Batu Bersurat Terengganu, artifak sejarah yang penuh misteri sering menjadi tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia.

 

Di mana sebenarnya keberadaan batu yang dikatakan sebagai bukti awal kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini?

 

[Penemuan Yang Tidak Disangka]

 

Kisah Batu Bersurat Terengganu bermula pada tahun 1887 apabila ia ditemui di tebing Sungai Tara, Kuala Berang setelah banjir besar melanda kawasan tersebut.

 

Tebing sungai yang terhakis telah mendedahkan batu seberat lebih 214 kilogram itu.

 

Penduduk kampung yang menemui batu tersebut tidak mengetahui nilai sejarahnya dan hanya melihatnya sebagai batu biasa.

 

Batu itu kemudiannya dibawa ke sebuah surau yang dikenali sebagai Surau Tok Abdul Rashid (atau Surau Tok Ki Rashid) di Kampung Buluh, Kuala Berang.

 

Lebih menarik lagi, batu tersebut digunakan sebagai alas kaki oleh penduduk yang ingin membasuh kaki sebelum memasuki surau.

 

Selama bertahun-tahun, Batu Bersurat ini dibiarkan dalam keadaan terbiar tanpa sesiapa menyedari betapa pentingnya ia dalam lipatan sejarah.

 

[Syed Husin Ghulam Al-Bukhari: Lelaki Yang Mengubah Segalanya]

 

Pada tahun 1902, seorang usahawan Arab bernama Syed Husin Ghulam Al-Bukhari tiba di Kuala Berang dalam usahanya mencari bijih timah.

 

Ketika beliau berhenti di surau untuk menunaikan solat Zohor, beliau terlihat batu bersegi itu yang mempunyai ukiran tulisan Jawi.

 

Dengan rasa ingin tahu, beliau meminta penduduk kampung untuk membersihkan batu tersebut.

 

Ternyata, di situlah ukiran lama berbahasa Jawi mula kelihatan dengan lebih jelas.

 

Syed Husin menyedari bahawa batu ini bukan sembarangan batu.

 

Selepas membersihkan batu tersebut, beliau dengan bantuan penduduk kampung, membawa batu itu menaiki perahu dan mempersembahkannya kepada Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Zainal Abidin III.

 

Namun, meskipun batu ini dibawa ke istana, tiada seorang pun yang dapat memahami sepenuhnya ukiran pada batu tersebut.

 

Akhirnya, batu ini disimpan di Bukit Puteri, sebuah tempat yang sering digunakan untuk menyimpan barang-barang diraja.

 

[Dari Terengganu Ke Singapura: Permulaan Kontroversi]

 

Pada tahun 1922, Penolong Penasihat British di Terengganu, Mejar H.S. Peterson tertarik dengan batu tersebut.

 

Beliau mengarahkan batu itu dibawa ke Pejabat Bandaran Kuala Terengganu dan ukiran pada batu tersebut dikapurkan untuk lebih jelas, namun tetap tidak dapat difahami.

 

Usaha untuk menerjemahkan Batu Bersurat ini diteruskan dengan menghantar salinannya ke Mekah, namun masih gagal menemui jawapan pasti.

 

Tidak lama kemudian, salinan ukiran tersebut dihantar pula ke Universiti Oxford, England.

 

Akhirnya, para ahli sejarah di sana berjaya mentafsirkan bahawa ukiran di batu ini adalah deklarasi undang-undang Islam yang ditulis pada tahun 702 Hijrah (1303 Masihi).

 

Ini membuktikan bahawa Islam telah tiba di Terengganu lebih awal daripada apa yang difikirkan sebelumnya.

 

Namun, pada tahun 1923, batu tersebut telah dipindahkan dari Bukit Puteri dan dibawa ke Muzium Raffles di Singapura.

 

Penasihat British di Terengganu pada ketika itu, J.L. Humpreys mencadangkan agar batu ini disimpan di Singapura dengan alasan Terengganu tidak mempunyai kemudahan muzium yang sesuai.

 

Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah memberikan perkenan dan Batu Bersurat pun berangkat ke Singapura.

 

[Batu Bersurat Di Bawah Penjagaan Singapura dan Kuala Lumpur]

 

Batu Bersurat kekal di Singapura dari tahun 1923 hingga 1960. Ketika ini, kajian tentang Batu Bersurat semakin rancak dilakukan. Tetapi, di sinilah bermulanya isu pemilikan dan tuntutan balik.

 

Pada tahun 1960, setelah Muzium Negara di Kuala Lumpur dibina, Batu Bersurat dipindahkan ke sana sebagai pinjaman daripada Muzium Raffles.

 

Namun, apa yang menjadi misteri ialah perjanjian pemindahan ini tidak didokumentasikan dengan baik. Batu ini kekal berada di Muzium Negara tanpa sebarang kepastian status pemilikan.

 

[Terengganu Tuntut Kembali: Pertempuran Diplomasi]

 

Pada tahun 1979, Kerajaan Negeri Terengganu memulakan usaha untuk membawa pulang Batu Bersurat yang dianggap sebagai warisan mereka.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengetuai rombongan ke Singapura untuk membincangkan pemulangan Batu Bersurat, namun usaha ini gagal kerana pihak Muzium Singapura mendakwa bahawa batu tersebut adalah milik mereka.

 

Tidak berputus asa, Terengganu meneruskan perbincangan dengan pihak Muzium Negara.

 

Pada tahun 1987, Kerajaan Negeri Terengganu menghantar surat rasmi kepada Lembaga Muzium Negeri meminta agar usaha pemulangan dipergiatkan kerana Terengganu sudah memiliki muzium sendiri yang sesuai untuk mempamerkan Batu Bersurat.

 

Pada tahun 1989, mesyuarat khas diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang melibatkan Kerajaan Pusat, Jabatan Muzium, dan Kerajaan Negeri Terengganu.

 

Meskipun Kerajaan Pusat mengakui Batu Bersurat adalah milik sah Terengganu, mereka keberatan untuk menyerahkannya kerana nilai sejarah nasional yang besar.

 

[Batu Bersurat Hari Ini: Di Mana Letaknya?]

 

Akhirnya, pada 6 Julai 1991, Batu Bersurat Terengganu diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam satu majlis penuh bersejarah di Wisma Darul Iman.

 

Batu ini kini dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu, menjadi simbol kebanggaan rakyat negeri ini dan bukti awal kedatangan Islam ke rantau Nusantara.

 

[Warisan Yang Harus Dijaga]

 

Batu Bersurat Terengganu bukan sahaja membuktikan kehadiran Islam di Tanah Melayu sejak lebih 700 tahun yang lalu, tetapi juga menjadi lambang warisan dan sejarah bangsa kita.

 

Keberadaan batu ini di Muzium Negeri Terengganu adalah satu kejayaan besar dalam usaha menjaga warisan sejarah negara.

 

Namun, kisah panjang Batu Bersurat ini juga mengingatkan kita tentang kepentingan memelihara artifak sejarah dan memastikan ia tidak hilang atau terpinggirkan.

 

___

 

Sebenarnya, banyak lagi artifak-artifak kita yang dicuri penjajah masih bertebaran di luar negara.

 

ILMU ALAM MELAYU: MISTIK, MANUSKRIP DAN MITOLOGI tersedia untuk korang cuba hidupkan kembali penghargaan terhadap sejarah, lagenda dan ilmu tradisional kita. Dapatkan sekarang!

 

https://s.shopee.com.my/9pLbfMv5mO


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.