Dalam dunia kejuruteraan trafik, penghadang jalan bukan sekadar struktur pasif di tepi lebuh raya. Ia adalah barisan pertahanan pertama yang menentukan hidup atau mati, bukan sahaja untuk pemandu tetapi juga penumpang dan pengguna jalan lain.
Realitinya, keberkesanan sistem penghadang jalan mencerminkan sejauh mana seriusnya sesebuah negara melindungi nyawa rakyatnya. Negara-negara maju tidak melihat penghadang sebagai aksesori, tetapi sebagai komponen kritikal dalam ekosistem keselamatan jalan raya.
Penghadang jalan direka bukan hanya untuk menghentikan pergerakan kenderaan, tetapi untuk mengawal arah selepas hentaman, menyerap tenaga perlanggaran, dan mengelakkan kenderaan terpelanting ke arah bertentangan atau ke jurang.
Ia adalah sains yang teliti, bukan sekadar keputusan kontraktor. Negara-negara seperti Sweden, Korea Selatan, dan Jepun telah melabur puluhan tahun dalam memahami dinamika ini. Mereka tidak hanya bertindak selepas kemalangan, tetapi bertindak sebelum tragedi.
Penghadang jalan kukuh seperti konkrit dipilih untuk lokasi yang memerlukan impak dihentikan sepenuhnya. Ia biasa dilihat di jambatan, terowong atau lebuh raya bertingkat.
Namun, ketegarannya menyebabkan impak hentakan diserap sepenuhnya oleh kenderaan dan meningkatkan risiko kecederaan jika reka bentuknya tidak dioptimumkan. Di sinilah munculnya keperluan penghadang separa lentur.
Penghadang separa lentur seperti W-beam dan thrie-beam menjadi pilihan popular di negara Eropah dan Australia. Ia menawarkan keseimbangan antara kekuatan dan keanjalan.
Reka bentuk alur bergelombang pada logamnya membantu dalam menyerap impak dan menolak kenderaan kembali ke laluan. Ini memberi peluang kedua kepada pemandu, mengelakkan kemalangan susulan.
Jenis yang lebih sofistikated ialah penghadang fleksibel seperti “cable barrier” dan penghadang plastik berisi air. Sistem ini membenarkan pembengkokan ekstrem, menyerap tenaga perlanggaran sepenuhnya dan mengurangkan kecederaan secara drastik.
“Cable barrier” telah terbukti mampu mengurangkan kadar kemalangan maut di beberapa lokasi kritikal di Australia dan Sweden sehingga 60 ke 80 peratus. Namun cabarannya, ia lebih sesuai untuk kawasan terbuka berbanding ruang sempit bandar.
Revolusi sebenar datang dengan roller barrier. Ia bukan sekadar menyerap impak, malah mengubah hala kenderaan dengan putaran penggelek, sekali gus menstabilkan semula pergerakan selepas pelanggaran.
Korea Selatan telah menjadi pelopor dalam penggunaan teknologi ini di selekoh curam dan pintu masuk lebuh raya. Jepun menggunakan sistem ini di cerun tajam, manakala China dan Turki sedang memperluas penggunaannya di kawasan berisiko.
Roller barrier dibina menggunakan bahan ethyl vinyl acetate (EVA) yang tahan hentakan, perubahan cuaca dan mampu memantulkan cahaya. Kombinasi ini menjadikan ia antara penghadang paling selamat dan mudah dikesan pada waktu malam atau dalam keadaan kabus.
Lebih penting lagi, ia meminimumkan kerosakan kepada kenderaan dan risiko kemalangan lanjutan.
Malaysia sebenarnya tidak jauh ketinggalan. Roller barrier sebenarnya telah diuji di lokasi seperti di FT15 Subang U-Turn sebagai “Pilot Test”. Dan saya percaya ada juga di lokasi-lokasi lain, mungkin rakan-rakan boleh kongsikan.
Ujian menunjukkan pengurangan ketara dalam kadar kemalangan, malah memberi isyarat visual kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan. Namun sayangnya, penggunaan meluas belum berlaku kerana faktor kos dan dasar tetap yang belum diwujudkan.
Kita tidak boleh lagi menilai penghadang jalan semata-mata berdasarkan kos binaan. Perlu dihitung kos kehilangan nyawa, kecacatan kekal, trauma keluarga, kesesakan trafik dan beban kepada sistem kesihatan. Dari sudut ini, roller barrier dan sistem fleksibel sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang yang jauh lebih menjimatkan.
Bandar dan kawasan kampung mempunyai keperluan berbeza. Di kawasan bandar, penghadang perlu mesra pejalan kaki dan berinteraksi dengan ruang awam. Di lebuh raya, kekuatan dan kebolehan menyerap impak adalah keutamaan. Perancangan ini memerlukan data, bukan andaian.
Sweden melalui pendekatan Vision Zero telah membuktikan bahawa kadar kematian boleh diturunkan secara drastik jika pendekatan reka bentuk, teknologi dan data digabungkan. Saya percaya yang Malaysia juga boleh melakukannya jika ada iltizam politik, pengurusan yang telus dan penyelarasan antara agensi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun melakukan beberapa ujian rintis. Sudah tiba masanya kita melangkah lebih jauh, menjadikan hasil kajian ini sebagai dasar tetap. Jangan tunggu tragedi demi tragedi untuk bertindak. Keselamatan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Pakar keselamatan global bersetuju bahawa penghadang jalan adalah pelaburan yang menyelamatkan ribuan nyawa. Dalam dunia yang cuacanya makin ekstrem, trafik makin padat dan pemanduan makin agresif, hanya sistem yang bijak dan responsif dapat bertahan.
Kita sering terperangkap dalam kerangka “standard practice” seolah-olah ia hukum mutlak yang tak boleh disentuh. Tapi dalam Islam sendiri, fatwa pun boleh berubah mengikut masa dan tempat.
Jadi kenapa kita masih terikat pada kaedah lama hasil ciptaan profesional zaman terdahulu, sedangkan cabaran hari ini jauh berbeza? Standard itu sepatutnya jadi asas untuk ditambah baik, bukan dijadikan tembok keras yang menghalang kemajuan.
Kalau benar isu kos jadi penghalang, kenapa tidak kita buka ruang kepada anak-anak tempatan yang berbakat untuk mencari jalan? Malaysia tidak kurang pakar, jurutera dan “innovator” muda yang mampu mencipta solusi sendiri menggunakan sumber dalam negara. Ini bukan soal tak mampu, tapi soal mahu atau tidak.
Besar impaknya jika Malaysia mampu mengangkat penghadang jalan sebagai isu nasional dan bukan lagi pelengkap jalan raya. Nyawa rakyat lebih berharga daripada angka dalam bajet. Dan masa untuk bertindak ialah sekarang.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.