Dari sudut bahasa, ilmu sebagaimana takrif dalam kamus Dewan membawa pengertian pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain lagi.
Dari segi istilah, Ar Raghib mentakrifkan ilmu sebagai menangkapi sesuatu berdasarkan bentuknya yang sebenar. Ruj : Ar Raghib Al Asfahani, Mufradat Al Quran.
Ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat menjalankan kefardhuan dari ketaatan, menjauhi keharaman dari kemaksiatan, apatahlagi ibadah sunat yang berfungsi mendekatkan diri kepada Allah melainkan dengan ilmu. Kerana tuntutan ilmu itu wajib. Sabda Rasulullah SAW:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
“Menuntut ilmu itu wajib atas semua orang Islam”. (HR Imam Baihaqi)
Kepentingan ilmu
Nabi SAW bersabda:
من سلك طريقا يطلب به علما سهل الله له طريقا الى الجنة
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Allah SWT memudahkan kepadanya satu jalan menuju ke syurga”
Terdapat satu hikayat yang telah di nukilkan oleh As Syeikh Ali Bin Abdur Rahman Al Kalantani, di masyhurkan dengan Tok Wan Ali Kutan di dalam kitabnya, Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub. Berkata Syeikh:
“bahawasanya dua orang bersaudara, adalah salah seorang daripada keduanya ‘abid (ahli ibadah) yang berbuat ibadah, dan yang satu lagi itu melebihi-lebihi atas dirinya dengan syahwat keinginan nafsunya. Dan adalah yang abid itu cita hendak melihat iblis, maka pada satu hari melihat ia akan iblis dan berkata iblis baginya:” hai menyesal atas engkau, telah engkau sia-sia akan umur engkau empat puluh tahun di dalam menegahkan diri engkau dan memenat akan badan engkau, padahal tinggal lagi umur engkau empat puluh tahun. Maka ikut olehmu akan nafsu engkau pada segala keinginannya. “ maka berkata yang abid pada dirinya: “ Aku hendak turun pergi muafakat dengan saudaraku di bawah itu pada makan dan minum, pada segala yang lazat-lazat pada masa dua puluh tahun, kemudian aku taubat dan aku berbuat ibadah pada dua puluh tahun yang tinggal lagi.” Maka turun ia kepada saudaranya atas niat itu. Dan saudaranya yang bawah jaga ia daripada mabuk arak, maka ketahui ia akan dirinya di dalam kelakuan yang sangat jahat. Sungguhnya telah kencing ia atas kainnya dan badannya, padahal ia tercampak atas bumi lagi dalam kelam. Maka berkata ia pada dirinya: “telah aku membinasakan umurku di dalam maksiat dan saudaraku dalam taat dan ibadah, maka aku masuk neraka dan ia masuk syurga”. Kemudian berniat ia hendak taubat dan hendak berbuat ibadah serta saudaranya. Maka naik ia kepada saudaranya atas niat taat dan ibadah, dan turun saudaranya atas niat maksiat. Maka tergelincir kakinya jatuh atas saudaranya, maka mati kedua-duanya. Maka di hasyarkan (dihimpunkan) ‘abid atas maksiat dan di hasyarkan (di himpunkan) yang ashi (yang berdosa) itu atas niat taat dan ibadah.
Demikianlah bahawa orang yang berilmu tidak mudah ditipu syaitan, tetapi sebaliknya orang yang tidak berilmu sangat mudah ditipu syaitan. Sesungguhnya syaitan lebih gerun terhadap orang berilmu dari ahli ibadah tanpa ilmu. Jelas sekali, bahawa kita perlu memiliki ilmu dan melakukan ibadah. Ilmu lebih utama di dahulukan, ertinya wajib belajar ilmu terlebih dahulu yakni ilmu ibadah. Sebab ilmu itu asas petunjuk jalan. Oleh hal demikian, dari Muaz bin Jabal r.a, Baginda SAW bersabda:
العلم إمام العمل و العمل تابعه
“Ilmu adalah Imam dan amal adalah makmumnya” (HR Imam Thobrani dan Ibn Abdil Barri)
Ilmu yang wajib dipelajari
Wajib atas mukallaf mempelajari tiga ilmu iaitu ilmu tauhid, fekah dan tasauf berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim yang masyhur berhubung Iman, Islam dan Ihsan. Sesungguhnya Jibril a.s telah mengajarkan manusia apakah itu agama. Agama terdiri tiga binaan utama iaitu Iman merujuk kepada ilmu tauhid, Islam merujuk kepada ilmu fekah dan ihsan dimasyhurkan dengan ilmu tasauf. Apakah kadar fardhu ain ketiga-tiga ilmu tersebut?
Lalu di jawab oleh Syeikh Salleh Al-Minankabawi rhm dalam kitabnya Kasyfu Asrar:
“Ilmu Usuluddin wajib dipelajari sekadar mengetahui perkara yang wajib, mustahil dan harus kepada Tuhan kita Azza Wa Jalla. Begitu juga para rasul(mengetahui perkara wajib , mustahil dan harus bagi para Rasul) sekadar mengesahkan keimanannya. Ilmu fekah juga menjadi fardhu ain dan dituntut sekadar mengesahkan amalan seperti mengetahui segala yang syarat dan rukunnya dan yang membatalkannya. Ilmu tasauf juga menjadi fardhu ain dan dituntut sekadar mengetahui yang membatalkan pahala, amalan ibadah seperti riya’, sam’ah, ujub, takkabur dan lain yang dicela oleh syarak”
Selanjutnya Syeikh Salleh berkata lagi:
“Malah haram hukumnya menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum mengetahui ilmu fardhu ain. Sebagai contoh seseorang yang qadha dalam sembahyang padahal tidak uzur maka haram hukumnya ia mendirikan sembahyang sunnat sebelum menunaikan qadha dalam sembahyang tanpa uzur”
Takrif tauhid:
Dari segi bahasa:
جعل الشئ واحدا
Menjadikan sesuatu Tunggal. Rujuk Hasyiah Al Bajuri Ala Matni Sanusiah Fil Aqaid.
Dari segi syarak:
بإفراد المعبود بالعبادة مع اعتقاد وحدته و التصديق بها ذاتا و صفات و أفعالا
Ertinya: “Dengan menunggalkan yang disembah (Allah) dalam penyembahan dengan iktiqad ketunggalanNya dan membenarkan ketunggalan Allah pada Dzat, Sifat dan Af’aal”
Secara asasnya dalam ilmu tauhid, wajib bagi mukallaf mengetahui akidah 50 sebagaimana perkataan Al Allamah Syeikh Muhammad Fudholi rhm:
فاعلم أنه يجب له سبحانه و تعالى عشرون صفة و يستحيل عليه عشرون و يجوز فى حقه تعالى أمر واحد فهذه إحدى و أربعون و يجب للرسل أربعون و يستحيل عليهم أربعة و يجوز فى حقهم عليهم الصلاة و سلام أمر واحد فهذه الخمسون
“Maka ketahuilah kalian bahawasanya wajib bagi Allah SWT 20 sifat dan 20 mustahil dan 1 sifat harus. Maka jumlahnya 41. Dan wajib mengetahui 4 sifat bagi para rasul dan 4 mustahil serta 1 sifat harus bagi para Rasul alaihim solatu wasallam. Maka jumlah (keseluruhan) ialah 50”.
Pelajaran sifat 20 bukan bermakna Allah hanya ada 20 sifat sahaja. Akan tetapi 20 sifat kesempurnaanNya yang wajib diketahui secara tafsili (terperinci). Sesungguhnya sifat kesempurnaan Allah Taala amat banyak. Tiada siapa mengetahuinya melainkan Allah Taala jua. Maka wajib disabitkan kepada Allah Taala secara ijmal (umum) seperti perkatan,”Allah mempunyai banyak sifat kesempurnaan”. Dan janganlah mengiktiqadkan ada turutan (tertib) dalam sifat Allah Taala. Tertib susunan dalam sifat 20 hanya tertib atas kertas untuk mudah di hafal. Ia sesekali tidak membawa maksud sifat Allah ada turutan seperti dikatakan mula-mula wujud, kemudian sedia, kekal hingga seterusnya.
Demikian, sesungguhnya Para Rasul juga wajib mempunyai sifat kemuliaan lain yang tidak terhingga banyaknya dan wajib setiap mukallaf mengetahuinya secara ijmali (umum) seperti perkataan, “para Rasul mempunyai banyak sifat kemuliaan”. Adapun yang wajib diketahu secara tafsili(terperinci) ialah empat sifat yang tersebut.
Takrif Ilmu Fekah
Dari segi bahasa:
الفهم
Kefahaman
Dari segi syarak:
بأحكام الشرعية العملية المكتسب من أدلتها التفصيلية العلم
Ilmu hukum hakam bagi amalan syarak yang diusahakan dari dalil-dalil tafsili. Rujuk Hasyiah al bajuri ala Ibn Qasim.
Memahami hukum hakam yang asas
Pengetahuan asas meliputi hukum hakam asas dalam ibadah seharian kita iaitu solat, puasa, zakat, haji, munakahat dan muamalat. Untuk orang awam, bukan lah di seru supaya belajar sehingga menjadi ulama’. Cukup sekadar mengetahui rukun, syarat sah dan perkara membatalkan, perkara larangan dan suruhan dalam kehidupan seharian kita. Jika mahu memahami secara mendalam, lebih di galakkan. Tidak ada pengecualian untuk tidak mengabaikan ilmu ini sekalipun dikatakan kita tinggi makrifahnya. Tanpa fekah, kehidupan tiada sekatan, boleh buat apa sahaja tanpa larangan.
