Rendra Karno adalah salah seorang pelakon dari Indonesia yang sangat berpengaruh. Populariti seniman dari tanah seberang itu semakin meningkat apabila filem-filem lakonannya menembusi pasaran di Singapura dan semenanjung Tanah Melayu. Salah satu filem lakonan Rendra Karno yang mendapat sambutan hangat ialah Tiga Dara (1956) arahan Usmar Ismail.
Filem-filem dari Indonesia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan filem-filem Melayu dari segi bahasa, budaya, seni lakon dan plot penceritaan. Usmar Ismail yang dikenali sebagai Bapa Perfileman Indonesia telah merancang untuk meluaskan lagi pengaruh filem-filem dari Indonesia di Malaya dan Singapura dengan menjalinkan usaha sama pembikinan filem dengan penggiat filem yang berpusat di Singapura. Melalui syarikat Pusat Filem Nasional Indonesia (PERFINI), Usmar Ismail bekerjasama dengan Merdeka Filem Enterprise yang dimiliki oleh Ho Ah Loke untuk menerbitkan filem Hilang Gelap Datang Terang pada tahun 1959. Filem tersebut dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat dari Indonesia iaitu Rendra Karno, Chitra Dewi, Raden Ismail, Aminah Cendrakasih dan bintang sensasi Maria Menado.
Pada tahun 1959, Kuala Lumpur telah menjadi tuan rumah untuk Festival Filem Asia Pasifik ke-6 yang berlangsung pada 4 hingga 8 Mei 1959. Ramai penggiat filem yang berkampung di Kuala Lumpur ketika itu termasuklah delegasi Indonesia yang dibarisi oleh Rendra Karno, S. Effendi, Bing Slamet, Aminah Cendrakasih, Suzanna, Chitra Dewi, Fifi Young dan ramai lagi. Mereka tiba di Singapura terlebih dahulu pada 29 April 1959 untuk mengadakan pertunjukan pentas sebelum menghadiri festival filem tersebut.
Bintang-bintang dari Indonesia telah mengadakan persembahan di panggung Odeon Katong, Singapura selama 5 hari berturut-turut. Acara yang paling mendapat perhatian ramai ketika itu ialah lawak jenaka berjudul “Mak Chomblang” yang diketuai oleh Bing Slamet, Chitra Dewi dan Rendra Karno. Ketika berlangsungnya persembahan pentas itulah Rendra Karno dilaporkan menghidap penyakit mata yang agak serius. Menurut laporan Berita Harian pada 29 Mei 1959, Rendra Karno mendapat penyakit mata itu ketika pendudukan Jepun di Indonesia. Pada mulanya beliau menyangka bahawa penyakit itu tidak serius namun ketika melakukan persembahan di Singapura, sakitnya itu semakin bertambah serta penglihatannya mulai kabur.
Penderitaan yang dihadapi oleh Rendra Karno itu mendapat simpati daripada seniman dan seniwati di Singapura. Atas dasar kemanusiaan dan semangat setia kawan, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membantu kos rawatan mata Rendra Karno. Pada bulan November 1961, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan yang diketuai oleh Maria Menado sebagai presiden, Mansor Haji Fadzal sebagai setiausaha, serta Haliza Mohamed Som, Adnan Isa dan Magiar Simen sebagai ahli jawatankuasa. Mereka telah merancang untuk membuat satu acara Malam Aneka Warna untuk mengutip dana untuk Rendra Karno. Selain daripada itu, Persatuan Artis Malaya (PERSAMA) yang diketuai oleh pengarah Jamil Sulong ketika itu turut menyokong penuh usaha para seniman dan seniwati filem Melayu untuk membantu pelakon nombor satu Indonesia itu.
Ketika ungkapan konfrontasi mulai disebut-sebut oleh pemerintah di Indonesia, para seniman dan seniwati di Malaya-Singapura tetap giat untuk menjayakan Malam Aneka Warna untuk Rendra Karno. Mereka dengan hati yang terbuka menolak perbezaan fahaman politik untuk saling membantu antara satu sama lain. Malam Aneka Warna yang dilangsungkan di Singapore Badminton Hall pada 16 Disember 1961 itu telah dihadiri seramai 6000 orang penonton termasuklah DYMM Sultan Abu Bakar Muadzam Shah (Sultan Pahang) dan permaisuri serta 200 orang pegawai dari Pejabat Konsulat Jenderal Indonesia di Singapura.
Antara seniman dan seniwati yang terlibat dalam persembahan pada malam itu ialah P. Ramlee, Saloma, Sarimah, Normadiah, Aziz Ja’afar, Aziz Sattar, Ibrahim Pendek dan Hashimah Yon (mewakili PERSAMA) serta Latifah Omar, Wahid Satay, Rose Yatimah, Marsita dan Annie Lim yang mewakili Cathay-Keris Film. Bintang-bintang filem dari Indonesia juga turut hadir untuk memberi sokongan pada malam itu. Bing Slamet yang terkenal dengan lawak jenakanya itu turut naik ke pentas untuk membuat persembahan khas. Menurut laporan akhbar The Straits Times bertarikh 27 Februari 1962, persembahan amal di Singapura berjaya mengumpul dana sebanyak $3147 manakala artis-artis dari Indonesia berjaya mengumpul dana sebanyak $9000.
Menurut seniwati Maria Menado, sambutan hangat malam amal itu adalah disebabkan oleh persaudaraan rapat di antara seniman dan seniwati dari Malaya-Singapura dengan Indonesia. Konsul Jenderal Indonesia yang bertugas ketika itu, Kolonel Soegih Arto turut menyatakan harapannya agar tali persaudaraan di antara artis-artis Malaya dan Indonesia akan bertambah kukuh dengan adanya usaha-usaha amal yang dianjurkan oleh kedua-dua belah pihak. Malam Aneka Warna yang dianjurkan itu turut mendapat pujian HIM Damsyik yang mewakili Persatuan Artis Filem Indonesia (PARFI) di atas kejayaan para artis Malaya dalam membantu bintang filem mereka yang dalam kesusahan. HIM Damsyik berkata, “Kami sebagai rakyat Indonesia berasa bangga dengan ikatan persaudaraan yang erat dengan rakyat Malaya di sana. Kami juga bersyukur di atas kesudian anda untuk membantu Rendra Karno. Terima kasih!”
Rendra Karno menjalani pembedahan matanya di sebuah hospital di Manila, Filipina. Beliau yang berada di sana sejak 1 Disember 1961 mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaya dan Indonesia yang telah menyokong serta menjayakan malam amal untuk menampung kos rawatan pembedahan matanya. Beliau selamat menjalani pembedahan pada 24 Disember 1961 sangat berbesar hati dengan kesungguhan kedua belah pihak walaupun berbeza pandangan politik serta taraf kewarganegaraan. Doktor yang merawat Rendra Karno menyatakan bahawa penyakit matanya itu akan sembuh dan beliau dibenarkan pulang dalam tempoh dua bulan lagi.
Selepas tamat sesi rawatan di Manila, Rendra Karno pulang ke tanah airnya. Dalam perjalanan pulang itu, beliau sempat singgah di Singapura untuk berterima kasih kepada para seniman dan orang ramai yang mengumpul dana untuk rawatan matanya. Rendra Karno sempat bergurau dengan berkata, “Saya rasa seperti kembali muda! Sekarang saya mampu melihat dengan jelas. Saya datang ke Singapura ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada anda yang membantu saya.”
Pada penghujung tahun 1962, PERFINI dengan Cathay-Keris Film telah bersepakat untuk menerbitkan sebuah filem yang berjudul Bayangan Di Waktu Fajar. Filem itu merupakan tanda persahabatan di antara penggiat filem di Singapura dan Indonesia. Usmar Ismail telah dilantik untuk menjadi pengarah manakala S. Roomai Noor diberi tanggungjawab untuk membuat dialog filem tersebut. Antara pelakon yang terpilih untuk membintangi filem Bayangan Di Waktu Fajar ialah S. Roomai Noor, Latifah Omar, Nurbani Jusuf dan Rendra Karno sendiri.
Ketika terpilih untuk membintangi filem Bayangan Di Waktu Fajar, Rendra Karno berasa sangat terharu dan bersyukur kerana beliau diberi peluang untuk bekerja dengan rakan-rakannya di Singapura. Beliau berkata, “Saya tidak dapat melupakan pertolongan artis di sini. Seharusnya sikap saling membantu dapat diamalkan sesama artis untuk kebaikan bersama.”
Bayangan Di Waktu Fajar mula ditayangkan pada 27 Jun 1963. Tujuan sebenar kerjasama di antara PERFINI dan Cathay-Keris Film ini adalah untuk mengeratkan hubungan persaudaraan serumpun selain meluaskan lagi pasaran filem di rantau Nusantara. Walau bagaimanapun, usaha yang baik itu gagal apabila berlakunya konfrontasi Indonesia terhadap Malaya kerana, Indonesia menentang keras pembentukan gagasan Malaysia yang merangumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Walaupun filem ini tidak mendapat sambutan di kedua-dua negara, Bayangan Di Waktu Fajar telah mencatatkan sejarah di Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang diadakan di Tokyo pada tahun 1963 apabila Rendra Karno berjaya memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Sumber:
- “Tiga Dara dari Indonesia” Berita Harian, 18 April 1959
- “Filem keluaran PERFINI-Merdeka akan ka-Tokyo” Berita Harian, 15 Mei 1959
- “Aneka Warna Bintang2 Indonesia” Berita Harian, 29 Mei 1959
- “Rendra Karno sakit mata” Berita Harian, 29 Mei 1959
- “Seniman2 Malaya berusaha bantu teman Indonesia” Berita Harian, 14 November 1961
- “PERSAMA beramal untuk Karno” Berita Harian, 20 November 1961
- “Karno Telah Berangkat ka-Manila” Berita Harian, 4 Disember 1961
- “Film stars in bid to save Karno’s sight” The Straits Times, 13 December 1961
- “Ramlee, Saloma do their bit to aid fellow actor” The Straits Times, 18 December 1961
- “Malam Amal Seniman Singapura” Berita Harian, 18 Disember 1961
- “Rendra Karno singgah di Singapura” Berita Harian, 27 Februari 1962
- “Film star Karno flies in with his eyesight saved” The Straits Times, 27 February 1962
- “Rendra ingin jumpa teman2 lama” Berita Harian, 17 November 1962
- Bayangan Di Waktu Fajar (1963) Filem Klasik Malaysia, http://filemklasikmalaysia.blogspot.com/2014/01/bayangan-diwaktu-fajar-1963.html
- Layar Perak dan Sejarahnya oleh M. Amin dan WAHBA (Fajar Bakti, 1998)
- Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka oleh Hamzah Hussin (Penerbit UKM, 2004)
- 120 Malay Movies by Amir Muhammad (Matahari Books, 2010)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih