“Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu Raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil …(tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang (keturunan salsilahnya), satu Abdullah, dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu.”
(Petikan : Buku Penyebaran Islam dan Silsilah Ulama, Khazanah Fathaniyah. Penemuan manuskrip tulisan lama oleh Tuan Guru Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah yang diperolehi dari keturunan adik beradik ayah Tok Pulau Manis)
Saya ada sebuah buku yang sepatutnya dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) lepas, namun cadangan itu menjadi hasrat tertangguh selepas pelbagai hal yang tak diselesaikan. Buku yang bertajuk Menginsafi Amanat Leluhur (MAL) merupakan travelog dan catatan saya beberapa siri kembaraan di Wilayah Nusantara. Saya juga tidak dapat bersama PBAKL kerana menyahut seruan umrah bersama keluarga tercinta.
Cetakan naskhah itu terus tertangguh tanpa sebab yang sukar saya jelaskan. Cuma baru-baru ini, sekembalinya saya di kampung halaman saya di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu, saya mendapat jawapan.
Saya tersalah adab, itu lintasan yang hadir sebaik saya menziarahi Makam Tok Pulau Manis yang tidak jauh dari rumah ayahanda bonda, tempat saya dibesarkan. Saya telah menulis pengalaman termasuk kisah-kisah ulama’ yang saya ziarahi makam mereka, dari Pulau Jawa, Sulawesi, Kalimantan Utara sampai Fatani dan Champa.
Malang untuk saya yang tidak menulis sejarah ulama’ yang diakui kewaliannya berada ia di kampung saya sendiri. Syaikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis salah seorang ulama’ besar sekitar abad ke-18 merupakan pengarang Syarah Hikam Melayu yang masyhur itu. Bukan itu sahaja, Tok Pulau Manis malah telah memainkan peranan besar dalam pengasasan Kesultanan Terengganu.
Tok Pulau Manis juga pelapor pertama dalam pembinaan sistem pendidikan madrasah yang berjaya membangkitkan kesedaran jiwa beragama masyarakat Terengganu. Pada masa yang sama, Tok Pulau Manis telah berperanan sebagai ulama’ Istana, mursyid, pengarang, tokoh sufi dan tempat rujukan dasar-dasar kerajaan Islam Terengganu.
Sebelum saya menulis lanjut, Tokku Pulau Manis atau Tok Pulau Manis adalah individu berbeza dengan Tokku Paloh. Ini kerana ramai yang menanggap keduanya adalah individu yang sama. Sebenarnya tidak. Saya juga ingin nyatakan disini, rujukan utama rencana saya ini bersumber kitab Manaqib Tokku Pulau Manis karangan ayahanda saya sendiri.
Kampung Pulau Manis
Kampung Pulau Manis yang terletak di Mukim Serada, Kuala Terengganu mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri. Kampung ini dikenali kerana adanya Wali Allah yang masyhur iaitu Syaikh Abdul Malik bin Abdullah atau nama sebenarnya Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah dari keturunan Sharif Muhammad al Baghdadi yakni Ulama’ awal yang berdakwah di Terengganu berasal dari Baghdad.
Sharif Muhammad al Baghdadi juga dikatakan Raja Mandalika yang menulis Batu Bersurat Terengganu. Keberadaan Syaikh Abdul Malik di kampung ini menyebabkan Syaikh digelar Tokku Pulau Manis. Makam beliau juga turut berada di Kampung ini. Sebenarnya, ada dua buah kampung bernama Pulau Manis, satu di Serada dan satu lagi di seberang sungai iaitu Pulau Manis, Telemong, Mukim Telemong.
JIka berhajat menziarahi Makam Tokku Pulau Manis, ‘set’ lokasi di GPS mesti lah Pulau Manis, Serada. Jika hanya ‘set’ lokasi Pulau Manis, keberangkalian tinggi GPS membawa kita ke Telemong.
Tokku Pulau Manis telah memainkan peranan penting dalam Kesultanan Terengganu di era Sultan pertama Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin I. Dikatakan juga Tokku Pulau Manis adalah ‘khalifah’ yang mewarisi pemerintahan Dinasti al Kamil Kota Temir yang diwarisi leluhurnya sebelum menyerahkan pemerintahan sebelum ini yang lebih spiritual kepada Tun Jenal, anakanda kepada Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Kesultanan Johor lama. Tun Jenal kemudian bergelar Sultan Zainal Abidin I sementara Tokku Pulau Manis menjadi penasihat Baginda. Keduanya telah memainkan peranan penting dalam penzahiran rahsia kerajaan Terengganu yang sebelum ini tersembunyi, hanya tercatat dalam Batu Bersurat kepada Kesultanan yang dizahirkan keizzahannya. Keterangan ini pada satu versi pendapat. Saya akan huraikan lebih lanjut ya.
Kerajaan Sebelum Kesultanan Terengganu
Sejarah kerajaan pemerintahan Terengganu tidak ditemui oleh pakar sejarah. Sejarah kesultanan Terengganu hanya diketahui oleh pengkaji sejarah bermula dengan Sultan Zainal Abidin 1. Misbaha (Hj. Salleh bin Hj. Awang) mencatatkan :
“Keturunan sebenar pemerintah-pemerintah negeri Terengganu tidak dapat ditegaskan dengan sahnya. Ini disebabkan hilang lenyap bukti-bukti dan cerita-cerita asli dari masyarakat tempatan. Ia hanya diketahui dengan tiba-tiba bahawa Negeri Terengganu diperintah oleh Raja yang datang dari Johor selepas peristiwa “Sultan Mahmud Syah mangkat dijulang” (1699 Masihi). Ada juga yang mengatakan bahawa yang memerintah adalah dari keturunan Tun Telanai atau dari keturunan Megat. Para pengkaji sejarah Terengganu sendiri masih tidak menemui jawapan siapakah Sultan yang bergelar Seri Paduka Tuan atau Raja Mandalika seperti yang dimaksudkan dalam tulisan Batu Bersurat dimana pemerintahan tersebut berjalan mengikut hukum Islam.
“Di dalam Batu Bersurat ada faktor penting mengenai pemerintahan di Negeri Terengganu di kurun 14. Pertama dengan terangnya pada tarikh itu ada seorang pemerintah yang menguasai keseluruhan negeri yang bergelar Seri Paduka Tuan walaupun hingga sekarang ahli-ahli sejarah belum dapat menentukan siapakah gerangan pemerintah tersebut. Yang keduanya menunjukkan di daerah-daerah di dalam negeri ini pula ada Pemerintah Daerah kerana perkataan Mandalika adalah bahasa Sanskrit yang bermakna, “berkaitan dengan pemerintahan sama ada raja-raja tempatan yang merdeka atau ketua daerah.” Sekurang-kurangnya Negeri Terengganu mempunyai lima daerah yang dikuasai oleh raja-raja daerah atau ketua jajahan yang diketuai oleh seorang Ketua Pemerintah atau Raja Negeri. Daerah itu ialah Hulu Terengganu sebagai pusat pemerintahan, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Besut atau mukim-mukim yang dianggap menjadi daerah bagi pusat pemerintahan Hulu Terenganu seperti mukim Teresat, mukim Hulu Kuala Berang, mukim Jenagor, mukim Terangan dan Hulu Telemong. Ini menunjukkan adanya pemerintahan atau raja sebelum kesultanan Terengganu yang pertama.” (Misbaha, Sejarah Darul Iman)
Pada pandangan guru saya, pemerintah yang dikenali sebagai Tengku Paduka atau Raja Mandalika adalah Syarif Muhammad al-Baghdadi. Selepas jatuhnya kerajaan Hindu-Budha, ia diganti dengan Kerajaan Islam. Pemerintah tersebut mestilah seorang yang arif dengan Islam dan mempunyai pengalaman pemerintahan serta mempunyai kemuliaan nasab dengan Rasulullah SAW yang dianggap sebagai golongan paling layak sebagai pemimpin. Maka dipercayai Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu dan diikuti oleh keturunannya dan kemudiannya Sultan Zainal Abidin 1.
Selepas kematiannya, ia diganti oleh anaknya Sharif Abdul Qahar, kemudian diganti anaknya Sharif Abdullah, kemudian kepada Sharif Abdul Malik (Tok Pulau Manis).
Dengan bantuan para pembesar dan pengikutnya, Sharif Muhammad membangunkan Kerajaan Islam pertama dan mendirikan ‘Kota Temir’ sebagai pusat pemerintahan dengan keluasan kira-kira 300 ekar (Kawasan ini sekarang dikenali sebagai Kampung Temer, terletak berhampiran dengan Kampung Pauh, Hulu Kuala Berang). Beliau memerintah dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan serta menjalankan hukum-hukum Islam.