Berlapang dada
Kemuncak pembelajaran fekah akan membuahkan perasaan berlapang dada. Tanda-tanda seseorang alim dalam fekah, mereka tidak mudah melatah menghukum. Ia berlainan sekali jika belajar fekah separuh jalan, mereka merasakan pendapat mereka yang benar tanpa mengetahui di sana ada pendapat ulama’-ulama’ lain. Apabila kita berenang dalam lautan fekah, hampir keseluruhan perbahasan tidak akan lari dari khilaf dari kalangan ulama’. Oleh itu, mereka yang alim, bicara mereka tidak pantas menghukum selagi ada kaedah. Dewasa ini, masyarakat kita terlalu ramai tiada berlapang dada dan tidak membudayakan adabul khilaf. Peringkat ini hanyalah manusia terpilih dan benar-benar mengorbankan usia hidupnya untuk ilmu. Mereka perlu arif dalam ilmu alat arabiah, qawaid fiqh, usul fikih, fikh, tafsir, hadis, usul hadis, usul tafsir, mantiq dan lain-lain.
Takrif Tasauf
Dari segi bahasa: Ia berasal dari perkataan تصوف . Terdapat beberapa makna dalam kamus arab. Antaranya:
Lafaz tasauf ada kaitan dengan kalimah al suf الصوف iaitu bulu yang menutup bulu kambing. Disebut bahawa kebanyakan ahli sufi memakai pakaian daripada bulu haiwan.
Lafaz tasauf juga ada kaitan dengan kalimah sofaa صفا, kalimah ini merujuk kepada makna bersih dari kekotoran. Disebut bahawa tujuan tasauf ialah membersihkan hati dari sifat keji.
Ilmu ini juga dikenali dengan ilmu tazkiyatul nafs, suluk, penyucian jiwa, kesufian.
Dari segi Istilah:
هو علم يعرف به أحوال النفس محمودا و مذموما و كيفية تطهيرها من المذموم منها و تحليتها بالاتصاف بمحمودها و كيفية السلوك و السير إلى الله تعالى و الفرار إليه
“Ialah ilmu dikenali akan bicara hal-hal nafsu samada yang mahmudah (terpuji) dan mazmumah (tercela) dan cara-cara membersihkan nafsu dari sifat mazmumah dan menghiasi nafsu dengan sifat mahmudah serta cara perjalanan, pengembaraan menuju Allah Taala ”. Rujuk Masaail fil Tauhid wa tasauf, Syeikh Abdul Ghani An Nablusi.
Sifat Mahmudah
1-Taubat, iaitu menyesal di atas segala dosa yang telah dilakukan.
2-Zuhud, iaitu berpaling hatinya dari dunia meskipun jasadnya memiliki dunia
3-Sabar, menahan diri dari melakukan maksiat mesipun berpeluang melakukannya
4-Tawakal, menyerah diri semata-mata kepada Allah Taala
5-Syukur,iaitu menggunakan nikmat kurniaanNya ke jalan yang diredhai
6-ikhlas, iaitu membuat atau meninggalkan sesuatu kerana Allah
7-khauf, takut kepada Allah
8-Raja’, sentiasa mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah
9-Mahabbah, cintakan Allah dan Rasul melebihi segala-galanya.
10-Redha
Sifat mahmudah ini adalah pakaian orang-orang tasauf. Ketahuilah sifat-sifat ini bukannya boleh dibuat-buat dalam perilaku. Sekiranya kita mencuba untuk bersifat demikian, ia tidak akan bertahan lama. Sifat atau akhlak tersebut akan lahir dengan sendiri jika hati Hati yang telah disucikan hasil tarbiyah dan zikir. Berkata arif billah:
التصوف كله أخلاق فمن زاد عليك بالأخلاق زاد عليك بالتصوف
“Tasauf semuanya akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu maka dia telah menambahkan tasauf terhadap dirimu”. Rujuk Nusratun Nabawiyah, Syeikh Mustafa al Madani.
Sesungguhnya sebaik-baik tarbiyah dan zikir dibawah bimbingan seorang guru.
(tuntutan apa jua ilmu adalah sebaik-baiknya berguru lebih lagi dalam perjalanan kerohanian)
Sifat Mazmumah
1-Cintakan dunia iaitu meletakkan cinta dunia di hati
2-Tamak iaitu sentiasa merasai tidak cukup dan tidak bersyukur dengan pemberian Allah
3-Ujub, merasa lebih baik berbanding orang lain
4-Ria’, memperilatkan amalan supaya dipuji
5-Takabbur iaitu membesarkan diri dan menghina orang lain
6-Sum’ah iaitu memperdegarkan amalan kepada orang lain supaya mendapat pujian
7-Hasad dengki
Hendaklah kita menuju kepada sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sebagaimana perkataan Imam para Tasauf, Imam Junaid Al Baghdadi:
التصوف استعمال كل خلق سني وترك كل دني
“Tasauf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi keji”. Rujuk Nusratun Nabawiyah, Syeikh Mustafa al Madani.
Kesimpulan
Ketiga-tiga asas ini adalah usul agama. Jika tiada salah satu, maka tiada sempurna agama. Ia ibarat pohon kayu yang menghasilkan buah apabila memiliki akar, batang, daun dan dahan. Akar adalah iman, batang adalah Islam, dahan adalah ihsan sementara daun dan buah adalah dakwah rahmatan lil alamin. Hasilnya lahirlah manusia yang mentauhidkan Allah dalam segala aspek kehidupan manusia iaitu ibadah, keluarga, akhlak, pendidikan, ekonomi, politik, social, perundangan dan lainnya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih