajar dan pekerja asing yang dalam perjalanan pulang ke luar negara.
Juruterbang sempat menghantar isyarat MAYDAY, tetapi tiada komunikasi susulan diterima selepas itu. Pasukan penyelamat tiba dalam masa lima minit. Operasi digerakkan oleh polis Gujarat, tentera India dan NDRF. Tujuh jentera bomba dan empat ambulans bergegas ke lokasi.
Dalam kekalutan, hanya satu nama muncul sebagai penumpang yang hidup. Vishwash Kumar Ramesh, warga Britain berusia 40 tahun, terselamat selepas ditemui masih sedar di celah bangkai pesawat. Dia mengalami kecederaan di kaki dan kepala. Orang awam menariknya keluar dari runtuhan dan membawanya ke hospital.
“Ada mayat di sekeliling saya, serpihan kapal terbang di mana-mana. Seseorang menarik saya dan meletakkan saya ke dalam ambulans,” katanya dalam keadaan trauma namun masih sedar. Kini beliau dilaporkan stabil namun dalam pemantauan rapi di hospital Ahmedabad.
Kotak hitam pesawat dijumpai berhampiran bahagian ekor. Ia mengandungi perakam suara kokpit dan data penerbangan yang kini dalam proses analisis oleh Direktorat Penerbangan Awam India, dengan kerjasama Boeing, NTSB (Amerika Syarikat) dan AAIB (UK).
Spekulasi awal menyebut kerosakan enjin kanan atau kegagalan sistem automasi sebagai punca utama. Laporan saksi menyatakan terdapat letupan di bahagian kanan pesawat sebelum ia mula menjunam. Keseluruhan siasatan dijangka mengambil masa beberapa minggu.
Insiden ini menamatkan rekod bersih Boeing 787-8 Dreamliner yang mula diperkenalkan sejak 2011. Ia adalah kemalangan maut pertama bagi model tersebut.
Tata Group, pemilik Air India, mengumumkan pampasan ₹1 crore (sekitar RM565,000) untuk setiap keluarga mangsa dan berjanji membiayai kerja-kerja pembaikan hostel perubatan yang rosak.
Perdana Menteri Narendra Modi mengisytiharkan hari berkabung nasional. Menteri Dalam Negeri Amit Shah dan Menteri Penerbangan Ram Mohan Naidu dihantar terus ke lokasi.
Pemimpin antarabangsa seperti PM UK Keir Starmer dan Raja Charles III turut menyampaikan ucapan takziah. Pusat sokongan khas dibuka di London dan Ahmedabad untuk keluarga warga Britain yang terlibat.
CEO Air India, Campbell Wilson, tampil memberi kenyataan rasmi dan berjanji memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Lebih 130 anggota tentera dan kakitangan hospital awam dikerahkan ke lokasi untuk membantu proses pemulihan dan mengurus mayat mangsa. Kawasan kejadian kini dikawal ketat.
Lapangan Terbang Ahmedabad ditutup sementara bagi membolehkan audit keselamatan penuh dijalankan.
Dan kepada dunia penerbangan, tragedi ini adalah isyarat untuk kembali semak, bukan hanya teknologi, tapi juga manusia yang mengendalikan langit.
Kisah “survivor” Vishwash Kumar Ramesh kini menjadi simbol harapan dalam tragedi ini. Beliau terselamat bukan kerana sistem, tapi kerana naluri, reaksi pantas, dan dengan izin Tuhan.
Kami menghulurkan simpati kepada semua keluarga mangsa di udara dan di darat. Setiap nyawa yang terkorban mewakili sebuah kisah yang tidak sempat sampai ke destinasinya. Semoga roh mereka dirahmati dan semoga mangsa yang terselamat serta keluarga diberi kekuatan untuk bangkit dari kesedihan yang berat ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.