Kelahiran Sharif Abdul Malik
Mengimbas kembali, Shaikh Abdul Malik dilahirkan pada pertengahan tahun 1600M. Ia adalah putera kepada Sharif Abdullah, seorang pemerintah dan ulama yang amat disayangi rakyatnya. Nasabnya dari keturunan Rasulullah SAW, dihormati oleh sekelian raja-raja dan pembesar-pembesar negeri. Bayi itu bernama Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah.
Sharif Abdul Malik membesar dengan penuh kasih sayang dalam suasana agama. Tubuhnya sederhana, wajahnya menarik pada siapa yang melihatnya. Amat halus budinya, amat kuat ingatannya, cintakan ibadah dan suka bersendirian.
Pemergian ke Aceh
Setelah lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan para ulama tempatan, Sharif Abdul Malik disuruh ayahandanya belayar menuntut ilmu di Aceh pula. Sebagai seorang yang cintakan ilmu, ia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Aceh ketika itu merupakan pusat ilmu di Nusantara. Ia menjadi tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Ia juga dikenali sebagai serambi Mekah.
Kemasyhuran seorang ulama di Aceh bernama Syaikh Abdul Rauf Singkel yang bergelar Tok Syckh Kuala sudah sampai pada pengetahuannya. Ayahandanya mahu anaknya itu mendalami ilmu dengan bersungguh-sungguh supaya apabila ia kembali pada Allah, anakandanya akan mewarisi pemerintahan Kota Temir nanti.
Sampai Di Aceh, Sharif Abdul Malik bersama sahabatnya terus menuju ke madrasah Syaikh Abdul Rauf Singkel. Syaikh Abdul Rauf Singkel atau Syaikh Abdul Rauf Al Fansuri adalah ulama yang masyhur di Aceh. Beliau adalah murid kepada dua ulama yang terkenal di Mekah iaitu Syaikh Ibrahim Al-Kurani dan Syaikh Ahmad Al-Qusaisyi. Syaikh Abdul Rauf ketika itu adalah ulama istana, alim dalam bidang ilmu hadis, fiqh, usuludin, nahu, saraf, tafsir, tasawuf dan juga merupakan pemimpin Tarekah Syathariah.
Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Makassari dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.
Apabila Syaikh Kuala melihat beliau telah dapat menguasai beberapa ilmu dengan baik seperti ilmu hadis, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawwuf, beliau melihat muridnya itu sudah layak untuk dibaiahkan dengan tarekah Syathariah (Syathariah bermakna jalan singkat, diasaskan oleh Syaikh Abdullah Shattar (832 H/1415 M), ia adalah tarekah tua yang begitu hebat pengaruhnya pada masa dahulu. Dua tokoh besar Nusantara iaitu Syaikh Abdul Rauf Singkel dan Syaikh Daud Al-Fathani bertanggungjawab menyebarkan tarekah ini di Nusantara. Syaikh Daud al-Fathani mengarang kitab Dhiyaul Murid yang membicarakan perjalanan Tarekah Syathariah ini).
Tok Pulau Manis adalah pengamal tarekah Syathariah yang diambil dari Gurunya Syaikh Abdul Rauf Singkel ketika di Aceh. Dari riwayat yang masyhur, walaupun Tok Pulau Manis juga mengamalkan Tarekah Syazaliah tetapi ia menumpukan kepada penyebaran Tarekah Syathariah dan amat berpengaruh pada zamannya di Negeri Terengganu. Sehingga kini amalan tarekah ini masih wujud dan diamalkan di kalangan keturunan dan murid-muridnya.
Menyambung Pengajian ke Mekah
Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Aceh, Sharif Abdul Malik diperintah Gurunya supaya menyambung pelajarannya ke Mekah dan Madinah. Setelah mendapat restu dari Gurunya, Sharif Abdul Malik dan sahabatnya yang taat kepada petunjuk Guru mereka telah melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah sekitar tahun 1680-an dalam usia 30-an. Mekah ketika itu menjadi pusat pengajian agama peringkat tertinggi. Disamping menjadi pusat berkumpulnya para ulama yang besar dan sebagai pusat pengajian, Mekah juga menjadi pusat kegiatan mengarang atau menterjemahkan kitab-kitab ke dalam bahasa Melayu (Jawi).
Mengarang kitab Hikam Melayu
“Maka telah menyuruh akan daku menterjemahkan kitab Hikam oleh para sahabatku…” [Petikan kata-kata dalam muqadimah syarah Hikam beliau]
Ketika di Mekah, para sahabatnya menyuruh Sharif Abdul Malik mensyarahkan kitab Hikam karangan Syaikh Ibnu Atha’iLlah As-Kandari dalam bahasa Melayu. Ini kerana mereka mengetahui akan kealimannya dalam ilmu kerohanian dan berharap beliau melakukan yang demikian demi perkembangan tasawuf di Nusantara.
Walaupun tugas itu amat berat, namun beliau setuju melaksanakan usaha itu demi perkembangan agama dan manfaat masyarakat khususnya di Nusantara. Guru saya menceritakan dalam kuliah Hikamnya, apabila meneliti matan-matan Hikam Syaikh Ibnu Atha’iLlah, Tokku Pulau Manis kemudiannya menerima baiah Tarekah Syaziliah yang merupakan pengamalan tarekah Syaikh Ibnu Atha’iLlah. Hal ini dilakukan dengan tujuan untuk mengetahui dan memahami liku-liku kerohanian pengarang kitab Hikam itu. Ini melambangkan sikap waraknya agar syarahnya tidak lari dari kehendak Syaikh Ibnu Atha’iLlah.
Mengarang Kitab Naql
Setelah berada kira-kira tiga tahun di negerinya, Syaikh Abdul Malik diminta oleh para ulama dan para pembesar mengarang kitab untuk menyelesaikan permasalahan sembahyang Jumaat kerana berlakunya keadaan di sesetengah tempat bilangan penduduknya tidak cukup 40 orang. Walaupun sudah ada ramai ulama ketika itu, tetapi beliau dianggap paling layak untuk memberi penjelasan mengenai masalah itu.
Syaikh Abdul Malik yang memang minatnya suka mengarang telah bersetuju dengan permintaan tersebut. Maka terhasillah kitab yang bernama Naql yang memberi huraian dan jawapan terhadap permasalahan di atas. Beliau merujuk kepada banyak pendapat terutamanya pendapat Imam Syafie pada qaul Qadim dan qaul Jadid, serta pendapat Imam-Imam Mazhab yang lain.
Pulang ke Tanahair
Dalam usia 40 tahun, Syaikh Abdul Malik kembali ke tanah air melalui lautan yang luas. Ketika melihat lautan yang luas, beliau menyedari bahawa kepulangannya itu membawa harapan yang menggunung tinggi dari ayahandanya dan sekelian rakyat jelata.
Sebaik kapalnya tiba di pelabuhan Kuala Berang, Syaikh Abdul Malik disambut dengan air mata kegembiraan oleh ahli keluarga dan rakya jelata. Kealiman dan kewaliannya sudah diketahui dan masyhur di negerinya. Beliau melihat ayahandanya sudah uzur dan memahami akan bebanan pemerintahan yang akan dipikulnya selepas ayahandanya.
Setelah beberapa bulan berada di negerinya, ayahandanya telah menjodohkan Syaikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila (Misbaha,1978:103).
Sharif Abdul Malik mempunyai beberapa nama gelar misalnya Tokku Pulau Manis, Tok Syaikh Pulau Manis dan Syaikh Abdul Malik. Syaikh juga pernah menggunakan nama pena Haji Abdul Malik Bin Abdullah Al Jawi Al Johori pada suatu kitab yang dikarang oleh syaikh ketika berada di Johor. Kitab tersebut dipercayai berada di salah seorang keturunannya.
Menyerahkan ‘Takhta’nya
“Dari sumber yang amat dipercayai, Tok Pulau manis adalah orang yang bertanggungjawab membawa Tun Jenal ke Terengganu untuk ditabal menjadi Sultan dan kemudian dikahwinkan dengan anak perempuannya.”- Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Mohamad Abu Bakar.
Selepas ayahanda yang dikasihinya mangkat, Syaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima perlantikan tersebut dengan berat hati. Bebanan pemerintahan membuat dirinya terikat dengan pelbagai urusan dan menjadikannya semakin sibuk. Ketika malamnya selepas menjalankan tugas pemerintahan, jiwanya bergolak inginkan kebebasan, jiwanya lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah.
Setelah lama berfikir dan melihat bebanan tugas pemerintahannya semakin banyak, beliau mendapat ilham agar dicarinya seorang pengganti untuk dilantik menjadi Sultan Terengganu.
Setelah dibuat penelitian serta petunjuk firasatnya, Syaikh Abdul Malik melihat bahawa Tun Jenal, anakanda bongsu Bendahara Kesultanan Johor lama iaitu Tun Habib Abdul Majid layak untuk mengambil alih pemerintahannya. Beliau sudah mengenali Tun Jenal kerana Tun Jenal pernah beberapa kali berkunjung ke Terengganu ketika menziarahi serta berguru dengannya. Malahan Tun Jenal bukannya orang lain, baginda mempunyai pertalian keluarga disebelah isterinya Puteri Mahpuri. Syaikh Abdul Malik kemudian bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya, dan dengan pertolongan Allah mereka bersetuju tapi dengan dua syarat. Pertama, Syaikh Abdul Malik tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Keduanya, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah Terengganu.
Dengan keputusan itu, Syaikh Abdul Malik pun menghantar utusan ke Johor untuk memanggil Tun Jenal atau Tun Zainal ke Terengganu untuk ditabal menjadi Sultan di Terengganu. Apabila berita tersebut sampai kepada Tun Jenal, baginda bersetuju kerana amat kasih dan hormat pada gurunya itu.
Apabila Tun Jenal sampai ke Hulu Terengganu, baginda terus ditabal menjadi Sultan Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin 1. Upacara perlantikan diadakan di Tanjung Batu, Hulu Kuala Berang (1138 H/1725 M). (Buku Ulama Terengganu Satu Sorotan, Muhammad Abu Bakar). Kemudiannya baginda dikahwinkan dengan puteri sulungnya bernama Siti Zubaidah. (Sejarah Darul Iman, Misbaha).
Syaikh Abdul Malik tidak terus meninggalkan istana. Walaupun Tun Jenal memerintah, beliau tetap memantau dan memberi nasehat. Itulah janjinya kepada para pembesar dan rakyat jelata. Ketika pertabalan hendak dilakukan, beliau merangka perjanjian mewakili para pembesar dan rakyat agar menantunya Tun Jenal memerintah dengan adil mengikut ajaran Islam.
Kandungan baiah itu berbunyi :
“Wa bad, kemudian daripada memuji Allah dan selawat atas RasulNya. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun serta limpah kurnia Duli Tuanku kepada patik menyembahkan ke bawah Duli Tuanku akan pekerjaan yang beroleh manfaat yang sebesar manfaat Tuanku kepada negeri akhirat di sanalah tempat tentunya oleh segala orang yang beroleh kesenangan dan kerajaaanNya yang kekal dan lagi beberapa faedahnya patik menyembah ke bawah Duli Tuanku yang memberi manfaat pada negeri akhirat yang lalaikan pekerjaan dari segala Raja-Raja, iaitu menyuruh segala rakyat berbuat kebajikan dan menegahkan pekerjaan yang mungkar kerana beberapa faedahnya yakni menyuruh mengerjakan kebaikan itu atas segala Raja-raja yang hendak berbahagia pada negeri akhirat. Maka hendaklah Tuanku fikirkan sesuatu itu daripada kalamuLlah Taala dan serta hadith daripada RasuluLlah salla ‘Llahu ‘alayhi wa sallam pada pekerjaan suruh kebajikan dan tegah yang mungkar dengan firmanNya, “Bermula segala mukmin laki dan segala mukmin perempuan setengah mereka itu memerintahkan setengahnya yang menyuruh mengerjakan kebajikan dan menegahkan mereka itu daripada segala pekerjaan yang mungkar maksiat yang maksiat.
Barangsiapa tiada menyuruh berbuat yang kebajikan dan tiada menegahkan yang mungkar sama ada Raja-Raja dan lainnya nescaya keluarlah ia daripada orang mukmin, maka hendaklah Tuanku fikirkan dengan sungguh-sungguh akan katanya, keluarlah ia daripada nama mukmin, maka tinggallah nama orang yang tiada beriman. Apabila menyuruh berbuat kebajikan dan tegah daripada pekerjaan mungkar, maka kepada faham patik fasal menyuruh kebajikan dan tegah mungkar ini sebesar-besar telah tanggungan Tuanku kepada Allah Subhanahu Wa Taala menyukakan segala manusia barang titah Tuanku, maka wajiblah atas segala rakyat yang ada dalam negeri ini mengikut suruh Tuanku daripada pekerjaan yang wajib dan yang sunat dan yang harus, bersalah-salahan pada pekerjaan yang haram. Maka wajib atas segala rakyat mengikut demikian.”( Tesis Institusi Syaikh Abdul Malik, Dr Shafei Abu Bakar).
Pengkisahan di atas tidak sunyi dari krtikan kerana pada versi yang lain sebagaimana tercatat dalam Tuhfat al Nafis, apabila Raja Kechik meningga dunia atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (1718-1722M) menerima kekalahan dari putera-putera Raja Bugis dalam tahun 1722, maka naiklah Raja Sulaiman iaitu putera kepada Sultan Abdul Jalil Syah menjadi Sultan Johor ke-12 dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760M).
Sultan Abdul Jalil Syah adalah anakanda Tun Habib Abdul Majid sekaligus merangkap saudara kandung Tun Zainal (Sultan Zainal Abdidin I Terengganu). Sultan Abdul Jalil Syah adalah Sultan pertama Kesultanan Johor dari keluarga Bendahara selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah II mangkat dijulang yang mangkat tanpa waris. Sultan Mahmud adalah dari keturunan langsung Kesultanna Melaka dari jalur Sultan Alauddin Riayat Syah II yang merupakan anakanda Sultan Mahmud Syah yakni Sultan terakhir Kota Melaka.
Jajahan Baginda pada masa itu merangkumi Johor, Riau, Lingga dan Pahang. Kemudian Sultan Sulaiman dan saudara Baginda, Tun Mahmud Indera Bongsu merangkap Yang Dipertuan Muda Johor memerintahkan Daeng Menambun ke Terengganu menabalkan Tun Jenal atau Tun Zainal ke Terengganu menjadi Sultan Terengganu. Setelah selesai perlantikan, Daeng Menambun kembali ke Riau kembali.
Menurut satu lagi versi, Tun Jenal diangkat menjadi Sultan Terengganu oleh Raja Patani, ditabalkan oleh Qadhi Wan Imam Mahmud bin Faqih Haji Wan Hasan al Kubra dan Tun Jenal telah dikahwinkan dengan Nong Royagah yang merupakan adik Raja Mas Jayam (1707-1710M). Pelantikan Sultan Zainal Abidin I kemudian diabsahkan lagi oleh empayar Johor – Riau – Lingga – Pahang. Sultan Zainal Abidin I mempunyai ramai isteri dan perkahwinan Sultan Zainal Abdin I dengan anak Dato’ Syaikh Abdul Malik atau Tokku Pulau Manis selepss Baginda menaiki takhta.
Wallahu a’lam.
Saya tidak berniat memanjangkan kupasan pendapat manakah paling benar mengenai pelantikan Tun Zainal. Saya serahkan pada pembaca untuk kajian lanjut. Apa yang pasti, Tokku Pulau Manis adalah figura penting ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin I.
Mendirikan Madrasah
“Pengaruh Tok Pulau Manis amat besar pada Negeri Terengganu dalam menanam dan membangunkan jiwa agama pada penduduknya. Para ulama di zamannya amat memandang tinggi padanya dan ia menjadi tempat rujukan segala permasalahan. Kitab Naql yang dikarangnya selepas tiga tahun kembali dari Mekah adalah jawaban kepada permasalahan masyarakat hari itu terhadap persoalan sembahyang Jumaat. Apabila diteliti karangannya itu, ternyata Tok Pulau Manis bukan sahaja seorang yang alim dalam ilmu tauhid dan tasawwuf tetapi amat tinggi juga dalam bidang fiqh. Amat sedikit sebenarnya untuk berjumpa dengan para ulama masa kini yang alim kedua-dua ilmu iaitu ilmu syariat dan hakikat sebagaimana ulama-ulama dahulu. Kitab karangannya ialah Syarah Hikam Jawi, kitab Naql yang membahas hukum sembahyang Jumaat yang dikarangnya selepas tiga tahun balik dari Mekah, kitab Kayfiyat al-Niyyat yang didasarkan sebahagian dari kitab Ihya’ Ulumuddin dan kitab Kifayah yang merangkumi masalah usuludin dan fiqh. Kitab Syarabul Muntahi adalah kitab yang membicarakan perjalanan ilmu hakikat dan makrifat.
“Pendidikannya telah berjaya melahirkan ramai para ulama dan kemudian ia berkembang dari generasi ke generasi sehingga kini. Tapi sayang ketokohannya yang tidak jauh dari Syaikh Abdul Rauf Singkel, Syaikh Hamzah Fansuri, Syaikh Daud al-Fathani tidak ditonjolkan dengan bersungguh-sungguh oleh para pengkaji di Tanah Melayu sebagaimana para ulama Aceh dan Fathani tersebut. Tok Pulau Manis adalah pelopor pengajian pondok pertama di Tanah Melayu, segala perkembangan ilmu dan pondok kini adalah datang dari usaha gigih beliau memperjuangkannya 500 tahun lalu. Sepatutnya sebagai pelopor dan pencetus pendidikan pondok di Tanah Melayu, nama dan jasanya dikenang dan dimasyhurkan pada seluruh negara. WaLlahu ‘alam) – Tesis Institusi Syaikh Abdul Malik, Syafii Abu Bakar, UKM
Tok Pulau Manis Pulang ke Rahmatullah
Pada pagi Jumaat di tahun 1736M bersamaan 1149 Hijrah, Tok Pulau Manis pulang menghadap Kekasihnya dalam usia 86 tahun. Khabaran itu bagaikan halilintar kepada para penduduk Kampung Pulau Manis. Pada hari itu, para murid, ahli keluarga dan penduduk tempatan bagaikan direngut jiwa mereka, tiada kata-kata yang dapat mengungkap kesedihan hati mereka, hanya air mata yang berlinangan.
Hingga kini, para pencintanya terus menziarahi Makam Tokku Pulau Manis walaupun ramai generasi baru di Kuala Terengganu sendiri tidak mengenali beliau. Mereka mengenali Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Shaikh Abdul Malik kerana sekolah ini terkenal sebagai sekolah elit yang cemerlang namun siapakah tokoh itu tidak ramai yang tahu.
Pernah sahabat saya datang dari Kuala Lumpur berhajat menziarahi Makam Tokku Pulau Manis, apabila ditanya kepada orang tempatan, banyak menjawab, “Tokku paloh kami tahu, Tokku Pulau Manis dok rajin dengor”. Walaupun jawapan itu tidak mewakili semua orang tempatan, namun jawapan itu memang kebiasaan hasil pemerhatian penulis. Ada juga yang tahu rajin dengor tapi tak pernah tahu sejarah.
Negri Terengganu adalah bumi auliya’Allah, banyak sejarah dan makam para ulama’ dan arif billah di sini. Ketahui lah kehebatan akar umbi anda. Tok Pauh, Tok Baghdadi, Shaikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Tok Syaikh Duyong, Tokku Paloh, Tokku Tuan Besar, Tokku Syed Saggaf, Tok Pelam, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Curu Che Leh Keramat, Tuan Guru Haji Abbas dan ramai lagi para Ulama’ yang tak dapat saya senaraikan semuanya.
Duhai Sharif yang dimuliakan Allah, barakohmu sentiasa mengalir.
Sekian,
Rujukan:
- Haji Muzzafar Dato’ Haji Mohamad, (Tun) Suzana (Tun) Haji Othman, Zuriat Rasulullah & Raja Raja Melayu (Falsafah, Sejarah & Hikmah), Cresent News (2013).
- Dato’ Haji Abdullah Md Salleh Haji Awang (Misbaha), Sejarah Darul Iman hingga 1337H (1983).
- Prof Sayyid Muhammad Naquib al-Attas, Historical Facts and Fictions, Universiti Teknologi Malaysia, (2011).
- Sh Walid Al Malik, Manaqib Tokku Pulau Manis, (2004).
- Muhammad Abu Bakar, Buku Ulama Terengganu Satu Sorotan, Utusan Publications & Distributors (1991).
- Dr Shafie Abu Bakar, Tesis Institusi Syaikh Abdul Malik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
- Tuan Guru Haji Wan Shaghir Bin Wan Abdullah, Penyebaran Islam & Silsilah Ulama’, Khazanah Fathaniyah (1999).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih